KALAU TAK LARAT BERSILAT ELOK LAGI BERSILA BAB 22
BILA RAKYAT DIROBOTKAN
(Tulisan ini adalah
khas ditujukan khas kepada PW Laman Webantu. Semoga kita bersama mendapat faedah dari
penulisan ini)
Kalau ada pujian
yang mengawan tingginya yang patut diberikan kepada Laman Web berbentuk
'pemberitaan' (bukan Forum) di negara ini, pujian sedemikian memang layak pergi kepada
Laman Webantu. Sekaligus, kalau ada 'hanya satu' (saya ulangi
hanya satu) hadiah mirip 'oscar' ataupun satu 'Emmy Award' yang harus dipertimbangkan kepada pengendali laman web, hadiah itu sememangnya hak saudara. Demikianlah
gambaran betapa hormatnya saya kepada kegigihan saudara itu dan betapa kagumnya saya
dengan laman web saudara. Saya percaya penghargaan bertulis ini tentu disokong baik oleh
seluruh pembaca laman web anda dan juga beberapa pengendali web yang lain.
Satu
ketika dulu, terjadi sedikit pergeseran di antara saya dengan segelintir pengendali web
yang merasakan saya sengaja meminggirkan mereka. Saya tidak menjawab cemuhan dan tulisan
mereka yang penuh kiasan itu. Saya menyertai dunia siber Melayu bukannya untuk
bertelingkah dengan sesiapa. Malahan bukan dengan pihak kerajaan yang memerintah. Saya
menyertai laman web Melayu hanya untuk membawa satu arus kesedaran kepada minda setiap
mereka yang membaca penulisan saya, betapa negara ini akan dirundung satu musibah yang
besar kerana tindak-tanduk seorang diktator tua yang sudah masuk era keanak-anakan dalam
hidupnya. Kerana itu saya memberi penekanan yang berat terhadap muslihat penyebaran maklumat yang tidak songsang kerana terdapatnya kekerapan munculnya maklumat songsang
daripada pihak tertentu untuk mengawal minda orang Melayu.
Kenapa
Marhaintua Tidak Menulis?
Saya berterima kasih dengan soalan
saudara itu. Jawapan yang akan saya berikan ini sudah tentu saya tujukan juga kepada
berpuluh kiriman emel yang saya terima daripada sahabat dan taulan; malahan juga
daripada pihak yang mahukan saya merasakan mereka daripada satu golongan lawan.
Semoga penjelasan di bawah ini menjawab semua emel yang mengemukakan soalan yang serupa.
Sebenarnya
Marhaintua tidak pernah berhenti menulis. Saya menulis hampir setiap hari, mengikut
keadaan kesihatan yang mengizinkan. Maklumlah, usia yang semakin menjangkau peredaran
masa memerlukan banyak berehat. Jejari yang mengetuk mesin taip untuk lebih empat puluh
tahun, sudah kerap mudah mogok kerana keletihan. Kecerdasan jejari itu nampaknya tidak
mampu berlari secergas kecerdasan minda yang mencetuskan idea. Namun, penulisan masih
mampu dilakarkan selari dengan cetusan minda yang digarap oleh peredaran zaman yang
dilakar oleh gurindam seloka perjalanan politik semasa.
Apabila melihatkan
keadaan politik negara yang semakin kucar-kacir saya membuat satu penilaian yang serius
dan mula berbincang dengan kawan-kawan yang masih mampu menilai keadaan negara itu
dengan fikiran yang waras dan idea yang bernas. Inilah golongan yang sudah lama
merasakan sepak terajang dunia politik dan sudah banyak menabur bakti kepada nusa dan
bangsa tanpa banyak publisiti dan gelaran bintang menjela. Inilah golongannya yang kerap
menitiskan air mata di satu ketika dulu kerana kehilangan ahli keluarga yang
mempertahankan negara dan inilah juga insan-insan kamil yang banyak mengeluarkan zakat
daripada hasil kegigihan mengumpulkan harta pusaka dengan cara wang yang halal, dan
bukan secara merompak harta rakyat marhaen. Daripada mereka saya dapat satu rumusan
betapa negara ini sedang menjunam ke arah kemelesetan. Sempena komunikasi kita yang
'kali pertama' ini biarlah saya nukilkan hasil rumusan kumpulan intelek tua rakyat
Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini sebagai satu iktibar kepada generasi muda.
Negara
yang Mengundang Huru-hara
Tidak ada satu negara pun di dunia ini seindah
Malaysia, baik dari segi hasil buminya yang lumayan mahupun daripada komposisi rakyatnya
yang majmuk dan yang mampu hidup harmonis setiap masa. Allah SWT telah menganugerahkan
negara ini dengan segala kekayaan yang ada tersorok dalam bumi. Apa yang diperlukan
ialah mengolah satu sistem menghasilkan kekayaan khazanah bangsa itu untuk dinikmati
bersama. Sayangnya khazanah bangsa itu telah dinodai, diliwat dan diperkosa oleh satu
kumpulan penyamun yang mampu mengawal minda rakyat negara ini untuk terus merompak di
siang hari.
Pengawalan minda sumbang telah mampu memukau segolongan besar rakyat
negara untuk terus mempercayai "bahawasanya, pemimpin agung UMNO yang bernama
Mahathir bin Mohammad yang juga lebih dikenali sebagai Wira Dunia Ketiga adalah seorang
pemimpin yang bertaraf wali, yang mampu memimpin rakyat Malaysia, terutama sekali orang
Melayu menjadi satu bangsa yang besar di alaf baru." Demikianlah contoh
ketaksuban rakyat negara ini terhadap seorang diktator tua sehinggakan ada yang sanggup
berkorban apa sahaja untuk mengekalkan beliau di mercu singgahsana. Demikianlah
satu ketaksuban disebabkan putar-belit minda yang disogokkan maklumat songsang. Apabila
sogokan itu disalut pula dengan segala imbuhan berbentuk korupsi yang menghimpit dan
menekan perjalanan hidup rakyat marhaen, tidak ada seorang pemimpin dalam UMNO yang
mampu mengangkat muka untuk menentang si tua bedebah itu. Mereka sudah rata-rata
terjebak ke alam kepalsuan yang sungguh mengaibkan.
Alangkah aibnya perkara
ini sedangkan semua orang sedar bahawa negara ini dirundung malang kerana kepimpinan
kerajaan yang sumbang dan bengap serta kecundang. Namun, Allah SWT masih sayang akan
rakyat negara ini. Harga petroleum naik mendadak lebih dua kali daripada kadar harga
yang digunakan sebagai harga rujukan perancangan negara. Malaysia terselamat daripada
jurang kemuflisan bukan disebabkan kepandaian pemimpin negara memulihkan keadaan.
Tetapi, siapakah yang mahu mengaku faktor ini? Dulu, George Soros ditempelak hebat
sebagai penyangak mata wang yang jembalang, sedangkan para konspirator berbangsa Melayu
dan Malaysia yang bersekongkol dengan George Soros itu tidak pernah disebut nama mereka.
Bukankah mereka itu merupakan kumpulan yang menasihati Presiden UMNO bagaimana
mengendalikan negara? Sejak bilakah orang mampu menceroboh rumah dan membuat ubah-suai
dalam perumahan itu tanpa pengetahuan tuan pemilik rumah itu? Sejak bilakah
bunga-bunga yang mekar di taman dapat disunting secara melambak tanpa diketahui oleh
penjaga taman itu? Memang, rakyat menjadi terpukau kerana tipu daya seorang diktator tua.
Ketenatan
ekonomi negara dilambakkan ke atas penyangak mata wang bernama George Soros. Tetapi,
semua orang tahu, bagaimana negara ini hampir muflis kering-kontang kerana pemborosan
pentadbiran negara. Segala bentuk 'isme' yang negatif telah dipraktikkan. Sehinggakan
projek mengangkut sampah pun diberikan kepada ahli keluarga, apakah yang dapat
diharapkan oleh rakyat jelata dalam hal perbelanjaan negara? Kalau setiap projek
yang menguntungkan diberikan kepada kroni dan suku-sakat, sedangkan projek itu semuanya
disabkan kepada kumpulan lain yang menggunakan tenaga imigran, apakah lagi yang dapat
diharapkan oleh golongan marhaen baik dari aspek pekerjaan mahupun daripada aspek
perbelanjaan hidup yang semakin menekan? Untuk memudahkan perjalanan syarikat kepunyaan
kroni, semua bentuk perniagaan mahu mereka bolot dan semua tenaga kerja diberikan kepada
pendatang asing, tidak kira mereka masuk secara halal ataupun haram. Bukankah industri
tenaga manusia pendatang itu mencetuskan berjuta keuntungan kepada beberapa menteri
seperti Megat Joned dan suku sakatnya? Impaknya, lihatlah di Chow Kit dan beberapa
bandar besar di negara ini. Siapakah yang memonopoli ruang niaga di tempat yang satu
ketika dulu diterokai oleh orang Melayu yang merupakan pengundi sah di negara ini?
Salahkah pendatang asing itu kalau mereka berniaga tanpa lesen dan tanpa perlu diperiksa
dulu oleh para doktor untuk mengesahkan kesihatan mereka? Siapakah yang membenarkan
mereka menguasai ruang niaga itu kalau bukan petualang bangsa dan negara?
Untuk
satu ketika, George Soros menjadi satu 'password' apabila ahli politik cuba menabur
fitnah di seluruh negara. Mereka lupa bahawa kegiatan George Soros adalah satu kegiatan
yang dipandang oleh seluruh dunia sebagai kegiatan perniagaan. Terpulanglah kepada kita
rakyat Malaysia membenar ataupun menidakkan beliau bergiat dalam kegiatan bisnesnya itu
di negara kita. Kalau dia diberi ruang disebabkan adanya rakan niaga yang bersekongkol
dengannya, apakah George Soros yang mesti ditohmahkan. Apa jadi dengan rakan niaganya di
Malaysia yang lebih dahsyat nafsunya daripada Soros itu? Kenapakah mereka ini tidak
pernah disebut dan dihukum? Pembabitan George Soros telah melonjakkan pasaran BSKL ke
mercu tinggi yang tidak munasabah. Harga saham syarikat perkapalan kepunyaan anak
seorang perdana menteri naik melonjak mencecah RM18.00 sedangkan harga intrinsik
sebenarnya tidak sampai satu ringgit setengah. Kenapakah perkara semacam ini dibiarkan
oleh pengawal saham di BSKL ataupun di Bank Negara? Apabila saham merudum syarikat
perkapalan itu jatuh muflis dan perlu dibantu oleh si bapa dengan menggunakan wang
rakyat tanpa usul periksa dan perlu meminta keizinan rakyat terlebih dahulu. Kini
syarikat perkapalan itu sudah dibeli dan diselamatkan oleh PETRONAS dengan harga yang
ditetapkan oleh 'siapa'? Mirzan bin Mahathir masih disogokkan ke khalayak ramai sebagai
pakar perkapalan Melayu tanpa tolok bandingannya, oleh bukan calang-calang orang
melainkan seorang perdana menteri yang sudah lupa daratan.
Demikianlah
liciknya Mahathir bermadah dan berbohong. Di waktu yang sama dia balun dan sungkit
setiap khazanah yang ada di setiap agensi kerajaan yang mempunyai harta. Telekom, TNB, Tabung Haji, KWSP dan
apa lagi telah dinodai untuk dia berbelanja besar. Kalau
Mahathir dan Hasmah berpergian ke Afrika dan negara yang sedang membangun semua
agensi kerajaan dimestikan mengeluarkan dana (secara bersilih ganti) untuk dihulurkan
sebagai sumbangan ikhlas perdana menteri kepada institusi ternama di negara dunia ketiga
itu. Kemudian, semua syarikat besar negara tidak kiralah samada mereka benar-benar
untung ataupun tidak, diminta menghantar wakil untuk menemani Perdana Menteri Sanjungan
Negara (he.he.he) untuk melengkapkan satu kumpulan protokol yang gah dan kaya raya.
Apakah yang mereka lakukan selain tersenyum ke kiri dan kanan di setiap majlis yang
diadakan atas tajaan mereka sendiri di negara luar itu? Mereka berlakon untuk berdiri
megah di samping Wira Dunia Ketiga sambil melihatkan majlis-majlis yang berjurai
panjangnya di mana beratus MOU (Memorandum of Understanding) ditandatangani.
Daripada beribu MOU yang ditandatangani selama dua puluh tahun yang lalu di luar negara
itu, berapakah agaknya yang menjadi kenyataan? Tak payahlah dicari jawapan kepada soalan
itu kerana ia amat memedihkan hati kita.
Keceriaan para keparat bersekongkol
dengan seorang diktator tua di luar negara sebenarnya merugikan negara kerana pada
keseluruhannya mereka membawa lari wang ringgit daripada Malaysia yang dilaburkan oleh
rakyat negara ini ke dalam syarikat yang disenaraikan di Pasaran Saham. Siapakah yang
untung darinya kalau bukan para keparat itu? Cubalah buat kajian mendalam akan
syarikat tersenarai yang melabur di luar negara dan carilah prestasi mereka. Terlalu
banyak kerja-kerja sumbang yang mereka lakukan yang memerlukan lindungan istimewa
daripada seorang diktator tua. Dengan lain perkataan, kebanyakan syarikat yang melabur
di luar negara bertindak ganas dan bersikap kasar kepada para pekerja negara tamu
sehinggakan mencetuskan masalah diplomatik. Sekumpulan syarikat yang muflis di luar
negara itu memang tidak diwartakan dalam negara ini kerana akhbar perdana kita memang
dikawal ketat dalam kegiatan pendedahan sedemikian. Alangkah gila semua itu kerana
pelaburan yang dibuat di luar negara itu adalah bermotif memuaskan nafsu seorang perdana
menteri yang ketagih publisiti murahan. Di waktu yang sama beliau amat takut untuk
menghadirkan dirinya di mahkamah. Sebagai contohnya, bayangkan BERNAS disuruh melabur di
negara orang, sedangkan negara ini masih lagi mengimpot beras daripada negara jiran.
Pelaburan itu bukan sahaja merupakan satu risiko besar malahan kita cuba menandingi dua
kuasa besar dalam industri menanam padi di Afrika. Untuk berdekad lamanya China dan
Jepun telah melabur di Afrika dalam penanaman padi. Tetapi, kedua-dua kuasa besar ini
mempunyai segala ilmu pengetahuan dalam industri itu malahan mampu mengeluarkan setiap
jentera yang diperlukan. Bayangkanlah sendiri, di mana kedudukan kita dalam hal ini?
Cuma kita tidak pernah terdengar akan kesulitan anak bangsa yang bertugas di luar sana
kerana rintihan mereka itu tidak akan disiarkan oleh sesiapa.
Kerakusan
Mahathir dan para jongosnya semakin menjadi-jadi sehinggakan negara hampir muflis.
Sebenarnya semua itu ada iktibarnya. Kalaulah ekonomi negara tidak merudum, Mahathir
mungkin sudah merencana jambatan terpanjang di dunia merentang Selat Melaka dan selepas
itu mungkin dia mengarahkan agar orkid digantung di setiap batang letrik di sepanjang
jambatan itu. Mungkin juga dia mengarahkan agar padi di tanam di bibir tebing jambatan
yang dianggap terpanjang sekali di dunia. Semua itu serba mungkin, kerana demikianlah
gelagat seorang diktator tua yang semakin samar kewarasannya. Kalau dia sanggup membina
dua menara kembar dalam satu masa sedangkan menara itu kini tidak pun disewakan untuk
mendapatkan pulangan modalnya, apakah lagi yang boleh diharapkan daripada kepala
hotaknya? Selain menara kembar itu dia juga merestui pembinaan menara Kuala lumpur bagi
tujuan komunikasi. Bukankah peralatan komunikasi itu boleh diletakkan di mercu salah
satu menara yang kembar itu? Jika demikian, bukankah RM300 jua yang digunakan untuk
membina menara Telekom itu dapat digunakan sebagai tabung dan dana pelajaran agar setiap
anak bangsa mampu melanjutkan pelajaran dengan kadar yang rendah? Bukankah wang sebanyak
itu dapat digunakan untuk melancarkan satu skim pemeliharaan lembu daging dan lembu susu
di negara ini? Tidak, semua itu tidak perlu kerana Mahathir pernah berkata kita perlu
menjadi satu negara industri yang kuat untuk mampu membeli hasil pertanian daripada
negara jiran.
BILA KERBAU MENJADI LEMBU
Pemerintahan yang
songsang mengikut nafsu nafsi segelintir pemimpin negara kini menjebak Malaysia ke
kancah kumpulan negara yang banyak hutang. Kalaulah negara ini TIDAK diperintah oleh
seorang yang sewel kita mampu menjadi sebuah negara yang terkaya kerana simpanan
negara yang besar. Lihat sahaja kepada Taiwan. Negara ini dulunya adalah satu kepulauan yang berbatu di mana rakyatnya merupakan para imigran yang lari daripada pengaruh
komunis. Kini, Taiwan adalah sebuah negara terkaya di rantau Pasifik, malahan lebih kaya
daripada Jepun kerana hutangnya yang kosong. Selepas Taiwan muncul pula Singapura.
Kedua-dua kepulauan ini tidak pun mempunyai hasil bumi yang besar dan lumayan. Tetapi
mereka menjadi kaya kerana perencanaan negara yang jitu dan berwaspada. Untuk mengetahui
kejayaan Taiwan kita perlu membuat kajian ke atas sejarah bangsa itu dan cara mereka
menangani maklumat penting dunia sebelum IT menjadi gandingan abjad yang besar maknanya.
Soalnya
sekarang, bagaimanakah Taiwan mampu menjadi satu negara yang disegani sedangkan tidak
ada hasil buminya yang mampu menjadi bahan kekayaan negara? Sebagai bandingan, kenapakah
Malaysia yang mempunyai khazanah bumi yang paling lumayan tidak mampu berdiri megah
seperti Taiwan, sedangkan jumlah penduduknya hampir serupa sejak begitu lama lagi?
Jawapannya terletak kepada ketelusan pemerintahan. Di Taiwan, para wakil rakyat
sanggup bercakaran dan bertumbuk semata-mata mahukan kebenaran. Di Malaysia para wakil
rakyat sanggup menjerit melolong seolah-olah mereka berlakon semata-mata. Sudah
berpuluh wakil rakyat daripada pihak pembangkang yang ditahan di bawah ISA, mereka
masih tidak mampu mencuit minda rakyat marhaen untuk bangkit memerangi Akta itu. Inilah
gambaran betapa sedihnya keadaan kehidupan di negara ini. Inilah gambaran yang amat
jelas kepada Mahathir bagaimana mudahnya beliau memulas telinga setiap rakyat yang cuba
memeranginya.
Kita sudah merdeka selama 43 tahun. Sebagai sebuah negara yang
mempunyai ladang kelapa sawit terbesar di dunia, sekaligus kita mampu menjadi pengeluar
daging lembu dan susu lembu. Tetapi apa jadinya apabila kita masih lagi mengimpot daging
lembu itu? Yang anihnya kenapakah daging lembu yang diimpot itu sebenarnya daging
kerbau? Apabila kita membincangkan persoalan ini tentu kita terlintas bertanya siapakah
menteri pertanian selama ini ? Bukankah yang amat menonjol seorang insan yang lebih
berminat menanam orkid di tiang lampu dan menanam padi di atas bumbung? Apakah mampu
insan yang bersifat Mat Jenin itu melancarkan program itu tanpa sokongan dan dorongan
seorang perdana menteri yang sama sewelnya?
Kira-kira dua puluh tahun lalu, MARDI
telah berjaya membuat kajian penggunaan daun kelapa sawit sebagai bahan makan yang murah
untuk ternakan. Begitu juga dengan bahan buangan daripada prosesan minyak sawit.
Kenapakah kita tidak mampu menternak lembu dan kerbau serta kambing? Jawapannya terletak
kepada faedah menimbun harta melalui pengimpotan daging daripada India. Semua ini pernah
saya tulis secara panjang lebar di internet dulu. Lembu dan kerbau yang sudah
pupus usia kerana diperah susunya secara menggila dan dibiarkan berkeliaran di kota raya
oleh bekas tuan punya. Kerajaan menariknya pula ke perkampungan orang yang beragama Islam
untuk disembelih dan dimakan. Tetapi, kumpulan itu lebih senang menyembelihnya dan
membiarkan syarikat seperti 'Husin Allana' mengekspotnya ke Indonesia dan Malaysia. Bayangkanlah
sendiri, siapakah sebenarnya yang kaya raya dalam proses mengimpot daging
'binatang hukum tembak' daripada India itu? Kalaulah ada rakyat Malaysia yang
merakamkan gambaran betapa hitamnya bangkai lembu yang tergantung di halaman rumah di
India menantikan lori pengangkut untuk membawa bangkai itu ke rumah simpanan. Di sana
bangkai itu dimasukkan ke dalam tangki air kapur untuk mematikan segala ulat dan telur
langau yang menghurung bangkai lembu dan kerbau itu. Semua itu memang amat difahami oleh
setiap insan yang menjadi ketua pengarah pertanian. Malahan menteri pertanian yang
sebelum Affendi Norwawi amat sedar akan fenomena ini. Tetapi, mereka mampu tersenyum
sengeh sahaja dan tidak mahu melakukan sesuatu yang besar untuk merencana agar negara
tidak perlu membawa masuk daging impot lagi.
Satu ketika dulu Perdana Menteri
dikatakan terjatuh menunggang kuda di Argentina. Di sana beliau dikatakan mempunyai
kawasan pertanian yang luas. Kenapakah beliau tidak mahu laksanakan penternakan lembu
secara besar-besaran di negara ini?
PEMERINTAHAN CACAMARBA
Kini,
rakyat semakin sedar betapa negara ini telah diperintah oleh seorang diktator secara
nafsu-nafsinya seolah-olah khazanah negara itu kepunyaan bapaknya. Dia tidak pernah
melakarkan satu agenda pembangunan negara berpaksikan kepentingan rakyat. Cuma
kepentingan para kroni dan suku-sakat. Di waktu yang sama Mahathir menghentam
hampir semua kuasa besar untuk berlagak sakan seolah-olah hanya beliau sahaja pemimpin
dunia ketiga yang mampu mempersendakan pemimpin kuasa besar itu. Sebenarnya itu semua
satu lakonan yang direncana begitu rapi sekali. Mahathir bersandiwara untuk
mengutuk kuasa besar sebagai alat untuk memukau orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Sebenarnya beliau merupakan manusia yang sehabis pengecut di dalam negara ini. Untuk
terus mengekalkan kuasanya dia harus terus bersandiwara dan mengharapkan ihsan
sokongan para jongos yang tidak kurang sewel dan kegilaannya daripada sifat yang ada
pada beliau itu.
Mahathir mampu bertahan lama dan menonjolkan satu imej
ketahanan untuk berkuasa setelah berjaya bersekongkol dengan satu kumpulan pemikir dan
pelaksana pentadbiran negara yang amat rakus dan jahat. Dengan bertopengkan pentadbiran
berdemokrasi beliau telah berjaya mengindividukan hampir semua institusi kerajaan.
Badan kehakiman menjadi korup kerana ketua Hakim Negara dan Attorney General adalah
manusia yang korup. Yang tinggal untuk diindividukan ialah Angkatan Tentera
Malaysia. Kerana itu dia telah merencana Sauk untuk menonjolkan seorang jeneral yang
mempunyai rekod yang tidak bersih dalam perkhidmatannya. Kita tidak hairan kalau
Mahathir berjaya melaksanakan satu rencana agar Yang Di Pertuan Agong tidak lagi berkuasa
ke atas angkatan tentera kita. Semua itu serba mungkin bagi Mahathir.
Keupayaan
Mahathir memerintah mengikut seleranya adalah disebabkan beberapa faktor. Yang pertama,
disebabkan para wakil rakyat tidak menghayati sumpah janji mereka selepas memenangi
kerusi parlimen ataupun ADUN yang mereka tandingi. Mereka seolah-olah lupa bahawa
sebagai wakil rakyat mereka sepatutnya mewakili rakyat dan bukannya Mahathir. Budaya
kelupaan itu nampaknya semakin menular kepada wakil rakyat yang berada di parti
pembangkang. Sepatutnya wakil rakyat parti pembangkang mampu meniru gelagat wakil rakyat
di Taiwan. Mereka bercakaran di parlimen untuk menarik minat rakyat agar parti yang
memerintah tidak 'bermahathirkutty'.
Kedua: Rakyat terlalu taksub dengan keadaan
negara yang aman damai sehinggakan minda mereka mudah dikawal oleh Mahathir. Tetapi,
kalau rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi secara aman di setiap bandar di seluruh
negara, tentu sekali pihak polis pada keseluruhannya akan menyebelahi mereka.
Demonstrasi yang tertumpu hanya pada satu tempat di Kuala Lumpur mudah dipatahkan oleh
polis di atas arahan terus seorang perdana menteri ataupun proksinya. Cuba lakukan
seperti yang dilakukan secara aman di negara maju, Mahathir sudah lama cabut lari ke
Argentina ataupun ke mana sahaja di Afrika. Dia memang sudah bersedia dengan tempat
melarikan dirinya itu.
Ketiga: Allah telah menunjukkan pelbagai isyarat agar
rakyat bangkit memerangi Mahathir. Tetapi isyarat itu masih tidak difahami. Kegagalan
ini membolehkan Mahathir mengawal minda rakyat sehinggakan rakyat sudah menjadi semacam
satu jenis robot yang mampu angguk bila Mahathir mahu dan geleng kepala bila Mahathir
menggelengnya dulu. Contoh yang paling baik ialah dalam episod Sauk. Segala tindakan polis adalah berasaskan arahan khas daripada Mahathir. Semua
tindakan itu membelakangkan
hasrat kaum keluarga Al Ma'unah yang sedang ditahan itu. Kenapakah kaum keluarga Al Ma'unah
tidak dibenarkan berjumpa mereka sedangkan mereka pun amat perihatin dengan
keselamatan negara? Kenapakah mereka tidak dibenarkan bersua muka dengan orang yang
ditahan itu?
Keempat: Ramai di kalangan wakil rakyat merupakan keturunan
bekas wakil rakyat juga. Inilah taktik Mahathir, memberi ruang kepada anak dan cucu
wakil rakyat UMNO yang sudah mati ataupun bersara. Isa Samad, Fadil Che Wan, Hisyamuddin
Husin, Najib Tun Razsak, Paklah, Nazri Aziz, Tajol Rosli dan banyak lagi yang eloklah
tidak disebutkan nama mereka di sini. Membazirkan ruang kertas semata-mata. Apakah semua
insan yang begitu istimewa itu bijak dan pandai serta terunggul jika dibandingkan dengan
insan yang tidak mempunyai sejarah keluarga menjadi wakil rakyat sebelum mereka?
Disebabkan mereka naik memimpin rakyat berdasarkan rekod warisan yang tidak pernah
direstui oleh rakyat, apakah sebenarnya kelakuan dan prestasi mereka? Orang putih kata
dengan satu perkataan sahaja 'MEDIOCRE". Inilah golongan yang tidak bermaya menjadi
pemimpin. Sebagai contoh cuba lihat apa yang dilakukan oleh Nazri Aziz. Bayangkan kuasa
yang ada di tangannya. Tetapi apakah idea bernas yang pernah keluar daripada kepala otaknya? Dia lebih
mementingkan perkara remeh temeh seperti jangan memasang logo
parti di kenderaan awam dan sebagainya. Pernahkah dia membuat kajian kenapa orang Melayu
di luar bandar jauh lebih miskin daripada kaum China di luar bandar? Pernahkah dia
usahakan satu kajian bagaimana orang China di Perak mampu mengeluarkan pakaian berjenama
tanpa ada satu kilang pun di Kamunting, Kuala Kangsar, Ipoh dan Lumut? Kelemahan Nazri
memimpin (jangan lupa beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO satu ketika dulu)
melambangkan betapa pincangnya golongan pelapis pemimpin Melayu dalam UMNO. Akan
tetapi, itulah gambaran sebenar pemimpin muda Melayu yang dilahirkan oleh pemimpin UMNO
lama. Mereka sebenarnya bukan sahaja lupa daratan, malahan tidak sedar lagi di mana
daratan kehidupan orang melayu itu. Kalau orang seperti Nazri Aziz boleh berlagak
seperti itu bagaimana pula manusia lain seperti Kaki Gedebe Ibrahim bin Kakigedebe Ali?
Kelima
dan amat penting: Majlis raja-raja gagal memainkan peranan mereka. Sepatutnya majlis
raja-raja mampu menggembeling tenaga professional di kalangan rakyat untuk memberikan
nasihat yang 'neutral' dan tidak berbelah bagi. Tetapi, mereka gagal segagalnya. Rakyat
sudah tentu tidak akan melupakan kedayusan mereka.
Bukankah pelik,
sejak Mahathir memerintah negara; semua kumpulan ajaran sesat datangnya daripada
kumpulan yang dianggotai oleh orang Melayu? Apakah orang China dan India tidak
mempunyai kumpulan yang menyesati ajaran agama mereka? Jika tidak, bagaimanakah semakin
bercambahnya bangunan gereja dan pelbagai mazhab agama Kristian di negara ini? Bagaimana
pula dengan semakin ramainya muda-mudi Cina yang ketagih dadah dan pil ecstasy?
Bagaimana pula semakin ramai anak India yang mahu meniru gaya Bentung Kali?
Dengan
menuduh sesuatu kumpulan agama Islam itu sesat, Mahathir sebenarnya memperlekehkan agama
Islam. Di waktu yang sama kita dapat lihat betapa kawan baik Mahathir yang bernama Dr.
Kassim Ahmad pernah berdakwah betapa bersolat itu adalah satu adat sahaja. Kenapakah
Kassim Ahmad tidak ditangkap dan dipenjarakan? Bukankah fatwa Kassim itu menyesatkan?
Cuba bandingkan fatwa Kassim Ahmad dengan ajaran yang dibuat oleh Ustaz Shamsuri Haji
Ahmad yang baru ditahan atas tiket ISA. Apakah ini yang dikatakan pemerintahan
berdemokrasi?
Nampak jelas kini, Mahathir melakukan apa sahaja yang dikehendakinya
sesuka hati. Dia sudah tidak takut kepada azab sengsara yang dijanjikan
oleh Allah. Di Malaysia ini, Mahathir sudah memerintah laksana seorang dewata yang
banyak tangan. Kerana itu dia fikir kuasa yang serupa akan menemaninya apabila mati
kelak. Kalau dia akur dengan pendapat bahawa bersolat itu adalah satu adat, apakah kita
fikir beliau akur kepada ajaran betapa adanya alam baqa?
-Marhaintua-
2.8.00