Mesyuarat agung luar biasa UMNO pada 18 November 00
nanti, adalah bertujuan mengembalikan ketuanan Melayu, yang memang merupakan sesuatu yang
amat sukar sekali. Beberapa pindaan yang perlu diluluskan akan menjadikan UMNO satu
parti pengecut yang tidak relevan lagi sebagai satu kuasa politik. Sepatutnya UMNO
berusaha menawan kembali hati ahli lama untuk kembali kepangkuannya, sebaliknya ia
menyisihkannya pula. Sepatutnya UMNO memansuhkan formula pengekalan kuasa kepimpinan,
tetapi ia berusaha untuk memperteguhkan formula itu. Di kala ia perlu menggalakkan
golongan muda terutama sekali kaum wanita menganggotainya, ia kini sudah pun
memecah-belahkan pergerakan wanitanya pula. Beberapa perubahan yang
dicadangkan akan menyekat perdebatan politik. Pemilihan akan dilakukan
sekali dalam tempoh usia sesuatu parlimen, satu tahun selepas berlangsungnya pemilu dan
bukannya setiap tiga tahun. Cadangan agar jawatan presiden itu dibuat melalui pemilihan di
peringkat cawangan telah ditolak sebagai sesuatu yang tidak praktikal. Tujuannya
ialah untuk mengurangkan politik wang, satu laluan kata yang menyebabkan UMNO berpenyakit.
Tidak ada perubahan yang menonjol akan berlaku. UMNO akan terus menjadi satu oligarki, di
mana sebarang cabaran adalah satu usaha yang amat sukar sekali.
Seorang
naib-presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan sembilan orang ahli jawatan kuasanya telah mendapatkan konsensus ketika membincangkan perubahan itu di peringkat bahagian
parti. Mereka tidak bersedia mencetuskan perubahan yang drastik untuk membawa
UMNO kembali ke arus perdana masyarakat Melayu. Tidak juga mereka bersedia untuk memintas
sikap kurang senang orang Melayu kepadanya ataupun daya pengekalan sistem oligarki yang
ada. Dengan lain perkataan, cadangan mereka itu akan menentukan keutuhan sifat
tidak relevannya UMNO yang akan terus melemahkannya. Mereka cuba menjadikan UMNO sebuah
parti yang dapat menarik minat generasi muda. Ini memerlukan satu usaha memintas
perkara yang tetek-bengik dan menjadikan parti itu menarik kepada golongan muda-mudi.
Perkara ini tidak pula mereka lakukan. Usaha mereka itu ternyata satu pembaziran
masa semata-mata.
UMNO mahu menubuhkan satu sayap parti yang dianggotai oleh kumpulan
profesional wanita muda yang dapat menyaingi pemimpin lama yang sengaja mahu
mengekalkan kuasa oligarki mereka. Pergerakan wanita itu mempunyai jawatankuasa pusat yang
dianggotai oleh mereka yang telah dilantik sejak 1982 dan sebelumnya (memang usia wanita
UMNO demikian lebih liat daripada usia buaya tembaga - penterjemah). Beberapa insan
yang berdarah muda memang sengaja diperlekehkan sehingga mereka keluar dengan perasaan
benci. Insan professional sengaja diketepikan kerana itu Puteri UMNO ditubuhkan untuk
menyediakan bakat baru kepada pergerakan wanita itu. Tetapi, pemimpin Wanita
UMNO amat takut dengan satu kumpulan wanita muda yang tersusun organisasinya
dan yang mampu menggugat kedudukan mereka itu. Kepada pergerakan
wanita itu pula, darah baru yang mereka maksudkan ialah kembalinya kumpulan lama yang
diketuai oleh pemimpinnya Datin Rafidah Aziz!
Pergerakan Pemuda UMNO yang
sepatutnya menjadi kumpulan pendesak, adalah satu kumpulan yang tidak berbisa. Ia
merupakan satu lagi badan politik yang tidak berpijak di bumi nyata dalam menangani
masalah orang Melayu. UMNO tidak mampu terus bernafas kalau tidak mampu menyerap darah
muda dalam perjuangannya. Pemuda UMNO dan pemimpinnya Dato Hishamuddin Hussein yang
merangkap menteri belia dan sukan negara tidak berapa berkesan menarik anak muda
Melayu, terutama mereka yang berada di universiti sedangkan saingannya dalam PAS amat
mudah bersemuka dengan golongan ini di mana saja. Golongan muda Melayu memang masih marah
dengan cara UMNO cuba menarik hidung mereka. Golongan ini mahukan penjelasan kenapa Dato
Seri Anwar Ibrahim diganyang. Oleh kerana pemimpin UMNO amat takut turun padang
menemui mereka di cawangan dan bahagian parti kerana takutkan soalan berbisa para
penyambut mereka, akar umbi pun terus menjadi lemah.
Para pemimpin parti memang
menyedari betapa pentingnya dilakukan satu perubahan. Mereka telah mengakui berlakunya
kesilapan terutama yang menyangkuti Dato Seri Anwar. Tetapi, keadaan akar umbi masih tidak
berganjak jauh ke tapak yang mereka impikan. Kerana itu Tan Sri Muhyiddin berjaya
mendapatkan konses yang memang diimpikan oleh para pemimpinnya. Sebetulnya perubahan yang
diimpikan itu memang diperlukan kerana tanpa perubahan UMNO akan terus dilanda masalah. Pertembungan
pendapat mengenai perlantikan presiden parti sepatutnya menjadi unsur yang
menair. Ia menarik kerana didapati berkesan dalam MIC. Satu ketika dulu jawatan
presiden MIC dipilih oleh setiap ahli parti sehinggalah pemegang jawatan yang ada, Dato
Seri S. Samy Vellu merasakan bahaya kalau ada seorang pencabar yang gigih untuk
menandinginya. Maka dilakukan perubahan agar perlantikan presiden itu dibuat oleh para
perwakilan di setiap persidangan (kongres) tahunan parti. Adalah lebih mudah
untuk membeli ataupun mengugut 2,000 ahli perwakilan daripada 30,000 ahli,
malahan lebih murah lagi harganya. Inilah yang ditolak oleh UMNO untuk mengekalkan
sistem oligarkinya.
Kerana itu UMNO menjadi berkecamuk. Ia mahukan perubahan yang
tidak mampu dilakukannya kerana ia lebih selesa perubahan itu tidak dilakukan.
Perdana Menteri yang juga menjadi presiden parti yang sungguh lama, sedang berada di
satu kedudukan yang tidak mudah memberi keselesaan kepadanya. Dia telah melakukan
beberapa pindaan kepada perlembagaan parti untuk membolehkan para ampunya terus
mengekalkan kuasa mereka. Dia mencuba sedaya upaya menggalakkan UMNO untuk memperkecilkan
satu kesilapan besar yang telah dilakukannya dalam menghancurkan kewibawaan mantan
timbalan presiden parti, Dato Seri Anwar Ibrahim. Satu ketika dulu berlaku pertelagahan
selama dua bulan menyebabkan polis dan juga tokoh-tokoh parti memberi kewaspadaan
kepadanya kalau dia tidak mahu dipinggirkan. Dua puluh lima bulan kemudiannya, dia telah
berjaya membawa UMNO ke satu posisi di mana parti itu kini sedang melutut di hamparan
kehinaan. UMNO tidak lagi mempunyai jalan mudah untuk menganjurkan mesyuarat apatah
lagi untuk mendapatkan perhatian orang Melayu untuk membincangkan masa depannya. Ahli-ahli
UMNO sengaja mengasingkan diri mereka dan menghilang ketika para pemimpin datang
bertandang. Yang lebih menyakitkan kebanyakan ahli UMNO masa kini ialah sekatan yang
tidak memudahkan mereka bertanding jawatan parti.
Kemajuan UMNO bukan disekat
oleh perlembagaannya tetapi oleh para pemimpinnya. Oleh kerana terlalu lama naik lemak,
para pemimpin UMNO tidak sedar betapa dunia Melayu itu sudah berubah kini dan apa yang
dikatakan Melayu Baru itu tidak lagi mudah menari mengikut irama yang dipalu oleh orang
lain. Perdana Menteri telah melakukan satu usaha menyumbat temboloknya sehinggakan
sanggup menjerumuskan negara kepada negara yang banyak berhutang. Kesannya ialah
penonjolan satu kumpulan Melayu yang berjaya yang lahir daripada kalangan para juak,
kroni, adik-beradik dan para pengampu yang diberikan kontrak mega yang akhirnya
mencetuskan hutang berkarat yang bertapuk sama cepatnya dengan segala keangkuhan
yang menghancurkan mereka. Kemewahan itu sudah pun berkurangan. Dasar ekonomi Baru yang
telah melahirkan beberapa kerat Biliawan Melayu (Malay Billionaires) kini dihantui
hutang bertapuk mereka yang sudah pasti akan menjerumuskan ekonomi negara.
Perubahan
kepada perlembagaan yang dilakukan itu sepatutnya dilakukan dengan penuh kewaspadaan dan
beralam-nyata. Tetapi kedua unsur ini tidak pun diambil kira. Oligarki yang
diperkuatkan itu tidak akan dapat diubah untuk dicabar. Pergerakan Puteri UMNO yang
ditubuhkan untuk mengurangkan pengaruh pergerakan wanita memang boleh
merupakan satu kuasa baru. Ini hanya boleh berlaku kalau pergerakan yang (dikatakan)
masih 'dara' itu tidak menganggap kewujudannya sebagai satu lagi kelab wanita
di bandar seperti imbasan yang dapat diperhatikan daripadanya. Orang Melayu di
bandar-bandar bukannya merupakan ancaman besar kepada UMNO. Yang merupakan ancaman besar
kepada UMNO adalah golongan Melayu daripada luar bandar yang mencari pekerjaan. Kalau
kita teliti cara penubuhan Puteri UMNO kita nampak imbasan bagaimana mereka menganggap
penubuhan sayap itu sebagai satu kumpulan wanita baik-baik yang mempunyai banyak masa di
tangan mereka (he.he.he...! - penterjemah). Dengan lain perkataan nampak sangat ketiadaan
minat untuk melakukan perubahan di kalangan para pemimpin dan ahli parti. Tentunya
kerana sebab-sebab yang bercanggah jua.
Terjemahan MT