MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

SURAT TERBUKA UNTUK KETUA POLIS NEGARA

Tan Sri Norian Mai 

Yang berbahagia Tan Sri, 

Kami rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan bersama ingin menuntut perubahan, reformasi dan keadilan. 

Hari ini kami berkumpul untuk menyatakan rasa hati yang tulus dan ikhlas. Kami datang dengan tangan kosong, dengan jasad yang satu, untuk semata-mata berkumpul. Kami memohon kerjasama daripada Tan Sri dan pegawai-pegawai Tan Sri agar berlembut dengan kami rakyat yang tidak berdosa dan bukan penjenayah. Janganlah kami dituduh seperti penjenayah. Janganlah kami dilayan seperti orang asing sedangkan kami rakyat yang sah di negara ini. 

Yang berbahagia Tan Sri,
Tan Sri orang Melayu, kami juga orang Melayu. Dato' Sri Anwar juga orang Melayu. Kenapa polis (90 peratus Melayu) memukul sesama Melayu dan Islam? Kenapa dua pihak ini (rakyat Melayu dan polis Melayu) jadi ayam sabung yang rela memusnahkan sesama bangsa semata-mata hendak mengikut perintah seorang pemimpin?

Yang dihormati Tan Sri, 
Kami menghormati tugas Tan Sri dan pegawai-pegawai Tan Sri. Rakyat tidak memukul polis. Rakyat ikut arahan polis di mana-mana. Rakyat mengadu kepada polis. Polis bantu orang ramai, bantu rakyat tanpa mengira agama dan kaum. Tetapi kenapa setiap kali rakyat berkumpul, kami dikejar dan dipukul? Kenapa kami disembur air kimia yang pedih dan sakit itu? Kenapa kami ditangkap berhari-hari dan dikenakan ikat jamin yang beribu-ribu ringgit? Apa dosa kami sebenarnya, Tan Sri? 

Tan Sri, ramai pelajar universiti ditahan polis kerana berkumpul dengan aman. Ada yang dibuang universiti dan ada yang digantung pengajian semata-mata berkumpul? Tan Sri, mereka ini anak Melayu sama seperti kita semua. Kenapa kita jadi seperti hari ini, Tan Sri? 

Yang dikasihi Tan Sri, 
Saya seorang bekas polis (saya terpaksa berhenti kerana tidak sanggup dikeji oleh ahli keluarga saya sendiri). Bapa saya juga seorang polis. Dulu, polis dipandang mulia. Arwah ayah saya mengajar dan mendidik saya supaya mengikut jejaknya jadi seorang polis. 

Tetapi hari ini, saya sungguh sedih. Di mana-mana kita pergi, orang ramai pandang serong pada polis atau bekas polis. Mengapa kita jadi macam ini, Tan Sri? Tan Sri dan pegawai-pegawai Tan Sri sahajalah yang kami harap di dunia ini. Janganlah hina bangsa Melayu sendiri dengan cara ini. Kita (rakyat dan polis) tidak ubah seperti dua ekor ayam yang sedang berlaga tetapi tuannya bersuka ria. 

Tolonglah kami kali ini, Tan Sri. Selebihnya, kami akan serahkan kepada Allah. Tan Sri kena ingat, kita hidup tidak menongkat langit. Di mana-mana doa orang-orang salih, doa orang alim, orang anak-anak kecil akan menimpa kita jika kita berlaku zalim dan buat aniaya pada orang. 

Yang dihormati Tan Sri, 
Kami menghormati sikap Tan Sri sejak mengambil alih tugas baru. Selagi ada kudrat, orang Melayu akan berladang dan bersawah, beribu-ribu tahun dulu lagi. Selagi ada kudrat, rakyat yang kecil (Melayu) dan rakyat Malaysia (bukan Melayu) yang mempunyai hati kecil akan melawan terus melawan kezaliman. Tidak tahu apakah pilihan Tan Sri, tetapi Allah Maha Mengetahui isi hati Tan Sri. 

Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua. Pada hari Jumaat ini, kami berdoa agar Allah bersama Tan Sri untuk keadilan, kebenaran, keamanan dan reformasi. 

Yang benar,


Bekas anggota polis, 
Pokok Asam, Taiping, Perak

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com