MENGAPA HANG JEBAT MENDERHAKA
Mungkin
ada baiknya orang-orang dalam puak kerajaan (seperti Hishamudin dan Mohd.Khir Toyo)
yang begitu mudah menuduh orang di luar puak mereka sebagai "penderhaka"
dan "pengkhianat negara" diingatkan balik mengapa golongan rakyat
seperti Hang Jebat, Laksamana Bentan dan Sang Rajuna Tapa menderhaka kepada raja.
Dalam
sejarah bangsa Melayu, penderhakaan rakyat kepada raja adalah sesuatu yang
sangat jarang berlaku. Hal ini barangkali kerana bangsa Melayu telah disosialisasikan
dengan nilai yang sangat asas, iaitu "pantang anak Melayu derhaka kepada
raja". Di samping itu, ada pula "fatwa" sesetengah
ulama suni yang pro status qou bahawa rakyat wajib taat kepada umara,
walaupun umara melakukan kezaliman (?).
Oleh itu, jika sesekali ada rakyat
Melayu yang bangkit menentang raja (dengan perkataan lain menderhaka), maka
biasanya ada "faktor wujud dulu" yang sangat penting yang mendahului
peristiwa itu.
Dalam kes penderhakaan Hang Jebat, misalnya, kita semua tahu
bahawa Hang Jebat bangkit menentang raja kerana raja Melaka telah menjatuhkan hukuman
bunuh kepada Hang Tuah yang sangat setia dan banyak berjasa tanpa usul
periksa dan kerana fitnah semata-mata. Dalam hal ini jelas Raja Melaka telah
menjatuhkan hukuman yang tidak adil, dan Hang Jebat menentang raja kerana pada
anggapannya raja telah melakukan kezaliman. Jadi kezaliman rajalah
sebenarnya faktor penting dan utama yang mendorong timbulnya penderhakaan itu.
Dalam
konteks semasa pula, yang juga sangat jarang berlaku, penentangan terhadap kerajaan
telah dilakukan oleh ribuan dan mungkin puluh ribuan "Hang Jebat".
Walaupun yang tampil ke hadapan hanya beberapa orang, tetapi di belakang
mereka mungkin ada ribuan atau puluh ribuan orang. Mengapa pula perisrtiwa ini
berlaku?
Kalau kita bersikap jujur dan mahu menerima kenyataan sebagai
kenyataan (walaupun kenyataan itu agak pahit), nampaknya kita terpaksalah
mengakui bahawa kini sejarah telah berulang semula.
Faktor besar dan utama
yang mendorong timbulnya penentangan ( atau katakanlah "penderhakaan" ) ini
tidak lain daripada tindakan puak pemerintah (termasuk institusi dan alat negara)
yang dilihat dan ditanggapi oleh rakyat sebagai "tidak adil". Hal ini
barangkali tidak perlu dijelaskan secara terperinci. Akan tetapi sebagai
ingatan bersama, lihat sahajalah apa yang telah dilakukan oleh bekas KPN ke atas mantan
TPM; bagaimana pendakwaan terhadap mantan TPM dijalankan; dan bagaimana hakim yang
dipilih oleh kerajaan menjalankan perbicaraan dan menjatuhkan hukuman.
Walaupun
contoh yang disebut ini hanya melibatkan seorang individu, tetapi apabila pelbagai
alat dan institusi negara digunakan untuk "menghukum" beliau, maka yang
terpampang jelas kepada rakyat yang prihatin ialah individu berkenaan telah tidak diberi
keadilan yang sewajarnya. Dan yang dilihat telah melakukan "kezaliman"
bukan sahaja ketua kerajaan yang menjadi simbol sesebuah negara, tetapi juga pelbagai
institusi negara ( termasuklah badan kehakiman).
Dengan itu, apa yang dikatakan
penderhakaan atau pengkhianatan terhadap negara (jika benar demikian) bukanlah
sesuatu yang timbul secara spontan. Kemunculan peristiwa itu ada sebabnya.
Dan dalam hal ini sebab yang utama tidak lain daripada tindakan puak pemerintah yang
dipersepsikan oleh ribuan atau puluh ribuan "Hang Jebat" sebagai
kezaliman!
(Oleh: Salman Madani)