MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

MENANTI SINAR DI HUJUNG MALAM!

(Khas buat seorang penulis siber yang dirindui penulisannya ...)

Assamualaikum wbt.

Saudara yang dihormati,
Saya doakan saudara berada dalam lindungan ALLAH sentiasa dan sihat sejahtera hendaknya.  Maaf jua kiranya saya menggangu sekali lagi dan saya memohon ikhsan ILAHI agar emel kali ini tidak membawa sebarang 'virus' kepada saudara.

Memang saya gementar... selama seminggu saya mendiamkan diri dan memendam rasa setelah menerima respon saudara kepada 'Nukilan 1' dulu.  Tiada kemampuan untuk saya membalas walaupun kepada rakan-rakan siber saudara. Itu kerana sehingga kini saya belum pun berkemampuan memiliki pc di rumah.  Dan sejak menerima emel itu juga saya diburu ketakutan yang teramat sangat.. bayangkan kesejukan alat penghawa dingin di pejabat tidak dapat menghalang dari peluh bahang diri yang sentiasa berada dalam 'ketakutan'... Saya menjadi phobia kepada bunyi deringan telefon di meja (walaupun di rumah) dan kedatangan tetamu yang perlu berurusan!.

Kekuatan saya hanya dengan amalan zikir yang tak henti-henti, bersolat hajat dan istikarah serta membaca surah-surah tertentu.  Kadang-kala air-mata kering di atas sejadah memohon ikhsan ILAHI agar diberikan saya segala kekuatan dan semangat untuk meneruskan kehidupan harian.  Saya menjadi khuatir jika keselamatan saudara semakin terjejas hanya kerana tindakan saya yang tidak berwaspada itu.  Memang saya mendoakan keselamatan saudara kerana saya rasa bertanggungjawab 'menyusahkan' keadaan saudara yang memangnya berisiko itu!.

Tetapi ketahuilah saudara.  doa restu saya itu adalah dari hati yang tulus ikhlas dan tidak pernah meminta dibalas!.. Telah hampir 2 tahun kehidupan harian saya berubah kerana pemecatan DSAI dan saya menjadi seorang yang amat komited kepada isu ini (dengan cara saya sendiri...melalui doa). Dan memang saya tidak mengharapkan apa-apa balasan, kerana ini adalah kesedaran atas tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Pencipta dan Rasul-Nya... dan yang termampu oleh saya yang lemah ini adalah selemah-lemah iman iaitu dengan hati membenci kezaliman!.

Saya memilih sekali lagi tajuk ini setelah berfikir panjang akan situasi yang semakin getir ini.  Saya juga tertanya-tanya akan keadaan saudara kerana tidak ada lagi artikel saudara di MR .. saya sentiasa berdoa saudara sihat dan selamat untuk meneruskan perjuangan ini.  Kami memerlukan insan berani seperti saudara untuk mengembalikan maruah dan martabat bangsa Melayu.  Jika tajuk ini saya pilih untuk respon saya kepada tulisan saudara ketika perhimpunan agung UMNO dulu.. kini saya memilihnya khusus menjelangnya hari hukuman DSAI.  Apakah akan berarak awam mendung di bumi bertuah ini???... adakah kali ini kebangkitan rakyat menjadi kenyataan?... Adakah kita akan membiarkan saja kerakusan sang penguasa melakukan apa saja ke atas rakyat jelata?... Kehidupan rakyat semakin terhimpit, maruah bangsa Melayu dicabar dan agama kita diperlekehkan sewenang-wenangnya.  

Di pejabat teman-teman bertanya sesama sendiri "kemana perginya para ulama dan mufti?...Mengapa saban hari agama dipermain-mainkan dan bertubi-tubilah soalan itu.. memang tiada siapa yang dapat memberikan
jawapannya.

Propaganda Menggila

Rakyat jelata semakin sedar dan celik... Mereka tercabar bila melihat iklan di merata "anak-anak tanpa komputer adalah anak-anak yang tidak mempunyai masa-depan"!!.. alangkah terpesongnya ungkapan ini?... mereka menyoal apa akan jadi kepada kebanyakan rakyat jelata yang memang tidak berkemampuan memiliki komputer untuk anak-anak... adakah segala-segalanya ditentukan oleh mesin??.. 

Bayangkan pula iklan tersebut disertai dengan potret 'orang itu' (semestinya gambar zaman muda belia!).  Apakah ertinya semua ini.. rakyat menjadi jijik dengan propaganda begini dan debat di pejabat berterusan mengalahkan pula debat di Parlimen!.. Mereka bertanya lagi mengapa kerajaan melancarkan kempen memungut derma pahlawan dari rakyat jelata lagi... sedangkan kerajaan mampu membina pelbagai projek mega itu??... Tahukah pemimpin rakyat sedang bergelut dengan kehimpitan harga barang keperluan yang semakin meninggi.. RM50 tidak membawa apa-apa erti lagi untuk disuap ke mulut anak-anak!!!..

Malam tadi kami (dengan adik) berkesempatan berbual mengenai tarikh keramat itu dan saya menjadi gusar sekali lagi bila beliau telah mengambil keputusan untuk 'turun' ke padang... beliau rela kehilangan pekerjaan kali ini jika sebarang kemungkinan yang akan berlaku kelak... semangatnya tidak dapat dihalang lagi dan begitulah kebanyakan reformis yang lain. Saya sendiri amat mengharapkan kebangkitan rakyat kali ini... Telah dua tahun maruah kita dicabar dan kita selamanya bersabar dan masih berdiam diri!.  

Setiap rakyat yang cintakan negaranya khususnya bangsa Melayu beragama Islam 'wajib' bangkit tidak kira parti apa yang mereka anggotai.  Saya sedar saudara adalah di antara pejuang UMNO yang telah melalui pahit getir ini dan saya amatlah berharap agar pejuang seangkatan saudara melakukan sesuatu... 

Saya menanti detik-detik kebangkitan rakyat ini dengan penuh debar dan memohon restu agar ILAHI memberkati dan menyelamatkan rakyat dan bumi tercinta ini.  Selama 2 tahun kita berada dalam situasi yang amat tertekan ini dan bagi diri saya sendiri pengalaman berada dalam kemelut ini, khususnya di akhir-akhir ini amat meruntun jiwa.  Hanya dengan mendekati-Nya semangat pulih kembali... dan saya amat memahami pengorbanan setiap insan yang gigih berjuang tanpa mengenal jemu untuk membangkitkan semangat rakyat marhaen demi mengembalikan martabat bangsa dan menegakkan syiar Islam.

Salam hormat
zedmulia

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com