Kenyataan
Akhbar Pengerusi Gabungan Profesional Melayu UK dan Eire
HENTIKAN SEGERA KEJELEKAN POLITIK
MALAYSIA!!
Kami mendapati, suasana politik Malaysia saban
hari semakin menjadi tidak keruan dan sudah mencapai tahap keterlaluan. Ini berikutan terjadinya
pelbagai peristiwa di luar batas pemikiran normal akibat nafsu gila kuasa mendahului
segala. Di sini kami sebutkan beberapa kes semasa yang menjadi subjek perbualan
rata-rata rakyat Malaysia yang berada di tanahair dan lebih-lebih lagi kami warga
perihatin Malaysia di United Kingdom. Di antaranya:
Arahan Perdana
Menteri supaya BPR menutup siasatan ke atas bekas Ketua Pengarah UPE, Tan Sri Ali
Abul Hassan Sulaiman.
Laporan Datuk Seri Anwar terhadap Dr Mahathir kerana
dakwaannya
bahawa beliau (Dr Mahathir) telah menghalang siasatan terhadap Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri atas tuduhan rasuah.
Tuduhan serius PM terhadap
PAS iaitu dengan mengaitkan bahawa PAS terlibat dalam episod perampasan senjata oleh
Kumpulan Al-Ma'unah tanpa ada bukti yang nyata lagi kukuh.
Usaha-usaha
untuk membuang nama Islam pada pertubuhan-pertubuhan terutamanya PAS atas alasan
penggunaan nama Islam pada pertubuhan akan mengelirukan pandangan dan memudahkan usaha
menarik sokongan rakyat.
Pengharaman ke atas perkumpulan-perkumpulan, perhimpunan-perhimpunan
aman dan ceramah pihak pembangkang atas dakwaan boleh menggugat keamanan dan
keselamatan negara sedangkan hak ini nyata disebutkan di dalam perlembagaan negara.
Ugutan akta ‘drakonian’ ISA oleh para pemimpin kerajaan kepada sesiapa yang
dikira boleh menjadi ancaman kepada pihak pemerintah. Begitu juga dengan
penggunaannya, di mana tahanan boleh dikenakan tanpa pendakwaan di mahkamah,
dikenakan ke atas anggota-anggota Al-Ma'unah dan beberapa individu seperti Ustaz
Shamsuri
Ahmad dan lain-lainnya baru-baru ini.
Penguatkuasaan secara
sewenang-wenangnya akta-akta seperti Akta Hasutan, Akta Media Cetak dan lain-lain
akta yang dikenakan ke atas individu-individu, penerbit dan organisasi terutama pihak
yang dilihat sebagai menentang atau tidak senada dengan Barisan Nasional khususnya
UMNO, semata-mata dibuat atas motif politik.
Penggunaan berleluasa
institusi-institusi kerajaan bagi tujuan kepentingan politik pihak-pihak tertentu.
Ini jelas dilihat dalam menangani kes perbicaraan bekas TPM, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Sekatan melampau, ugutan-ugutan dan penarikan balik permit tanpa
sebarang penjelasan ke atas akhbar dan majalah-majalah bersifat ‘kepembangkangan’
seperti akhbar Harakah, Detik dan lain-lain.
Sekatan demi sekatan ke atas
program-program pembangunan rohaniah rakyat seperti ceramah dan kuliah di
masjid-masjid khususnya, sebaliknya digalakkan pula program-program hiburan yang menghakis
budaya ketimuran dan meruntuhkan akhlak generasi muda kita, seperti yang terbaru
ialah kebenaran kerajaan kepada kumpulan Vengaboys untuk membuat persembahan konsert
(21 Julai lalu di Stadium Merdeka).
Kritikan melulu dan pengenepian
pandangan pihak-pihak tertentu terhadap pendirian SUHAKAM, Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia Malaysia supaya rakyat dibenarkan berhimpun secara aman, seperti
yang
dilaporkan oleh akhbar ‘The Star’ 3 Ogos. Begitu juga dengan tindakan polis yang
menghalang rakyat daripada memasuki Kuala Lumpur dan tindakan beberapa media massa
kerajaan yang memandang sinis
pandangan SUHAKAM dan ini sememangnya bertentangan
dengan semangat penubuhan suruhanjaya tersebut.
Oleh itu kami menggesa supaya
semua pihak terutamanya para pemimpin politik BN supaya tidak terus mencemarkan lagi
keadaan ini sehingga dunia mengetahui sebegitu buruk dan teruknya suasana politik di
Malaysia
hari ini. Saban hari pula kami di sini dihujani dengan banyak pertanyaan dari
rakan-rakan sekerja dan rakan antarabangsa bertanyakan keadaan politik semasa di
Malaysia. Kami berasa alangkah malunya sebagai rakyat Malaysia yang sebelum ini
dikenali mempunyai pemimpin-pemimpin politik yang disegani, bermaruah tinggi sehingga membolehkan
digelar pemimpin agung dunia ke tiga dan sebagainya tiba-tiba rosak imej dengan
akhlak para pemimpin negara terutama PM Malaysia yang kini sungguh kuat
pembohongannya. Bagaimanakah kami
sebagai rakyat Malaysia yang berada di luar negara
ingin menceritakan keadaan sebenar yang berlaku di tanahair tercinta dan apakah
yang kami mahu ceritakan? Menceritakan yang muluk-muluk dan indah-indah belaka,
kemajuan duniawi semata dan lantaran itu kami menjadi pembohong juga seperti mana para
pemimpin utama negara kita?
Dalam suasana sekarang ini, kami juga ingin menyeru
semua rakyat Malaysia untuk bersatu dalam menegakkan hak-hak mereka bagi melawan segala
bentuk kejelekan politik dan berusaha membendung kezaliman yang ada bagi membetulkan
keadaan politik Malaysia sesuai dengan kemampuan dan hak seperti mana termaktub
dalam perlembagaan Malaysia.
Sekian wassalamualaikumwarohmatullah
Yang
benar,
Dr. Aslam Mukmin
Pengerusi
Gabungan Profesional Melayu UK dan Eire
4
Ogos 2000