MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

AHLI-AHLI PAS JANGAN TERLALU DAYUS !

Apabila peristiwa rampasan senjata di Gerik berakhir dengan penahanan ahli-ahli Al-Ma’unah di Sauk maka UMNO telah melancarkan satu kempen besar-besaran untuk mengaitkan PAS dengan kumpulan tersebut.

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada PAS oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan media-media milik Barisan Nasional menunjukkan bahawa UMNO begitu “desperate” untuk memburuk-burukkan PAS oleh kerana segala tuduhan itu sama ada tidak berasas atau tidak boleh diterima oleh akal yang waras

Di masa yang sama Kerajaan Barisan Nasional telah mengugut rakyat bahawa mereka “wajib” mempercayai apa yang diucapkan oleh pemimpin-pemimpin mereka dan semua yang disiarkan oleh media-media di bawah kawalan mereka. Seolah-olah ianya bagaikan “fatwa-fatwa” yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Rakyat pula ditakut-takutkan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan yang kononnya akan menjamin “keharmonian dan keamanan”.

Walaupun tidak dilaporkan secara meluas seperti Ops. Lalang dan Ops. Kenari namun pada hakikatnya ramai yang telah ditahan sejak kebelakangan ini. Seperti mana penahanan Ustaz Shamsuri Ahmad baru-baru ini orang-ramai tidak diberitahu dengan terperinci mengapa mereka ini ditangkap. Seolah-olah Kerajaan Barisan Nasional mahukan rakyat menganggap bahawa semua yang ditangkap itu terlibat dengan kumpulan Al-Ma’unah dan sekali-gus berharap rakyat akan merestui tangkapan-tangkapan tersebut.

Keadaan di Malaysia hari ini adalah bagaikan Chile di bawah Pinochet di mana sesiapa yang menentang akan “diambil” di tengah malam atau awal pagi tanpa diberi hak untuk membela diri atau bertemu peguam.

Ceramah PAS pula seperti di Taman Melewar pada 2 Ogos yang baru lalu dikawal dengan rapi oleh anggota-anggota FRU yang lengkap dengan belantan dan pistol.

Walau bagaimanapun masyarakat Malaysia terutamanya orang-orang Melayu telah banyak berubah sejak tercetusnya ledakan reformasi natijah dari pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mereka tetap membuat andaian-andaian dan mereka tetap berhujah walaupun sekadar di kedai-kedai kopi atau di anjung-anjung surau sehinggakan UMNO terpaksa menghidupkan semula isu amanat Haji Hadi demi untuk menyelamatkan kredibilitinya.

Tetapi tidaklah dapat dinafikan terdapat juga mereka yang “termakan” akan ugutan-ugutan ini. Kalau dulunya petah berhujah tetapi sekarang membisu seribu bahasa.

Memang diakui pimpinan PAS di peringkat Pusat bersifat tegas di dalam menjawab segala tuduhan-tuduhan UMNO tetapi terdapat sebahagian besar pimpinan di peringkat akar-umbi serta ahli-ahli biasa yang bersifat “apologetic” di dalam menghadapi tohmahan terhadap PAS.

Pada mereka sekiranya disentuh isu rampasan senjata atau Al-Ma’unah ini di ceramah, kuliah atau taklimat mereka maka mereka akan dicop sebagai ahli atau penyokong Al-Ma’unah dan seterusnya akan “disimpan”. Walaupun di dalam masa yang sama PAS dibelasah dengan sebegitu teruk namun mereka terlalu dayus untuk mempertahankannya oleh kerana hendak menjaga “periuk nasi” mereka. Malah terdapat tok-tok imam yang dahulunya begitu lantang menyokong PAS tetapi sekarang ini untuk berdoa secara terbuka agar umat Islam dan gerakan Islam itu terselamat dari kezaliman dan penindasan atau agar Allah SWT menyelamatkan orang-orang yang dizalimi pun sudah tidak berani.

Memang diakui UMNO sekarang sedang melancar gerak-gempurnya yang paling hebat terhadap PAS dengan matlamat utama untuk melucutkan nama Islam dari PAS dan oleh itu segala tenaga yang ada perlu digembelingkan untuk mematahkan serangan-serangan biadap ini.

Di dalam keadaan Harakah hanya terbit dua minggu sekali dan permit-permit ceramah amat payah untuk diperolehi maka tenaga-tenaga pemimpin-pemimpin PAS di peringkat akar-umbi serta ahli-ahli biasa adalah amat diperlukan untuk memberikan penerangan yang sebenarnya kepada rakyat. Sama ada mereka bersyarah di kedai-kedai kopi, bersembang di dalam LRT atau menyampaikan kuliah di surau-surau mereka mestilah memainkan peranan mereka untuk menjelaskan pendirian PAS dan menzahirkan taktik-taktik kotor UMNO untuk menjerat PAS. Dan kalaupun mereka tidak boleh memberi penerangan maka paling kurang yang boleh dilakukan adalah memainkan kaset-kaset ceramah di tempat-tempat awam seperti di taman-taman ataupun di warung-warung.

Janganlah diakibatkan kedayusan kita untuk menyatakan kebenaran dan mendedahkan kemungkaran maka PAS akhirnya dapat dilenyapkan seperti mana yang dicita-citakan oleh UMNO sejak sekian-lama.  

© Bakhtiar Effendi  
3 Ogos 2000
Ampang Jaya

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com