ITU BUKAN TULISAN SAYA !!
Saya ingin
melahirkan rasa kesal dan terkilan akan seseorang yang menulis artikel
“Perhimpuan 4 Ogos: Adat Beradat” seperti yang tersiar di Minda Rakyat semalam. Ini
merupakan kali kedua orang berkenaan menggunakan nickname saya, “Cucu Datuk Bahaman”
untuk menulis sesuatu di laman-laman reformasi. Kali pertama saya dapat mengesan
tulisan menggunakan nickname tersebut adalah pada 22 Julai lepas di FGR. Kemudian
semalam ada satu lagi artikel bertajuk di atas yang menggunakan nickname saya. Mungkin
disebabkan sekarang saya agak kurang menulis di laman-laman reformasi disebabkan terlalu
sibuk, maka ada orang yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama saya.
Meskipun
tulisannya kelihatan seolah-olah menyebelahi kita, tetapi seribu kemusykilan yang timbul
ialah, seandainya beliau itu seorang reformis tulen atau pendokong kebenaran sejati,
sudah tentu beliau tahu adab dan etika dalam penulisannya. Tidak dapat dinafikan bahawa
ruang siber tiada sebarang batas geografi dan sesiapa pun berhak untuk menulis dan
menggunakan nama apa pun, tetapi jika orang tersebut benar-benar “orang kita”
beliau seharusnya faham bahawa adalah tidak wajar sama sekali untuk menggunakan nickname
saya yang sudah ‘established’ di laman-laman reformasi ini semenjak pemecatan DSAI
dua tahun yang lalu.
Untuk pengetahuan semua, saya merupakan antara orang atau
penulis yang terawal berjuang di alam siber ini, iaitu semenjak DSAI dipecat dari
jawatannya pada 2 September 1998 lalu. Tidak dinafikan bahawa ketika di awal kes
Anwar masih hangat membara dahulu, saya menggunakan beberapa nickname yang lain atas
sebab-sebab keselamatan, tetapi selepas isu tersebut beransur reda, saya secara
konsisten menggunakan nickname "Cucu Datuk Bahaman” dalam tulisan-tulisan saya
yang dihantar kepada laman-laman reformasi.
Sebagai orang terawal dan pengamat
setia politik tanahair, mengadap laman-laman reformasi untuk mendapatkan berita-berita
benar sudah menjadi suatu kemestian buat saya. Dan sebagai penulis siber yang terawal
berjuang, saya boleh ‘mengenali’ satu persatu mereka-mereka yang awal dan yang baru
muncul menulis di ruang siber ini. Nama-nama seperti Muramozi, Marhaintua dan HC
adalah antara mereka yang awal dalam menceburi perjuangan siber ini, manakala nama-nama
penulis siber yang berbisa sekarang ini seperti Amin Sapiro, Pena Suasa, Kemang Suasa,
Panglima Sauk dan lain-lain itu merupakan pasukan pejuang ‘kedua’ dan 'ketiga' yang
menyemarakkan lagi alam siber reformasi ini. Saya turut mengkagumi tulisan-tulisan
mereka dan kehadiran mereka di alam perjuangan ini semakin memarakkan lagi api
perjuangan kita semua. Syabas diucapkan kepada mereka dan semoga mereka mendapat
ganjaran yang setimpalnya di sisi Allah s.w.t.
Semenjak berjuang di alam siber
dua tahun lepas, inilah kali pertama nama saya digunakan oleh seseorang yang tidak
bertanggungjawab. Selama ini tiada sesiapa pun yang menulis di laman-laman reformasi
yang menggunakan nama saya itu. Walaupun saya tiada hak untuk menyekat atau melarangnya,
tetapi jika beliau benar-benar “orang kita”, rasanya beliau tidak akan menggunakan
nama yang sudah popular digunakan oleh orang lain. Kalau begitu, siapakah orang itu ?
Adakah beliau musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan atau SB-SB yang
bergentayangan mahu merisik seseorang yang banyak membangkitkan kesedaran rakyat ? Lalu
memasukkan jarum-jarum halus untuk menimbulkan kekeliruan dan keraguan di kalangan
pendokong-pendokong reformasi sebenar ? Dengan menulis tulisan yang ‘membakar’
semangat seperti yang biasa ditulis oleh saya, orang berkenaan seakan-akan mahu menjadi
seperti saya. Inilah persoalannya untuk kita mempertikaikan niat dan kejujuran sebenar
orang tersebut. Sudah kekurangan sangatkah nama-nama pahlawan terbilang untuk digunakan
sebagai nickname sendiri kalau betul beliau seorang pejuang tulen ? Kenapa harus
"mencuri" nama orang lain untuk mewujudkan kekeliruan semata-mata?
Saya
tidak tahu bagaimana nanti perasaan Wak Amin (Sapiro) atau Marhaintua jika ada seseorang
yang tidak dikenali tiba-tiba menggunakan nickname beliau untuk menulis sesuatu yang
kelihatan seakan-akan tulisan beliau, walhal beliau sendiri tidak tahu menahu
mengenainya. Saya bukanlah marah sangat kepada orang berkenaan, tetapi kejujuran dan
keikhlasannya amat dipertikaikan. Jika beliau seorang SB, maka tindakannya itu bolehlah
difahami, tetapi jika betul beliau seorang reformis tulen, saya ingin menasihatkannya
agar segera menghentikan perbuatan bodohnya itu sebelum lebih ramai orang lain keliru
dan dikelirukan. Seorang pejuang tulen haruslah tahu dan sedar akan hak-hak dan
batas-batas yang perlu dihormati antara satu sama lain. Ini penting agar matlamat
perjuangan tidak terguris oleh hal-hal yang remeh temeh atau titik bengit. Seorang
pejuang tulen harus tahu adab dan kesopanan dalam menggunakan sesuatu hak dan kebebasan
yang ada. Mencabuli ‘hak’ orang lain secara semberono bukanlah sifat pejuang tulen,
tetapi lebih kepada ‘gunting dalam lipatan’ semata-mata ataupun musuh yang ingin
mengundang kebebalan dan enggan berfikir secara saksama.
Sekali lagi saya ingin
memaklumkan kepada pendokong-pendokong reformasi sekelian bahawa tulisan yang bertajuk
“Perhimpunan 4 Ogos: Adat Beradat” yang tersiar di Minda Rakyat semalam bukanlah
tulisan “Cucu Datuk Bahaman” yang sebenar, tetapi ditulis oleh seseorang yang tidak
diketahui akan niat dan tujuannya. Mungkin dia seorang SB atau sebaliknya, hanya dia dan
Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui. Walaupun tulisannya itu seakan-akan ‘menyokong’
dan ‘membakar’ semangat kita, tetapi disebabkan kejujurannya boleh dipertikaikan
kerana menggunakan nama orang lain yang sudah ‘familiar’ di ruang siber ini, maka
tulisan beliau itu boleh diragukan. Mungkinkah seorang SB yang mahu memasukkan jarum
beracunnya secara halus ? Saya harap penulis-penulis siber yang lain sentiasa berwaspada
dengan hal ini. Jadikan ini sebagai suatu iktibar untuk kita mengenali mana kawan dan
mana lawan .
Salam perjuangan,
Cucu Datuk Bahaman
(yang tulen dan
original)
Nota webmaster: Sila lihat artikel yang
dimaksudkan di laman FGR 30 Julai lalu