Kemenangan PAS menguasai satu lagi negeri, Terengganu; mengejutkan dunia. Perdana
Menteri, Mahathir Mohamad tergamam dengan berita tumpasnya Wan Mokhtar dan kerajaan
pimpinannya. Majalah Asiaweek Jun 2000, pula menyifatkan kemenangan PAS menawan
Terengganu itu, sebagai bukti pengaruh Haji Abdul Hadi Awang mampu menggugat kekuasaan
Dr. Mahathir, pada masa depan.
Majalah yang amat berpengaruh itu, menyifatkan kewibawaan Haji Hadi menundukkan Wan
Mokhtar di Terengganu adalah isyarat jelas kepada pengaruh Mahathir yang kian merudum.
Munculnya, Haji Hadi menguasai negeri baru, yang kaya dengan minyak, pastinya akan
menebalkan kepercayaan rakyat terhadap pengaruh anak jati Rusila, Marang ini. Usaha
gigih beliau, memberikan keyakinan kepada rakyat tentang keperluan bernegara secara
Islam, akhirnya menjadi kenyataan dan berjaya di Terengganu; beliau mengetuai sebuah
kerajaan yang berdaulat. “Dalam masa lima hingga sepuluh tahun akan datang, menurut
seorang Diplomat barat di Kuala Lumpur, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mampu muncul
sebagai tokoh terpenting di negara ini: Sekiranya PAS menang nanti, MB Terengganu ini
dilihat paling layak menerajui Malaysia,” ulas majalah antarabangsa Asiaweek dalam
laporan kulit depannya.
Ini tidak bermakna, puja dan puji majalah asing
itu, akan meningkatkan keyakinan PAS dan Haji Hadi terhadap media Barat yang penuh
agenda. Namun begitu, komen Asiaweek yang sejak mula mengikuti perkembangan politik
Haji Hadi di negara ini, tidak mungkin boleh ditolak mentah semata-mata ianya media
asing yang prejudis. Majalah inilah juga yang telah “memanaskan” Mahathir apabila
cabaran Haji Hadi untuk berdebat dalam apa sahaja isu termasuklah isu kafir-mengkafir,
berjaya memerangkap Perdana Menteri itu menyahut cabaran. Tetapi malangnya, ia
berakhir dengan pembatalan debat atas sebab-sebab “ketakutan” Mahathir dan Umno.
Kini sekali lagi, Haji Hadi mengejutkan dunia
dengan kemenangan manis menguasai Terengganu. Asiaweek turut membuat sorotan. Wan
Mokhtar bersama tokoh gagah Umno yang lain tumbang, termasuklah Yusuf Noor, Idris
Yusof, Tengku Mahmood Mansor dan Abu Bakar Daud. Haji Hadi yang sering dicemuh oleh
pemimpin Umno, kini mengepalai kerajaan Negeri Terengganu. Wan Mokhtar gagal menyelami
perkembangan mutakhir kekuatan PAS negeri itu, setelah Haji Hadi dan pimpinan lainnya,
mendiamkan diri dalam mengatur strategi dan plan tindakan merampas negeri itu dari
tangan Wan Mokhtar.
Tan Sri Abdul Samad Idris pernah menyifatkan
Haji Hadi sebagai ulama muktamar sekalipun dalam usianya yang muda, kira-kira 15 tahun
dulu. Rencananya dalam Utusan Malaysia itu turut menelah, kehadiran Haji Hadi bersama
PAS dianggap sebagai suatu fenomena dan tarikan yang gagah. Panggilan Tuan Guru Haji
Abdul Hadi adalah panggilan yang sangat popular sehingga dalam DUN Terengganu, ada
kalangan ADUN Umno yang tersasul dengan memanggilnya “Tuan Guru” padahal, mereka
jenuh mengejek beliau dengan penuh benci, dengan gelaran “Hadi” sahaja.
Lebih teruk dari itu, Datuk Abu Bakar Daud pada
tahun 1986 pernah menyifatkan Haji Hadi sebagai “Hitler” berdasarkan laungan
“Allahuakbar” ketika berucap dan gaya mengangkat tangan, yang disamakan dengan
pemimpin Nazi, Jerman itu. Lebih parah lagi, Datuk Radzi Sheikh Ahmad pula mengaitkan
kemunculan Haji Hadi sebagai “Nabi”. Lain pula, tanggapan Ghazalee Abdul Rahman,
bekas Naib Ketua Pemuda Umno Terengganu. Beliau menyifatkan Haji Hadi sebagai “Ulama
Ganjil” kerana bebas mengeluarkan fatwa terutamanya mengenai “Amanat Haji Hadi”.
Ini semua, adalah caci maki mereka terhadap Haji Hadi atau panggilan mesra anak
Kampung Rusila sebagai Ayah Chik, yang gemar berkuda pada masa lapangnya.
Dalam sejarah PAS, bukan tidak pernah muncul
tokoh yang berkarisma dan lantang suaranya menyanggah Umno dan BN. Datuk Asri Muda,
Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhamad, adalah antara pejuang yang
digeruni oleh Umno pada zamannya. Namun begitu, ketokohan Haji Hadi terdapat kelainan.
Haji Hadi popular di dalam dan di luar parti sehingga ada mereka yang memusuhi PAS
menyatakan: “Haji Hadi cakap benar…betul...baik...hanya orang PAS lain sahaja yang
tidak baik.” Itulah gambaran popularitinya.
Haji Hadi yang memiliki hobi suka menjala,
mengail dan ke laut; adalah seorang ulama yang telah menggegarkan politik negara sejak
kepulangannya ke tanahair setelah mendalami ilmu agama di Universiti Madinah dan Universiti
Al-Azhar, Mesir. Dengan berbaju Melayu warna kelabu dan berserban putih, Haji Hadi
tiba ke Istana Maziah jam tiga petang bersama beberapa pimpinan PAS Terengganu untuk
mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar dan Exco. Bermula dari tarikh keramat 2
November 1999 itulah, Haji Hadi bergelar YAB Menteri Besar Terengganu yang baru,
menggantikan Wan Mokhtar.
Pengarang akhbar dokongan Umno, BEBAS, Yahya
Ismail adalah antara pengamal media yang cuba menyeret Haji Hadi ke kandang orang
salah, sebaik tumbangnya Umno. Tabloid Bebas mendakwa Haji Hadi mengetepikan
undang-undang dan gopoh dalam memimpin kerajaan negeri. Haji Hadi dituduh
menyalahgunakan kuasa sehingga sanggup mengistiharkan cuti umum, menghapuskan tol di
Jabatan Sultan Mahmood dan memansuhkan cukai pintu untuk rakyat. “Apakah Haji Hadi
boleh dianggap ulama yang bijak memerintah negeri? Dengan peristiharan itu, kerajaan
negeri telah rugi berjuta-juta ringgit?” sindir tabloid Bebas memukau rakyat jelata.
Dalam sidang media pertama sebagai Menteri
Besar, Haji Hadi menegaskan tentang hubungan kerjasama Kerajaan Negeri dengan Kerajaan
Pusat. Katanya, kerjasama ini dibuat atas sifat kekeluargaan bagi memenuhi
tanggungjawab bersama. “Wawasan kita daripada dunia hingga akhirat,” jawab Haji
Hadi ringkas bila ditanya tentang wawasan kerajaan baru PAS. Bagi Haji Hadi, PAS tidak
pernah memperalatkan agama untuk mendapatkan undi. Sebaliknya, PAS bercita-cita untuk
menunaikan tanggungjawab menegakkan Islam menjadi agama yang memerintah dan bukan
agama yang ken