SETELAH BUDAYA DIHANCURKAN, MASIH
MAHU SOKONG UMNO?
(Artikel ini bukanlah dibayangi dengan semangat
perkauman, tetapi harus dipandang dari sudut mencari penyelesaian bersama yang bakal
menguntungkan pada semua pihak.)
Sebuah artikel terbitan The Strait Times
dengan tajuk "MCA declares war on Ecstasy " begitu menarik perhatian saya.
Di dalam artikel tersebut menyerlahkan kebimbangan Presiden MCA sendiri tentang masa
depan anak-anak muda bangsa Cina. Mereka-mereka ini tidak begitu ambil pusing lagi
kehidupan mereka. Dengan wang yang melimpah ruah, mereka hanya mahu mengisi kehidupan
dengan berpoya-poya dan berhibur.
Apakah sebenarnya punca masalah ini? Apa juga
masalah sosial sebetulnya ianya bermula di rumah. Dan apa juga bermula di rumah
sebetulnya dicorakkan pula oleh suasana perjalanan budaya kehidupan sesebuah
masyarakat sekeliling. Perlu diakui oleh semua pihak, bahawa budaya masyarakat Malaysia
sekarang terutamanya di bandar ialah "mengejar hidup mewah dalam dunia
materialistik". Wang begitu mudah diperolehi di Malaysia sekarang apatah lagi
pada masyarakat Cina yang menguasai dunia korporat. Tetapi apa yang menjadi masalahnya
setiap sesuatu itu tidak lepas dari kos melepas. Apabila kita begitu sibuk
mengejar wang, pasti yang menjadi korban ialah masa yang diperuntukkan untuk
keluarga dan anak-anak. Maka sebab itu jalan
mudah ialah dengan memberi sahaja wang
pada anak-anak sambil mengharapkan mereka boleh berfikir sendiri.
Lihat sendiri
apa kata Dr. Ng Ketua Wanita MCA :
"parents have to wake up to the fact that
their children require more attention. We have to spend more time with our children
and talk to them. We cannot just give them money which they will spend on Ecstasy
or gambling."
Bertolak dari sini masyarakat Cina perlu membuka mata dalam
melihat masa depan anak-anak mereka. Mereka seharusnya sedar bahawa kebebasan
serta hiburan yang berlebihan yang 'dihalalkan' oleh kerajaan BN yang diterajui
oleh Parti 'Islam' UMNO itu akan menjahanamkan generasi akan datang. Apakah
masyarakat Cina masih mahu mempertahankan suasana keadaan Malaysia dalam kancah
hiburan tanpa terkawal tapi dalam waktu yang sama mereka bimbang pula dengan
keadaan anak-anak muda mereka?
Maka sebab itu masyarakat Cina perlu bersikap
lapang dada dan terbuka dengan iltizam kepimpinan BA yang diterajui PAS. Pendekatan
negara Islam yang diperjuangkan PAS bukan untuk meng'Islam'kan Ah Chong, Raju atau
David. Namun di dalam pendekatan Islam itu sendiri sebetulnya terkandung
nilai-nilai universal yang didokong oleh semua kaum, agama serta kepercayaan di
dunia ini. Saya percaya tidak ada satu agama pun di dunia ini yang setuju bahawa
suasana mengejar kekayaan yang melampau serta hiburan yang berlebihan itu
baik untuk pertumbuhan sesebuah masyarakat yang sejahtera. Malah jatuhnya beberapa
tamadun sebelum adalah merupakan bertitik tolak dari kesilapan sebegitu.
Sebab
itulah masyarakat Cina terutamanya perlu menghentikan sikap ofensif terhadap pendekatan-pendekatan yang cuba di bawa oleh PAS dalam usaha mereka
untuk
memperbaiki kembali masyarakat yang semakin rosak sekarang. Mereka perlu lebih
memahami tentang arah tujuan sebenar yang cuba dibawa oleh PAS dan komponen BA
yang lain. Kepada Lim Kit Siang, anda perlu faham lebih mendalam
lagi perbezaan
'Islam' UMNO dan 'Islam' PAS. Jika anda masih menyatakan anda lebih 'gemar' kepada
cara Islamnya UMNO bermakna anda mungkin telah meletakkan 200,000 lagi mulut
anak-anak muda Cina di hadapan pil ecstasy.
Kepada masyarakat Cina masalah ini
bukanlah masalah anda semua sendiri. Masyarakat Melayu tidak terkecuali dengan
masalah ini. Anak-anak Melayu merupakan 'penghuni setia' kepada Pusat Serenti
seluruh Malaysia. Maka sesuatu perlu dilakukan. Kita tidak boleh tertipu dengan
laungan pemimpin-pemimpin yang kononnya mengajak supaya masyarakat mengamalkan
nilai murni tapi pada yang sama dia turut 'bergelek' dengan artis Bollywood di
kawasan perjudian tanah tinggi Genting.
Fikirkanlah anda semua wahai
sahabat-sahabatku masyarakat Cina.
Maaf jika ada kata-kata yang kurang berkenaan.
Laksamana Bentan