MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

Paku Terbaru Buat Keranda Ayah Wang ?

Oleh IBRAHIM MUDA

IKLAN TERBARU: Dapatkan sekarang dipasaran ISU: Mengapa Takut Haji Hadi? Pada harga RM3.50 senaskah. Eksklusif dari Editor Tarmizi Mohd Jam. Hubungi emeil HYPERLINK "mailto:isu_malaysia@hotmail.com" isu_malaysia@hotmail.com bagi mendapatkan keterangan lanjut dan buat pesanan. Pengedar dikehendaki segera! Sila lihat promosi pada hampir semua laman web 1, 2 & 3 Ogos 2000 atau kunjungi Laman Jebat 2020. Artikel ini dipetik dari makalah ini!

CERITA yang didengar, dengar selepas pilihan raya umum ke 10, bahawa jika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad tidak bertanding lagi dalam pilihan raya lalu, BN mungkin dapat diselamatkan.

Kisah ini diceritakan oleh orang-orang Umno, yang dulunya "makan di tapak tangan" Wan Mokhtar yang juga mereka panggil Ayah Wang. Lebih menarik, semua "regu" Ayah Wang seperti Dr. Tengku Mahmood Mansor dan Ahmad Said dikatakan "menjadi faktor tambahan" menyebabkan Umno Terengganu begitu mudah tersembam ke bumi.

Ada dakwaan mengatakan, Tun Daim Zainuddin menceritakan dia sudah mengarahkan Wan Mokhtar "bersara", iaitu tidak bertanding lagi. Khabarnya, Wan Mokhtar bersetuju di depan Daim tetapi kemudiannya, secara senyap-senyap dia berjumpa dengan Dr. Mahathir, merayu untuk terus kekal setahun dua lagi. Menurut dakwaan yang tidak diketahui benar atau tidak itu, rayuan itu berserta airmata. Dan, seperti yang diceritakan, Dr. Mahathir memang mudah lembut hati dengan orang yang menangis di depannya. Tetapi, kalau mereka menangis di belakangnya, tidak pula diketahui untung nasib mereka.

Hari ini, cerita kononnya Tun Daim "kecewa" dengan Wan Mokhtar yang di depannya cakap lain dan dibelakangnya cakap lain, dan kecewa dengan persetujuan Dr. Mahathir menerima semula "permintaan terakhir" Ayah Wang tersebar dengan meluas.

Cerita-cerita ini dibawa dari mulut ke mulut oleh Ahli-ahli Parlimen Umno yang pernah mengadakan perjumpaan dengan Daim ketika Persidangan Parlimen yang lalu.

Terpulang kepada tukang bawa cerita, ada yang menyampaikan secara mengejek dan ada juga yang bercerita kononnya Umno perlu belajar dari apa yang berlaku di Terengganu dan sikap Ayah Wang yang tidak pernah puas-puas itu.

Seorang ketua Umno bahagian di Kuala Lumpur secara bergurau membuat soalan teka-teki kepada kawan-kawannya. Siapa dapat jawab, dibayar harga makan tengahari untuk mereka. Soalannya; "Siapakah yang memerintah paling lama selepas Fidel Castro (Cuba) dan Presiden Suharto (Indonesia)?"

Jawapannya ialah Wan Mokhtar Ahmad, Menteri Besar Terengganu. Biasanya jawapan itu akan disekalikan dengan gelak ketawa yang mengejek.

Hari ini, Umno Terengganu sudah "ditalqinkan". Segala kesalahan dibebankan di bahu Ayah Wang seorang, kononnya, dia tidak mahu memberi peluang kepada Yusof Noor dan orang-orang lain yang difikirkan mampu. Ada cerita, yang tidak diketahui benar atau tidak, Ayah Wang memang ada cadangan hendak berundur, tetapi tidak diketahui bila tarikhnya (seperti ada persamaan dengan cadangan persaraan Dr. Mahathir).

Beberapa ketua Pemuda Umno di Terengganu secara terang-terangan "menyerang" Wan Mokhtar dan mencadangkan dia tidak lagi menjadi pemimpin Umno negeri. Serangan itu nampaknya berjaya apabila Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik menggantikan Wan Mokhtar. Jawatan timbalan pengerusi yang sebelum ini disandang Yusof Noor diserahkan kepada Idris Jusoh. Yusof Noor adalah Ketua Umno Bahagian Besut manakala Idris pula ada timbalannya di bahagian itu.

Jawatan Setiausaha Perhubungan diserahkan kepada Ismail Said. Sebelum ini jawatan itu disandang Dr. Tengku Mahmood.

Apa yang menghairankan Wan Mokhtar yang berusia 68 tahun sering dikatakan "sudah tua" untuk mengemudikan Umno tetapi Dr. Mahathir yang sudah menjangkau usia 75 tahun, tidak ada siapa pun yang mengatakan dia sudah tua dan sepatutnya sudah bersara.

Biasalah! Dalam Umno dan "budaya" menghina orang yang jatuh sudah mendarah daging. Sesiapa sahaja jatuh hari ini, kalau ada yang mempertahankan orang yang sudah jatuh (atau dijatuhkan), mereka dianggap "salah". Kalau boleh dipecat (atas cadangan) dari menjadi ahli Umno.

Itulah sebabnya, hari Anwar Ibrahim dipecat, 2 September 1998, dalam keadaan Anwar masih ahli Umno tiada siapa yang berani menziarahinya kecuali seorang berdua. Sesiapa yang menziarahi Anwar sering diburu panggilan; "Eh tak apa ke?", "Eh…kalau PM tahu macam mana?", "Kenapa you pergi jumpa Anwar?", "Habislah you…kenapa you pergi."

Begitulah yang berlaku pada Wan Mokhtar hari ini. Ramai yang lihat, ketika Wan Mokhtar turut sama mengiringi calon BN di dalam pilihan raya kecil Dun Sanggang, di Pahang tidak lama dahulu, dia kelihatan seorang diri. Tiada siapa menghampirinya mungkin kerana dia bukan lagi Menteri Besar dan dia bukan lagi orang yang berkuasa.

Ayah Wang mungkin tidak memerlukan sesiapa menghampirinya tetapi "pandangan tidak manis" ini berlaku selepas dia sudah "hilang segala-galanya". Di kalangan penyokong Umno, mereka sudah dengar cerita Wan Mokhtar akan berundur dari kerusi Menteri Besar Terengganu sejak 1990 lagi. Waktu itu antara nama yang disebur layak menggantikannya ialah Abu Bakar Daud.

Selepas itu, dalam tahun 1995, Yusof Noor yang ketika itu menjadi Menteri Perusahaan Awam dipindahkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN)Kampung Raja. Seperti kelazimannya, apabila Menteri dipindahkan bertanding ke peringkat DUN, dialah bakal Menteri Besar.

Rupa-rupanya itu dulu. Dalam era Dr. Mahathir, itu semua boleh berubah. Ada cerita, yang kesahihannya tidak dapat dibuktikan memberitahu, Yusof Noor dipindahkan ke kerusi DUN kerana dia gagal sebagai Menteri. Bersama-samanya dipindahkan ke peringkat DUN dari kerusi Parlimen ialah Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Napsiah Omar.

Bagaimana pun Sanusi Junid yang ketika itu menjadi Menteri Pertanian berjaya menjadi MB Kedah, selepas berhempas pulas berusaha mengenepikan Osman Aroff.

Pilihan raya 1999, Yusof Noor membawa semula kekecewaannya yang tidak dapat menjamah kerusi MB Terengganu ke peringkat Parlimen. Idris Jusoh yang ketika itu Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dipindahkan bertanding peringkat DUN. Dalam masa yang sama Ayah Wang terus mahu bertanding lagi di kawasannya, DUN Chukai.

Segala-galanya sudah terjawab. Tetapi, isunya bukan kerana Ayah Wang seorang. Pas membuat persediaan sejak sekian lama. Hanya nasib tidak menyebelahi mereka. Hanya, selepas isu Anwar Ibrahim, selepas Ayah Wang yang sepatutnya berundur tetapi masih enggan, selepas Yusof Noor gagal menjadi MB dan tidak upaya memikul tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia, selepas berpecah dua puak di dalam Umno Terengganu, satu dengan Ayah Wang dan satu lagi dengan Yusof Noor dan selepas-selepas-selepas… barulah laluan PAS menjadi mudah.

Apakah PAS hanya mampu berkuasa sepenggal? Atau PAS akan bertambah kuat selepas ini? Atau Umno Terengganu boleh sahaja dikafankan seterusnya ditalqinkan akan terjawab sejauh mana Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membawa perubahan yang diharap-harapkan.

Penyokong PAS dan penyokong Umno sebenarnya "sudah bertapak" di Terengganu. Yang menjadi penentu menang atau kalah sesebuah parti, seseorang calon banyak bergantung kepada "pengundi atas pagar". Faktor undi atas pagar ini tidak boleh diketepikan langsung, kerana bukan semua pengundi berminat menjadi ahli kepada mana-mana parti siasah.

Tuan Guru Haji Hadi sendiri pernah tewas di kerusi Parlimen dalam tahun 1986. Rahman Bakar yang mengalahkannya di Parlimen Marang digelar giant killer ketika itu. Namun, dia tidak mampu mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya berikutnya apabila tewas di tangan Tuan Guru Haji Hadi. Sekali lagi Rahman diberi peluang dalam pilihan raya umum 1995 tetapi masih gagal.

Sebelum pilihan raya umum ke 10 yang lalu, beberapa kenalan memberitahu, majlis-majlis ceramah anjuran Umno memang jelas tidak mendapat sambutan. Tokoh-tokoh besar yang didatangkan khas untuk menghentam Anwar Ibrahim hanya bersarah di depan kerusi yang kosong kerana kekurangan audien.

Tetapi, para pemimpin Umno Terengganu menganggap perkara ini sebagai, "biasalah. Tapi mereka sokong kita."

Maknanya, mereka (papa pemimpin Umno di peringkat cawangan dan bahagian) enggan mengakui gelombang kebencian pengundi kepada Umno sudah bertambah kuat. Seorang Senator dari Terengganu yang ditemui di KLIA ketika sama-sama mahu berangkat keluar negeri memberitahu, politik Terengganu berbeza dengan politik negeri lain. Walaupun PAS nampak kuat tetapi mereka tidak akan dapat memerintah selagi Ayah Wang ada di situ!

Secara kebetulan Senator itu yang habis tempoh perlantikannya sebagai Senator turut terpilih bertanding di peringkat DUN. Dia tewas dan selepas tewas, ketika ditemui di satu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuala Terengganu tidak lama dahulu memberitahu, "PAS tabur fitnah. PAS main politik ugut. PAS itu dan PAS ini menyebabkan Umno kalah."

Calon-calon Umno tewas dengan majoriti yang cukup besar. Sukar bagi sesiapa untuk mengatakan peluang untuk menang semula cukup mudah. Tahun 2004 Umno akan kalah lebih teruk lagi. Perebutan menjadi calon juga menjadi salah satu faktor menyebabkan ada calon-calon Umno yang akan hilang deposit.

Walaupun bukan Wan Mokhtar yang masih mengemudikan Umno Terengganu tetapi, tiada siapa di Terengganu yang boleh membawa "lampu Aladdin" untuk mencari kuasa ghaib mengalahkan PAS.

Kalau bercakap dengan saki baki pemimpin Umno Terengganu yang masih ada, mereka masih bercakap besar, tidak mahu mengaku kalah dan sering memburuk-burukkan antara satu dengan lain. Kononnya, dia seorang sahaja yang terbaik di Terengganu dan dia sahaja yang boleh mencorakkan Terengganu selepas Wan Mokhtar.

Suku sakat Wan Mokhtar yang masih belum terdengar bacaan talqin akan berusaha, sekurang-kurangnya mempertahankan maruah Wan Mokhtar. Bagi mereka, Umno perlu kalah sekali lagi, sekurang-kurangnya selepas ketiadaan Wan Mokhtar pun, tiada siapa yang mampu menandingi rekod yang pernah dicipta oleh bekas Menteri Besar paling lama dalam sejarah Umno di Malaysia.

Ihsan Terbit Semula Edisi Internet Oleh Editor, Tarmizi Mohd Jam

 

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

Jumlah pengunjung harian dikira mulai dan tamat setiap jam 4 petang waktu Malaysia