SIRI 5 YTDT
RAJA KELENTONG MEMUKAU LAGI
Dr. Mahathir berkata
rakyat tidak harus percaya kata-kata pembangkang kononnya mana-mana parti yang
memerintah adalah sama sahaja. Sebaliknya, kata beliau, kerajaan pimpinan UMNO sudah
terbukti berkemampuan mentadbir negara sehingga berjaya memulihkan ekonomi tanpa
perlu meminta bantuan asing. Beliau sedih kerana ada pihak mendakwa kononnya memang sudah
menjadi nasib orang Islam di dunia ini untuk ditindas, dibunuh selain hanya memberi
tumpuan untuk dunia akhirat.
“Selama 43 tahun kita sudah merdeka, dan banyak
kemajuan dicapai. Jika kita duduk melentang macam kura-kura, bergaduh, bakar sana, bakar
sini, demonstrasi dan merusuh, semua kesenangan yang kita nikmati hari ini boleh
lenyap.”
Demikianlah antara kelentongan terbaru si diktator tua dalam
pertemuannya selama satu jam dengan 80 ahli Kelab Maya UMNO di Putrajaya semalam
(Khamis 2 November, 00) Kenyataannya itu disiarkan oleh Umno-Online iaitu laman web
rasmi UMNO. Kelab Maya Umno berfungsi sebagai moderator dan pencipta laman web yang
pro-Umno dan kerajaan.
Ahli UMNO Diminta Tidak Rebut Jawatan
Kita faham
bahawa tujuan sebenar perjumpaan itu adalah untuk membolehkan Mahathir menasihatkan
ahli Umno agar jangan berebut jawatan kerana mengikut fahamannya ”yang
penting ialah terus berjuang bagi kepentingan rakyat dan mempertahankan kemerdekaan
negara.” Inilah kenyataan yang diulang-ulang oleh segala pengampu dan orang upahannya di
kedai-kopi, di stesen bas dan di mana saja ada manusia Melayu berkumpul. Sudah macam satu
‘budaya-rekorder-bergerak’ seluruh negara melaungkan kenyataannya itu. Presiden Umno
itu berkata, mereka boleh berjuang walaupun tidak menjadi calon atau memegang
jawatan tertentu dalam parti.
“Sebenarnya kita boleh berjuang dalam parti yang
tidak semestinya jadi calon atau pemimpin. Sekarang ramai yang tahu jadi calon
pun boleh kalah kerana kadang-kala orang tidak sokong....kena tanya (diri sendiri )
kenapa?. Ada pula yang berhempas pulas nak jadi wakil rakyat. Kadangkala (bila sudah
menjadi wakil rakyat) ada yang tidak hadir di Parlimen. Kita perlu tunjukkan perihatin
kepada rakyat kerana UMNO berjuang untuk rakyat.”
Dr. Mahathir telah memberikan
beberapa contoh dalam perkara ini. Menteri Pendidikan Tan Sri Musa telah dilantik
sebagai menteri dan Dr. Mohamad Khir Toyo dilantik menjadi Menteri Besar Selangor
tanpa berebut jawatan itu. Kerana itu Mahathir mahukan UMNO membentuk semula
kesedaran supaya jangan terlalu mementingkan jawatan dalam parti kalau benar-benar
mahu berjuang.
“Ada ahli UMNO yang mahu jadi calon sahaja supaya dapat berjuang.
Sebenarnya, kita boleh berjuang dalam parti tanpa menjadi calon. Sekarang kita perlu
menunjukkan kesedaran kepada ahli mengenai perkara ini dalam usaha memberi
semangat serta menyemai komitmen tinggi kepada parti.”
Kalau kita
dengar ucapannya itu memang menyeronokkan sekali. Tetapi itulah taktik Mahathir selama
ini. Dia sarankan sesuatu yang dia sendiri tidak mahu ikuti. Dia mahukan orang UMNO
berkorban semata-mata untuk kepentingan dirinya, keluarganya dan ideologinya. Semua orang
tahu dia memilih Musa Mohammad sebagai menteri pendidikan kerana mahu laluan mudah untuk
memutar belitkan dasar pendidikan negara tanpa ragu-ragu akan desakan parti komponen BN
yang mahukan rencana pendidikan itu dibuat secara terus terang untuk kepentingan masa
depan rakyat Malaysia. Oleh kerana Musa Mohamad hanya menjadi ahli UMNO sebaik sahaja
dilantik menjadi Menteri Pendidikan, apakah kesetiaannya itu kepada UMNO ataupun kepada
orang yang melantiknya ke jawatan itu? Apakah Mahathir fikir rakyat Malaysia ini buta-hati
tanpa mengetahui bahawa Menteri Pendidikan sebenar di Malaysia ini ialah Aziz Shamsuddin?
Sekarang
kita tahu kenapa Mahathir amat takut bertanding secara bebas. Dalam kepimpinan parti pun
dia takut bertanding bebas. Kerana itu ada saja peraturan baru untuk dia terus berkuasa.
Lihatlah betapa dayusnya ahli UMNO yang sanggup membiarkan kerenah si diktator bangsat
ini. Kerana UMNO sanggup menyesuaikan diri dengan kerenahnya, seluruh negara merana
menanggung akibatnya.
Mahathir pilih Mohamad Khir Toyo bukan kerana ada keistimewaannya
pada doktor gigi itu, walaupun beliau sudah membuat ikrar untuk bermandi darah sebelum dia
ditabalkan oleh Sultan Selangor secara rasminya lagi. Dia dipilih
kerana Mahathir mahu memperkudakannya agar Putrajaya diberikan atas dulang cyber kepada
Kerajaan pusat dengan pembayaran pampasan selama sepuluh tahun. Sebelum itu Mahathir sudah
beri gula-gula kepada Sultan Selangor yang sudah tidak lagi mampu berfikir dengan matang
untuk masa depan orang Selangor. Kalau Sultan sudah tidak lagi berkeyakinan memikirkan masa
depan rakyatnya, apakah lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat Selangor? Satu ketika dulu
Abu Hassan Omar menentang Mahathir dalam muslihat itu tetapi dia tumpas kerana Mahathir
sudah lama memasang perangkap untuknya, kalau melawan. Abu Hassan adalah anak jati
Selangor yang sudah matang berpolitik. Mohamad Khir adalah anak hingusan dalam arena
politik. Inilah yang mahu dimamah oleh Mahathir dengan mudah.
Apabila Mahathir
mahukan ahli UMNO akur dengan peraturan baru agar tidak berebut jawatan, kenapakah
dia tidak fikirkan betapa sudah sampai masanya agar semua pemimpin UMNO yang melepasi umur
64 tahun bersara sahaja daripada jawatan penting parti? Bukankah itu satu amalan yang
memungkin parti itu lebih mantap dengan adanya orang lama yang bertindak sebagai penasihat
parti? Mahathir akan menyambut hari jadinya ke-76 dan apakah yang dilakukannya sejak dua
tahun yang lalu? Dia melilau keliling dunia mentohmah bangsanya sendiri. Di New York dia
sanggup menuduh orang Melayu yang membuang TV dan peti-sejuk kerana terlalu taksub
dengan ajaran Islam. Bukankah itu satu pembohongan besar. Di London dan Manchester dia bercerita bagaimana “anak-anak kecil diajar untuk memijak dan meludah gambar
pemimpin agar mereka membenci kerajaan”. Betulkah ceritanya itu? Apakah dia tidak malu
menceritakan hal buruk mengenai bangsa ibunya sendiri? Adakah dia pernah fikirkan masalah
yang menghantui rakyat marhaen. Kelmarin dia telah membolehkan Wan Mokhtar menjadi Duta
Malaysia ke Arab Saudi. Apakah yang boleh Wan Mokhtar lakukan seusia yang ada padanya itu
setelah menjadi pemimpin politik Terengganu lebih daripada 25 tahun? Kalau dia tidak mampu
mentadbir sebuah negara ketika negara itu mempunyai segala kekayaannya sehingga berhutang
lapuk pula, apakah yang mampu dilakukan oleh Wan Mokhtar di Arab Saudi?
Pembangkang
Yang Diperlekehkan
Sejak kebelakangan ini hampir semua media elektronik memberi
penekanan kepada ketokohan Mahathir. TV menyiarkan berita ucapannya dan tunjuk
perasaan ketika lawatannya di London dan Manchester dulu. Perkara ini diulang-ulang
walaupun ia sudah berlaku satu bulan yang lalu. Tetapi, adakah TV memberi
penekanan kepada barang makan dan harga perkhidmatan yang semakin naik? Adakah TV dan
radio mahu memberi liputan kenapa semakin ramai rakyat yang tertekan dan mengamuk?
Mahathir
berkata betapa beliau tidak yakin dengan keupayaan PAS dan Parti Keadilan Nasional
(Keadilan) untuk memerintah kerana parti pembangkang itu tidak akan menandingi prestasi
UMNO. Kerana parti pembangkang itu tidak ada kemampuan memerintah, Umno perlu
meneruskan kuasa supaya prinsip dan tamaddun Melayu terus kekal.
Pendapat semacam
inilah yang menyebabkan Mahathir berani menidakkan rakyat Terengganu kepada pembayaran
royalti petroleum. Dia fikir hanya mereka yang dinaungi oleh UMNO yang pandai memerintah
kerana itu wang royalti bertukar menjadi Wang Ehsan. Inilah cara Mahathir memukau
orang UMNO dalam kepimpinannya. Dia mahu terus berkuasa walaupun kuasa pemerintahan UMNO
di Terengganu itu telah dicampak jauh oleh majoriti rakyat Terengganu ke Lautan Cina
Selatan.
Rakyat kini tahu sebab utama kenapa Mahathir menidakkan Royalti Petroleum
itu kepada Kerajaan Terengganu ialah kerana beliau mahu menyokong para pemimpin UMNO di
Terengganu yang kini sudah ketiadaan pekerjaan. Mereka sudah muflis idea untuk terus
hidup berlagak sakan. Mereka sudah ketandusan sokongan akar umbi dan kalau mereka
dibiarkan bergelimpangan semacam itu tanpa belaan besar kemungkinannya UMNO di Terengganu
akan terkubur sama. Buatlah seratus Kelab Putri UMNO di Terengganu itu, semangat
perjuangan orang Melayu dalam UMNO sudah jatuh terhempap dengan kekalahan UMNO di pemilu ke-10 itu. Inilah yang cuba diperbetulkan oleh Mahathir tanpa menyedari dia akan melakukan
kerja-kerja tikus memperbaiki labu semata-mata.
Dengan menyalurkan Royalti
Petroleum itu dengan cara Wang Ehsan Mahathir mahu memperbaiki keadaan UMNO dan sekaligus
akan melibatkan UMNO Kelantan dengan segala usaha itu kerana dua negara itu berjiran. Ini
bererti Royalti Petroleum yang sepatutnya menjadi hak orang Terengganu akan dikongsikan
kepada orang Kelantan UMNO juga. Sedangkan hak rakyat Kelantan kepada Royalti Petroleum
dan Gas telah lama disonglap untuk pembangunan beberapa projek mega di Kedah. Inilah putar belit
Mahathir selama ini dan ini jua putar belit para kroni, penjilat dan juak yang
mengampunya. Tetapi apakah yang dikatakan oleh Mahathir baru-baru ini:
“Generasi
saya tidak lama lagi akan pergi dan golongan muda yang bertenaga akan meneruskan
(perjuangan?). Orang Melayu perlu teruskan perjuangan kerana pencapaian dan kemajuan kita
belum cukup tinggi.”
Inilah putar belit seorang diktator tua yang amat suka
bermain dengan politik perkauman kerana dengan cara itu dia teruskan budaya menakutkan
bangsa Malaysia. Apakah benar katanya itu? Apakah benar, selepas merdeka 43 tahun ini kita
orang Malaysia masih perlu takut kepada masalah perkauman kita? Dalam perkara ini
saya amat tertarik kepada tulisan K. Sadirah bertajuk: National Unity Beyond Ethnic
Nationalism (Sila lihat muka surat 14 Harakah terbitan 16-31 Oktober). Saya ada
membuat terjemahan tulisan itu dan memberikan tajuknya ‘Perpaduan Yang Mengatasi
Semangat Perkauman.’ Memang jelas, Mahathir selama ini amat suka menakutkan rakyat
Malaysia gar mereka terus berpendirian sempit mengikut fahaman perkauman mereka.
Inilah yang mudah disenangi oleh ramai pemimpin UMNO yang berpendapat demikian. Kerana itu
kita lihat seperti yang saya tulis sebelum ini ada satu macam sandiwara yang direncana
oleh UMNO sekarang ini agar orang Melayu itu lalai akan matlamat hidup mereka
sebenarnya.
Benarkah Malaysia Tidak Pernah Meminta Bantuan Asing?
Setiap
kali Mahathir berucap sejak dua tahun yang lalu, dia amat gemar berbohong mengatakan
“kita berjaya memulihkan ekonomi negara tanpa perlu meminta bantuan asing.” Ini
adalah satu penipuan besar yang amat mudah keluar daripada mulutnya. Dia bercakap di
Amerika, Di Eropah dan juga di Asia dan Afrika. Dia fikir orang semua percaya penipuan
itu. Bukankah Petronas mengeluarkan bon-bon dengan harga premium yang tinggi untuk menarik
para peminjam membelinya? Apakah yang telah digunakan dengan pinjaman yang banyak itu?
Bukankah Petronas sudah berbelanja lebih dua ribu juta (dua bilion ringgit ) untuk
menyelamatkan anak-anaknya?
Kalau kita lihat akan syarikat yang telah diselamatkan
oleh Danaharta dan Danamodal, syarikat itu terpaksa melakukan penukaran pengurusannya
untuk membolehkan Danaharta melantik pengurusan yang baru. Apabila Petronas
menyelamatkan syarikat anak Mahathir adakah Petronas melantik orang pilihannya untuk
menguasai syarikat kepunyaan anak-anaknya itu? Begitulah juga halnya apabila
kerajaan menyelamatkan Bank Bumiputera berkali-kali yang lalu. Adakah satu kertas putih
yang mengeluarkan siapa nama pemiutang yang menjahanamkan bank itu? Jawapannya dalam dua
kes ini ialah ‘Tidak........!’, kerana Mahathir mahu melindungi para kroni, dan
segala musibat yang melakukan songlapan itu. Apakah mereka ini tidak boleh diiktiraf
sebagai penderhaka?
Salah satu kesengsaraan masyarakat Melayu khasnya dan
masyarakat Malaysia amnya sekarang ini ialah kerugian besar yang mereka tanggung di
pasaran BSKL. Hingga kini kalau kita lihat muka surat akhbar yang memaparkan tuntutan
bangkrap ia adalah berpunca daripada pinjaman yang digunakan untuk membeli saham di BSKL.
Hampir semua orang Melayu yang muflis ataupun separa-muflis menanggung kerugian besar
kerana pinjaman membeli saham. Banyak rumah tangga orang Melayu terumbang-ambing kerana
mereka kerugian besar di pasaran saham. Saham yang dibeli sudah tidak ada harga lagi
sedangkan wang yang digunakan untuk membeli saham itu adalah berupa pinjaman bank dan
institusi kewangan. Azab ini ditanggung lagi apabila harga saham jatuh di bawah par.
Dengan hal demikian setiap kali Mahathir mengeluarkan kata-katanya berkenaan ekonomi yang
pulih tentu sekali dia menilainya daripada kaca mata anak-anaknya yang telah dipulihkan
dengan wang Petronas. Bukankah itu wang rakyat jelata?
Ketika Ummi Hafilda
disoal-siasat oleh mahkamah dulu dia ada menceritakan betapa dia mendapat kontrak
besar-besar dalam industri pengiklanan. Di waktu yang sama ada sejumlah RM35 ribu yang
dibayarnya setiap bulan kepada isteri seorang menteri yang mendapatkan kontrak itu kepada
Umi Hafilda. Kemudian kita dengar pula cerita bagaimana gadis sunti yang mahal daranya itu
telah bersantai di London di mana seorang Iban telah menikmati mahkota-dara itu. Kisah ini
adalah satu contoh bagaimana mudahnya wang rakyat itu dihamburkan oleh para pemimpin UMNO
untuk terus kekal berkuasa. Bagaimana pula dengan rakyat marhaen yang kais pagi makan pagi
dan kais petang makan hati? Adakah Mahathir pernah bercerita bagaimana dia cuba
menyelesaikan masalah ribuan orang Melayu yang merempat kerana kemuflisan disebabkan
penyelewengan di pasaran saham?
Sesiapa yang telah dihenyak oleh putar belit di
pasaran saham tentu akan ingat peraturan pembelian saham cara kontra yang dikenakan
tempoh T+5. Oleh kerana terdapat penyelewengan dalam sistem itu, dan amalan penglaksanaan
jual-beli yang penuh tipu muslihat, ramai orang Melayu yang melabur runcit terjebak
sehingga terpaksa menghadapi saman mahkamah. Mereka tertekan kerana ada saham-saham yang
dibeli tanpa pengetahuan mereka. Ada pula yang terpaksa menanggung beban kerana saham yang
dibeli itu tersimpan tanpa dijual sebaik sahaja tempoh T+5 itu matang. Soalnya sekarang,
di mahkamah perkara tempoh T+5 dikira sebagai undang-undang kepada institusi yang
menjadi ahli BSKL sahaja. Tetapi ia tidak dikira satu undang-undang bagi pihak pelabur
runcit. Ia cuma dikira satu peraturan yang mesti diawasi oleh undang-undang itu. Inilah
salah satu penyebabnya ramai orang Melayu yang menghadapi masalah kemuflisan. Apakah
Mahathir pernah memikirkan masalah ini.? Tidak, kerana itu adalah masalah rakyat marhaen
dan bukannya masalah anak-anaknya.
Sejak dua tahun yang lalu kita dapat lihat
banyak perencanaan Mahathir dibuatnya untuk mengambil kira kepentingan perniagaan
anak-anaknya dan para kroninya sahaja. Pergi jahanamlah dengan masalah rakyat marhaen,
demikianlah amalan Mahathir selama ini. Dia akan berbohong seantero dunia mengatakan
ekonomi sudah pulih tanpa Malaysia meminjam bantuan luar. Inilah satu kerja sewelan
yang dilakukannya ke sana sini dengan membazirkan wang rakyat.
Adalah amat
mudah Mahathir bercakap mengenai falsafah kepimpinannya. Dia tidak pernah memikirkan kesan
sesuatu tindakannya itu. Lihat, Terengganu tumpas di tangan pembangkang, dan Kedah hampir
tumpas juga. Kalau pemimin unggul lain tentu dia sudah melepaskan jawatannya. Tetapi
tidak pula dengan Mahathir. Adakah dia merasa bersalah terhadap kehilangan banyak
kerusi UMNO? Kini, dia lebih mementingkan temboloknya untuk terus berkuasa.
Dia sudah tidak memikirkan keadaan ekonomi negara. Dulu dia kata mahu berhenti dan bersara
apabila ekonomi pulih. Kini, dia kata ekonomi sudah pulih tetapi dia tidak mahu bersara
kerana UMNO belum kuat. Di waktu yang sama dia mahu simpan semua orang lama dalam
UMNO sehingga boleh dianggap laksana buaya tembaga untuk disimpan di muzium juga. Ini
menunjukkan Mahathir tidak pernah memikirkan masa depan UMNO ataupun orang Melayu. Yang
penting ialah kuasa itu mesti ada di tangannya sehingga dia disingkirkan. Dia sudah
tidak menerima hakikat bahawa masalah UMNO dan perpecahan Melayu sekarang ini adalah
disebabkan seorang penderhaka bernama ‘MAHATHIR. Dialah masalah UMNO dan bukan sesiapa
lagi.
Soalnya sekarang Mahathir itu merupakan nama keramat kepada kebanyakan pemimin
UMNO yang sudah berkarat. Mereka bergantung harap kepada kekuasaan yang ada pada Mahathir.
Kerana mereka rapat dengan Mahathir mereka mampu merasai nikmat dunia walaupun
kenikmatan itu adalah berupa hak rakyat jelata. Selagi Mahathir berkuasa selagi itulah
mereka mampu menonjolkan ketrampilan kepimpinan mereka. Sedangkan mereka pun kebanyakannya
sudah amat hampir dengan liang lahad. Oleh kerana Mahathir berbohong, mereka pun sanggup
berbohong juga, tidak kiralah apa yang dibohong itu sesuatu yang mengusik jiwa
mereka sebelum tidur dan apabila terjaga. Tetapi, disebabkan tamakkan kuasa, mereka
sanggup terus berbohong lagi.
Kini, Mahathir mahukan pemimpin dan pengikut UMNO
agar mematuhi kehendaknya supaya tidak berebut jawatan. Tidak lama lagi akan muncul
salah seorang anaknya untuk memegang jawatan penting dalam Umno. Orang Melayu dalam UMNO
harus mula menyanyikan lagi Si Luncai dengan labunya kerana suara korusnya nanti akan
berbunyi “biarkan....! biarkan....!”
Keranamu Mahathir Malaysia adalah
kepunyaanmu. Walaupun ini bererti masa depan yang akan merudum dan rakyatmya yang
semakin merempat. “Biarkan...Biarkan...!”
-Marhaintua-
2 November, 2000.