Siri 4 YTDT
MEMAHAMI GETARAN REVOLUSI RAKYAT
Apabila Dr. Mahathir Mohammad menukarkan tafsiran royalti minyak kepada Kerajaan PAS
Terengganu itu kepada Dana Ehsan Kerajaan, seluruh orang Melayu dalam UMNO
telah akur secara rasminya. Sedangkan yang akan merana nanti adalah orang Melayu jua.
Sikap Mahathir itu adalah satu sikap kurang ajar kerana menganggap dirinya sudah terlalu
besar dan kuat sehingga mampu mengkotak-katikkan bangsanya. Perkara semacam ini tidak
perlu dibawa ke tengah majlis mahkamah ataupun apa juga cara perundangan yang ada. Yang
paling penting diambil-kira, kenapakah wang yang selama ini dikenali sebagai royalti
boleh bertukar nama menjadi Dana Ehsan? Apakah disebabkan Kerajaan UMNO di
Terengganu sudah putih mata, makanya tafsiran itu bertukar makna di alaf baru?
Mahathir berkemungkinan sudah semakin sewel dan berada pada satu tahap kehidupan yang
orang dulu-dulu kata sebagai ‘membuang tabiat’. Bagaimana pula dengan segala menteri
kabinetnya? Bagaimana pula dengan semua ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO? Bagaimana pula
dengan semua ahli UMNO di negara ini yang berjumlah 2.3 juta itu? Takkan semua
mereka ini membuang tabiat?
Secara kasarnya, apa juga digunakan untuk menggantikan ‘Royalti’ itu, dana
tersebut perlu disalurkan kepada rakyat melalui kerajaan negeri yang sedang memerintah
dan bukannya kepada proksi kerajaan lama yang sudah jatuh parah. Apabila wang sebanyak
itu (jumlahnya yang sama) mahu disalurkan kepada pemimpin UMNO yang sudah pun
diperlekehkan oleh rakyat jelata, bererti rencana memutarbelit keadaan yang ada, adalah
satu kerja orang yang sudah tidak betul perjalanan otaknya. Apabila perkara ini diikuti
oleh orang lain, mereka bukan sahaja turut sewel malahan akan menanggung dosa yang amat
besar.
Nampak sangat betapa hinanya orang Melayu di alaf baru ini gara-gara ketamakan,
keangkuhan dan ketidaksedaran satu golongan Melayu yang sudah lama berada di tampuk
kekuasaan sehingga mampu memikirkan apa yang mereka raih selama ini adalah sesuatu yang
berkekalan. Mahathir kata, wang royalti adalah sebenarnya dana ehsan yang
direncana oleh Tun Razak. Sejarah menunjukkan betapa itu adalah satu penipuan juga.
Kemudian, Rais dan Daim Zainuddin kata, sesiapa sahaja boleh membawa kes ini ke mahkamah
kalau mereka tidak setuju dengan putaran ‘royalti’ kepada ‘ehsan’. Yang terbaru,
Tengku Razaleigh (orang yang meletakkan tandatangannya bagi pihak Petronas dalam
perjanjian bersama Kerajaan Terengganu ketika itu), kini sanggup membodek Mahathir dalam
hal ini. Kita mahu tanya Ku Leigh kenapakah beliau mengambil satu masa yang lama untuk
membuat kenyataan ini? Bukankah minggu yang lalu dia ada mengeluarkan kenyataan tidak
mahu membuat sebarang komen akan perkara ini? Kenapakah beliau tiba-tiba berpatah hala
dan begitu lantang bersuara menyokong gelagat maharaja tua?
Kini, Mahathir tidak lagi memberi penekanan terhadap Royalti Minyak ini. Dia lebih
memberi penekanan kepada masalah Putri UMNO, seolah-olah masa depannya kini
terpaksa bergantung harap kepada kaum wanita muda dalam UMNO kerana dia sudah semacam
kecewa dengan pergerakan Wanita UMNO. Mahathir juga kecewa dengan Pemuda UMNO kerana
gagal menangani kelantangan golongan pemimpin PAS yang baru pertama kali menjadi ahli
parlimen. Mahathir amat takut dengan apa yang didengar, dilihat dan diketahuinya
secara rahsia. Dia tahu rakyat marhaen sudah bangkit secara senyap-senyap untuk
menghumbannya daripada negara ini. Dia juga sedar, masa sudah tidak lagi menyebelahinya
kerana rakyat sudah semakin pintar untuk mengorak langkah bila mahu menghumbankannya.
Dia juga sedar hampir keseluruhan para juak, pengampu, pembodek dan para muka-seposen
yang tertunduk, terangguk-angguk di hadapannya sekarang adalah satu kumpulan manusia
yang pintar memainkan peranan talam-dua-muka, kerana inilah manusia yang mula-mula
sekali akan berpaling tadah sebaik sahaja rakyat bangkit secara ramai untuk
menyanggahnya. Mahathir sudah tidak boleh tidur nyenyak lagi. Cakap-cakapnya di siang
hari pun nampak berbelit-belit menunjukkan dia semakin kehilangan daya berfikir yang
mantap dan daya cakap yang mampat. Mahathir sebenarnya sedang bersandiwara dengan
dirinya untuk menunjukkan dia masih lagi memegang kuasa. Semua orang yang rapat
dengannya selama ini sudah pun nampak kelemahan yang semakin terserlah
sehinggakan mereka lebih berani terhangguk-hangguk di hadapannya untuk memperakukan apa
sahaja saranannya. Hampir semua para kroni ini sudah sedar bahawa ‘the day of
reckoning’ (hari penentuan) sudah semakin hampir untuk rakyat marhaen bangkit
menghumbankan Mahathir daripada singgahsana. Kemanakah mereka menghumbannya? Kita tunggu
siri yang lain pula.
Terserlahnya Badut Negara
Satu
ketika dulu, beberapa insan dikenal oleh rakyat marhaen sebagai badut negara terunggul
kerana kelicikan mereka mengampu Mahathir. Secara individu ataupun kalau mengikut
‘track record’ mereka itu tanpa UMNO, kebengapan mereka memang diketahui
oleh ramai masyarakat di negara ini. Contoh yang terbaik ialah Ibrahim Ali. Sesiapa yang
kenal beliau tentu kerap terdengar cemuhan orang betapa beliau adalah seorang yang lebih
layak digelar badut istana sahaja. Tetapi, dia mampu naik melonjak kerana dia
dipergunakan oleh orang yang ketandusan idea untuk memimpin. Ku Leigh amat memerlukan
keberanian Ibrahim Ali kerana dia sanggup memancut air ureanya ke kubur seorang diktator
tua apabila dia mati. Tetapi, tidak lama kemudian, inilah badutnya yang sanggup
berpatah balik dan menjilat apa yang mahu dijilatnya. Lantas, dia diberikan tempat yang
baik dalam MT UMNO kerana dia sanggup bersekongkol memfitnah seorang insan yang satu
ketika dulu dianggap sahabat karibnya. Inilah manusia yang sanggup bersekongkol
melihatkan anak-anak (bekas sahabat) beliau meneruskan kehidupan mereka untuk
sekitar dua puluh tahun lagi sambil ayah tercinta merengkuk di penjara. Bukankah Ibrahim
pernah mendukung setiap anak-anak Anwar itu ketika mereka kecil-kecil dahulu?
Kalau Ibrahim Ali yang tidak pun seberapa sangat kelulusan akademiknya boleh
berlagak sombong hingga berani mengangkat seorang diktator tua dengan jolokan Wira Dunia
Ketiga, apa pula kesannya yang terjadi kepada rakan di Majlis Tertinggi Semangat Melayu
46 dulu? Yang paling menonjol mengikut gelagat Ibrahim ialah Rais Yatim seorang lulusan
kedoktoran undang-undang yang satu ketika dulu sanggup ‘membakar jambatan’
kerana dia mahu menegakkan keutuhan perpaduan dan maruah Melayu yang telah dinodai oleh
seorang mamak tua. Ada ramai kawan berkata, Rais sanggup membina jambatan baru kerana
masalah kewangannya dan kerana ketagihan ‘glamour’ dan kuasa. Yang mana satu yang
betul, bukan urusan kita dalam penulisan ini. Tetapi, gelagat Rais sejak kebelakangan
ini menunjukkan dia sudah kehilangan prinsip berpolitik. Dia sanggup
membelakangkan kenyataan yang dibuat oleh seorang teman satu profession yang lebih arif
dan matang darinya yakni Tun Salleh Abas. Hanya setelah Rais bersuara lantang
mencabar sesiapa yang tidak puas hati dengan atur cara baru pembahagian Royalti
Petroleum itu barulah Daim Zainuddin berani berlagak sombong di parlimen untuk
mengulang-ulang cabaran Rais. Kepada siapakah cabaran itu dikemukakan kalau
bukan kepada orang Melayu?
Hanya setelah cabaran Rais itu dijawab oleh kerajaan Terengganu dengan segala rendah
diri barulah Daim Zainuddin semakin berani mengulangi cabaran itu di parlimen.
Menteri Besar Terengganu tentu telah menerima nasihat Tun Salleh Abas bahawa tidak guna
mengambil tindakan mahkamah di negara ini kerana sistem mahkamah yang sudah hancur
dirobek-robek oleh diktator tua.
Kalau cabaran Rais dan Daim sudah sungguh
berbisa, kenapakah pula Tengku Leigh sanggup mengeluarkan kenyataan menidakkan hak
rakyat Terengganu kepada royalti petroleum itu? Kenapa pula dia mengeluarkan ‘fatwa’
baru bahawa kalau ada telaga baru yang dibuka di perairan Terengganu, hak itu akan
menjadi haram pula? Penonjolan isu Royalti Petroleum sekaligus menonjolkan badut terbaru
dalam pemerintahan yang terbaru ini. Rais, Daim, Tengku Razaleigh nampaknya sudah
sanggup bersekongkol untuk memainkan peranan badut yang satu ketika dulu galak
dilakukan oleh Ibrahim Ali, Hamid Othman, Shahidan Kassim, Ali Rustam, Ghani Osman dan
juga Jarjis. Kenapakah berlakunya perubahan yang sungguh drastik ini?
Getaran
Revolusi Rakyat
Ada beberapa pandangan yang boleh diambil kira terhadap
gelagat terbaru yang kita lihat daripada pemimpin UMNO yang sedang menonjol kini.
Kita tidak perlu bincangkan gelagat Rais dan Daim kerana mereka boleh kita failkan
sebagai golongan yang pertama sekali terpaksa melarikan diri sebaik sahaja Mahathir
angkat kaki untuk lari daripada rakyat yang menghambatnya nanti. Tetapi, kita
tentu merasa musykil dengan kelakuan Ku Leigh yang tiba-tiba berpaling tadah untuk
memusuhi rakyat sekali lagi. Tabiat Ku Leigh ini sebenarnya ada saya tulis dalam satu
artikel “Rentak Juang Yang Hilang” (Siri Suasana Lebaran Pencetus Minda Bab
29- 5.2.2000):
… “Ramai orang berkata bahawa UMNO mula condong untuk
rebah ketika tercetusnya pertandingan antara Mahathir dan Tengku Razaleigh. Disebabkan
kemenangan yang tipis itu Mahathir enggan menerima kenyataan bahawa kemenangannya adalah
satu kemenangan yang diragukan. Ia diharapkan mengambil iktibar daripada kemenangan
tipis itu dan memberi ruang yang wajar kepada pihak yang dikalahkannya.
Kedegilannya mengakui hakikat itu membuatkan beliau menggugurkan semua menteri yang
menyebelahi Ku Leigh. Ini membuatkan Tengku Razaleigh mengambil tindakan untuk
meninggalkan parti dan menubuhkan Semangat 46.
Tindakan Ku Li adalah satu
tindakan yang berani kerana congaknya, memberi isyarat bahawa beliau dapat menumbangkan
UMNO dari luar. Malangnya, Allah tidak menyebelahi Ku Li ketika itu. UMNO mempunyai
seorang pendekar yang berjaya mempertahankan maruah parti sambil terus menegakkan kuasa
MAHAFIRAUN. Seperti yang berlaku di mana cerita dongeng dan sejarah bangsa, seorang
pendekar selalunya tumpas bukan di medan perjuangan tetapi di tangan kuasa yang
pernah dipertahankannya. Dia boleh bermati-matian mempertahankan diri dan kumpulannya,
tetapi dia tidak berjaya mengawal dirinya apabila ditumpaskan oleh orang yang telah
diselamatkannya. Memang adalah satu kebiasaan kepada pendekar yang tumpas kerana pukulan
curi. Yang dibawanya adalah para panglima kecut yang hanya berani bercakap
lipat-melipat, tetapi pengecut yang sedia melompat.
Politik adalah ‘the
art of the impossible’. Musuh hari ini berkemungkinan menjadi kawan esok hari.
Begitu juga, kawan di hari ini mungkin menjadi seteru ketat di hari muka. Laksana roda
yang berpusing, perjalanan politik berputar juga. Tetapi, roda politik bukannya laksana
‘roda impian’ yang berputar secara mendatar. Roda politik adalah laksana roda
tikam-tikam ais krim. Setiap nombor itu dipagari paku-paku yang kelihatan sama sahaja
saiznya. Tetapi, kalau diteliti paku yang memagari nombor bertuah selalunya pendek
daripada yang lain. Begitulah nasib seorang pendekar. Semangat persahabatan yang
ada di antaranya dengan pemimpin yang dilindungi itu tidak pernah dipagari paku yang
panjang.
Masa yang panjang yang memisahkan Ku Li dan kumpulan Semangat 46 telah
memberikan ruang untuk pihak yang pintar merencana rentak juangnya. Ku Li dan
konco-konconya termasuk perangkap sekali lagi. Semangat 46 dibubarkan secara sukarela
tanpa sesiapa tahu apakah imbuhannya. Yang untung adalah beberapa orang
panglima Ku Li yang mempunyai kepakaran tersendiri. Tentunya dalam kisah tutup dan buka
yang paling bijak melompat mula berjaya. Selepas itu barulah si pakar jambatan.
Samada dibinanya jambatan baru ataupun dibaikinya jambatan lama tidak ada siapa
yang tahu. Tidak penting semua itu. “Yang penting kita bersatu”. Itulah motivasi
mereka. Lupalah kini segala janji lama beberapa wira Semangat 46. Bukankah ada yang
sanggup membakar jambatan dan sedia terkencing atas batu nesan?
Dengan masuknya
kembali Ku Li serta pengikutnya, pengaruh kuasa yang kelihatan sudah rapuh menjadi kuat
semula. Kulit dahan yang terkopek kelihatan segar semula. Ini memberikan kekuatan kepada
si perencana untuk membuka rentak baru. Terpelantinglah si wira yang sekian lama amat
setia padanya. Tanpa ramai yang menyedarinya sesiapa juga yang sanggup menyokong wira
itu akan digugat dan dibayangi untuk menentukan kesetiaannya.
Inilah yang berlaku
kepada UMNO selepas Ku Li kembali. Ia tidak menjadi kuat seperti yang dijanjikan.
Ia hanya kuat untuk perancangnya dan tidak kepada akar umbi yang mengharapkan sesuatu
dari pucuk pimpinan parti. ………”
Demikian yang saya tuliskan sembilan
bulan yang lalu. Nampaknya, apa yang berlaku kepada UMNO masa kini, adalah lebih teruk
daripada pengamatan itu.
Drama Baru Di Alaf Baru
Kita
boleh ambil pendirian bahawa isu Royalti Petroleum bertukar menjadi Dana Ehsan adalah
satu tipu-helah terbesar di abad baru. Ia akan menjadi satu sandiwara berpanjangan
selagi Mahathir memegang kuasa tampuk kerajaan. Kini, isu ini sengaja dibelakangkan oleh
media massa kerana memberi ruang kepada isu yang terbaru dan terkini lagi seperti Putri
UMNO, Perdebatan Ketua Pemuda UMNO-PAS, Formula (Terbaru) Mahathir, dan banyak lagi.
Semua isu yang ditimbulkan berselang-seli ini sengaja direncana agar menjadi
hangat-hangat tahi ayam sebagai satu tipu helah untuk memutarkan minda orang Melayu
khasnya dan rakyat negara ini amnya. Putaran minda dilakukan sebagai satu helah untuk
menjayakan satu rencana besar yang berupa penipuan besar juga. Apakah penipuan besar
yang dijadikan rencana besar itu:
- Pengambilan-alih Putra Jaya daripada Kerajaan Selangor. Begitu liciknya Mahathir
dalam hal ini sehinggakan majlis dewan undangan negeri Selangor tidak mempunyai
kuasa mempertikaikannya kerana Sultan Selangor yang kini menjadi yang Di Pertuan
Agong sudah pun semacam bersetuju dengan rencana itu. Sebenarnya kalau Sultan
membantah, perkara ini tidak akan berlaku. Oleh kerana anakanda Sultan yang tua pun
tidak bergigi, perkara ini akan terserah kepada ahli UMNO yang menganggotai dewan
negeri untuk mengangguk sahaja. Walaupun perkara ini nampak mudah kini, reaksi
rakyat Selangor dalam hal ini akan menentukan segalanya. Kerajaan Mahathir mungkin
menganggap sudah berjaya dalam hal ini. Tetapi, sejarah akan menentukan bahawa
Putrajaya tidak akan terlepas begitu sahaja. Besar kemungkinannya, niat Mahathir ini
akan disanggah oleh rakyat jelata. Kalau bukan tahun ini mungkin di tahun bila
Mahathir dan kuncunya sudah tidak ada lagi.
- Kita boleh menjangkakan pengambilan Putrajaya akan disusuli oleh Cyberjaya dan
termasuk juga E-Village. Rakyat Selangor yang tulin harus mengambil perjalanan
daripada Pintu Tol Damansara Utama menuju ke perhentian R&R Dengkil. Cuba lihat
papan iklan terpampang yang memaparkan projek perumahan PERDANA dan Tongkah.
Siapakah yang mempunyai tanah bekas lombong itu? Kalau Mahathir betul-betul ikhlas
mengalihkan satu pusat pentadbiran baru daripada Kuala Lumpur kenapakah tidak
digunakan tanah kosong milik kerajaan satu ketika dulu? Bukankah tanah yang lebih
luas daripada Putrajaya ini berada di pertengahan di antara Kuala Lumpur dengan
Lapangan KLIA. Kenapakah tanah yang amat luas ini tidak diambil kira untuk projek
Putrajaya, Cyberjaya dan juga E-Village?
Siapakah yang mengendalikan semua projek
perumahan dan tanaman belimbing madu di kawasan berpasir itu kini? Kenapakah
Mahathir sanggup membeli sebuah ladang yang ditanam dengan Kelapa Sawit untuk projek
Putrajaya sedangkan ladang itu merupakan dasar ekonomi negara? Kenapakah tidak
diambil kawasan lombong yang besar berdekatan simpang masuk ke Putrajaya dan
Cyberjaya daripada lebuh raya itu? Bukankah kosnya lebih murah lagi daripada yang
perlu dikira kini?
- Kita telah ditipu bulat-bulat apabila pampasan kepada Kerajaan Negeri Selangor
dibuat selama sepuluh tahun, dan harga pampasan itu bukan mengikut kadar semasa
tetapi mengikut selera seorang diktator tua. Rakyat Selangor harus ingat, Menteri
Besar yang baru ini adalah anak kepada satu keluarga yang mendatang kira-kira 40
tahun yang lalu daripada Jawa Tengah. Apakah yang ada padanya untuk memahami
semangat jati diri dan mempertahankan negara ini? Di manakah dia ketika orang
Melayu Selangor berhempas pulas menganggotai tentera dan pasukan keselamatan
untuk mempertahankan negara ini. Bukankah perjalanan riwayat hidupnya saling tak
tumpah dengan perjalanan hidup
si diktator tua?
Satu ketika dulu masalah
rakyat terutama orang Melayu boleh diharapkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO untuk
menanganinya. Tetapi, kemuflisan dan kebangkrapan idea pergerakan pemuda itu
menunjukkan apa yang diharapkan itu tidak berguna lagi. Cuba lihat siapakah yang
menguruskan lesen Limosin KLIA kalau bukan mereka yang berada di pucuk pimpinan
Pergerakan Pemuda itu? Saya pernah menulis hal ini dan meramalkan lesen khas limosin
itu akan meranapkan nama perkhidmatan teksi di KLIA. Saya mencadangkan kerajaan
mengambil contoh sistem teksi di Manila dan yang lebih baik lagi di Taiwan. Begitu
juga dengan system teksi di Lapangan terbang London, Carles de Gaule dan juga
NewYork. Setiap teksi yang datang berhak mengambil penumpang. Hanya baru
kini, pihak yang berkuasa mahu mempraktikkannya. Kenapa begitu lama teragak-agak
dalam hal ini?
- Hampir semua isu yang terbaru sejak satu bulan yang lalu, merupakan isu yang cepat
basi. Kerana itu sudah banyak desas-desus yang mengatakan debat hebat di antara
Mahfus Omar dan Hisyamuddin Hussin tidak akan dilangsungkan. Kenapa? Kerana hampir
semua veteran UMNO takut akan implikasinya. Mahfus Omar sudah tentu menerima banyak
maklumat akan nama pemimpin UMNO yang berhutang besar di bank Bumiputra tanpa
membayarnya. Malahan Tan Sri Abdullah Ahmad (bekas duta di Amerika) sudah menulis
agar debat itu tidak dilaksanakan. Apakah beliau juga takut kalau ada kain pekong
lamanya didedahkan oleh orang PAS?
Kita boleh ambil iktibar, banyak isu yang
diketengahkan kini direncana agar berlegar-legar dalam otak orang Melayu khasnya
untuk sekitar 44 hari, seolah-olah mengikut amalan bomoh sihir zaman dulu-dulu.
Kemudian, belum pun isu itu ‘matang’ ia diganti dengan isu yang terbaru pula.
Inilah kerja dan amalan pemimpin UMNO masa kini. Tetapi, apakah tujuannya kalau
bukan untuk memesongkan fikiran kita?
Isu Hangat Yang Tidak Bertulis
Salah satu isu yang sedang hangat diketengahkan ialah peristiwa kerajaan Perikatan
mengisytiharkan Kerajaan MAGERAN di Kelantan satu ketika dulu. Bukankah melalui episod
itu Tun Razak berjaya meluaskan keanggotaan Barisan Nasional dan memantapkannya? Kini,
sudah tersebar di kalangan orang Melayu yang berpendidikan tinggi dan berpangkat tinggi
dalam Kerajaan. Kita diberitahu kalau Tuan Guru Haji Hadi enggan menerima taktik
kerajaan menjadikan Royalti Petroleum kepada Dana Ehsan berkemungkinan besar
satu bentuk MAGERAN akan tercetus juga di Terengganu untuk membolehkan kerajaan BN
merampas balik kuasa memerintah Terengganu.
Jikalau benar perkara ini yang
diimpikan Mahathir, kita dapat menjangkakan inilah tindakan yang akan menggulingkan UMNO
dan Mahathir sebelum munculnya fajar baru tahun 2001 nanti.
Apakah kerana
desas-desus ini membuatkan Tengku Razaleigh berpihak kepada Mahathir sebagai satu
langkah untuk mempercepatkan kebencian rakyat terhadap si diktator tua itu?
Apabila Mahathir mencetuskan isu Royalti Petroleum menjadi Dana Ehsan, saya sudah lama
memikirkan jalan yang paling logik untuk dilakukan oleh Kerajaan Terengganu ialah
untuk mendapatkan pembayaran itu mengikut perjanjian yang ada dengan melakukan rampasan
kepada kapal-kapal kepunyaan Petronas ketika berada di perairan negara lain. Ini mudah
dilakukan di mana sahaja kapal itu menghantar minyak dan gas negara.
Mahkamah antarabangsa terpaksa melakukan ‘tangkapan’ terhadap kapal yang dikenakan
tindakan itu sebagai barang dagang untuk mendapatkan hutang kerajaan pusat yang
sepatutnya dibayar sebagai Royalti Petroleum. Rais Yatim fikir dia mudah memansuhkan
satu perjanjian yang sekian lama berjalan tanpa sebarang keingkaran daripada pihak yang
berjanji itu. Apakah dia tidak fikirkan kalau kerajaan Terengganu tidak mahu melakukan
tindakan mahkamah tidak bererti rakyatnya tidak layak melakukan saman malu itu kerana
mereka teraniaya? Kalau saman malu itu dilakukan di rantau orang Kerajaan Malaysia kena
juga mempertahankannya.
Dalam hal pemansuhan Royalti Petroleum ini, Mahathir
tentu tidak bersuara lantang kalau pakar undang-undang yang di kelilingnya tidak
meyakinkan beliau betapa mereka boleh menang kes itu. Tetapi, apakah mereka mengambil
kira ribuan rakyat Terengganu yang diperlekehkan itu? Adakah mereka mengambil kira
jutaan orang Melayu di Malaysia dan bukan Melayu yang bersimpati dengan rakyat
Terengganu dalam hal itu?
Betapa pun skala kesulitan yang mungkin muncul, akibat
publisiti kemunculan saman rakyat Terengganu di luar negara, sudah cukup
menghenyak kewibawaan Mahathir dan UMNO di luar negara. Mahathir akan menjadi terus
tertekan bukan sahaja di mana dia akan berada di seberang laut, tetapi di negara mana
dia ada melabur secara persendirian. Kecanggihan teknologi dalam era globalisasi akan
mendedahkan segala pelaburan Mahathir di luar negara sebaik sahaja tercetus dengan
meluasnya saman ganti rugi dan saman malu rakyat Terengganu di luar negara itu. Lihatlah
nanti, kerana impaknya akan mengena setiap pelaburan ahli kabinet dan juga pemimpin UMNO
yang sudah banyak membalun wang rakyat dan melaburnya di seberang laut. Contohnya ialah
di Vancouver, ada beberapa rumah kediaman mewah yang dipunyai oleh pemimpin negara
(untuk dihuni oleh isteri kedua ataupun gundek dan perempuan simpanan istimewa) ini yang
amat diketahui oleh rakyat Malaysia yang berhijrah di sana. Bagaimana pula di
negara Komanwel, Switzerland, Eropah, Latin Amerika, Amerika Utara dan juga
Afrika? Semua negara itu masih berada di dunia ini dan bukannya terletak di planet
Marikh. Gambar-gambar bangunan itu amat mudah diambil dengan kamera digital dan
dikirimkan melalui emel sahaja.
Dalam suasana politik sekarang, keadaan tidak
keruan UMNO yang terus diperitkan oleh masalah Putrajaya dan kemelut pucuk pimpinan
UMNO, ditambah pula dengan episod tidak ketentuan hala tuju Pergerakan Wanita UMNO sudah
cukup menjadi iktibar semua veteran UMNO untuk melakukan sesuatu yang drastik agar
Mahathir disingkir secara licik tanpa ada dalihnya lagi. Apa juga yang disebarkan untuk
menunjukkan keburukan kepimpinan Mahathir adalah getaran revolusi rakyat yang mesti
difahami oleh semua lapisan rakyat.
Oleh kerana takutkan kepada sistem cengkaman Mahathir yang dilakukannya sebagai satu
proses membalas dendam terhadap sesiapa yang sanggup menyanggahnya, kita nampak kini
ramai pemimpin UMNO yang main wayang, membocorkan maklumat mengenai kejijikan yang
berlaku. Semuanya dibocorkan agar rakyat semakin sedar kenapa Mahathir mesti
dinyahkan. Di waktu yang sama para pemimin veteran amat takut kalau berlaku huru hara
dan kekecohan yang menyebabkan bencana kepada harta benda awam. Memang tidak siapa
yang inginkan huru hara; kerana itu proses menumpaskan Mahathir berlaku dengan sungguh
berhemah. Tetapi, revolusi rakyat adalah laksana alunan air yang datang berombak yang
muncul ketika air laut pasang dan keadaan darat diserang banjir kilat yang terus
berpanjangan. Kalau dilihat akan keadaan negara masa kini, besar kemungkinan fenomena
ini akan berlaku jua untuk satu masa yang amat singkat yang mampu menumbangkan kerajaan
si diktator tua itu. Besar juga kemungkinannya kali ini, semua anggota tentera dan polis
berada menyebelahi rakyat marhaen. Kita jua tidak boleh mengabaikan berlakunya
satu proses ‘tindakan hartal’ di mana rakyat akan melakukan mogok awam secara
berperingkat sebagai usaha menguji ketahanan pihak regim Mahathir memperbaiki keadaan
yang menyenangkan hati rakyat.
Agenda sanggahan rakyat marhaen nampak kabur
kerana semua pihak yang mahukan Mahathir berundur berada di tahap berwaspada
kerana takut disabotaj oleh jentera penindas yang menggunakan kekerasan (baik dalam
bentuk senjata ataupun akta yang menjerut nasib itu). Mahathir sebenarnya tahu akan
keadaan ini dan kerana itu mengambil tindakan untuk menubuhkan kumpulan pengampu di
antara rakyat marhaen juga untuk membantunya. Kini dia menubuhkan satu pasukan terbaru
yang dikira akan menyokongnya secara membuta-tuli. Inilah Kumpulan Putri UMNO yang
ditubuhkan mengikut amalan penubuhan kumpulan Thatcherite ataupun Majorite (di
United Kingdom) dan Rocardian ataupun Giscardian di Peranchis. Sejarah akan
menentukan, penubuhan Puteri UMNO itu akhirnya akan mempercepatkan lagi proses
penguburan UMNO itu sendiri.
Kalau dilihat akan fenomena kebangkitan rakyat
menentang pemerintahan rejim diktator di mana juga, ia selalunya bermula apabila semua
ahli parti pembangkang di parlimen bersatu dan melakukan satu tindakan yang dapat
membangkitkan semangat rakyat. Di negara ini, keadaan ini mungkin dapat dilakukan kalau
semua ahli parlimen parti pembangkang keluar beramai-ramai dan mengutuk Mahathir sebagai
isu utama mereka. Kalau tindakan ini disokong oleh rakyat merata tempat, besar
kemungkinannya wakil rakyat parti kerajaan pun akan berpaling tadah menyanggah
Mahathir. Tindakan seperti ini akan menarik perhatian seluruh dunia tanpa perlu
berlakunya sebarang rusuhan walaupun Mahathir sendiri pernah mengajar rakyat cara
untuk melakukan rusuhan itu ketika menjelangnya ulang tahun April 14 dulu. Mahathir dan
para pemikirnya amat arif kemungkinan berlakunya fenomena ini. Kerana itu digalakkan
satu perdebatan di antara Mahfuz dan Hisyamuddin Husin. Di waktu yang sama digalakkan
pula dua kumpulan yang memberi pendapat secara berurutan mengenai pros dan kontra
perdebatan itu. Ini semuanya adalah proses putaran minda agar rakyat marhaen terus leka.
Tujuan sebenar penonjolan pendapat bercanggah itu ialah untuk memesongkan
fikiran rakyat terhadap masalah sebenar; iaitu Mahathir harus undur ke luar
negara. Bukankah itu yang dicanangkannya kini terhadap mereka yang dilabel sebagai
penderhaka? Tetapi, apakah pula tindakan yang patut negara ini lakukan kepada
seorang pembelot bangsa dan penderhaka agama? Bukankah menyedari keadaan itu akan
menimpanya maka Mahathir membuat beberapa pelaburan di luar negara?
Apakah perkara ini sudah menjadi makluman Tengku Razaleigh sehinggakan dia sanggup
membuat kenyataan yang menyakitkan hati rakyat Terengganu, kerana dia sengaja mahu
memburukkan keadaan untuk menghenyak si diktator yang sudah sewel itu?
Apakah ini
juga satu perkara yang amat menakutkan Mahathir sehingga dia terus berang kepada seorang
insan yang sudah pun dipenjarakannya untuk satu waktu yang lama? Ataupun dia amat takut
kalau tuntutan saman itu datangnya daripada rakyat Terengganu yang menuntut keadilan dan
dilakukan bukannya terhadap kapal-kapal kepunyaan Petronas tetapi mungkin juga terhadap
pesawat peribadinya (Global Express) itu ketika berada di luar negara?
-Marhaintua-
2
November, 2000
bersambung......