MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

ANTARA DUA DARJAT

Apa sudah jadi dengan negara kita Malaysia.   Pimpinannya Islam.   Malah sering kedengaran bahawa negara ini adalah sebuah model negara Islam yang berjaya.   Berjaya dari segi apa.  Di mana bukti keIslamannya.   Di dalam negara Islam ini Al-Quran hanya sekadar dilagukan di dalam pertandingan membaca (musabaqah) Al-Quran.   Tidak ada tempat bagi Al-Quran dalam menentukan dasar perlembagaan negara.   Lekeh sangatkah kitab Al-Quran kepunyaan Allah di dalam negara yang mengaku Islam ini.  Hadith diperlecehkan.  Rasulullah dipermainkan. Bukan calang-calang orang yang mempertontonkan semua ini.  Seluruh rakyat tahu akan pemikiran pemimpin nombor wahid dalam negara Islam ini.  Suara ulama yang ikhlas dan berkata benar dalam menyampaikan ugama Allah ini dipadam. Umat Islam yang lalai dan hidupnya dipenuhi dengan maksiat, noda dan dosa dibela semahunya.  Peristiwa penangkapan peserta ratu cantik Islam dan yang terbaru,  usaha JAIS membenteras maksiat yang bersangatan di restoran dan pusat hiburan the Ship boleh dijadikan santapan pemikiran umat Islam yang masih lagi waras untuk menilai betapa Islamnya negara kita ini.  Bila difikirkan semua ini,  kita akan bertanya, negara Islam kita ini berpandukan kitab Al-Quran dan Hadith mana.   Sedangkan kita semua maklum, hanya satu kitab Al-Quran yang dijamin oleh Allah akan ketulinannya yang akan menjadi petunjuk, membawa khabar gembira bagi orang-orang yang beriman dan memberi peringatan akan azab yang pedih bagi orang-orang yang kufur.  

Sungguh malang, di kala orang-orang Islam berpusu-pusu ke masjid untuk mendekatkan diri kepada Allah, kembali berjinak-jinak dengan ajaran Islam yang syumul melalui kuliah-kuliah agama, syarahan, forum dan sebagainya bagi mencari ilmu untuk memantapkan iman, membersihkan aqidah dan menyempurnakan amalan, negara kita yang Islam ini menghalang itu semua. 

Apa nak jadi dengan kamu wahai menteri yang bersemadi di mahligai Kementerian Dalam Negeri. Apakah dosa bapak kamu yang orang lain menyanjungnya sebagai ulama terbilang mempunyai anak seperti kamu. Mana perginya ilmu-ilmu Islam yang ditanamkan oleh bapak kamu dan ditekuni olehmu di puncak menara gading satu waktu dulu. Ingatlah wahai saudara Abdullah Badawi, tidak ada manusia yang bisa menongkat langit.  Sampai masa dan ketika, malaikat Izrail akan datang menjemputmu. Di kala itu terputuslah segala amalan. Segala pangkat, harta, isteri dan anak pinakmu akan kau tinggalkan.  Hanya yang berguna buatmu pada masa itu adalah amalanmu. Apakah kau sudah bernekad untuk ke neraka dengan sedikit habuan dunia.

Ingatlah wahai saudara Abdullah Badawi, pangkat, harta, isteri dan anak-pinak hanyalah ujian dari Allah.  Beruntunglah kamu jika kamu berjaya mengemudi hidupmu atas dasar taqwa dan mencari redha Allah.  Tuhan yang telah menciptakan kamu dari air benih. Kemudian dengan rahmat-Nya, kau sekarang menjadi manusia terbilang, disanjung dan dipuja oleh sebilangan manusia di negeri bertuah ini. 

Ingatlah wahai saudara Abdullah Badawi, Islam itu syumul.  Tidak ada pengasingan.  Politik tidak terkecuali.  Apa saudara sudah lupa itu semua.  Sejak kebelakangan ini, kau kelihatan sungguh rakus mengecam, menuduh, menangkap dan memfitnah insan-insan yang tidak berdosa atas nama politik. Makin hari kau menjadi semakin angkuh dengan pangkat dan kuasa pemberian Allah. Apakah ada undang-undang lain di sisi Allah untuk orang-orang politik seperti kamu. Persetankan undang-undang bikinan manusia yang dipraktikkan di bumi bertuah ini. Ia sudah teruk dinoda oleh tangan-tangan durjana. Keadilan sudah mati. Akan tetapi ingatlah wahai Abdullah bin Badawi, Allah itu Maha Adil. Janji Allah itu benar. Alam Barzakh itu benar. Hari Akhirat itu benar. Peristiwa di padang Mahsyar itu benar. Hisab itu benar. Mizan itu benar. Neraka itu benar. Syurga itu benar. Pada hari itu tidak ada lagi pembohongan. Tidak ada lagi saksi palsu. Tidak ada lagi tawar-menawar. Segala anggota badan kita akan berkata dengan izin Allah menjadi saksi. Tingkah lakumu sekarang ini memungkinkan kau dihumban ke neraka. Cuba kau berfikir dan renungkan dari sudut hati kecil mu, bukankah insan-insan yang kau aniaya itu sebahagiannya adalah insan yang ikhlas kepada Allah.  

Apalah salah dan di manakah dosanya seorang ustaz yang mengajar dan mengajak anak muridnya supaya bertaqwa dan takut kepada Allah. Menjunjung segala perintah-Nya dengan ikhlas dan meninggalkan larangan-Nya dengan hati yang penuh sedar dan takut. Apakah kau sudah tak peduli lagi dengan dosa dan pahala. Kenapakah layananmu keras kepada golongan yang cenderung kepada mencari keredhaan Allah. Sedangkan golongan pemaksiat, golongan sesat dan menyeleweng kau bela. Apa istimewanya seorang artis di kelab malam. Apa lebihnya golongan yang memperkecilkan peranan Rasulullah. Tidakkah golongan ini yang akan memesongkan akidah umat Islam. Apakah pula kayu pengukur yang kau gunakan untuk mentakrif sesuatu golongan itu sesat dan membahayakan keselamatan negara. Golongan Al-Arqam satu masa dulu bebas bergerak berbelas tahun. Akan tetapi kumpulan mu mengistiharkan mereka sesat bila saja organisasi mereka membicarakan soal mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Kumpulan Al-Ma'unah terus kau dan bajingan lain menghukum mereka sesat bila mereka kononnya dilaporkan akan menggulingkan pemerintahan negara. Sedangkan kementerianmu baru saja meluluskan penubuhan pertubuhan itu lebih kurang dua tahun yang lalu. Di manakah logiknya akal mu. Di mana keadilan. Ya Abdullah, di mana Allah, di mana Al-Quran dan Hadith. Apakah itu semua juga telah kau persetankan (nauzubillah) atas nama politik sempitmu.  

Cuba kau bayangkan ribuan anak murid yang dahagakan ilmu ini kecewa.  Peluang mereka untuk menceduk sebutir dua ilmu berguna untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat engkau sekat. Kuliah ustaz Samsuri tidak lain hanya menyampaikan kebenaran Al-Quran dan Hadith. Inilah dua ilmu yang tidak ditekankan di sekolah-sekolah bikinan kalian. Sedangkan kedua-dua sumber ini merupakan tunjang mukmin. Ustaz ini telah dikurniakan Allah satu kebolehan untuk menerang dan menghuraikan ilmu-ilmu agama dengan begitu baik dan menarik. Penyampainnya jelas dan mudah difahami. Kadang kala kuliahnya bisa menyucuk ke hati. Betapa lalainya hati ini pada perintah Allah. Maka tidak hairanlah anak muridnya ramai.

Wahai saudara Abdullah, sungguh malang sekali dendam kesumat politik mu sampai mempersetankan itu semua. Apakah kau lebih rela jika ribuan anak murid ini berkunjung saja ke disko, pusat dangdut dan karaoke yang bersepah di bumi pulau mutiara ini. Tonggang saja botol-botol arak yang berlambak, nikmati sepuas-puasnya layanan wanita-wanita murahan di sana. Biar kami mabuk, biar kami lalai, asalkan hati kami mati, lidah kami kelu, jiwa kami takut dari mencari dan menyatakan kebenaran.  Oleh itu kau akan merasa selamat. Tidak ada manusia yang berani bangkit menegur kebejatan kalian. Menghina agama, membenci kebenaran, menyebarkan fitnah, seterusnya merosakkan masyarakat semuanya. Apa kau ingat Allah itu lalai. Ingatlah wahai Pak Lah, Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Kau bisa bersembunyi dari manusia tetapi tidak dari Allah.

Wahai saudara Abdullah, bebaskanlah saja Ustaz Shamsuri, guru kami. Akta yang kejam itu bukan tempatnya di sini. Kalau ada bukti bawa saja ustaz ini ke mahkamah. Jangan guna akta warisan penjajah yang kejam itu untuk menyelamatkan kerabat politikmu. Ianya mungkin relevan satu masa dahulu bagi membendung pengaruh komunis. Akan tetapi sekarang mereka sudahpun meletak senjata. Tidak ada lagi Parti Komunis Malaya. Kita sekarang sudah maju. Kita sudah berada di alaf baru. Hasil perjuangan UMNO dan kesungguhan rakyat untuk berjaya beserta dengan izin Allah, kita sudah jauh melangkah di hadapan. Akan tetapi kami dahagakan kemajuan atas acuan Islam. Ini adalah kerana kami percaya dengan janji Allah. Hanya Islam yang boleh membawa keamanan dan keselamatan kepada manusia.  Masyarakat kita rata-rata sudah celik ilmu. Maklumat sudah melimpah ke merata tempat. Masyarakat rata-ratanya sudah bisa mencerna sesuatu cabaran, isu dan peristiwa dan memikirkan buruk dan baiknya. Jangan kau ingat kami semua bodoh dan dungu. Lantas kau tutup mulut kami, kau nafikan hak kami untuk mengetahui kebenaran dan kau paksakan diri kami agar menurut perintahmu. Ketahuilah, jenis politik sempitmu sudah tidak relevan lagi.

Wahai saudara Abdullah, bertaubatlah dengan segera. Mintalah ampun kepada Allah. Bersihkan hati yang hitam legam akibat dikarati dosa dengan taubat nasuha. Banyakkan dengan amalan yang soleh untuk membersihkan kembali hati yang hitam itu. Hati yang rosak tidak dapat mengenali Allah. Malanglah tuan punya hati yang sebegini kerana Allah mempunyai neraka. Kejayaan yang sebenar bukannya di ukur dari nikmat dunia. Akan tetapi ia adalah kejayaan untuk kembali kepada Allah dalam keadaan Allah redha. Fikirkanlah, apakah reaksi dan tindakan bapakmu jika dia masih hidup dalam keadaan sekarang. Walau apapun kembalilah kepada Al-Quran dan Hadith, dua sumber tinggalan junjungan besar nabi kita, Muhammad s.a.w. Insya-Allah kita tidak akan tersesat jalan.

MawarMerah

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com