Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG 116

Dana JE: MCA Main Wayang Lagi
(MGG: JE Fund; The MCA Shoots Itself on The Foot)

Sekali lagi MCA telah menunjukkan kepintarannya  bermain wayang, terutama sekali kalau mengenai wang.  Semua ini  ada kaitannya dengan  beberapa institusi koperatif yang dibenarkan menerima  deposit seperti tabung pendidikan Chang Ming Thien,  Dana kemanusiaan Japanese Encephalitis, Koperasi KSM, Multipurpose Holdings dsbg. Senarai itu memang panjang.  Kita tidak akan tahu semua  melainkan perkara itu dijolok dulu. Selagi tidak dijolok, perkara itu akan terperap begitu sahaja tanpa  ada sebarang perdebatan mengenainya. Amalan demikian memang sengaja dapat dipertahankan selagi MCA menjadi wakil rasmi masyarakat Cina dalam kerajaan.  Para pemimpin yang bersikap oligarki  amat yakin mereka memang serba tahu  dan tidak boleh dipersoalkan.  Seperti juga UMNO dan MIC, mereka fikir mereka sajalah yang benar.  Tetapi, perkara begini sudah pun berubah. Kini,  MCA sibuk  meraih simpati  masyarakat Cina untuk menyokongnya, tetapi permohonan itu tidak
diendahkan lagi.

MCA telah silap menguruskan  dana JE dan CMT (Chang Ming Tian). Dana ini memperolehi kadar faedah sebanyak RM5 juta dan  sepatutnya digunakan untuk membiayai biasiswa  kepada yang memerlukannya. Kini mahkamah telah mengeluarkan perintah agar Dana CMT yang berjumlah RM10 juta itu dipulangkan kembali kepada penyumbangnya dan tidak lagi boleh diuruskan oleh Multipurpose Holding  sebuah syarikat perniagaan kepunyaan MCA.  Tidak ada satu biasiswa pun yang pernah dikeluarkan dan tidak pula ada penjelasan mengenainya. Para pemimin MCA adalah pemegang amanah dana itu tetapi mereka tidak mempedulikan kes mahkamah itu sehinggalah perintah dikeluarkan agar dana CMT itu dipulangkan balik kepada pengurus harta si penderma. Sekarang barulah kita tahu bagaimana MCA telah gagal menguruskan dana JE itu dengan baik. Dana itu dimaksudkan untuk penternak khinzir tetapi ia telah diagihkan kepada orang lain termasuklah pegawai MCA.  Ketika DAP mempersoalkan perkara itu, presiden  MCA Dato Seri Ling Liong Sik, telah bingkas dan cuba mengalihkan pandangan dengan membangkitkan  dana urusan DAP pula. Kalau DAP gagal menguruskan dana kelolaannya, tindakan mestilah dikenakan terhadap parti itu. Kalaulah DAP turut  gagal menguruskan tabung itu, apakah ini akan membersihkan MCA daripada kerja-kerja jijik dalam pengendalian satu dana yang dimulakan untuk meringankan masalah manusia yang dilanda tragedi itu? Kerajaan Negeri Sembilan pernah memperuntukkan satu kawasan seluas 200 ekar untuk  penempatan baru penternak khinzir Bukit Pelanduk. Tetapi tanah itu telah ditukar syarat dan diagihkan kepada pihak yang tidak ada kena mengena dengan penternakan khinzir.  Tanah yang diperuntukkan itu memang dekat dengan KLIA, tentunya tidak bersesuaian untuk ternakan khinzir. Tetapi, tidak ada sesiapa yang mahu bercakap mengenainya.  Soalnya sekarang kenapakah wakil MCA di dewan exco negeri bersetuju meluluskan tanah itu sedangkan ia tidak bersesuaian untuk penternakan khinzir. Adakah ini satu skandal lagi?

Exco Negeri Sembilan, Dato' Dr. Yeow Chai Thiam yang merupakan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Lukut di mana Bukit Pelanduk merupakan kawasannya jua, telah membuat pengakuan di Port Dickson kelmarin. Pengakuan ini telah disiarkan di muka surat 8, The Sun, yang menyebut beliau memang telah mengarahkan pembantu politiknya  untuk menggunakan dana JE itu untuk sesiapa yang memerlukannya. Ibu pejabat MCA mahukan butiran mereka yang dijangkiti JE, sedangkan dia tidak pun mempunyai maklumat itu. Daripada beliau sendiri mengutip sumbangan kepada dana itu dan mengagihkannya,  dia telah mengemukakan nama pembantunya itu bersama dengan nama dua orang ahli keluarganya. Tiga cek yang bernilai RM82,000 telah dikeluarkan. Tidak ada bukti lain, selain pengakuan lisan ini bahawa jumlah yang terbabit itu telah diagihkan kepada tiga orang pesakit JE. Di bawah Undang-undang Jenayah, ada satu seksyen yang membabitkan perbuatan yang dilakukan oleh Dr. Yeow ini. Ia menyangkuti pecah amanah yang membawa akibat hukuman yang berat.

Nampaknya Dr. Yeow adalah seorang yang lurus bendul dalam dunia politik (he.he.he...nampaknya ramai ahli politik yang berkelulusan kedoktoran mempunyai sikap berpolitik begitu ye ?......penterjemah). Apabila pembantu politiknya   mahu mengagihkan wang kutipan dana itu, dia telah diberitahu  untuk menunggu sehingga selesai pilihanraya Teluk Kemang. Alangkah pelik perkara ini. Tentu sekali kita fikirkan, pengagihan wang sumbangan oleh wakil rakyat di hari menjelang pilihanraya kecil sudah pasti membantu Barisan Nasional dalam pilihanraya itu. Tetapi, Dr. Yeow mempunyai pendapat yang berlainan pula.  Inilah yang memperkuatkan desas-desus ketika itu betapa MCA pernah memberi amaran kepada penternak khinzir di Bukit Pelanduk  bahawa  mereka hanya akan menerima pampasan seandainya calon Barisan Nasional menang pilihanraya kecil itu. Tetapi, perkara ini bukannya satu hal yang mudah.  Wang sumbangan orang telah digunakan untuk
mengugut dan menidakkan si penerima yang berhak bagi tujuan politik. Dr. Yeow naik berang kerana dia yakin DAP akan  mengungkit perkara ini sebaik sahaja Ibu pejabat MCA menyiarkan senarai penerima bantuan itu. Sedangkan senarai itu sepatutnya menjadi maklumat rahsia. Tetapi, kalau dia sedar kemungkinan DAP akan mencungkil rahsia pengutipan dana dan cara pengagihnya, kenapa pula dia melakukan kerja yang songsang itu? Lagi pun, saya masih ingat lagi bagaimana beliau pernah  menggunakan kata-kata kesat terhadap penternak khinzir  yang membuat aduan bahawa mereka tidak lagi menerima apa yang telah dijanjikan kepada mereka itu.

Jelaslah, MCA bukan sahaja telah  silap dalam pengurusan dana JE itu, malahan telah menidakkan apa yang menjadi hak kepada penternak khinzir. Malahan naik bengkeng pula bila disoal akan perkara itu. Kisah ini tidak mudah diselesaikan kerana masyarakat Cina sudah naik berang.  Dalam hal ini Dr.Ling harus bertindak membersihkan dirinya dengan membentangkan akaun sebenar dana JE itu di hadapan  masyarakat Cina, sebaiknya di Dewan Perhimpunan Cina.  Oleh kerana dia yakin bahawa cara dia mengendalikan dana JE dan juga Dana CMT itu mengikut amalan yang baik, dia harus mendapatkan peluang untuk membersihkan  keadaan dan juga nama baik MCA. Apa yang telah dilakukan oleh MCA memang tidak boleh dimaafkan.  Memang kita dapat jangkakan bahawa Dr. Ling mempunyai alasan bersebab kenapa dana dua tabung berkenaan telah disalahgunakan.  Kalau Dr. Yeow bersalah, MCA harus bertindak meminta beliau meletakkan jawatannya daripada Exco Negeri Sembilan. Jika tidak, akan muncul satu lagi masalah yang akan menjerut leher presiden MCA itu.

-MGG Pillai-

Terjemahan -MT-

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter