MGG 123
TERENGGANU DAN POLITIK PETROLEUM
PUSAT
(MGG: Terengganu And The Oil
politics Of Federalisme)
Artikel asal tersiar di dalam HARAKAH terkini.
Barisan
Nasional (BN) menggelabah mencari mana satu yang betul. Tetapi, disebabkan
keangkuhannya dan bukan disebabkan sikap berpolitik secara adil dan saksama, ia
telah mengambil jalan yang silap. BN naik berang apabila para pengundi yang begitu
setia sejak 39 tahun yang lalu, tiba-tiba sahaja mengehumbankannya daripada puncak kuasa
di Terengganu. Sebenarnya sebelum berlakunya keaiban November1999 itu BN di Terengganu
sudah sedar akan kehilangan seorang pemimpin yang baru. Walau bagaimana pun BN
terjebak juga. Ada satu usaha untuk melarikan tujuh lori yang sarat dengan
dokumen di satu malam buta daripada pejabat kerajaan negeri dan juga daripada rumah
kediaman menteri besar. Perkara itu telah dijangka oleh Dato' Haji Hadi Awang, menteri
besar yang telah mengambil tindakan untuk menghalang perkara itu. Peti besi di
pejabat menteri besar ketika itu dan juga di rumah kediaman rasminya
mengandungi lebih kurang RM 10 juta (Sepuluh juta) yang pun mampu dituntutnya
kalau dia mampu menunjukkan bukti. Inilah yang belum dilakukannya lagi. Dia tidak
pun berjaya mengekalkan jawatan lamanya itu di majlis dewan negeri dan kini menjawat
jawatan duta negara ke Saudi Arabia (Arab Saudi).
Kerajaan Pusat BN telah
bertindak pantas untuk membalas dendam terhadap kerajaan PAS yang baru sahaja ditubuhkan
itu. Lagi pun harga petroleum yang mendadak naiknya memberi kesedaran kepada kerajaan
pusat bahawa peruntukan royalti sebanyak lima persen daripada Petronas
itu akan berganda menjadi RM850 juta pada tahun 2000. Pembayaran dibuat dalam dua
ansuran. Ansuran pertama berjumlah RM436 juta dibayar pada bulan Februari. Tetapi,
Petronas telah menghentikan pembesaran kilang penapisnya di Kerteh dan sebaliknya telah
melakukan perkara itu di Gebeng yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan
Pahang. Nampaknya bermulalah satu tarik tali di antara Terengganu dan
Petronas di satu pihak dan kerajaan pusat di satu pihak lagi. Kuala Lumpur tidak
berupaya untuk berganjak dan Petronas yang terikat tangannya merasa malu.
Apa pun, ansuran yang berbaki sebanyak RM480 juta masih tertangguh lagi.
Menafikan
hak Terengganu kepada pembayaran royalti petroleum itu sudah menjadi satu balas dendam yang
pantas daripada kerajaan pusat terhadap sebuah negeri yang sanggup menyanggahnya. Krisis
ini lebih menyengat daripada penafian hak Terengganu kepada royalti itu. Ia
menyalahi perundangan hukum kontrak, undang-undang antarabangsa dan Undang-undang
peraturan lautan dan juga perlembagaan Malaysia. Rais Yatim yang bertanggungjawab hal
ehwal perundangan telah mengejek Terengganu agar membawa perkara ini ke mahkamah.
Tujuan
utama kerajaan pusat mengambil alih hak Terengganu adalah semata-mata untuk melumpuhkan
pentadbiran kerajaan PAS. Terengganu harus menyambut cabaran itu bukan di
mahkamah Malaysia tetapi di Mahkamah Antarabangsa di Den Hag untuk mendapatkan pandangan
dan nasihat guaman bukan sahaja mengenai royalti itu malahan juga mengenai isu yang
lebih besar lagi menyangkuti Federalisme. Satu kontrak yang berat sebelah bukannya satu
perjanjian. Apabila perundingan dan perbincangan menjadi sukar seperti yang
berlaku kini, dan campur tangan mahkamah diperdapatkan, ia menggambarkan betapa
wujudnya kepincangan dalam sistem itu dan juga amalannya.
Hak Malaysia kepada Zon
Ekonomik Ekskulisf (EEZ- Exclusive Economic Zone) muncul daripada hak kepada
persisiran pantai yang dinikmati oleh negeri-negeri yang bersekutu dalamnya.
Undang-undang antarabangsa adalah berdasarkan kepada adat, penggunaan dan amalannya.
Kalau Kuala Lumpur benar, bererti Pulau Redang bukan lagi hak Terengganu dan Pulau
Tioman bukan lagi hak Pahang. Begitu juga dengan kepulauan Spratleys yang terletak di
Lautan China Selatan itu. Tuntutan ini dikira sah kerana ia dikaitkan dengan
salah satu kerajaan negeri di dalam Persekutuan itu dan bukannya sebagai wilayah
persekutuan.
Ungkapan sempadan had tiga batu itu sebenarnya merupakan satu
konvensyen. Satu ketika dulu, ledakan meriam sebuah kapal dikira mempunyai jarak
jangkauan sejauh tiga batu. Kalau tembakan itu mengenai sasaran di atas darat, ia
dikira satu tindakan mengancam dan memungkinkan satu peperangan. Inilah yang
dijadikan satu adat dan amalannya dalam penaksiran sempadan wilayah
sesuatu negara yang berpesisiran pantai dan berdaulat. Kini, sesuatu buah kapal boleh
menembak mengenai sasaran yang beribu batu jauhnya. Namun
konvensyen lama itu terus diambil sebagai sebahagian undang-undang antarabangsa.
Kemudian, ada pula negara yang mengambil kira had itu kepada 12 batu jauhnya sedangkan
ada pula yang memperakukan jarak 200 batu. Namun, dalam
perundangan samudera had itu dikira sejauh tiga batu sahaja, ditambah lagi dengan
EEZ dan hak kepada negara persekutuan yang ada kaitan dengan hak negara yang
berpesisiran pantai. Malaysia membuat tuntutan kepada hak negara berpesisiran
pantai kerana semua 13 negeri yang menganggotai Pesekutuan itu mempunyai hak itu.
Oleh
kerana Persekutuan Tanah Melayu yang mendahului penubuhan Malaysia telah
wujud hanya pada 1948, hak Malaysia kepada EEZ dalam hukum-hakam
antarabangsa itu adalah disebabkan hak yang wujud kepada kerajaan negeri. Malaysia
membuat tuntutan terhadap Pedro Banca (Pulau batu Putih) daripada Singapura kerana Johor
mempunyai sejarah lama dalam tuntutannya kepada pulau itu. Malaysia mempunyai
tuntutan kepada Sipadan dan kepulauan Litigan daripada Indonesia disebabkan oleh Sabah.
Inilah sebabnya Petronas bersetuju membayar lima persen royalti kepada Terengganu kerana
penggerudian petroleum di kawasan EEZ itu. Apabila Terengganu dinafikan hak
royalti kenapa pula Terengganu diambil kira untuk menjadi penerima sulung
Wang Ehsan (solatium payment) yang nilainya sama banyak dengan peruntukan royalti
itu? Bukankah ini bererti wang itu lebih tepat diberikan nama 'Wang Rompakan'
sahaja. Kalau wang royalti tidak dikira layak bagaimana wang ehsan direncana
pulak?
Semua negeri yang lain sedang memperhatikan kemelut ini dengan penuh
minat. Seandainya petroleum terdapat di perairan mereka apakah royalti seperti itu
dinafikan juga kepada mereka? Kenapakah Wang Ehsan hanya diberikan kepada
Terengganu sedangkan negeri lain tidak diambil kira? Kalau 'Wang Ehsan' itu
menjadi hak negeri yang mengeluarkan petroleum sahaja, kenapakah kerajaan pusat membuat
penyaluran terus kepada penduduk negeri itu dan tidak kepada kerajaan yang mentadbir
negeri mereka? Kuala Lumpur sebenarnya mencabar suasana kemesraan yang terjalin di
antara kerajaan pusat dan kerajaan ngeri itu untuk menggugat kedudukannya sendiri.
(Inilah kes kalau otak ada di lutut, MGG Pillai...! -penterjemah).
Akta
Pembangunan Petroleum (The Petroleum Development Act 1974) dan Akta Pelantar Benua
(Continental Shelf Act 1965) yang menjadi rujukan Kuala Lumpur dalam telagahan ini,
sebenarnya dikira tidak sah selagi dewan perundangan negeri tidak meluluskan hukum-hakam
yang bersangkutan dengannya. Terengganu memang tidak pernah melakukan perkara
semua ini (patutlah.....royalti dulu-dulu dibalun sakan....-penterjemah). Apabila hak
sesuatu negeri itu dialihkan kepada kerajaan pusat, perlembagaan negeri itu harus
dipinda. Kalaulah Kuala Lumpur berpendirian bahawa Terengganu hanya
berhak kepada tuntutan royalti petroleum yang muncul dalam lingkungan tiga batu
daripada persisiran pantainya dan di daratnya, tentulah perkara ini sudah termaktub
dalam perjanjian mereka. Perkara ini pun tidak wujud. Petronas telah pun
menandatangani satu perjanjian dengan Terengganu dengan mengambil kira kawasan EEZ itu
juga. Lagi pun kerajaan persekutuan telah membuat perakuan akan pembayaran royalti itu
sejak 25 tahun yang lalu. Peraturan undang-undang semudera memberikan hak
kepada negeri yang berpesisiran pantai. Ini bererti di Malaysia hak itu terpaut
kepada kerajaan negeri sahaja.
Apabila kerajaan negeri memberikan kerelaan hak mencari gali
sumber kepada kerajaan pusat, tentulah dia mengharapkan faedah yang setimpal
dengan kerelaan itu. Jika tidak kenapa perkara itu dilaksanakan? Kuala Lumpur tidak
boleh melakukan paksaan tanpa kerelaan kerajaan negeri. Inilah yang menghasilkan
perjanjian royalti itu. Tengku Razaleigh Hamzah pernah menandatangani perjanjian
bagi pihak Petronas pada 1975 dulu, telah menafikan hal ini pula. Tetapi ini adalah satu
kenyataan berbaur politik semata-mata dan tidak boleh diguna-pakai. Pembantu beliau
pernah memberitahu bahawa royalti itu mesti
dibayar dan tidak sampai mengenepikan PAS
daripada Terengganu.
Sarawak dan Sabah pernah mengugut untuk keluar
daripada gagasan persekutuan kalau Kuala Lumpur mendesak merampas segala hak
eksklusif di EEZ itu. Kerana itu dua negeri itu dibayar royaltinya sedangkan
Terengganu tidak pula. Dua negeri Malaysia Timur itu bertegas bahawa Malaysia adalah
merupakan persekutuan tiga negeri - Malaya, Sabah dan Sarawak. Tetapi Kuala Lumpur kata
ia mengandungi tiga belas. Kalau begitu, Terengganu mesti diberikan layanan seperti yang
diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Malaysia tidak boleh mengalihkan tiang gol
sesuka hatinya. Ini akan mengkucar-kacirkan
perlembagaan itu seluas-luasnya.
Seandainya
Kuala Lumpur menafikan hak royalti kepada Terengganu, adalah menjadi hak Terengganu
memerintahkan segala infrastruktur petroleum itu keluar daripada Terengganu. Ataupun
mengenakan cas bagi setiap tong minyak yang dipam oleh Petronas keluar masuk
kilang penapisan. Terengganu boleh juga menarik balik segala kemudahan istimewa yang
diberi kepada kompleks di Kerteh dan mengenakan sewa kepada setiap paip yang dipasang di
Kerteh. Terengganu berlagak laksana anak yang terlalu manja sedangkan ia sepatutnya
bertegas untuk menonjolkan ketokohannya sebagai sebuah negeri dalam persekutuan. Ia
harus sanggup mencabar dari sudut politik dan juga kehakiman. Tindakan PAS mengadakan
'roadshow' telah menyerlahkan kesan. Ia telah menganjurkan jamuan untuk para duta
dan orang lain dengan juadah masakan Cina di hotel besar di Kuala
Lumpur untuk membuat penjelasan. Malahan ia juga menganjurkan beberapa ceramah di
serata negara.
Kuala Lumpur sebenarnya ketandusan sumber wang. Walaupun ia
berlagak bagak, sebenarnya Kuala Lumpur tidak mampu melunaskan hutangnya. Petronas
merupakan bank utamanya. Kuala Lumpur menjalin hubungan baik dengan kerajaan
negeri dengan cara mengawal kewangan mereka. Ketika Sabah menjadi negeri pembangkang, ia
telah sengaja diperlecehkan untuk menerima peruntukannya. Kerana itu Sabah terpaksa
berikhtiar sendiri sehingga mampu mewujudkan peruntukan tabung dana yang besar hinggakan
Kuala Lumpur naik rakus untuk menawannya semula. UMNO cuba menumbang kerajaan itu
dulu tetapi tidak berjaya. Ini merupakan satu cerita rahsia untuk lain masa
(agaknya).
Kuala Lumpur tidak boleh menerima hakikat betapa Terengganu akan
menerima hampir Satu Bilion Ringgit setiap tahun sedangkan ia tidak berupaya mengawal
negeri itu bersangkutan dengan cara dana itu digunakan. Seperti biasalah tindakan
spontan untuk menyekat perkara itu berlaku telah dilakar tanpa memikirkan akan
akibatnya.
Sebenarnya bukan sahaja royalti petroleum yang dipertikaikan sekarang.
Kuala Lumpur berlagak untuk merampas hak negeri itu kerana memikirkan apa yang akan
dilakukan dengan wang sebanyak itu. Kemelut ini merupakan satu teka-teki
bagaimanakah mewujudkan satu kesaksamaan dalam hubungan antara kerajaan pusat dan
kerajaan negeri. Tidak kiralah kalau ada satu kerajaan negeri yang tidak bersekongkol
dengan kerajaan pusat. Pernah terjadi satu kisah lama apabila sebuah kerajaan negeri
memberontak dan ditumpaskan secara ganasnya. Inilah yang berlaku kepada kerajaan
koalisi yang dipimpin oleh Dato Stephen Kalong Ningkan pada tahun 1960-an dulu.
Kini,
negeri di bawah BN pun bertegas untuk mempertahankan hak masing-masing kalau ada
ancaman daripada Kuala Lumpur. Gelagat Kuala Lumpur mendapatkan Putra Jaya tanpa
sebarang perundingan menyemarakkan semangat kenegerian di kalangan negeri yang lain.
Perdana Menteri mahukan Putra Jaya tanpa sebarang bantahan daripada dewan perundangan
negeri. Sikap kerajaan pusat itu menunjukkan apa yang dimahukan oleh kerajaan pusat
mesti dianggukkan sahaja. Apa yang Kuala Lumpur kata adalah betul belaka. Dalam jangka
pendek, mungkin Kuala Lumpur akan menang, tetapi bukan dalam jangka panjang. Kuala
Lumpur sengaja memperlekehkan kerajaan negeri tanpa memikirkan akibatnya.
-MGG
Pillai-
Diterjemahkan oleh MT