Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

WIRA DUNIA KETIGA DAN PENDERHAKA NEGARANYA?
(MGG: The Heroic PM And The Orwellian Traitors)

Perdana Menteri telah menuduh sesiapa yang cuba  menghalang  pelabur datang ke Malaysia sebagai penderhaka. Adalah tidak patut kalau mereka cuba menghancurkan ekonomi Malaysia, katanya semalam (29 Oktober, 2000) kepada wartawan di Brunei; kerana tindakan itu sudah tentu akan “mencemar keselesaan rakyat”. Sejak kebelakangan ini, para penderhaka yang diiktiraf oleh Perdana Menteri adalah  Dato Seri Anwar Ibrahim dan  para penyokongnya yang sungguh aktif.  Walaupun musuhnya itu berada di penjara Sungai Buluh, ini tidak menghentikan  perasaan takut si perdana menteri sehinggakan dia seakan-akan dihantui satu igauan yang sungguh mengancamnya. Sikap perdana menteri yang sentiasa menyerang  Anwar adalah amat berbeza dengan sikap orang yang diserangnya  yang sentiasa menunjukkan  kepintaran untuk  mengelak serangannya itu.

Dalam kamus Inggeris, perkataan ‘traitor’ yang bererti  penderhaka itu tidak membawa  satu konotasi yang serupa dengan perkataan ‘derhaka’. Kalau mengikut  tafsiran George Orwell seseorang yang menuduh orang lain sebagai  ‘traitor’ ataupun penderhaka itu selalunya merupakan seorang insan yang sedang ketakutan dan merasakan dirinya sendiri yang  terancam. Tetapi, dalam istilah peradaban Melayu, apabila seseorang itu dituduh menderhaka, kesalahannya itu adalah merangkumi penyelewengan terhadap bangsanya kerana  cuba melawan rajanya. Tuduhan itu tidak membawa banyak kesan kerana ia dapat dibaca setiap hari di media perdana yang dibeli  kerana tabiat harian yang begitu sukar untuk dikikiskan, dan bukannya disebabkan desakan untuk  mengetahui berita yang terkini. Yang dituduh oleh perdana menteri setiap hari itu ialah Insan Yang Mesti Dimusnahkan Dengan Apa Cara Jua.  Tetapi, dia tidak akan menyebut  nama orang itu kerana mahu menjaga apa juga cebisan maruah diri yang masih ada padanya.


Sekarang ini perdana menteri kerap pergi ke luar negara, selalunya secara berahsia dan kerap juga dengan ditemani oleh para kroni, anak-anak dan isteri dan juga para juaknya.  Namun demikian dia kerap  digugat sehinggakan  terpaksa menghadapi kenyataan  di luar negara lebih kerap lagi daripada di negara sendiri. Hambatan ini bukan sahaja dihadapinya sendirian. Ahli kabinetnya pun turut menghadapi masalah berdepan dengan penonton yang  kritikal, terutama sekali para pelajar di Malaysia dan juga di seberang laut. Mereka amat takut berhadapan dengan sambutan seperti ini melainkan dalam satu suasana yang dapat mereka kawal.  Kerajaan telah memperlekehkan kumpulan yang  ‘menyambutnya’ di United Kingdom dulu sebagai  kumpulan “Pakistanis”. Yang ironisnya ada seorang  gadis Pakistan hasil daripada perkahwinan seorang perempuan Melayu dengan  seorang Pakistan. Mereka diiktiraf sebagai orang Malaysia  dan gadis itu telah diberikan  biasiswa  untuk menuntut di Cambridge sejak dia masih muda lagi.  Kalau kerajaan sanggup memberikan biasiswa kepada seorang gadis Pakistan, sedangkan dia tidak pun berhasrat untuk  pulang ke Malaysia apabila lulus nanti,  bagaimanakah kerajaan boleh  menuduh  rakyat Malaysia yang berdemo itu sebagai orang Pakistan sedangkan ada di antara mereka itu mungkin dilahirkan dengan sesudu-dua darah Pakistan?  Ah… di Malaysia-Bolehland, apa saja boleh berlaku.


Perdana Menteri terperangkap dalam jebak yang dipasangnya sendiri. Dua hari yang lalu,  menteri kewangan Tun Daim Zainuddin telah membentangkan ucapan belanjawannya dan berlagak sombong mengenai keadaan negara yang mantap di bawah cengkaman seorang maharajah  yang bertakhta di Putra Jaya sambil berbohong mengenai Bursa Saham Kuala Lumpur dan menyindir akan Insan Yang Mesti Dihapuskan Dengan Apa Cara Jua.  Kalau betul ekonomi negara begitu mantap apakah digusarkan sangat kalau ada segelintir penyokong Anwar (Anwaristas) yang cuba menggagalkan segelintir peniaga  daripada membuat pelaburan yang sudah pasti menjanjikan keuntungan dan kekayaaan? Masih ingatkah kita kepada keadaan ekonomi Chile  ketika dikuasai oleh diktator Pinochet?  Bukankah ekonomi Chile ketika itu memuncak naiknya di Latin Amerika itu, walaupun banyak usaha dilakukan  untuk menghalang pelaburan luar negara? Chile berjaya ketika itu kerana para tukang canangnya berjaya mendahului setiap usaha yang mahu dirancang oleh pihak pembangkang. Malaysia gagal kerana  ekonominya itu yang sengaja diada-adakan, dijolok ke atas tanpa sebarang unsur ketahanan seperti  yang disogokkan kepada minda kita.


Pelabur asing telah meminggirkan Malaysia bukan disebabkan risalah sebaran golongan anti-Malaysia yang diselitkan secara bersahaja dalam beg maklumat bakal pelabur, tetapi kerana keangkuhan dan dasar  songsang, yang disadur dengan sikap kami-yang-serba tahu dan kerana memperlekehkan kesan  yang dibawa oleh arus revolusi rakyat  yang pro Anwar. Sejak 1998 lagi, kerajaan hanya mempunyai satu matlamat: menentukan perdana menteri akan terus berkuasa dalam suasana feudal yang menyelubungi kehidupan orang Melayu.  Tetapi, orang Melayu menganggap  bahawa setiap tindakan  Mahathir terhadap musuh ketatnya laksana satu salakan  yang panjang semata-mata. Yang terpenjara akan berada di Sungai Buluh untuk 20 tahun lamanya, dan beliau tidak pun mempunyai peluang untuk berpolitik. Namun, sebaik sahaja  beliau selesai menghadap Sultan Brunei di Seri Begawan, Mahathir terus menyerang Anwar lagi.

Saya pernah berkata, Dato Seri Anwar bukannya seorang malaikat. Dia akan menjadi seorang perdana menteri yang lebih teruk lagi kalau dia dipilih mengikut susur galur yang dilakarkan oleh kaedah pengalihan kuasa  UMNO. Dia mempunyai terlalu banyak kelemahan seperti yang pernah dialami oleh Nelson Mandela.  Namun, Anwar telah berjaya  menonjolkan dirinya laksana ‘David’ yang  berhadapan dengan perdana menteri yang berperanan Goliath itu. Orang Melayu yang menyokongnya sebagai seorang panglima feudal berlagak seperti ‘kurang ajar’.  Kesengsaraan yang dilaluinya kini akan cepat mematangkannya dan mampu mengingatkannya kalau-kalau satu hari nanti dia cuba memakai kembali gebar  kelakuan buruk UMNO itu.

Perdana Menteri Mahathir hanya mempunyai satu jalan  pilihan: membenarkan pengampunan kepada Anwar dan memberikan ruang untuk beliau mendapatkan ‘status quo ante’  dalam UMNO dengan bertanding bagi jawatan presiden UMNO.  Inilah yang mampu mengembalikan satu bentuk penghormatan kepadanya.  Perbuatan ‘meminta maaf’ adalah sebahagian budaya Melayu yang mampu mengampunkan dan membasuh segala bentuk jenayah yang dilakukan. Dalam perkara ini pun Mahathir bukannya mampu menguasai keadaan yang akan dipintanya itu. Perkara ini hanya akan berlangsung kalau Anwar bersetuju. Jika tidak, UMNO akan kehilangan kuasa untuk selamanya.  Soalnya sekarang, siapakah yang berani merantaikan loceng di leher kucing itu?

Perdana Menteri telah membuat pengakuan kepada  beberapa teman baiknya betapa masalah Anwar telah menghancurkan segala ketenangan yang ada; lebih menyeluruh lagi daripada apa yang pernah dicetuskan oleh  Tengku Razaleigh Hamzah. Episod Tengku Razaleigh merupakan satu revolusi yang digerakkan oleh  istana tetapi masalah Dato’ Seri Anwar ialah getaran revolusi yang digerakkan oleh  rakyat marhaen. Malahan, peranan Perdana Menteri dalam menjatuhkan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra dulu merupakan satu rangsangan kepada muslihat Tun Abdul Razak menangani kerenah masyarakat istana. Tentangan Dato Seri Anwar dulu telah didorong oleh  Dasar Ekonomi Baru  dan beliau tidak mencabar ketuanan feudal itu. Cuma beliau menentang  budaya mewah yang diberikan kepada para kroni, pengampu dan adik-beradik. Saya tidak menjangkakan banyak perubahan dalam hal ini kalaulah beliau  balik berkuasa. Pemahaman orang Melayu tidak akan memberi ruang kepadanya untuk merobah perkara ini. Lagi pun, kekuatan orang-orang Mahathir bukannya tandingan  gurila Anwar. Kini, para gurila itu sudah pun berada di perkarangan istana, dan apa yang termampu dilakukan oleh si maharajah ialah  menuduh seluruh dunia kalau berlaku  sesuatu perkara itu. Jikalau beliau berkeras, dia akan dilarikan di malam hari. Itulah yang berlaku kepada  Nguyen Van Thieu, Marcos, Duvalier, Idi Amien ataupun sesiapa  yang menyerupai mereka. Mungkin ke Argentina di tengah malam buta.  Si pemburu sudah menjadi  yang sedang diburu, si perdana menteri  sudah menjadi si banduan. Si banduan pula sedang  menentukan  pergerakan segala yang direncana.

Terjemahan –MT-
 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter