MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

LAPORAN 8 OGOS DARI REFORMIS UTARA

Kami turun lagi ke KL malam 7 Ogos apabila disahkan yang HARI PENGKHAKIMAN telah tiba. Sepanjang jalan lebuhraya utara selatan malam itu tidak sibuk dan tiada sebuahpun 'water canon truck' FRU yang kami temui seperti tempoh hari. Pasti mereka semua tidak pulang dari hari itu.

Esoknya , 8 Ogos, kami bergegas ke mahkamah tinggi seawal 7.00 pagi. Pasukan polis dan FRU telah pun bersedia di segenap jalan dan sudut menghala ke mahkamah. Beberapa kumpulan polis beruniform kelihatan di
merata-rata tempat sehinggalah ke Central Market. Di perkarangan pintu masuk utama bahagian hadapan mahkamah tinggi telah berderetan orang beratur. Kami tumpang juga beratur, tetapi apabila dimaklumkan hanya dalam lingkungan 20 hingga 25 orang sahaja diberi peluang untuk masuk, kami pun menarik diri. Seorang pemuda berkata.....tunggu di luar lebih memberansangkan! Seorang keturunan India berdiri paling hadapan sekali
dalam barisan tersebut dan beliau telah berada di situ sejak pukul 2.30 pagi lagi!

Saudara Rustam Sani antara 'celebrity' yang mula-mula sekali tiba. Diikuti dengan YB. Mahfuz  dan Dr. Chandra yang mendapat tepukan gemuruh. Peguam Zulkifli Noordin (rupanya kecil sahaja orangnya) turut diberi laungan
takbir dan reformasi. Saya sempat berkenalan dengan 'celebrity' reformis, Nora, yang turut diberi tepukan oleh orang ramai di situ. Kemudian ibu Datuk Anwar, Dr. Wan Aziziah dan anak-anak, Peguam Karpal Singh (seorang reformis, Kak Ita, sempat komen senyum Karpal Singh yang manis!), Sukma dan lain-lain tiba dengan setiap satunya sentiasa diberi sambutan hangat dari kami di situ. Apabila jam menunjukkan pukul 9.00 pagi kami mula diberi arahan untuk bersurai dari situ dan berkumpul pula di hadapan Padang berhadapan mahkamah bersama-sama dengan 'kumpulan FRU'.

Maklumat diterima (dari telinga ke telinga) agar kami berkumpul di perkarangan Hong Kong Bank dan ke sanalah pula kami tuju secara berasingan dan tenang. Kami sampai di destinasi dan telah kelihatan sekelompok manusia di situ. Tak semena-mena dalam suasana yang teramatlah tenangnya, 3 hingga 4 orang polis telah mengheret pemimpin kesayangan kita Sdr. Tian Chua dengan kasarnya. Rasa marah dan geram yang amat sangat melihatkan Sdr. Tian Chua diperlakukan seperti sampah masyarakat!. Perhimpunan belumpun dimulakan lagi dan puak-puak itu telah mula menunjukkan belangnya. Walau bagaimanapun beberapa pemimpin reformis di situ telah meminta semua orang bertenang dan bersabar. Kami semua di minta duduk bersila di lantai batu di situ dan sebagai simbolis mengikatkan tali putih di tangan seperti gari untuk menunjukkan bahawa perhimpunan hari itu adalah aman, aman dan tiada yang lain melainkan aman belaka! 

Orang ramai mula berhimpun dan kelompok kami mula membesar dengan kebanyakan orang duduk bersila. Ucapan pendik namun bersemangat dimulakan oleh beberapa reformis dengan diikuti dengan beberapa pemimpin BA yang setiap satunya sentiasa mendapat tepukan gemuruh di sulami dengan laungan kata-kata semangat. Ada seorang dua yang terlaungkan beberapa perkataan yang agak kurang menyenangkan tetapi kami
semua dengan cepat dapat menyejukkan suasana dan tidak memberikan peluang untuk laungan-laungan yang sebegitu. Kami faham mungkin mereka ingin meluahkan rasa yang amat tidak puas hati dan terbuku di dada dan tidak mustahil juga perlakuan puak SB yang tidak pandai menyamar itu. Seketika sewaktu seorang pemimpin BA sedang memberikan ucapan dengan penuh semangat, pihak polis menghampiri dan memberitahu pemimpin di situ yang pihak polis memberikan kebenaran untuk berhimpun dan berucap di situ. Kami semua memberikan tepukan hangat kepada pasukan polis di situ sebagai ucapan terima kasih.

Kami sentiasa mendapat maklumat terkini tentang perkembangan di mahkamah. Melalui talian talipon bimbit kami mula-mula sekali di maklumkan tentang keputusan DSAI BERSALAH. Tidak seorang pun yang terkejut dengan keputusan itu di situ tetapi kami terkedu sejenak dan laungan takbir mula bergema. Aturcara diteruskan kali ini dengan lebih semangat dan diselangi dengan nyanyian-nyanyian bersemangat.....SUARA RAKYAT, SUMPAH PENDEKAR, JOM KITA REFORMASI , LAGU DEMOKRASI , GEYLANG SI PAKU GEYLANG dan beberapa buah lagu lagi. Kami beruntung kerana kebetulan duduk dengan kelompok anak muda pelajar yang menjadi pemangkin kepada nyanyian lagu-lagu yang membakar semangat tersebut. Hujan yang pada mulanya renyai-renyai dan kemudian lebat tidak sedikit pun mematahkan semangat kami. Kami duduk tetap tidak
berganjak dan meneruskan nyanyian dan laungan-laungan keramat.

Ucapan-ucapan diteruskan, sentiasa ada orang yang tampil ke depan diberi peluang untuk berucap. Setiap waktu betita terkini diterima....berkenaan dengan tempoh hukuman yang diterima DSAI, tentang penangkapan Tian Chua dan Malik yang dikatakan tidak sah dan lain-lain lagi.

Tambah menarik ialah adik-adik anak muda pelajar tersebut telah mempersembahkan satu teater (dalam keadaan basah kuyup kerana hujan) berkisar tentang seorang anak muda yang berguling-guling di tanah sambil
melaungkan 'AKU LAPAR...AKU LAPAR....AKU LAPARKAN KEADILAN!!' Kemudian  beberapa orang penguasa telah bertindak ganas ke atas pemuda tersebut dan taeter tersebut berakhir dengan pihak penguasa pula dihambat oleh rakyat.

Tidak ketinggalan sebuah sajak telah disampaikan dengan amat berkesan oleh salah seorang anak muda tersebut. Terima kasih adik-adik kerana telah mewarnai perhimpunan tersebut dengan kreativiti seni kalian.

Kami masih lagi meneruskan acara sementara menunggu pemimpin-pemimpin keADILan yang lain menyertai kami apabila selesai sessi di mahkamah nanti.  Begitulah kami, tiada keganasan, tiada perkara -perkara sumbang, tiada hasutan jahat yang dilaungkan melainkan mendorong kata-kata semangat kepada rakyat Malaysia yang cintakan keadilan. Bahkan kami rasa penonton-penonton terhibur pula dengan persembahan seni percuma dari adik-adik reformis tadi.

Saya sempat menjeling kepada jam yang menunjukkkan pukul 12.30 tengahari apabila tiba-tiba kelompok kami diserbu oleh 'kumpulan FRU' yang tidak diundang pun untuk membuat persembahan! Mula-mula pemimpin kami melaungkan agar kami bertahan dan tetap duduk tanpa berganjak kerana kami tidak berbuat apa-apa bentuk keganasan. Tetapi mana mungkin dapat bertahan.....sambil menjerit meminta kami bersurai mereka mula bertindak ganas dan menendang siapa yang tidak berganjak. Kami pun terpaksa akur dan bergerak ke jalan raya yang bertentangan. Tidak puas dengan itu, mereka menghambat pula ke arah kelompok-kelompok terdapat di tepi jalan. Hasilnya, berjayalah mereka dengan misi mereka menangkap beberapa reformis. Kami masih memerhatikan lagi dan mengambil keputusan bergerak ke arah lain.

Suara-suara nyanyian SUARA RAKYAT dan laungan-laungan reformasi masih lagi sayup kedengaran sehingga pukul 3.00 petang. Kami ketemu juga dengan sekumpulan reformis yang masih tidak jemu-jemu menyanyi dan melaungkan kata-kata keramat di sebelah mahkamah berdekatan dengan stesen LRT Masjid India. Apabila kelompok tersebut semakin mendapat sambutan dari orang ramai dan mula bertambah bilangannya, puak-puak polis dan FRU itu muncul lagi dengan Water canon Trucknya sekali. Lari pula kumpulan ini ke arah jalan ke
Coleseum. Jam telah menunjukkan pukul 3.30 petang. Kami pun mengambil keputusan pulang. Niat hati untuk belanja makan adik-adik kumpulan teater tadi nampaknya tak kesampaian Mungkin di lain masa yang lebih sesuai.

Diharap semangat yang ditunjukkan oleh adik-adik itu akan terus membara dan terus membakar api perjuangan kita yang sebenarnya baru bermula pada tarikh 8 Ogos...apabila kezaliman telah dibuktikan oleh keputusan mahkamah hari itu!

Alahuakbar!Allahuakbar!Allahuakbar!

Kami tetap bersamamu bung Anwar!!

p/s Adik-adik teater....cuba hafal lagu 'pahlawanku' pula untuk dipersembahkan kepada bung Anwar nanti...insyaalah!

Kak Id 2000

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia