MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

CADANGAN
 
Sekian bulan membaca tulisan Dr Farish Noor dan tulisan-tulisan lain yang menyentuh Islam menyebabkan saya tawar hati dengan MalaysiaKini. Terasa ada sesuatu yang tidak kena dengan agenda laman itu. Dr Farish misalnya banyak menulis mengenai PAS kerana beliau sedang menyiapkan buku mengenai pertubuhan itu. Tetapi di sebalik tulisannya banyak yang dapat kita lihat kritikan beliau terhadap PAS dan Islam itu sendiri. Kini rasa tidak senang itu terbukti dengan jelas bersabit cara MalaysiaKini menangani kes konsert Vengaboys dan penyiaran cemuhan Radhakrishna Mutthiah terhadap agama Islam.
 
MalaysiaKini mendakwa sebuah akhbar on-line bebas yang mengambil kira semua pendapat tidak kira dari puak kiri atau kanan. Itu kita terima sekiranya benar ia dipraktikkan. Tetapi pendedahan Abdul Rahman Abdul Talib (sila lihat Tranung Kite: Adakah MALAYSIAKINI.COM Anti Islam??l??) menafikan dakwaan itu. 
 
Kita tertanya-tanya apakah sikap petugas-petugas Islam di akhbar itu terutamanya editor Bahasa Melayu, Fathi Aris Omar mengenai Islam. Dikatakan organisasi MalaysiaKini menggalakkan dasar shared responsibility yang mana petugas bukan sahaja bertugas tetapi juga memegang saham dalam organisasi itu. Jika itu benar, kemungkinan besar Fathi Aris ada bahagian sahamnya. Sebagai pemegang saham sudah tentu beliau mempunyai hak bersuara ke atas perjalanan akhbar itu lebih-lebih lagi dengan jawatan editor yang dipegangnya. Kita bertanya apakah fungsi beliau sebagai editor dan peranannya menangani masalah ini? Adakah beliau ada hak untuk menyuarakan bantahan terhadap siaran sesuatu bahan sama ada surat atau artikel dan jika ada apakah beliau telah menggunakan hak itu? Jika tidak mungkin tercuit di hati kita untuk membenarkan tuduhan yang disiarkan dalam laman-laman reformasi sedikit masa dahulu mengenai penglibatan beliau dalam JIM dan tindak-tanduk JIM yang diragui terhadap pertubuhan Islam di negara ini.
 
Jika MalaysiaKini tidak mengubah dasarnya dan terus  menghentam Islam, ada baiknya difikirkan cadangan supaya netters Islam khasnya dan netters agama lain yang sedar peri pentingnya agama dalam kehidupan kita memboikot MalaysiaKini sebagaimana kita memboikot akhbar-akhbar perdana lain. Ini akan mendatangkan kesan ke atas jumlah 'hits' 100,000 yang dibanggakannya selama ini yang secara langsung akan juga memberi sedikit sebanyak kesan kepada pendapatannya melalui iklan.
 
M. Andak
 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia