YTDT 7
KALAU OTAK ADA DI LUTUT
Semalam, 7 November 2000, Sultan Selangor dan
putranya Pemangku Raja Selangor telah menandatangani perjanjian jual-beli kawasan
yang kini disebut Putra Jaya dengan harga RM200 juta, ditambah RM 7.5 juta setahun untuk
satu tempoh yang tidak ditetapkan. Kenapakah dipilih tarikh 7.11.200 untuk
menandatangani perjanjian itu dan tidak ditunggu selepas Jumaat misalannya
dan dilakukan dalam satu majlis di mana rakyat marhaen dijemput untuk menjadi saksi,
akan merupakan satu teka-teki sejarah. Yang nyata, kalau dicampurkan 7+1+1+2+0+0+0+0 ia
akan memberikan jumlah 11. Kemudian kalau diikut ilmu numerologi kalau dipecahkan
sebelas itu menjadi dua angka yang perlu dicampurkan kembali ia akan menjadi '2'. Angka
dua memang merupakan angka keramat bagi seorang insan yang masih tidak percaya pisau
cukur sudah ada di zaman Nabi Mohammad s.a.w.
Ini memberikan satu kiasan, tarikh
untuk menandatangani perjanjian pun mesti mengikut rentak selera seorang rakyat (yang
ada "sesudu dua darah Pakistan" mengikut suratnya kepada Tunku Abdul Rahman
Putra dulu).
Sayang......dan amat memilukan, kalau kita ambil sejarah bagaimana
Negeri Selangor itu diperjuangkan satu ketika dulu oleh rakyat marhaen untuk membolehkan
suku sakat seorang raja yang sungguh lemah ketika itu kerana kerap berperang sesama ahli
kerabatnya sedangkan Selangor ketika itu merupakan satu negeri Melayu yang termaju
selepas kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Tanpa kegigihan orang Melayu memperjuangkan
istana raja dulu kala, kerajaan Melayu Selangor ketika itu sudah pasti mengikuti jejak
langkah negeri Melaka, kini. Tanpa beraja dan tanpa ada sesiapa yang pedulikan
kegemilangan susur-galur kedaulatan raja-raja itu.
Berulangnya
Sejarah Lama
Lebih dua puluh lima
tahun dulu pada 1 Februari, 1974; raja yang sama telah menjual Kuala Lumpur kepada
kerajaan pusat dengan bayaran ganti rugi yang dikira setimpal pada zaman
itu, iaitu RM3.5 bilion. Wang pendahuluan yang dibayar ialah RM200 juta. Sebaik sahaja
menerima wang pendahuluan itu Kerajaan Selangor telah membina pintu gerbang di hadapan
KWSP dengan harga kalau saya tidak lupa sekitar RM17 juta. Di waktu yang sama raja yang
menandatangani perjanjian jual beli itu telah membeli sebuah 'yatch' kerana dia
mahu "memudahkan kerja-kerja melawat kepulauan di dalam jajahan Selangor". Apa
jadi dengan 'yatch' itu pun masih menjadi teka-teki juga.
Di samping jumlah di
atas, kerajaan pusat juga dikehendaki membayar RM18.3 juta setahun untuk selamanya.
Ketika
perjanjian awal ditandatangani pada tahun 1974 itu, kadar tukaran matawang Malaysian
Dollar dengan dollar Amerika ialah sekitar 2.30 - 2.50. Kini, kadar tukaran tetap ialah
sekitar RM 3.80. Di luar negara, kadar tukaran pasaran gelap pula ialah RM6.50 kepada
satu dollar.
Setiap rakyat Selangor terutama sekali orang Melayu tentu merasa
sebak melihatkan gambar penjualan itu kerana ia mengimbau sejarah lama betapa ramainya
orang Melayu yang terkorban mempertahankan kedaulatan raja-raja di negara ini. Malahan,
ketika Selangor dihambat oleh pergerakan Bintang Tiga yang mengganas sebaik sahaja Jepun
menyerah kalah dalam Peperangan Dunia Ke-2 dulu. Ketika itu bapa sultan yang ada ini
amat memerlukan bantuan orang Melayu untuk melindunginya dan anak-anaknya (termasuk Yang
Di Pertuan Agong kini). Kemudian, British masuk kembali dan satu proses untuk merobotkan
masyarakat istana cuba diatur dalam bentuk penubuhan Malayan Union. Sekali lagi, orang
Melayu bangkit untuk memberontak dan berhimpun ramai-ramai menunjukkan kerelaan
mempertahankan apa yang disebut sebagai kedaulatan raja-raja Melayu. Di waktu itu tidak
ada telefon lagi dan orang Melayu yang termampu masih lagi berhiburkan dirinya dengan
penggunaan peti-nyanyi (gramophone) cap kepala anjing. Di kepala anjing itu ada tertulis
"His Master's Voice".
Setiap kali mahu memainkan sekeping rekod, peti
nyanyi itu perlu diputar dulu untuk mengetatkan spring yang tersorok di dalamnya.
Satu jarum kecil perlu dipasang untuk menggores rekod itu apabila 'spring' yang ketat
dibiarkan untuk memutar rekod tadi. Berbunyilah rekod itu. Kalau jarum yang digunakan
itu jarum baru, merdulah suara penyanyi yang dirakamkan pada rekod itu. Kalau jarum yang
digunakan adalah jarum lama yang dikitar semula, suara nyanyian yang keluar di corong
peti adalah suara yang garau-garau, sumbang dan menggelikan hati. Kadangkala, spring di
dalam peti itu pun meragam mungkin kerana terlalu kerap digunakan. Orang yang memutarnya
fikir dia sudah cukup putar, sebaik sahaja dicuba memainkan rekod kesayangannya,
peti-nyanyi itu meragam. Terpaksalah dibiarkan dulu spring itu mengendur secara
perlahan, untuk diketatkan semula.
Di zaman orang Melayu menggunakan peti-nyanyi,
masyarakat Melayu mampu berhimpun untuk menyanggah British. Tidak perlu telefon dan
tidak ada pun radio untuk digunakan sebagai alat mengajak orang Melayu bersepadu. Cukup
dengan tong-tong, tabuh, beduk, gendang besar dan juga rebana besar yang dipukul di
masjid dan surau memberi isyarat bahawa bahaya sudah mendatang dan masyarakat
Islam perlu berperang. KEBANGKITAN orang Melayu ketika zaman peti-nyanyi
pakai spring dulu adalah satu kebangkitan yang belum berulang lagi.
Satu ketika
dulu, orang Melayu akan berkumpul dengan segala rela hati untuk mempertahankan
kedaulatan raja-raja dan orang besar, wakil raja-raja. Pantang mendengar isyarat,
berhimpunlah masyarakat Melayu itu tanpa ragu-ragu kerana di zaman dulu perhimpunan
tidak memerlukan lesen ataupun apa yang disebut sekarang sebagai 'permit'. Malahan,
kalau kita baca buku sejarah lama, ada dicatatkan bagaimana rakyat marhaen dikerah untuk
berperang tanpa ada sebarang bekalan makanan daripada istana, sedangkan perjuangannya
itu adalah untuk mempertahankan insan yang sedang menghisap madat dalam istana. Kalau
ada pun upah yang diberikan oleh raja kepada rakyat yang akan pergi ke medan perang itu
ialah hak meniduri sekumpulan wanita (harem) yang sudah pupus gelaran mereka sebagai
dayang dan gundek raja ataupun masyarakat janda perang yang kehilangan suami ketika
peperangan untuk raja sebelum itu. Itulah nasib rakyat marhaen di zaman dulu yang
diputar minda mereka dengan peribahasa: "Di mana Bumi Dipijak Di sana Langit
Dijunjung".
Indah sungguh peribahasa itu kerana ajaran itu telah mampu
memutar minda orang Melayu turun temurun sehinggakan Melayu rela menyembah raja-raja dan
terhangguk kepada sesiapa sahaja yang berdarah raja. Orang bukan-Melayu yang tidak
melakukan sifat begitu tidak pula didera, kerana mereka tidak diajar akan peribahasa
Melayu seperti itu. Mereka juga tidak diajar apa ertinya kedaulatan raja-raja
Melayu.
Orang Melayu Tidak Pandai
Mencongak?
Apa yang ditandatangani
oleh Sultan Selangor adalah satu perjanjian yang perlu diluluskan oleh majlis Kerabat
Raja-raja dan juga Dewan Negeri Selangor. Yang peliknya, rakyat Selangor tidak
ambil pusing sangat akan perkara ini seolah-olah ada sesuatu yang tersirat dalam sikap
membisu mereka itu. Apakah kerana fahaman universal bahawa orang Melayu itu tidak suka
Ilmu Hisab kerana itu mereka tidak mampu mencongak nilai jumlah pampasan yang diterima
oleh Negeri Selangor? Ataupun apakah, kerana rakyat Selangor sudah faham, selepas
berlakunya kepada rakyat Terengganu, sebarang perjanjian yang ditandatangani oleh
Mahathir dan kerajaannya akan dianggap sebagai kertas tisu sahaja? Ataupun apakah ada
sesuatu intrig yang menjadi muslihat orang Selangor untuk menyerlahkan satu kebangkitan
terhadap apa yang telah dilakukan oleh Sultan?
Kalau diambil kira pampasan RM200
juta yang dibayar oleh Kerajaan Mahathir, harga pampasan tanpa mengambil kira
bayaran tahunan yang boleh dianggap sebagai gula-gula itu; kadar tanah yang dijual oleh
kerajaan Selangor kepada Kerajaan Pusat ialah sekitar 0.93 (sembilan puluh tiga) sen
sekaki persegi. Sebagai perbandingan kita boleh melihat harga tawaran untuk tanah
kosong di Cyberjaya ialah sekitar RM52 (Lima Puluh Lima Ringgit) sekaki persegi.
Kalau harga pasaran ini diambil kira sedangkan harga itu adalah mengenai Cyberjaya,
harga pampasan yang patut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan mestilah melebihi Berbilion
Ringgit. Bayangkan sendiri kalau dalam setiap hektar terdapat 43,562 kaki persegi.
Soalnya
sekarang, kenapakah kerajaan negeri begitu mudah menjual maruah rakyat Selangor kepada
kerajaan pusat dengan harga yang sungguh menghinakan? Di sinilah terjawabnya
kenapa Abu Hassan Omar rela melepaskan jawatannya sebagai menteri besar walaupun
ketika itu dia dihina dan dicemuh begitu hebat sekali. Inilah juga sebabnya
saya katakan dalam penulisan yang lalu, Khir Toyo adalah seorang budak hingusan dalam
arena politik Melayu.
Kita mahu ambil sedikit pengalaman dunia sejagat sebagai
bahan pengajaran untuk rakyat Malaysia dan juga masyarakat Melayu.
- Lebih seratus tahun yang lalu, empayar
British terkenal seluruh dunia sebagai satu empayar yang berjaya menakluki kemegahan
maharajah Cina sehinggakan mampu memujuk Cina menyewakan Hong Kong sebagai pusat
perdagangannya di Asia. Sebenarnya British mahu mengambil alih pulau itu dengan cara
membelinya dan sebelum dilaksanakan program itu British telah mengganyang masyarakat
Cina agar menjadi satu bangsa yang kuat menghisap candu. Masyarakat Cina menjadi
masyarakat pemadat kerana British membekalkan candu itu yang ditanam di Burma,
sebuah negara jajahannya. Rencana British itu sempat dibaca oleh
Cina yang hanya bersetuju menyewakan Hong Kong dalam perjanjian pajakan sahaja
kepada British dan Macao kepada Portugal. Kini, Hong Kong pulang ke pangkuan China
dan bermulalah konsep satu negara dengan dua konsep pentabirannya.
- Beberapa dekad kemudiannya, British telah
memperolehi Singapura bukan dengan pajakan ataupun gadaian. Hanya dengan membeli
pulau itu daripada Temenggong Johor (bukan pun berdarah raja) dengan pampasan yang
amat malu untuk diulang di sini kerana antara beberapa hadiah yang diberikan oleh
Stamford Raffles termasuklah beberapa tin cokelat (toffee) dan biskut keras (yang
satu ketika dulu menjadi bahan bekalan makanan Askar Melayu di hutan rimba).
Sebelum
itu pula British telah berjaya mengambil tanah jajahan Sultan Kedah yang kini
dinamakan Seberang Perai dan Pulau Pinang. Satu ketika dulu ia dikenali dengan nama
Province Wellesley and Penang. Upah pemberian tanah jajahan Sultan itu ialah janji
British untuk mempertahankan kedaulatan raja Melayu daripada ancaman kerajaan Siam. Bererti
Sultan Kedah ketika itu tidak yakin dengan keperwiraan rakyatnya. Mungkin kerana
terlampau ramai yang berdarah Pakistan?
- Pengambilan tanah asing oleh penjajah memang
merupakan satu proses penjajahan yang bercorak lembut kerana ia dilakukan tanpa
pertumpahan darah. Yang paling klasik ialah ketika Belanda meminta sebidang tanah
untuk berdagang di Melaka. Luas tanah ialah sebesar kulit kering seekor lembu.
Sultan Melaka ketawa berdekah-dekah ketika itu memikirkan 'Benggali
Putih' yang datang daripada Eropah itu orang tolol sahaja. Tetapi, tidak disangkanya
orang Belanda itu telah menghiris kulit kering itu menjadi satu tali yang panjang.
Apabila di tarik tali itu ia menjadi satu kawasan tapak perumahan yang besar.
Barulah ketawa sultan lenyap sepi kerana ketawa rakyat Marhaen muncul mengganti.
Begitu juga dengan gelagat peniaga Portugis selepas itu. Mereka tidak meminta
tapak tanah tetapi menawarkan beberapa orang pilihan mereka menghambakan diri
kepada Sultan Melaka. Satu ketika di malam hari, khadam Portugis itu membuka pintu
istana untuk Portugis menyerang pengawal dan hulubalang raja, sehinggakan Sultan
Melaka terpaksa lagi ke Muar, kemudian ke Riau dan akhirnya ke Johor Lama. (Bukankah
itu juga cara dan taktik yang digunakan oleh seorang billionaire Cina dengan
menawarkan khadamnya menjadi setiausaha
kerja UMNO?)
- Suez Canal merupakan satu terusan
penting yang berjaya memendekkan perjalanan pelayaran samudera sebelum terciptanya
pengangkutan udara. Idea asal membina terusan itu dicetuskan oleh pedagang di zaman
Firaun kerana mereka mahu pergi ke Somalia dan Ethiopia untuk mencari damar, gaharu
dan herba yang merupakan bahan penting untuk mengawet mayat. Mereka membina parit
besar untuk membolehkan air laut daripada dua hala masuk ke terusan itu. Kemudian
kerja itu diteruskan oleh orang Yunani sebelum diambil alih oleh orang Roma. Terusan
itu tertimbus semula untuk satu masa yang panjang sebelum orang Arab menggalinya
semula untuk menakluki Mesir. Apabila Napoleon Bonaparte naik takhta pada sekitar
1798, ia mengarahkan terusan itu digali semula. Kerja yang memakan masa itu
tergendala lagi sehinggalah seorang jurutera Peranchis, Ferdinand De-lesseps,
menandatangani satu perjanjian (concession) dengan kerajaan Mesir pada
November 30, 1854 (146 TAHUN YANG LALU). Pada November 17, 1869, Terusan Suez
itu dibuka secara rasminya, setelah merakamkan lebih 125,000 nyawa rakyat Mesir
terkorban kerana pembikinannya.
Pada 1956, Mesir merampas kuasa syarikat
antarabangsa yang mengendalikan terusan itu dan memilik-negarakan terusan
tersebut. Terusan itu menjadi kawasan larangan kepada perkapalan Israel daripada
1948 hingga 1975 dan ditutup kepada semua lalu lintas daripada 1967-1975 disebabkan
peperangan Arab-Israeli sehinggalah dilakukan pembersihan yang disebabkan periuk
api, kapal yang tenggelam dan terkandas di situ. Ia diperbesarkan lagi pada
1976-1980. Terusan Suez terus menjadi terusan penting kerana penjimatan 30% daripada
perjalanan kapal daripada Eropah ke Jepun kalau menggunakan laluan Tanjung Harapan
di Afrika.
- Begitu juga halnya dengan Terusan Panama`
satu lagi terusan yang mempercepatkan pelayaran di benua Amerika. Sejarah terusan
ini lebih menarik lagi kerana ia dimulakan oleh De-lesseps tetapi gagal
menyudahkannya disebabkan terlalu ramai pekerja yang mati kerana malaria dalam satu
tempoh yang singkat. Terpaksalah Amerika menyambungnya kembali pada 1904
dengan menggunakan kepakaran jurutera tentera Amerika.
- Kalau kita lihat Switzerland, kita dapati ia
merupakan satu negara yang tersepit di antara tanah besar Eropah. Tetapi, di setiap
sempadannya dengan negara lain, Switzerland berjaya menyewa tanah negara jirannya
untuk kemudahan memasuki negara itu. Di bahagian bersempadan dengan Peranchis dan
Jarman ada satu kawasan yang dinamakan 'Trois Frotiere'. Di situ satu kawasan
khas membolehkan seseorang memasuki Switzerland terus ke bandar lama Basle daripada
lapangan terbang Mullhouse kepunyaan Peranchis. Switzerland tidak pun membeli tanah
itu tetapi hanya menyewa secara pajakan sahaja. Begitu juga kalau kita masuk ke
lapangan terbang Geneva dan mahu pergi ke Peranchis. Kawasan yang kita masuk itu
adalah kepunyaan Switzerland, tetapi dipajak sahaja oleh kerajaan Peranchis
untuk
tempoh yang lama.
- Satu ketika dulu Amerika Syarikat mempunyai
satu tapak penempatan angkatan perangnya di Filipina yang dinamakan Subic Bay (Teluk
Subic). Ia tidak jauh daripada satu bandar yang bernama Angeles (sebut
Anghilis) City. Kawasan ini dipajakkan sahaja dan tidak dijual oleh pemerintah
Filipina ketika itu. Walaupun rakyat Manila sudah memeluk agama Kristian dan
meninggalkan agama Islam (hasil jajahan Sepanyol) dan berhutang budi kepada Amerika
kerana mempertahankan serangan Jepun dalam Peperangan Dunia Ke-2 dulu, mereka
mampu berfikir bahawa tanah mereka bukan untuk dijual-beli.
Menyedari contoh
di atas, cuba kita bayangkan apa yang telah dipersetujui oleh Sultan Selangor dan
juga wakil rakyat yang mewakili rakyat Selangor itu adalah sesuatu yang bukan sahaja
menjijikkan tetapi juga memalukan rakyat yang mampu berfikir. Oleh kerana
proses pengambilan tanah Selangor itu dilakukan dengan tipu muslihat, sejarah akan
menentukan masih banyak rahsia terselindung di sebalik pengambilan itu kerana ia
memberikan keuntungan besar kepada golongan tertentu. Adalah tidak bersalahan,
kalau rakyat Selangor mengambil sikap kurang ajar berpandukan apa yang telah diajar
oleh seorang diktator tua bahawa apa juga perjanjian yang baru ditandatangani itu,
ia adalah satu perjanjian yang tidak boleh dikira sah oleh rakyat jelata.
Eloklah
dirakamkan di sini, satu hari nanti, perjanjian jual beli Putra Jaya itu akan
disanggah oleh rakyat dan perlu dijenguk kembali agar bayaran yang bertepatan
diberikan setimpal dengan harga nilai hartanah semasa. Malahan, kita
diberitahu memang ada tanah-tanah yang telah bertukar tangan kepada orang ternama
yang tertentu dalam kawasan itu. Ini pun mesti diambil kira sebaik sahaja si
diktator tua sudah kehilangan kuasa.
Kalau Pemimpin Sudah Kurang Ajar
Tentu
ramai yang bertanya kenapakah kita mahu pertikaikan apa yang sudah ditandatangani di
antara raja dengan kerajaan yang ada. Jawapannya mudah sahaja, apa yang dilakukan oleh
Mahathir masa kini hendaklah dikira tidak sah oleh rakyat jelata. Kalau rakyat dengan
segala rendah diri sanggup membayar sewaan untuk mendapatkan stadium berhimpun secara
aman dan ditidakkan hak itu, apakah lagi yang boleh diharapkan kepada kerajaan yang
dipilih oleh rakyat? Apakah Stadium Bukit Jalil itu dibina dengan wang ringgit
peninggalan datuk moyang Mahathir Mohammad ataupun apakah Stadium Malawati di Shah Alam
itu dibina dengan duit peninggalan datuk moyang Sultan Abdul Aziz Shah? Kalau
stadium itu dibina dengan wang rakyat kenapakah rakyat dinafikan hak menggunakan stadium
itu? Kalau pengembang dan pendakwah ajaran Kristian boleh datang daripada luar
negara dan mengembangkan ajaran Kristian kepada penduduk negara ini termasuk golongan
Islam yang sudah dimurtadkannya, kenapakah rakyat yang cintakan keamanan dinafikan hak
itu?
Satu ketika dulu Pergerakan Pemuda UMNO berarak ke Dewan Perhimpunan Cina
untuk menyerahkan surat protes (sandiwara ala filem Hindustan) kepada Kumpulan Suqui.
Adakah mereka memerlukan permit dan lesen? Adakah mereka diganyang dengan gas pemedih
mata dan belantan menggila? Adakah yang buta ditembak dengan gas dalam lori?
Peristiwa
jual-beli Putra Jaya yang dilakukan oleh Sultan Selangor dan Raja Kelentong haruslah
dianggap tidak sah dan Putra Jaya haruslah dipajakkan sahaja untuk satu tempoh yang
panjang kepada Kerajaan Pusat mengikut cara Hong Kong dipajakkan kepada Kerajaan British
oleh Kerajaan China dulu. Cadangan ini bukannya datang daripada agen
asing tetapi datang daripada seorang anak Melayu jati Selangor yang nenek moyangnya
pernah berjuang mati-matian mempertahankan apa yang dikatakan kedaulatan raja Selangor
dan kedaulatan negara keseluruhannya.
Penerimaan wang pampasan RM200 juta adalah
satu penghinaan kepada rakyat Selangor. Apa yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak
itu?. Ia tidak mampu membina istana seindah mahligai Air Mata di Putra Jaya. Ia
tidak cukup membeli sebuah jet eksklusif secanggih Global Express. Kenapakah
Sultan Selangor begitu rakus menerima tawaran yang diberikan oleh Raja Kelentong? Kalau
Sultan sudah tidak mampu berfikir secara serius kenapakah kerabat diraja Selangor diam
membisu? Satu ketika dulu Sultan berbelanja besar untuk sentiasa berada di luar negara
'untuk berubat', rakyat Selangor tidak pernah berdecit. Malahan, ketika Pemangku Raja
belayar mengelilingi dunia dengan tenaga kepakaran bukan Melayu, rakyat tidak berdecit
juga. Pernah satu ketika terdapat keluarga raja dan kerabat istana Selangor yang
menerima saham mudah dalam syarikat bukan Bumiputera dan meraih banyak kontrak kerajaan
negeri. Rakyat diam membisu kerana tanda hormat. Apabila isteri pertama
pemangku raja Selangor dijumpai hidup bersekedudukan di (pertengahan70-an) dengan orang
bukan Islam, rakyat Selangor diam juga seperti diamnya mereka apabila pemangku raja itu
beristerikan seorang putih yang bukan pun berdarah raja. Apakah golongan istana
fikir, penjualan Putra Jaya kepada kerajaan pusat akan diterima secara senyap dan bodoh
sahaja.
Tulisan ini akan menjadi bahan sejarah untuk
menyedarkan rakyat Selangor untuk terus mempertikaikan kerja sewel Sultan Selangor
itu termasuklah penipuan moral yang dilakukan oleh Khir Toyo dan juga Raja
Kelentong. Kita, rakyat Selangor mesti faham apa yang sedang dihadapi oleh rakyat
Terengganu dengan penafian hak mereka kepada pembayaran royalti petroleum yang sah.
Begitu juga terhadap penipuan kerajaan pusat terhadap rakyat Kelantan yang dinafikan
royalti gas yang disalurkan ke Thailand. Kita mesti ambil kira hak setinggan dan
peneroka bandar yang masih merempat ketiadaan tapak rumah. Kita mesti mengambil iktibar
daripada keazaban yang ditanggung oleh beberapa rakyat yang sudah pun buta mata, pecah
kepala, remuk tulang mereka semasa berhimpun secara aman di lebuh raya Kesas pada
5.11.2000. Semua ini adalah kesan pemerintahan yang ZALIM.......KEJAM…… dan
RAKUS……!
Ada satu peribahasa lama yang menyebut: "Raja yang adil raja
disembah, Raja yang kejam raja disanggah." Ini merupakan satu peribahasa lama yang
sudah lama diajar di sekolah-sekolah dan tidak perlu sebarang permit dan lesen untuk
menggunakannya dan mengulanginya.
Apa yang berlaku masa kini terutama sekali
dalam jual beli Putra Jaya kepada Kerajaan Persekutuan adalah satu perbuatan yang zalim
di mana raja tidak pun mengambil kira perasaan rakyat. Sedangkan di setiap Jumaat,
rakyat Selangor bersolat dan menampung tangan untuk mengaminkan doa meminta Allah
mengekalkan nyawa raja.
Saya tidak mahu menulis panjang kali ini kerana masih
tersentuh dengan satu perasaan hiba melihatkan bangsa saya merana dipukul,
ditembak dengan gas pemedih mata dan diaibkan oleh bangsa saya sendiri. Sepatutnya
Sultan Selangor dan Pemangku Raja pergi melihat sendiri rakyatnya yang sedang menanggung
azab dan kesengsaraan berlawan dengan penderitaan yang dilakukan oleh pihak yang diputar
minda mereka untuk melakukan keganasan itu. Kalau di Bukit Mertajam Duli Yang
Mulia Sultan Kedah boleh turun padang menziarahi jenazah Dr. Joe Fernandez yang terbunuh
oleh pembunuh upahan, kenapakah Pemangku Raja Selangor sanggup memeram telur di istana
tanpa menziarahi mereka yang terlentang di hospital gara-gara perbuatan ganas pihak
polis. Kenapakah Sultan Selangor yang merangkap yang Di Pertuan Agong tidak sanggup
berdecit memerintahkan ditubuhkan satu suruhanjaya penyiasat terhadap salah laku pihak
polis itu? Inilah yang dikatakan dasar muka tidak tahu malu, kerana otak sudah berada di
lutut.. Rakyat marhaen di bawah sanggup mati-matian satu ketika dulu mempertahankan
kedaulatan raja-raja, tiba masanya raja sudah senang-lenang rakyat marhaen dianggap
sampah masyarakat sahaja.
Rayuan
Ikhlas Kepada Pemimpin Berhati Rakyat
Saya, dengan segala rendah diri, merayu kepada
semua pemimpin rakyat tidak kira yang masih di bawah ketiak Raja Kelentong ataupun
berada di pihak pembangkang, agar mengambil iktibar bahawa sikap membeli tanah Melayu
dan dijadikan tanah kerajaan pusat hendaklah ditentang mati-matian. Bukan disebabkan
harga pampasannya yang rendah tetapi disebabkan perbelanjaan untuk membangunkannya itu
adalah tinggi sehingga menidakkan hak rakyat keseluruhannya kepada
pembangunan infrastruktur yang lebih penting lagi. Malahan, kita tahu seperti yang
diketahui oleh ramai pelabur luar, projek Putra Jaya adalah satu alat untuk satu
kelompok manusia rakus membalun harta rakyat marhaen.
Lihat sahaja di Putra Jaya,
kalau pembinaan mahligai Raja Kelentong memakan belanja RM700 juta,
bagaimana pula kos pembinaan ruang pejabat kerajaan persekutuan? Kalau kita lihat
kemudahan taman-taman dan infrastruktur lainnya yang terdapat di sekeliling Mahligai air Mata
itu kita akan dapat mengimbau zaman silam yang tidak pernah dinikmati oleh raja-raja
Melayu. Seorang netter telah mengingatkan saya kepada taman dan dataran bekas
peninggalan sejarah maharajah Dzar (Tsar) di Russia satu ketika dulu. Begitu juga dengan
peninggalan maharajah Peranchis, Austria dan juga di negara Eropah lainnya.
Putra
Jaya yang anda lihat sekarang ini adalah lambang satu pemerintahan yang zalim kerana
sanggup berbelanja besar sedangkan rakyat marhaen masih melarat dan akan terus merempat
hidupnya.
Setiap hujung minggu dan di hari lebaran, kita akan melihat
ratusan bas dan kereta pengunjung datang melawat dan diletakkan kenderaan itu di
sekitar bulatan besar di hadapan Masjid Unggu yang tersergam indah. Setengah daripada
bas itu adalah tajaan jabatan perdana menteri ataupun UMNO untuk menyedarkan orang
kampung akan apa ertinya "pembangunan untuk menjadi satu bangsa yang besar (kepala
dan taiknya sekali)". Tetapi, lihat dulu apa yang dilakukan oleh makcik dan pakcik
dan anak-anak sekolah dari perkampungan itu? Selepas melopong melihat keindahan
sekeliling, mereka tentu kagum dengan Taman Firdausi Raja Kelentong. Mereka
pun akan membuka nasi bungkus yang dibawa daripada kampung untuk menikmati
hidangan di bawah alunan bayu projek mega di situ. Apakah perasaan mereka apabila
mengetahui mereka tidak mampu membeli juadah yang dijual di 'Selera Putera' kerana
harganya setimpal dengan juadah yang dijual di KLIA dan KLCC?
Kalau kita
melihatkan anak-anak yang makan nasi bungkus di bawah pancaran suria yang terik itu,
kita tentu terkilan apakah dosa anak-anak kecil yang menikmati segala itu sedangkan
apabila mereka dewasa kelak, sebahagian pendapatan gaji mereka akan digunakan untuk
melunaskan hutang bertapuk pembinaan segala lambang kerakusan seorang Diktator Tua
merangkap Raja Kelentong.
Berkata teman-teman, "Inilah Taraf Kita Orang
Melayu" dan "Inilah generasi yang akan membawa Malaysia entah ke
mana......."
Kalau ada sesiapa yang akan datang ke Masjid Unggu dan Putra Jaya,
fikirkanlah baik-baik, apakah itu lambang kemegahan orang Melayu dan apakah itu lambang
kemajuan rakyat Malaysia?
Kepada Mahathir, orang Melayu mesti bersatu kerana
"orang Melayu mesti bersedia berkorban untuk menjadi satu bangsa yang besar".
Kerana itu digalakkannya orang Melayu terjun ke Kutub Utara dengan sebuah kereta yang
sudah usang teknologi pembikinannya. Dia galakkan pula rakyat Malaysia terjun
(menyimpang) di Kutub Selatan dengan menggunakan wang rakyat lagi. Seperti juga
digalakkannya Azhar Mansor melayari solo keliling dunia sedangkan dia tahu ratusan orang
putih melakukan kerja yang sama dengan duit mereka sendiri setiap masa. Minda orang
Melayu diputar lagi seperti terputarnya minda raja-raja Melayu selama ini.
Demikianlah
sedikit coretan mengambil sempena Putra Jaya dijual oleh seorang sultan yang tidak lagi
mampu berfikir dengan waras. Itu sudah menjadi nasibnya kerana Sultan ini memang
sudah lama merana, sejak dia menikahi seorang janda (Shariffah Salmah?) seorang Sultan
di Perak dan terpaksa menceraikannya setelah permaisurinya pulang ke seberang memeram
dendam.
Kita mencatatkan November 7, 2000 ini dengan penuh tanda hormat kepada
orang Melayu Selangor yang sudah lama taat dan setia kepada sultannya. Tetapi apakah
rakyat Melayu Selangor diambil kira dengan penjualan tanah itu kepada kerajaan pusat?
Bukannya rakyat mahukan sebahagian wang pampasan. Tetapi, rakyat mahukan yang hak itu
mesti tetap hak. Ini bukan zaman peti-nyanyi 'His Master's Voice' lagi.
Kini,
'His Master's Voice' adalah satu fenomena sejarah silam. Ia telah diganti dengan
radio digital, telefon bimbit dan komputer lap-top. Namun, cara kehidupan orang Melayu
di negerinya sendiri masih tidak banyak berubah. Minda orang Melayu pada keseluruhannya
masih lagi diputar-putar laksana spring peti-nyanyi dulu-dulu lagi. Orang atas boleh
buat apa yang dia suka. Orang bawah mampu menganga mulut sahaja. Nampaknya golongan
raja-raja (termasuk spesis Raja Kelentong dan para kroninya) berfikir bahawa orang
Melayu di zaman ini adalah sama sahaja dengan Melayu di zaman peti-nyanyi dulu. Memang
padan muka orang Melayu semuanya.......!!!!!
-Marhaintua- 8th November
2000.
|