MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

KENAPA REFORMASI GAGAL?

Reformasi? Kenapa mesti reformasi? Kenapa nak berdemo?Kenapa reformasi gagal?

Saban hari kita meluahkan perasaan geram di FGR, meneliti bahan-bahan terkini di laman-laman web
Reformasi, menghabiskan berjam-jam di Internet demi KEBENARAN dan KEADILAN. Sudah dekat dua tahun, inilah aktiviti utama sebahagian dari kita, malah sudah menjadi rutin harian untuk meneroka Internet,
mengharapkan sedikit cahaya perubahan, walaupun sebesar hama sekalipun. Dan, selama dekat dua tahun
inilah, kita mengharungi kehampaan silih berganti. Mahathir masih lagi berkuasa. Kroni-kroninya masih
lagi bermaharaja lela, bahkan dengan lebih rakus daripada dahulu.

Rahim Noor masih lagi bergerak bebas sementara Anwar masih lagi merengkuk di penjara.

Kita berdemonstrasi. Setiap peluang yang ada kita akan turun untuk berdemo. Menyanyi-nyanyi seperti budak
sekolah, melaungkan slogan, berhujan, berpanas, berkejar-kejaran dengan polis, dipukul, ditangkap, disiksa. Untuk apa sebenarnya? Untuk apa kita menghabiskan masa dan tenaga kita, dan menyusahkan kaum keluarga kita? Untuk kebenaran? Keadilan? Anwar masih lagi di penjara. Mahathir masih lagi menjadi PM. Rahim Noor masih lagi bergembira bebas.

Kenapa kita bersusah-payah kononnya untuk memperjuangkan keadilan ini? Perhatikan lah sekeliling kita. Hongkong Bank tempat kita berdemo semalam masih lagi dibuka tepat pada 9.30 pagi. Bas Intrakota masih
lagi bergerak. Warga kota masih lagi bekerja. Mahkamah masih lagi berfungsi seperti biasa. Pudu raya beroperasi seperti biasa.

Pendeknya. Negara kita masih lagi aman dan damai, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kerajaan masih lagi berfungsi. Parlimen masih lagi bersidang tepat pada masanya. Dan kita masih lagi bekerja seperti biasa. Pekik lah. Jerit lah. Selepas itu kita kembali bekerja, mencari rezeki di bumi Malaysia ini.

Renungkan lah. Anwar berkorban demi prinsip keadilannya. Prinsip keadilan yang didokong oleh Anwar
inilah juga yang kononnya dipegang oleh para reformist. Tetapi di manakah Anwar? Dan di manakah
kita? Anwar berkorban hidupnya demi prinsipnya. Tetapi kita masih lagi di sini. Berdemo dan berdemo dan terus
berdemo. Selepas penat menyuarakan ketidak puasan hati kita, kita akan kembali semula kepada kehidupan normal kita. Bekerja, bergembira dengan keluarga dan sahabat handai. Sementara Anwar yang kita sanjungi itu
merengkuk di Sg Buluh. Di manakah sebenarnya pengorbanan kita?

Di manakah prinsip kita? Di mana-mana kita menyorakkan kemarahan terhadap sikap rakus Mahathir dan
kuncu-kuncunya dalam mengaut kekayaan negara. Syarikat-syarikat seperti RENONG, TIME, CELCOM, TRI,
UEM, MAXIS, BINARIANG, PLUS, SOLSIS, TONGKAH adalah sebahagian dari senarai syarikat kepunyaan anak-anak dan kroni Mahathir. Syarikat-syarikat inilah yanG menyumbang kepada kekayaan mereka. Belum lagi termasuk senarai syarikat-syarikat yang ada hubung-kait dengan Ling Liong Sik dan Samy Vellu. DI MANAKAH PRINSIP PERJUANGAN KITA JIKA KITA MENUMPANG REZEKI BERNAUNG DI BAWAH SYARIKAT-SYARIKAT INI? Kita marahkan Mahathir, Daim, UMNO, MCA, MIC, BN, tetapi kita bekerja dalam syarikat mereka? Di manakah pengorbanan kita? Demi wang ringgit, dan kehidupan yang selesa, kita sanggup menggadaikan apa yang kita juangkan?

Berdemolah kita. Mahathir tidak gentar akan apa jua yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Anwar. Walau apa pun yang kita lakukan, Malaysia akan terus bergerak seperti biasa. Business as usual. Dan Mahathir masih lagi sebagai Perdana Menteri.

Apakah yang perlu dilakukan? Berkorban. Berkorbanlah kita seperti mana yang ditunjukkan oleh Anwar. Selagi
kita tidak sanggup berkorban, selagi kita masih lagi dipegang oleh sikap material dan mudah mengalah kepada
wang ringgit, selagi itulah kita masih dijajah oleh Mahathir. Selagi kita mengharapkan kerja bergaji lumayan dari Time, atau Celcom (dsb), bagaimanakah mungkin kita mengharapkan perubahan akan terjadi di Malaysia?

Kenapa demokrasi sebenarnya boleh berlaku di Korea? Di Amerika. Juga di Indonesia? Perhatikanlah. Di sana,
rakyat mereka percaya dan amalkan dalam diri mereka perjuangan demokrasi ini. Apabila diseru untuk
berdemo, berjuta rakyatnya turut serta. Apabila diseru mogok umum, seluruh negara menyahut seruan ini. Negara manakah yang boleh berfungsi apabila jentera ekonominya berhenti? Negara manakah yang boleh
berfungsi bila jentera pentadbirannya berhenti? Beginilah Malaysia, negaraku yang dicintai. Negara yang dihuni oleh rakyat yang dayus. Alangkah sedih bila dikenangkan, dua ribu warga kota berhimpun dan berdemo di sebelah HongKong Bank, dan kita tahu seluruh warga kota bersimpati dan bersama dalam perjuangan keadilan, tetapi, keadaan di sekeliling HongKong Bank itu tidak menunjukkan sedikit pun riak-riak kesedihan. HongKong Bank berfungsi seperti biasa. Bas Intrakota, teksi-teksi masih lagi seperti biasa, mengikut jadual. Kehidupan di KL masih lagi seperti biasa. Dan selepas berdemo, keadaan kembali seperti biasa, kecuali satu perkara - Anwar akan mengharung kehidupan di penjara dengan tambahan 9 tahun.

Kesimpulannya, tiadalah gunanya kita berdemo lagi kecuali jika kita dapat tunaikan salah satu atau kedua-dua perkara berikut:

1. Hentikan segala apa bentuk sokongan kepada syarikat-syarikat kroni Mahathir, TERUTAMA pastikan
kita tidak bekerja untuk mereka.

2. Berdemo secara total, seluruh rakyat Malaysia yang berupaya, turun ke KL untuk berdemo. Demo secara total bermakna, termasuk pemandu bas, teksi, pekerja bank, pekerja kerajaan, semuanya. Untuk seketika itu, untuk sehari itu, KL berhenti berfungsi. Untuk seketika inilah juga, Mahathir akan menangis.

Sanggupkah kita?

Di petik dari FGR

Nota webmaster: 
Siapa kata reformasi gagal? Reformasi belum gagal walau DSAI ditambah penjaranya menjadi 15 tahun. Reformasi belum gagal walau Perdana Menterinya masih Mahathir. Apa yang sangat membimbangkan saya ialah kita yang gagal sebelum sampai masa kegagalan itu. Berjuang dan berjihadlah.

Lawan tetap lawan!!

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia