MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

SIAPA AZMAN HARUN?

Oleh Pena Suasa

SAYA sudah membaca kenyataan Mohd Azman Haji Harun selepas kenyataan Ketua Pemuda keADILan, Mohd Ezam Mohd Nor menjelaskan kedudukan Mohd Azman dalam hirerki kepimpinan Pemuda keADILan Pulau Pinang.

Pendapat mengatakan tidak sepatutnya “webmaster” menyiarkan penjelasan Mohd Azman juga sudah saya baca dan saya ingin memberi sedikit pendapat mengenainya; bukan bertujuan campur tangan dalam polemik ini.

Parti Keadilan Nasional (keADILan) sebenarnya memang tidak memerlukan orang-orang seperti Mohd Azman. Ini perlu dijelaskan dan perlu ditegaskan. Tulisan saya mengenai perkara-perkara seperti ini sudah jelas.

Dia sudahpun keluar dari keADILan ketika pilihan raya umum lalu. Kini, dia buat lagi pengumuman keluar dari keADILan dengan disertai Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedang kemaruk hendak menjadi Perdana Menteri. Betul! Abdullah diperbodohkan tetapi, keADILan juga cuba dimalukan.

Walaupun Mohd Azman mengatakan dia tidak menyertai Umno, tetapi langkahnya keluar dari keADILan dengan pengumuman yang diatur di depan kamera TV adalah satu perancangan tidak wajar. Soal dia tidak dapat bercakap di TV bukan kerana dia tidak mencaci keADILan tetapi dia memang tidak ada kebolehan untuk bercakap di depan TV.

Orang seperti Mohd Azman ini sebenarnya ada lagi. Mereka akan bertindak keluar, masuk dan keluar parti sebagai menyalin pakaian. Nilai kemanusiaan mereka ini rendah. Ada bayaran untuk mereka. Jumlah bayaran itu akan ditentukan oleh Umno. Soal mereka mahu memperdaya Umno atau sebagainya, itu soal lain tetapi, mereka sanggup buat apa sahaja, asalkan mereka puas.

Mereka tidak pernah memikirkan kawan-kawan, orang ramai dan penyokong lain. Mereka buat asalkan dapat melepaskan geram kepada seorang dua pemimpin parti yang tidak mereka persetujui. Ini silap. Kerja ini kerja orang yang tidak bermoral. Parti bukan kepunyaan individu. Parti bukan kepunyaan mana-mana pihak. Parti ujud kerana ahli. Tetapi parti juga tidak boleh hidup tanpa pemimpin. Ingat, untuk menubuhkan parti, pemimpin perlu didahulukan. Tanpa mereka, siapalah kita…ahli-ahli semua?

Tetapi, saya cukup bersetuju Mohd Azman keluar keADILan. Seperti yang pernah saya tuliskan dahulu… nak keluar…silakan! Usah ditahan-tahan. Mereka sebenarnya ‘duri dalam daging’. Tiada siapa mengajak mereka masuk keADILan. Semua pemimpin keADILan seperti Mohd Ezam, Haji Ruslan Kassim dan YB Azmin Haji Ali sering memberitahu… “tinggalkan Umno. Tinggalkan BN. Sertailah mana-mana parti dalam BA. Boleh masuk PAS. Boleh masuk keADILan. Boleh masuk PRM atau DAP.”

Oleh yang demikian, keADILan memang tidak perlu menyimpan orang-orang seperti Mohd Azman. Walau apapun alasannya kononnya permohonannya menjadi ahli ditangguhkan, dihilangkan dan sebagainya, ia bukan alasan mengapa apabila sudah menjadi ahli, bertindak keluar dari parti pula. Ada pihak yang menggunakan dia untuk kepentingan Umno tetapi Mohd Azman tidak menyedarinya. Dia ingat dia hebat sangat, maka dia diperbodohkan dengan kamera TV dan kehadiran Abdullah Ahmad Badawi. Kita tengok sama-sama, dapatkah dia berjumpa Abdullah lagi selepas ini? Mustahil!

Lebih baik tidak perlu masuk mana-mana parti, tetapi dalam pilihan raya sokong BA.

Parti Keadilan Nasional sebenarnya “sebuah parti baru” yang dipimpin oleh orang-orang “baru” dalam politik. Di sana sini ada kelemahan. Maafkanlah mereka. Dengan persediaan menghadapi pilihan raya, dengan halangan-halangan yang disebabkan kesihatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin pemuda ditangkap polis, Mohd Azman sepatutnya tahu bahawa “keutamaan” parti itu ialah …hal-hal seperti ini dan bukan hanya melayan soal Mohd Azman dapat jadi ahli atau tidak.

Demi Allah, saya sendiri tidak menggalakkan bekas ahli-ahli mana-mana parti untuk menyertai keADILan. Saya tahu, soal pentadbiran sebuah parti bukan seperti mentadbir sebuah surau. Macam-macam perangai manusia dan macam-macam latar belakang manusia yang ada. Dengan bekerja secara sukarela, kerana rapat dengan Dato’ Seri Anwar, kerana simpati dan kerana bencikan Dato’ Seri Dr. Mahathir, maka mereka tidak boleh diharapkan menjadi pentadbir parti yang cekap dan super efisien.

Khidmat yang sudah mereka berikan…cukup baik dan perlu dihargai. Kalau Mohd Azman diberikan peranan lebih besar, mungkin lebih mahal wang terpaksa dibayar oleh Umno di dalam bilik air. Mohd Azman juga dipercayai berbohong kononnya bersama-samanya bertindak keluar dari keADILan Permatang Pauh ialah 50 orang. Ini tidak betul. Sebahagian mereka, hanya takutkan Mohd Azman yang dikenali sebagai samseng di kawasan itu.

Sebahagian mereka pula ada ahli Umno dan yang belum sempat menjadi ahli, mungkin hanya Mohd Azman seorang.

Cukuplah! Hentikan lakonan itu. Mohd Azman mungkin boleh tidur lena selepas ini setelah dia memalukan Prof. Dr. Mansor Osman, Pengerusi keADILan Pulau Pinang.

Tetapi malang bagi mana-mana parti, termasuk PAS jika mereka menerima permohonan Mohd Azman untuk menjadi ahli.

Kepada semua penyokong dan pendokong keADILan dan BA, bersabarlah menghadapi karenah seperti ini. Ini adalah kecil jika hendak dibandingkan dengan kezaliman yang Dr. Mahathir lakukan bersama-sama Habibienya, Abdullah Ahmad Badawi. Majlis keADILan kini sudah mula dikepungi polis dan usah gusar dengan perangai seorang dua manusia seperti Mohd Azman, Kamaruddin Hassan, Jaafar Ahmad, Nordin Ahmad, Wan Indra Putra, Zul Azhar Cha, Hamid Abd Rahman, Zuraidi Rahim dan “seorang dua lagi yang sewaktu dengan mereka.”  Biarkan mereka terjun dengan labu-labunya…biarkan…biarkan…biarkan!

6hb. Ogos 2000

 

 

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia