MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

KUASA YANG MEMPUNYAI KUASA

Ungkapan 'Kuasa hanyalah sementara dan kebenaran itu adalah kekal' dari Zainol Zakaria Naib Presiden Parti KeADILan di Taman Melewar malam tadi, amat menarik hati saya.   

Mereka yang diberi kuasa oleh ALLAH SWT haruslah memikirkan ungkapan ini sedalam-dalamnya. Kuasa yang digunakan dengan adil dan saksama mempunyai kuasa untuk mencipta kasih sayang dan ketaatan tulin terhadap yang mempunyai kuasa dan seterusnya menjurus arah keselamatan dan kesejahteraan sejagat.   

Kuasa yang disalahgunakan yang berpaksikan hawa nafsu dan bersifat zalim juga mempunyai kuasa. Tetapi kuasa itu adalah kuasa untuk mengundang kebencian, malu dan permusuhan yang berpanjangan yang boleh memporak-perandakan sistem kekeluargaan dan seluruh masyarakat. Walau apa juga coraknya kuasa itu, ianya hanyalah bersifat sementara dan akan tewas kepada kebenaran dan kebenaran itu adalah suatu yang hakiki dan kemunculannya dipastikan oleh ALLAH sendiri. 

PDRM DAN KUASA   

PDRM diberi kuasa berlunaskan undang-undang tertentu yang hardcore businessnya ialah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Namun kuasa PDRM tidak pula meliputi kuasa hak asasi manusia.   Tetapi di akhir-akhir ini PDRM begitu ghairah melanggar kuasa itu. PDRM tidak lagi dilihat menjalankan hardcore business yang diamanahkan kepada mereka.  

Terlalu banyak tindakan polis kini telah menghuruharakan seluruh keyakinan dan kesejahteraan rakyat.   Mengapa ini berlaku? Kerana rata-rata polis sudah tidak lagi berpegang kepada etika atau prinsip kepolisan itu sendiri. Jarang sekali mereka bersikap profesional.  

Kuasa yang ada dijuruskan untuk melaksanakan segala titah perintah seorang Perdana Menteri Tua yang sudah nyanyok dan bukannya untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat. Kini atas kehendaknya, saban hari, rakyat  ditindas dengan kejamnya oleh PDRM yang bertopengkan ISA dan AKTA POLIS yang zalim itu. 

RAKYAT ADALAH PELANGGAN    

Sudah lumrah, setiap jabatan kerajaan biasanya di mestikan mempunyai Piagam. Dan piagam itu diwujudkan untuk memberi khidmat yang terbaik kepada pelanggannya iaitu rakyat. Jadi sedarkah PDRM bahawa rakyat itu adalah PELANGGAN mereka? Dan pelanggan itu mestilah dihormati dan dilayan dengan sehabis baik.    

Tambahan pula gaji mereka dibayar dengan wang rakyat dan bukannya dari poket Mahathir. Kalau ditakdirkan Barisan Alternatif mentadbir negara kelak, gaji PDRM pun masih tetap dibayar oleh rakyat.   

Jadi mengapa polis bersikap samseng dan memusuhi rakyat? Mengapa polis bersikap seperti pagar makan padi dan sokong membawa rebah? Adakah itu sememangnya tuntutan polis selama ini? Tahukah kalau tiada rakyat maka tiada kerajaan? Begitu juga kalau tiada rakyat maka tiada polis?    

Kita tidak meminta yang bukan-bukan dari PDRM. Kita mahu mereka bersikap adil dan saksama. Yang salah tetap bersalah dan perlu di hukum waima Perdana Menteri sekalipun. 

KUASA YANG MEMALUKAN   

Seperti yang telah disebutkan tadi, kuasa yang zalim mempunyai kuasa yang mengundang kebencian dan permusuhan. Begitu juga kuasa yang disalah guna boleh memalukan seperti yang sedang berlaku kepada Mahathir dan Parti BN, Badan Kehakiman, Badan Agama Islam, Badan Pencegah Rasuah, PDRM dan dll. Rakyat kini membenci polis kerana:

  • Polis menggunakan kuasa mereka dan bertindak zalim terhadap rakyat. Akta polis dijalankan dengan sesuka hati mengikut arahan sesuatu pihak sahaja iaitu Mahathir Mohammad.   
  • Rakyat merasa sudah tidak selamat lagi berada di dalam pengawasan polis. Apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri, menjadi igauan seluruh rakyat negara ini.
  • Penyalahgunaan kuasa oleh bekas KPN Rahim Nor amat memalukan negara. Begitu juga dengan berita kematian beberapa orang dalam tahanan polis, sungguh amat mengerikan rakyat.   
  • Polis telah menafikan hak asasi rakyat untuk bersuara dengan tidak mengeluarkan permit untuk berhimpun secara aman walaupun Perlembagaan dan SUHAKAM membenarkannya. 

Dan sejak dua hari yang lalu, polis beruniform berkeliaran dengan banyaknya, di Markas PAS Taman Melewar semasa ceramah BA diadakan. Kalau dulu, kehadiran PDRM sebagai penyeri majlis, tetapi hari ini mereka dianggap penyemak yang menjijikkan.   

Polis sendiri membelot dan menjadi musuh dalam selimut kepada rakyat dengan menyuntik elemen-elemen yang tidak sihat seperti kehadiran SB untuk menghuru-hara dalam setiap perhimpunan yang aman tanpa senjata. Mereka juga sering memutar-belitkan kenyataan dan membuat tuduhan yang palsu yang dipaksa ke atas saksi-saksi bagi menjustifikasikan sesuatu kes. 

Contoh yang hebat ialah Sukma dan Munawar dalam kes Anwar Ibrahim.   Cara polis memperlakukan rakyat seperti pariah yang sering di pukul, ditendang, diterajang dan disiram dengan air asid yang mengazabkan seolah-olah rakyat tiada mempunyai hak langsung dalam negara tumpah darah mereka. Bukan itu saja rakyat sering diugut, ditakut-takutkan seolah-olah polis mempunyai kuasa mutlak dan boleh berbuat apa saja ke atas seseorang.    

Tindakan undang-undang dilaksanakan dengan pantas, oleh PDRM, bila mana rakyat yang lemah terlibat, tetapi jenayah dan salah laku orang yang memegang tampuk kuasa dan suku-sakat mereka, walaupun serius dan berat, langsung tiada tindakan. Contoh yang terbaharu, iaitu aduan rakyat terhadap salah guna kuasa Mahathir Mohamad seperti yang dinyatakan secara bersumpah di dalam mahkamah oleh Datuk Shafie Yahaya, bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah, sampai sekarang apa tindakan PDRM? Apa sudah jadi? Habuk pun tak ada.

Imej polis juga luntur kerana dikatakan terlibat dengan rasuah, melindungi premis perjudian, pelacuran, dadah dan disko-disko haram. Semua ini dinilai oleh rakyat tanpa perlu dihasut oleh mana-mana pihak. Kuasa yang digunakan secara tidak adil dan senget, membuahkan rasa muak dan benci rakyat terhadap PDRM walaupun tidak semua polis yang bersikap demikian. Tetapi disebabkan seekor kerbau membawa lumpur..habis semuanya terpalit. 

EVERY DOG HAS IT'S DAY !     

Kita hendak mengingatkan pihak PDRM, bahawa kuasa itu hanya sekejap, tetapi kebenaran itu kekal. Jika mereka sanggup membelakangkan kebenaran, berlaku kejam dan menzalimi orang lain (rakyat) demi kasih sayang kepada anak isteri dan  untuk menjaga periuk nasi supaya mereka tidak kelaparan, maka begitulah juga kasih dan sayangnya ibubapa-ibubapa yang lain kepada anak-anak mereka yang dibelasah dan aniaya itu. Cuma prinsip hidup dan cara memperolehi rezeki itu agak berlainan.    

Jika PDRM terus juga menjalankan agenda kotor Mahathir itu, maka tunggulah hari di mana, mereka pula akan menangis tidak berlagu, bila mana musibah menjelang pada keluarga akibat dosa dan kezaliman yang dilakukan. Dan sumpah serta doa ayah bonda, kaum keluarga dan orang yang dizalimi akan dimakbulkan oleh ALLAH SWT insya-ALLAH.    Dan itulah realiti hidup. Hidup ibarat roda yang berputar....remember, every dog has it's day! I WONDER.....   

Hari ini polis sekali lagi penyekat perjalanan rakyat, (suatu lagi pencabulan hak asasi manusia) dengan menyekat jalan-jalan, tentunya arah ke Dataran Merdeka. Begitu juga sekatan-sekatan jalan raya dan pemeriksaan yang ketat mungkin dilakukan sempena perhimpunan yang dirancang oleh rakyat yang menuntut keadilan.   

I wonder how they 'got the gut' to face the public, setelah mereka menodai kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Kelmarin, Datuk Kamaruddin Ali KPWP, juga tanpa segan silu atau rasa bersalah, telah mengeluarkan kenyataan supaya rakyat menghormati dan mematuhi undang-undang.   

Bagaimanakah agaknya rakyat hendak menghormati undang-undang sedangkan pihak polis sendiri telah terang-terang mencabuli dan tidak bertindak mengikut kehendak undang-undang?   

Dan bagaimanakah pula pihak polis akan melayan PELANGGAN mereka pada hari ini, Jumaat 4 Ogos 2000?

Cicit Tok Gajah (CTG) 
4/8/000

Nota webmaster: Memang benar kata-kata anda. Lihatlah saja imej polis hari ini. Yang membunuh, merogol, memeras ugut dan merompak seringkali dikaitkan dengan polis. Pembunuhan penyanyi Along, rompakan dan peras ugut oleh bekas polis di Selayang adalah beberapa contoh yang paling terbaru. Suatu waktu dulu anggota polis tembak pegawai pencegah maksiat yang hendak menangkapnya berlaku di Kedah. Banyak lagi contoh untuk diketengahkan. Sebenarnya polislah yang menjadi angkara kejahatan dan punca ketakutan tanpa sebab rakyat marhaen. Persoalannya, mengapakah anggota-anggota polis bersikap sedemikian? Inilah yang sedang dicari jawapannya. Namun yang jelas jawapan paling dekat ialah tarbiyah yang bukan berlandaskan keagamaan adalah sebab utama anggota polis berkelakuan demikian, seperti pagar yang memakan padi!

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com