MENGENAL ALLAH
APAKAH ENGKAU MENGENAL NABIMU? Apakah engkau
benar-benar kenal Nabi mu? Iaitu kenal secara lahir dan batinnya, jasmani, maknawi dan
rohaninya. Atau engkau hanya kenal secara lahir sahaja, tidak lebih dari itu?!
Atau engkau kenal secara rambang sahaja?
Sebenarnya kalau engkau kenallah secara lahir
dan batin, jasmani, rohaniahnya peribadi Nabi mu Pasti engkau jatuh hati kepadanya.
Engkau akan cinta, engkau akan menyebut selalu namanya Melalui selawat dan ingatan
terhadapnya. Engkau akan terasa terhutang budi kepadanya Kerana kedatangannya dan
jasanya kepada dunia.
Muhammad Nabi mu S.A.W, Nabi mu Dia seorang
manusia istimewa, luar biasa yang tiada taranya. Dia adalah manusia yang paling mulia di
sisi Allah Taala. Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas agar engkau kenal Nabi
mu sendiri siapa dia yang sebenarnya?
Dia adalah Muhammad anak Abdullah, ibunya
Aminah. Bangsa Quraisy dari Bani Hasyim. Nasabnya hingga ke Nabi Ibrahim. Dia adalah
anak yatim piatu. Seorang anak yang tidak pernah dapat bermanja dengan ibu bapanya
seperti orang lain. Dia lahir daripada keluarga yang miskin dan dipelihara pula oleh
keluarga yang miskin.
Dia adalah makhluk yang pertama dan utama yang
paling dicintai oleh Tuhan iaitu yang diberi nama Nur Muhammad. Dari Nur Muhammadlah
seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan Syurga, neraka, dunia, akhirat, para malaikat,
Arasy, Kursi, Sirath, manusia, jin, haiwan, jamadat dan lain-lainnya. Ertinya kalau
bukan kerana Nabi Muhammad S.A.W, yang lain tidak akan diwujudkan. Kalau begitu, rupanya
Nabi kita membawa rahmat zahir dan batin kepada semua makhluk Tuhan.
Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh,
yang akhir nisbah jasad dikalangan para nabi. Dia adalah satu-satunya Nabi yang diisrak
dan dimikrajkan.Mukanya laksana bulan purnama kerana cahayanya yang terang. Dia hamba
Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan Kerana itulah di dipanggil
Habibullah oleh Allah. Ketua seluruh para rasul dan para anbiya. Penghulu seluruh orang
yang bertaqwa. Imam seluruh manusia. Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan
penutup seluruh syariat. Orang yang memberi syafaatul-kubra di akhirat dan orang yang
pertama masuk syurga. Al-Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling
lengkap. Merupakan mukjizatnya yang kekal dan paling agung. Tiada
siapa yang dapat menirunya.
Dia memiliki ilmu dunia dan akhirat. Sekali
pun dia tidak boleh menulis dan membaca. Nabi kita mempunyai akhlak yang paling mulia
yang tiada taranya. Bahkan lebih mulia dari para malaikat. Terutamanya kasih sayangnya
kepada manusia begitu terserlah Tawadhuknya atau merendah diri, pakaian peribadinya.
Kerana itulah dia sanggup duduk, makan, minum, tidur, baring dengan fakir miskin.
Menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah. Tiada seorang pun melihat mukanya melainkan
jatuh cinta kepadanya. Bahkan macam orang mabuk tidak boleh melupakannya.
Sangat kasih dan simpati dengan fakir miskin,
anak-anak yatim dan janda-janda. Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya.
Orang yang bergaul dengannya macam-macam dapat dirasa. Adakalanya laksana ibu dan ayah .
Adakalanya macam kawan yang membela dan setia. Adakalanya dirasakan guru. Adakalanya
bagaikan pemimpin. Adakalanya bagaikan ketua tentera. Setiap orang yang semajlis
dengannya merasakan dapat layanannya yang memuaskan darinya
Kerana akhlaknya yang tinggi dia dapat pujian
daripada Tuhannya. Keberaniannya luar biasa. Dia boleh lalu seorang diri di hadapan
musuh-musuhnya. Tidak sedikit pun takut dengan raja-raja. Setiap orang yang meminta
tidak pernah dikecewakan sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia. Ibadahnya banyak
terutama sembahyang hingga bengkak-bengkak kakinya kerana terlalu lama berdiri di
hadapan Tuhannya.
Tidak pernah mendoakan musuh-musuhnya dengan
kejahatan. Sangat suka meminta maaf dan memberi maaf kepada sesiapa sahaja. Dia membalas
kejahatan orang dengan kebaikan Satu perbuatan yang luarbiasa. Tidak pernah menghina,
mencaci dan merendah-rendahkan orang lain. Sangat pemalu dan merendah diri. Sangat
menerima keuzuran orang. Sangat tahan menerima ujian yang berbagai-bagai keadaan dan
bermacam-macambentuknya. Kerana itulah dia dapat menjadi Ketua Ulul Azmi daripada
keseluruhan para rasul alaihimussolatuwassalam. Dia suka seseorang kerana Allah dan
murka juga kerana Allah. Hatinya begitu jaga, matanya sahaja yang tidur tapi hatinya
tidak tidurlemailr. Kerana itulah dia tidur tidak membatalkan wudhuknya.
Di dalam hidupnya 74 kali berlaku peperangan
27 kali dia ikut sama atau ikut serta tapi pelik, tidak pernah dia membunuh
musuh-musuhnya walaupun seorang. Anak-anak didikannya itulah dia para Sahabat
hingga dia berkata: "Sahabat-sahabatku laksana bintang-bintang di
langit, yang mana satu yang dapat kamu ikut, kamu akan petunjuk." "Para ulama
umatku laksana para-para nabi bani israil." -jolokan ini tidak didapati oleh
umat-umat nabi sebelumnya. Kerana menegakkan kebenaran, pernah dilemparkan dengan najis,
dibaling dengan batu hingga berdarah, dibuang daerah selama 3 tahun, dikepung, hendak
dibunuh, berhijrah meninggalkan tanah air dan mendapat berbagai-bagai kesusahan dan
penderitaan.
Kemuliaannya di sisi Allah Taala begitu ketara
dan terserlah Iaitu namanya dikampilkan dengan nama Tuhannya Iaitu di dalam dua kalimah
syahadah. Bahkan tidak sah Islam seseorang kalau tidak diucapkan namanya bersama dengan
nama Tuhannya. Doa yang hendak dikabulkan, awal akhir kenalah menyebut namanya. Doanya
sangat kabul, bahkan siapa yang berdoa bertawassul dengannya lebih diterima doanya.
Siapa yang banyak berselawat dengannya diberi syafaat di Akhirat. Siapa yang selalu
menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat.
Mukjizat-mukjizatnya yang terlalu banyak
menunjukkan kebenarannya. Tertulis di belikatnya khatamun-nubuwah. Peluhnya bak mutiara,
wanginya lebih wangi daripada kasturi. Orang tidak dapat menentang matanya kerana
kehebatannya yang amat terserlah di wajahnya Terutama musuh-musuhnya, pasti menundukkan
pandangannya bila bertembung dengan pandangannya.
Banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka oleh
Allah Taala kepadanya. Sehinggakan sebahagian perkara-perkara yang belum terjadi seperti
peristiwa akhir zaman dapat diceritakan. Terlalu kuat tawakalnya kepada Allah Taala.
Hinggakan makanan yang berlebih tidak disimpan di malamnya. Bahkan diberi kepada yang
berhak. Apabila dia buang air, tidak ada kesannya selepas membuangnya. Lalat tidak
pernah hinggap pada badannya. Kalau dia berpaling, dia berpaling dengan seluruh
badannya. Tidak pernah makan seorang diri melainkan berkawan. Tidak pernah mencerca
makanan Kalau dia tidak suka, dia tidak makan makanan itu.
Sangat menghormati dan memuliakan tetamunya.
Terlalu menjaga hak-hak jirannya sekalipun orang kafir. Terlalu mengutamakan orang lain
daripada dirinya sendiri Tidak pernah melaknat sekalipun binatang. Apa yang
diperkatakannya ibarat mutiara Kerana itulah sangat mempengaruhi orang yang
mendengarnya. Didikan dan pimpinanya sangat berjaya Di antara kesan didikan dan
pimpinannya yang telah berlaku yang telah dicatat dalam sejarah : Dapat melahirkan
manusia yang sangat mencintai dan menakuti (takutkan)Allah Taala
Bahkan Tuhan menjadi idola mereka. Dapat
menyatu-padukan manusia yang berbagai-bagai etnik, puak, kaum, bangsa dan yang berlainan
warna kulit, bahasa dan budaya. Bahkan dapat menanamkan kasih-sayang satu sama lain di
kalangan manusia. Melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh kepada syariat Tuhannya.
Berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya. Mampu menjadikan dunia
bersih daripada noda dan dosa. Berjaya menjadikan setiap orang rasa berpuas hati naungan
pimpinannya sekalipun yang bukan Islam. Mereka merasakan dia adalah pelindung dan
penyelamat kepada seluruh makhluk sekalipun binatang.
Itulah dia Nabi Muhammad Rasulullah SAW Itulah
dia Nabi kita, manusia yang luar biasa, yang istimewa yang kejadian dan akhlaknya paling
sempurna, tidak ada tandingannya. Baru sedikit sahaja kita menceritakan tentangnya,
sudah mengkagumkan kita. Apakah peribadi yang semacam ini kita tidak jatuh hati
kepadanya? Apakah manusia ini kita boleh melupakan begitu sahaja? Apakah kita tidak
terasa, dia adalah manusia yang terlalu berjasa kepada seluruh manusia? Apakah
kita tidak terasa terhutang budi kepadanya? Bahkan patut bersyukur kepadanya sepanjang
masa. Bolehkah kita samakan dia dengan pemimpin-pemimpin yang lain di dunia? Jauh
panggang dari api, macam langit bumi.
Lantaran itulah, orang yang benar-benar kenal
Nabinya bersama Tuhannya,sanggup mati kerananya. Patut sangatlah dia menjadi idola dan
ikutan kita Agar kita menjadi satu bangsa yang bertuhan, merdeka, bersatu, berakhlak
mulia,bertamadun, berkasih-sayang, bertolong bantu, berharmoni, bermaruah, bersih dari
noda dan dosa. Allah dan Akhirat menjadi matlamat hidup kita.
~Abuna