APA LAGI YANG TENGKU RAZALEIGH TUNGGU?
Oleh Ummu Natasya
ummu_natasya@hotmail.com
DALAM politik Umno ada ‘permainan’ cukup halus
yang sukar untuk dibuktikan, walaupun senang diketahui.
Permainan itu, sengaja disusun begitu rupa, kerana
masing-masing mahu melepaskan ‘tengkuk’ sendiri. Kini, permainan paling nyata ialah
kem Dolah Badawi berdepan dengan kem Najib Tun Razak.
Yang pasti jadi mangsa ialah Tengku Razaleigh
Hamzah kerana dia keseorangan sekarang setelah Dr. Mahathir terperangkap dengan
permainan kem Dolah Badawi.
Satu usaha sedang dibuat untuk ‘menurunkan’
Dr. Mahathir dalam tempoh terdekat dan penggantinya Dolah Badawi. Ia disusun dengan rapi
oleh Ketua Konspirator menjatuhkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang bernama Aziz
Shamsuddin.
Walaupun sehari, Aziz mahu melihat Dolah menjadi
Perdana Menteri. Bagi Aziz, setelah dia menjatuhkan Anwar, Dolah adalah pengganti.
Tetapi, dalam hati kecilnya bimbang kalau-kalau selepas Dr. Mahathir, bukan Dolah yang
mendapat tempat itu. Selain dari Dolah, Aziz merasakan dirinya berada di atas bara api.
Dia tersalai dan dia kepanasan seperti cacing di bawah cahaya matahari.
Tengku Razaleigh sepatutnya sedar permainan ini.
Pindaan Perlembagaan Umno yang hanya menetapkan sekali pemilihan jawatan dalam tempoh
sekali pilihan raya umum adalah usaha Dolah Badawi untuk mengekalkan kedudukannya dan
menjamin dia menjadi Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir.
Aziz Shamsuddin membisikkan ketelinga Dr.
Mahathir, usah benarkan sebarang pindaan kerana ia akan menyebabkan Tengku Razaleigh
melangkah masuk ke ‘kawasan larangan’ seperti bertanding jawatan Presiden ataupun
jawatan Timbalan Presiden.
Dr. Mahathir cukup risau kalau-kalau selepas dia
tidak lagi menjadi Perdana Menteri, ada usaha melepaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dia
tidak mahu Anwar ‘hidup’ di luar penjara. Jika Anwar ‘hidup’ bermakna tapak
rumah Dr. Mahathir pun akan terasa ‘ngilu’.
Selain dari tapak rumah Dr. Mahathir terasa ngilu,
debaran jantung Aziz Shamsuddin juga akan bertambah kencang. Anak-anak Dolah Badawi,
ipar duainya dan saudara mara Dolah cukup risau jika Anwar lepas bebas.
Mungkin sukar untuk Tengku Razaleigh keluar Umno
sekali lagi. Ini kerana parti yang didokongnya sudah dibubarkan. Untuk menyertai
keADILan, dia terasa khuatir kalau-kalau dosanya dengan PAS tidak boleh diampunkan.
Maka, dalam kotak fikiran Tengku Razaleigh sekarang, apakah yang wajar dibuat kerana
Umno sudah “menyekatnya” untuk melangkah “ke kawasan larangan” Dolah Badawi dan
Dr. Mahathir.
Tengku Razaleigh adalah Ahli MT Umno yang
dilantik. Dia nampak betapa kuatnya Tajol Rosli Ghazali bercakap dalam mesyuarat MT yang
lalu supaya “jangan ada pertandingan untuk jawatan nombor satu dan nombor dua”.
Dia juga nampak betapa hebatnya Datuk Wira Mohd
Ali Rustam bercakap dengan nada yang sama seperti Tajol.
Dalam masa yang sama, Annuar Musa yang memang
nyata ‘musuh’ Tengku Razaleigh turut menyokong pendirian dan pandangan Tajol dan
Mohd Ali.
Ketiga-tiga mereka ini adalah ‘jenderal’ dalam
kem Dolah Badawi. Mereka bercakap atas ‘arahan’ Aziz Shamsuddin. Terkapai-kapai
Muhyiddin Mohd Yassin untuk mempertahankan cadangannya tetapi dia tidak sedar, Dolah
sudah susun segala-galanya.
Dari celah-celah keletihan ahli-ahli Umno
mempertahankan parti yang sedang sakit itu, mereka mengharapkan suara Dato’ Shahrir
Abd Samad. Malangnya, Shahrir sudah tidak berani berkokok lagi. Shahrir sudah kepingin
mahu menjadi Menteri semula setelah dia lihat Rais Yatim yang ‘bakar jambatan’ sudah
kembali menjadi Menteri.
Nun… jauh di sudut lain, masih ada yang
mengharapkan Datuk Ahmad Zahid Hamidi turut bercakap mempertahankan peri mustahaknya
pindaan perlembagaan yang mampu menarik semula minat orang-orang Melayu kepada Umno.
Malangnya, Zahid yang terlalu sayangkan hartanya
tidak boleh bersuara lagi. Dia kini adalah pengerusi Suruhanjaya Perumahan Malaysia
(SPM) yang berpejabat di Tingkat 10, Bangunan Dayabumi. SPM adalah satu suruhanjaya yang
bertanggungjawab terus kepada Menteri Kewangan. Maka, Zahid kini adalah penjilat Tun
Daim Zainuddin.
Dolah Badawi beruntung kerana Daim juga
bersama-sama dalam kemnya. Dalam kem ini juga ada Azmi Khalid dan Senator Hamzah
Zainuddin. Dolah Badawi sibuk memasang cita-cita, dia tidak akan tergugat dengan
perlaksanaan pindaan ini.
Dalam MT Umno tidak ada yang berani menegur dan
mencadangkan sesuatu yang berlainan sedikit dari cadangan Dr. Mahathir dan Dolah Badawi.
Jambatan Dolah adalah Aziz Shamsuddin. Maknanya, tukang bisik Dr. Mahathir ialah Aziz
dan dia sentiasa menyampaikan cerita baik mengenai Dolah dan dalam masa yang sama
memastikan Tengku Razaleigh mesti dijauhkan dari ‘kawasan larangan!’