Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Belanjawan 2001 BOHONG!

Sudah diketahui apakah intipati Belanjawan 2001 yang dikatakan memberi banyak faedah kepada rakyat. Belanjawan 2001 dinamakan Belanjawan Mesra Rakyat, Belanjawan Rakyat dan entah apa-apa lagi belanjawan berkonsepkan rakyat. Rupa-rupanya belanjawan 2001 adalah indah khabar dari rupa. Tak ada apa-apa yang hendak dihebohkan. Ada orang mengatakan belanjawan 2001 adalah belanjawan kontraktor dan belanjawan juga ada mempunyai motif politik.

Sebelum belanjawan 2001 dibentangkan, bukan main sibuk mesin propaganda memuatkan berita-berita baik mengenai belanjawan 2001 dua minggu sebelum belanjawan dibentangkan di Parlimen. Mahazalim mengatakan kemungkinan belanjawan lebihan dan bermacam-macam faedah diberikan kepada rakyat. Mesin propaganda kata the budget will bring smiles to the people. Habuk pun tarak apa yang hendak digembirakan. Sebenarnya Daim yang diam telah memberikan sedikit clue menjelang beberapa hari sebelum belanjawan 2001 dibentangkan. Dia kata belanjawan tidak banyak beri faedah, sedikit saja. Ternyata kata-kata dia adalah benar. Rata-rata orang ramai kecewa setelah mendengar belanjawan 2001. Cuma pemimpin-pemimpin kerajaan kata bagus (tak hairan pun).

Sebelum belanjawan 2001 dibentangkan, orang ramai percaya dengan kata-kata kerajaan. Oleh kerana termakan umpan kata-kata manis kerajaan, indeks saham BSKL mulalah naik secara mendadak. Sebelum itu indeks BSKL mati segan hidup tak mahu. Apabila belanjawan 2001 telah dibentangkan, orang ramai menyedari yang mereka sudah tertipu oleh kata-kata manis kerajaan. Berita baik belanjawan 2001 sengaja diperbesar-besarkan. Kalau tidak keterlaluan saya katakan, ia adalah usaha pihak tertentu untuk menghidupkan semula BSKL yang lemah. Kau orang faham-faham sajalah siapa pihak tertentu.

Saya berpendapat ada pihak mengambil kesempatan dengan menggunakan khabar angin belanjawan 2001 untuk menaikkan indeks BSKL. Pihak tertentu sudah tahu awal-awal lagi belanjawan tidak memberi apa-apa makna kepada orang ramai. Jika berita baik belanjawan 2001 tidak disebarkan dengan meluasnya, indeks BSKL mungkin berada bawah paras 700 (paras keyakinan). Lagi pun orang ramai memang mudah percaya kepada khabar angin. Orang ramai mungkin ingat berita baik disampaikan oleh kerajaan melalui mesin propaganda adalah benar, tak kan kerajaan nak tipu kut. Maka belanjawan yang tidak memberi apa-apa makna dikatakan baik. Apa lagi orang ramai pun termakan umpan pihak tertentu.

Pihak tertentu sudah jangkakan orang ramai akan beri reaksi negatif dengan menjual saham selepas belanjawan dibentangkan. Mereka kata tak apa, indeks masih lagi berada pada tahap 700 lebih. Jika ada tanda-tanda ia mahu jatuh lagi, senang aja boleh kawal indeks dengan beli saham terpilih (index-linked counters). Kenapa pihak ini bersusah-payah mengawal indeks BSKL? Saya berpendapat indeks pada mata 700 adalah indeks keyakinan. Jika indeks jatuh bawah paras 700, keyakinan akan hilang dan kemungkinan besar ramai lagi yang akan jual saham dan semakin parah BSKL dibuatnya. Oleh itu pihak ini akan memastikan indeks tidak akan jatuh bawah 700 mata kecuali mereka tidak dapat menghalang jualan besar-besaran saham diluar kawalan mereka. Selagi pihak ini mampu membeli saham terpilih untuk cover kerugian, indeks tidak akan menjunam dengan teruknya. Ini adalah manipulasi saham dan ia sangat berbahaya. Siapakah pihak ini, anda jawablah sendiri.

Belanjawan amat penting kepada negara dan rakyat. Belanjawan memberi gambaran bagaimana kerajaan mengurus ekonomi, menghadapi persaingan globalisasi dan menghadapi pembangunan ekonomi yang mungkin akan terjejas pada masa hadapan. Dukacita dimaklumkan kerajaan gagal menjelaskan kepada orang ramai apakah langkah-langkah kerajaan yang telah ambil untuk memantapkan lagi ekonomi. Cakap memang mudah tetapi untuk melaksanakan bukan mudah. Ia memberi gambaran bahawa orang ramai ragu-ragu apakah hala tuju kerajaan pada masa hadapan? Adakah kerajaan mampu dan dapat mengatasi segala cabaran dan dugaan kepada ekonomi dan pembangunan negara?

Selepas Belanjawan 2001 dibentangkan, indeks BSKL mulalah merundum semula. Hari Isnin, indeks jatuh 16.77 mata dan hari Selasa pula indeks jatuh. Oleh yang demikian semua orang dah tahu siapa kerajaan BN. Memang pandai berbohong kepada rakyat. Memang pandai buat janji kosong. Belanjawan 2001 adalah half-empty atau half-full. Banyak keraguan dan persoalan tidak dijawab oleh kerajaan. Sepintas lalu, kerajaan tidak menjelaskan bagaimana hutang negara yang banyak dapat dilangsai ke tidak, penyusunan dan pengurusan korporat tidak dibincangkan dan kenapa bonus tidak diberikan kepada kakitangan kerajaan. Hanya rakyat yang masih bebal dan tidak tahu membezakan antara kaca dan intan masih percaya kepada cakap kerajaan.

LTL

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter