SEKULAR ITU … PERANCANGANNYA ?
Sekular
atau dalam bahasa arabnya dipanggil "al-'Ilmaniyyah" diambil dari perkataan
ilmu (dalam bahasa arab = 'ain, lam dan mim). Kononnya dari segi mafhum, ia bermaksud
mengangkat martabat ilmu, jadi ia tidak bercanggah dengan mafhum Islam yang juga
menjadikan ilmu sebagai satu perkara penting bagi manusia dan menyeru kepada ilmu sejak
wahyu pertama lagi TETAPI sebenarnya penterjemahan kalimah sekular kepada
"al-'Ilmaniyyah" hanyalah satu tipu daya dan berselindung di sebalik slogan
ilmu. Sebenarnya kalau diperhatikan makna tersirat bagi sekular ialah
"al-Ladiniyyah" yakni tanpa agama atau "al-La'aqidah" yakni tanpa
akidah. Tokoh pemikir Islam Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut perkara ini di
dalam penulisannya tentang
sekularisme.
Istilah "al-'Ilmaniyyah"
dipilih untuk mengabui mata umat Islam agar menerimanya kerana jika digunakan istilah
"al-Ladiniyyah" atau "al-La'aqidah", sudah pasti umat Islam akan
menolaknya. Sebab itulah kita merasakan betapa jahatnya penterjemahan sekular kepada
istilah "al-'Ilmaniyyah" dengan tujuan mengabui mata dan betapa jahatnya
golongan ini yang ingin menutup perbuatan mereka tanpa diketahui oleh kebanyakan orang.
Bagi anak didik sistem sekular, mereka tidak segan silu menerima dan bermati-matian
mendokongnya kerana mereka
memang telah diprogramkan untuk menyebarkan fahaman
sekularisme. Namun bagi ulama-ulama Islam yang faham hakikat sebenar makna Islam, mereka
bermati-matian pula menentang penyebaran fahaman ini yang jelas bertentangan dengan
hakikat Islam. Jadi sudah tentu berlaku satu pertembungan antara pendokong sekularisme
dan ulama-ulama Islam dalam mempertahankan "hakikat" masing-masing.
(SEKULARISME
ANTARA TIMUR DAN BARAT)
Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat
tempat di barat. Ini berpunca dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu
pemikiran dan penemuan sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati
manusia, dengan erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja dengan
mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang salah.
Eropah
pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila ratusan malah ribuan
orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini berlakulah
pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya tertegaklah fahaman sekularisme yang
bererti "memisahkan agama (kristian) dari negara". Suasana kacau bilau dalam
agama kritian hasil penyelewengan yang berlaku dalamnya (-ia berpunca dari perancangan
yahudi-) memungkinkan tertegaknya fahaman sekularisme di samping agama kristian yang
sedia ada. Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk
mengongkong pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi di bawah pemerintahan
gereja. Bagi pejuang sekular, mereka menganggap dengan berada di bawah kuasa
gereja mereka tidak akan mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali ikatan
diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang beragama kristian hanya pada nama tidak
pada pengamalan agama.
Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang
menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan
dengan urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya sekularisme adalah satu
fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti politik,
pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut faham sekular, soal
bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada kaitan dengan soal agama atau
gereja.
Apabila fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat ke timur,
golongan ini tidak menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang berpegang
kuat dengan agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan
pemisahan agama
(Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam tidak sama dengan apa yang terjadi dalam
kristian di mana sepanjang sejarah Islam tidak ada penzaliman terhadap penganutnya.
Begitu juga Islam tidak membenarkan pemisahan agama (Islam) dari negara kerana negara
mengikut fiqh Islam ialah sebahagian
dari agama bukannya satu perkara yang
berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin tertegaknya agama (dengan sempurna) tanpa negara
(yang boleh menguatkuasakan undang-undang agama) dan tidak mungkin tertegaknya negara
(tanpa kacau bilau) jika tidak ada agama (yang boleh memandunya).
Al-Syahid
Hasan al-Banna dalam "Majmu'ah Rasa'il" menegaskan bahawa Islam merupakan
sistem sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia semuanya. Ia merangkumi negara,
kerajaan, rakyat, akidah, syariat, akhlak, ekonomi, keadilan, undang-undang, ilmu,
jihad, dakwah, tentera dan lain-lain. Pendek kata tidak ada perkara yang dibiarkan
melainkan Islam merangkuminya. Al-Quran sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum
untuk umat Islam dalam memandu kehidupan mereka. Sebagai contoh dalam bidang akidah
(lihat surah Al-Imran ayat 19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43), bidang
sosial (lihat surah Al-Baqarah ayat 188), bidang politik (lihat surah Saba' ayat 15),
bidang undang-undang perlembagaan (lihat surah Al-Nisa' ayat 59) dan juga bidang-bidang
yang lain.
Islam tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman
sekularisme di sampingnya dengan membahagikan tugas antara keduanya iaitu, Islam
hanya berfungsi di dalam urusan akidah dan sekularisme pula berfungsi di dalam urusan
syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Islam merupakan satu agama yang
terkandung di dalamnya akidah dan syariat sekaligus dan ia tidak membenarkan
pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam tidak membenarkan tuhan-tuhan lain ditaati
dalam bidang syariah seperti ditaatinya Allah dalam bidang akidah. Allah telah
menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang diredhainya hanyalah Islam yang suci.
FirmanNya yang bermaksud, "Sesungguhnya al-Din (agama) yang diterima di sisi Allah
hanyalah Islam", surah Al-Imran
ayat 19.
Jadi untuk menyamakan
Islam dengan agama kristian dan percubaan memasukkan fahaman sekular ke dalam Islam
adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Islam tidak seperti kristian kerana Islam
datang dari Pencipta manusia iaitu Allah s.w.t, ia selamat dari cacat cela. Kristian
pada asalnya agama tauhid tetapi telah diselewengkan oleh paderi-paderi untuk
kepentingan mereka. Sekularisme bukan berasal dari Islam dan Islam berlepas tangan dari
fahaman kufur ini dan tidak ada kena mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat
Islam
yang mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap untuk maju tidak perlu beramal
dengan Islam maka boleh membahayakan akidahnya.
Sekularisme bukan hanya
sekadar berpandangan politik suku agama suku tetapi dengan menyempitkan ruang lingkup
agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti beramal dengan Islam secara separuh.
Apa yang memberi keuntungan dan kemudahan diterima pakai manakala yang mendatangkan
kesusahan ditolak tepi.
Sebab itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui
firmanNya surah al-Baqarah ayat 85, maksudnya : "adakah kamu percaya (beriman)
kepada sebahagian kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya? Sebaliknya
Allah memerintahkan agar menerima Islam secara keseluruhannya melalui firmanNya surah
al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, "wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu
ke dalam keseluruhannya".
(CARA-CARA PENYEBARAN SEKULARISME)
Semenjak
penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka berusaha sedaya upaya
untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai cara. Dengan keupayaan ilmu
dan teknologi yang dimiliki serta pengalaman, mereka berjaya melaksanakannya. Cara-cara
penyebaran fahaman sekularisme ini dilaksanakan melalui bidang pendidikan, media massa
dan undang-undang. Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.
(PENYEBARAN
SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN)
Antaranya ialah :
1. Menyekat pengajian
agama Islam secara material dan moral.
i. Sekatan secara material dilakukan
dengan membuka pintu seluas mungkin kepada pengajian yang kosong dari ruh agama Islam
(pengajian yang jauh dari penekanan agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan
dibangunkan serta diberi kemudahan dari segi material. Adapun pengajian agama Islam
disempitkan bantuan kewangan ataupun tidak dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih
dicurahkan kepada pengajian sekularisme.
ii. Sekatan secara moral ialah dengan
memperlekehkan golongan penuntut agama dan tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara
guru-guru agama dan guru-guru subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang
disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan lepasan
bidang-bidang lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat
peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah tetapi bagi lepasan
bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan habuan dan status yang lumayan.
Mereka ini akan tenggelam dalam "ketidaksedaran" dan akan menyebabkan orang
ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan terpahat satu sikap dalam minda
mereka iaitu "jika kita memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan tidak
akan menjamin hidup", maka dengan itu mereka lebih cenderung kepada pengajian
bidang bukan agama.
Bukanlah bermaksud di sini umat Islam tidak boleh
mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu
"bukan Islam", seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga
merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari
segi penekanan ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak salah
seorang muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah dia menjadi doktor yang ada asas
didikan Islam. Juga tidak salah seorang muslim itu menjadi jurutera, tetapi biarlah
menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.
2. Menghantar pelajar Islam ke
negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya
yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta
adat yang baik dan akan menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat. Di
samping itu, akan
tertanam dalam diri pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng
dari ajaran Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati
dengan diri pelajar itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan
dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan
menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.
3. Melonggarkan sukatan
pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen Britain di Mesir Lord Krumer semasa
penjajahan Britain ke atas Mesir telah melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam
Universiti al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya.
Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan
pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang berkaitan jihad
menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam. Pelonggaran sukatan
pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk melemahkan
pelajar-pelajar Islam.
4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam
bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari
agama mereka atau sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling kurang
kesannya ialah menghina bahasa arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan
bahasa asing. Penghinaan bahasa arab sebenarnya menghinakan agama Islam itu sendiri. Ini
berlaku di negara-negara arab.
5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah
percampuran lelaki dan perempuan ketika pengajian. Mereka (golongan sekular)
memulakannya di negara-negara Islam dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi
ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu
dapat
mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca
tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal. Ilmu sains
membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada 2 keadaan :
i. Samada ia
akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi
bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih bernafsu kepada kaum sejenis
(satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah s.w.t). Penyakit ini semakin menular di
negara-negara barat dan juga Amerika Syarikat.
ii. Ataupun ia akan
meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan
dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu sangkar.
Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah sampai masa
"keinginan", anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan memakannnya
walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang
sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama
"berdamping" dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan
dengan
percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke
arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam adalah bukti yang nyata
betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.
(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI
MEDIA MASSA)
Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan
pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton,
mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau
tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala
perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh
itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda
seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan martabat, peribadi, maruah dan
minda seseorang.
Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio,
wayang gambar, teater, akhbar, majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang
membantu perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan
pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat dan
pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang menyiarkan
gambar separuh bogel atau "tidak sempat memakai baju dan seluar" banyak
disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda
mudi.
Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar dakwah" yang menyeru kepada
kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang
kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha menjauhkan
umat Islam dari agamanya.
(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG)
Golongan
sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari "kuasa"
pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam
apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Ia terjadi di
kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya, untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka
berusaha mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang
Turki menjadi sekular dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir
"pengsekularan"
undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris
dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang
Perancis secara khususnya.
Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah
berkaitan nikah kawin (ahwal al-Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat kerana ia tidak
menggugat kedudukan penjajah. Umat Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan
mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan
negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan
jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan undang-undang
Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari
golongan sekular dalam negara itu sendiri.
Ini adalah sebahagian
perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk memesongkan umat Islam dari
beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh
agama pasti menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar
bahawa ketika dia menerima dan
mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan
tali dirinya dengan Islam yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar
perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam
perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan akhirat.
Islam dan
sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza.
Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat
berkata :
"sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak
tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil". Maka umat
islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala
perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan
yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama
yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus
peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah
s.a.w.
Disediakan oleh :
IRWAN BIN MOHD SUBRI
UKM, BANGI.
atkeens@usa.net
(P/S
: artikel ini dipetik dan diubah suai dari buku "Mauqif al-Islam Min al-Tayyarat Wa
al-Mazahib al-Mu'asharah" karangan Prof. Dr. Taha Abd al-Salam Khudhair dan Prof.
Dr. Hasan Muharram al-Sayyid al-Huwaini, pensyarah jabatan akidah dan falsafah, kuliah
Usuluddin Universiti al-Azhar Mesir).