MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

TEMPOH 15 BULAN UNTUK MAHATHIR LETAK JAWATAN!

Laporan PEMBERITA KHAS

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Mahathir Mohamad diberi tempoh 15 bulan untuk meletakkan jawatan, bermula dari tarikh Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun pada Selasa,  8 Ogos lalu.

Ketua Pemuda KeAdilan, Sdra. Mohd Ezam Mohd Noor  mengingatkan Mahathir bahawa Pemuda KeAdilan hanya memberi tempoh tidak lebih dari 15 bulan untuk Perdana Menteri itu meletakkan semua jawatannya dalam negara ini.

“Kalau Mahathir memberi tempoh masa 15 tahun untuk memenjarakan Anwar, saya beri tempoh 15 bulan untuk Mahathir meletakkan jawatannya. Kita akan pastikan, Mahathir meletakkan jawatan dan dia akan diturunkan dengan sehina-hinanya,” tegas beliau kepada lebih 10,000 hadirin di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar pada 8 Ogos lalu iaitu tidak sampai 24 jam dari masa Anwar dijatuhkan hukuman oleh Hakim Ariffin Jaka.

Amaran Sdra. Ezam itu telah disambut dengan laungan takbir dan tepukkan gemuruh dari para hadirin. Menurut Sdra. Ezam, Mahathir akan dipastikan turun dengan cara yang hina kerana kezaliman dan kekejamannya terhadap rakyat dan Anwar Ibrahim, sudah sampai kekemuncaknya. Katanya, tidak ada manusia yang paling zalim, paling kejam di negara ini melainkan dia yang bernama “Mahathir bin Mohamad”.

“Zaman kejatuhan Mahathir sudah bermula sejak tadi (8 Ogos) sebaik Anwar dijatuhkan hukuman. Beliau jangan ingat, hukuman itu boleh memadamkan reformasi dan kebangkitan rakyat. Sebaliknya, rakyat akan terus bangkit dan ada yang baru sedar tentang kezaliman dan kekejaman “Mahathir bin Mohamad”,” jerit Sdra. Ezam.

Serentak dengan itu, beliau juga memberi amaran keras kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Ali agar memberikan penjelasan berhubung dengan penahanan ke atas Naib Presiden KeAdilan, Sdra. Tian Chua dan aktivis parti itu, Sdra. Malek Husein yang ditahan polis pada hari Anwar dijatuhkan hukuman itu. Kedua-dua tokoh reformasi itu ditahan bersama enam orang aktivis KeAdilan yang lain. Bagaimanapun, keenam-enam aktivis itu dapat dikesan lokap tahanan mereka tetapi kedua-dua tokoh reformasi itu gagal dikesan oleh pihak KeAdilan sehingga tengah malam 8 Ogos itu.

“Saya memberi ingatan, jika pihak polis gagal memaklumkan kepada umum dan menunjukkan muka Sdra. Tian Chua dan Malek Husein pada pagi besok, Kuala Lumpur akan digegarkan sekali lagi! Kita tidak mahu tengok muka Tian Chua dan Malek lebam-lebam!” teriak Sdra. Ezam penuh semangat.

Sdra. Ezam juga turut mengumumkan bahawa perhimpunan  rakyat akan diadakan pada hari Jumaat, 11 Ogos ini di Masjid Negara dan kemudiannya, kata beliau lagi, pada 12 Ogosnya satu lagi perhimpunan akan diadakan di Wisma Putera sebagai menyokong SUHAKAM dan satu pertemuan dengan Pengerusi badan itu, Dato’ Musa Hitam akan diadakan.

Sdra. Ezam juga meminta rakyat yang prihatin di negara ini, turut memberikan sokongan kepada perhimpunan di hadapan Penjara Sg. Buluh pada hari Ahadnya, 13 Ogos sebagai tanda simpati dan dokongan kepada Anwar Ibrahim.

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia