MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

KOMEN TERHADAP HISHAMUDDIN

Assalamu'alaikum. 

Nampaknya perdebatan mengenai demonstrasi membantah konsert Vengaboys di Universiti Malaya tempohari sudah melahirkan satu istilah baru pula di kalangan pendokong konsert tersebut iaitulah "anti-kegembiraan".

Ketika perkataan 'maksiat' itu di-quote-kan, istilah 'anti-kegembiraan' pula tidak demikian. Lazimnya perbuatan meng-quote-kan sesuatu atau tidak itu bergantung kepada  perkataan atau konsep manakah yang ingin menjadi target sindiran seseorang penulis. 

Dalam konteks ini, Hishamudin Rais lebih cenderung kepada penerusan maksiat daripada sikap anti-kegembiraan. Hishamudin mungkin tidak menyokong maksiat itu semata-mata. Tetapi apa yang lebih tidak digemarinya ialah sikap tidak tolerannya sebahagian pelajar di IPT terhadap maksiat tersebut. Beliau juga tidak pula (dapat?) membezakan di antara maksiat dengan kegembiraan. 

Justeru berlakulah satu penerusan kekeliruan terhadap definisi maksiat dan kegembiraan. Saya tidak pula berminat untuk mengulas makna kedua-duanya kerana ini akan meleret-leret pula kepada khilaf maknawi yang tidak berkesudahan. Biarlah masing-masing pihak mempunyai pegangannya sendiri tentang makna istilah kedua-duanya, sesuai dengan prinsip dan kitab rujukan masing-masing, kalau ada. 

Kerisauan Hishamudin itu bukan kerisauan beliau sendiri malah mungkin ramai lagi yang bersama di dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran di dalam negara ini apatah lagi penganjur program seumpamanya sendiri iaitu kerajaan yang sedia ada. Mereka yang pertama ini risau akan wujudnya satu trend anti-kegembiraan sekiranya BA ditakdirkan berkuasa. Habislah tak boleh tengok konsert lagi, umpamanya. 

Maklumlah, PAS yang paling berpengaruh di kalangan BA dan yang paling vokal dalam trend anti-kegembiraan sehingga pemimpinnya boleh tersenyum melihat respon pelajar IPT terhadap konsert "bukan-maksiat" tempohari. Sikap tidak aktif pelajar IPT dalam gerakan politik dan sosial bukanlah berpunca daripada sikap anti-kegembiraan sebagaimana yang didakwa ramai. Malahan puak pro-kegembiraan pun dapat melihat bahawa ianya berpunca daripada seribu satu akta yang mengikat aktivisme mereka. Itulah punca terbesar sikap kelembapan pelajar hari ini -  takut dan cuba "play-safe". 

Sesiapa pun mungkin akan bertindak sedemikian jikalau berada dalam situasi yang sama. Apabila wujud satu vacuum dalam kehidupan berkampus, ianya perlu diisi dengan sesuatu supaya pelajar tidak terus tertekan hidup mereka. 

Di sinilah kerajaan memainkan peranannya memasukkan program maksiat dan kegembiraan, dengan niat yang ikhlas untuk meringankan beban pemikiran pelajar. Hasilnya, pelajar terus menjadi tidak aktif sebagaimana dalam dekad-dekad 80-an dahulu, melainkan segelintir mereka yang kebetulan pula menjadi elemen Islamis dalam kampus. Mereka ini bukan sahaja membantah konsert kegembiraan, malahan mereka pergi lebih daripada itu seperti membantah kehadiran pasukan kriket Israel (pengganas dan konspirator antarabangsa) malahan pernah membantah projek pembinaan jejambat melintasi Masjid di luar Universiti Malaya yang dikatakan pecah pintunya itu. Bolehkah satu ruang kekosongan jiwa diisi dengan satu kekosongan yang lain? 

Di sinilah letaknya percanggahan pendapat di antara satu pihak yang berpendirian bebas dengan pihak lain yang tidak bebas pendiriannya kerana mereka ada kitab rujukan sendiri tentang maksud kekosongan jiwa dan ubat penawarnya itu. Polemik ini akan berterusan sehinggalah BA memerintah, sehingga BA jatuh dan bangkit pula BA yang lain. Di masa yang sama, pihak yang paling berpengaruh dalam BA itulah yang bakal menentukan corak permainan semasa di ketika polemik itu berterusan diperdebatkan. Itulah pihak yang akan tersenyum lebar kerana puaknya menang. 

Memang pun mereka berhak tersenyum, kerana usaha mereka selama inilah yang telah melahirkan pendokong anti-kegembiraan tersebut. Di manakah golongan pro-kegembiraan selama ini? Mengapa sepi daripada kehidupan kampus? Mengapa tidak cuba menangani pihak yang gemar membenteras kegembiraan itu? Sebenarnya pasukan pelajar pro-kegembiraan tersebut telah masuk ke dalam kampus, bergembira di situ sebentar, keluar daripada kampus dan terus bekerja di luar di samping terus bergembira. Sedangkan pasukan anti-kegembiraan telah masuk dan keluar kampus dan kesedihan mereka masih belum selesai, kerana selagi mereka berada dalam arena politik pembangkang yang paling berpengaruh hari ini, selagi itulah hati mereka tidak akan mampu bergembira. Mereka punya misi jangka panjang yang mungkin sukar dimengertikan oleh pemikir bebas tanpa kitab atau rujukan yang khusus. 

Sebenarnya Islam itulah yang telah menjadi sumber inspirasi dan kekuatan baru samada kepada aktivisme pelajar Muslim maupun parti politik Muslim hari ini. Amat tidak logik untuk mengandaikan bahawa sikap anti-kegembiraan pula yang menjadi sebab mereka itu menjadi pasif dan cuma sensitif kepada persoalan remeh-temeh seperti konsert semata. Ini umpama membuat kajian berasaskan hipotesis palsu kerana pertama, mereka itu bukan pasif dan kedua, sensitiviti mereka itu melampaui isu konsert. Sila imbau kembali betapa kerajaan BN begitu bimbang mengenai penglibatan pelajar di dalam kempen pilihanraya tahun lalu. Mereka sanggup turun padang ke kampung-kampung berkempen untuk PAS/BA! 

Di manakah pasukan pelajar pro-kegembiraan ketika itu? Mungkin ada juga segelintir. Atas dasar yang sama jugalah pemerintah melihat bahawa Islam itulah yang merupakan sumber kekuatan parti seperti PAS. Itulah sebabnya mereka mahu mengharamkan nama Islam daripada parti itu. Jikalau bukan pelajar-pelajar yang hidup dalam dekad 70-an dan 80-an itu (termasuklah beberapa orang pelajar yang pernah di ISAkan) yang menyokong, mendokong dan memimpin PAS hari ini, siapa lagi? 

Jadi kesimpulannya, Islam itulah sumber kekuatan sebenarnya, sedangkan program kegembiraan pula tidak lebih daripada penghalang yang melambatkan proses kekuatan dalaman itu, kalau pun tidak menguburkannya sama sekali. Tulisan ini tidaklah menafikan sumbangan pejuang keadilan dari kelompok lain seperti dari blok sosialis, nasionalis, marxist dan sebagainya. Tetapi apabila kita membicarakan tentang maksiat dan/atau kegembiraan, ia seolah-olah telah menyempitkan pihak-pihak yang berbalah ini kepada hanya dua kumpulan -- Islamis dan bukan Islamis. Golongan pertama berdiri sendiri dan yang kedua biasanya akan bergabung tenaga. Golongan pertama juga yang mampu bertahan bahkan lebih proaktif dan energetik walaupun selepas 50 tahun berjuang, sementara yang kedua pula sering tenggelam timbul dalam lipatan sejarah. 

Mungkin sudah tiba masanya bagi golongan kedua untuk melakukan muhasabah diri dan cuba mengerti maksud kegembiraan dan sempadan-sempadannya dari sudut pandangan golongan pertama sehingga mereka mampu muncul sebagai satu kuasa yang paling kuat dan disegani di tanahair -- dahulu, kini dan selamanya. 

Salam, HC 
honciv@yahoo.com

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia