MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

MENGAPA NAMA ISLAM HARUS DIPERTAHANKAN

Firman Allah bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - ayat 208 Surah Al-Baqarah.

Selamat bertemu kembali para netters sekelian dalam bicara mingguan saya, Minda Mingguan. Marilah kita sama-sama menginsafi bahawa satu-satu agama di dunia ini yang memandu kita ke jalan yang benar, iaitulah jalan yang diredhai Allah. Islam sebagai agama terakhir lengkap dengan hukum hakam dan peraturan-peraturan kehidupan untuk membimbing manusia dalam kehidupan harian mereka agar menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah.

Agama-agama terdahulu sebagaimana diturunkan melalui Taurat, Injil dan Zabur hanya sesuai pada zaman kenabian masing-masing iaitu pada masa zaman Nabi Musa, Isa dan Daud. Berlainan dengan Al-Quran yang diutuskan melalui Nabi Muhammad s.a.w, maka agama Islam itu lengkap mencakupi peraturan kehidupan dunia dan akhirat.

Justeru itu tidak benarlah jika ada insan mendakwa bahawa Islam itu lemah atau tidak sesuai di zaman yang serba moden dan mencabar. Insan yang berkata demikian pastilah kefahamannya mengenai Islam begitu rendah dan hendaklah ia berguru dan mendalami hakikat Islam itu sendiri.

Islam Agama Terakhir

Kedatangan Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Muhammad s.a.w. juga membawa erti agama yang wujud sebelum itu tamat tempohnya. Jika sama dengan suatu barangan, ia disifatkan sebagai tarikh guna sudah mati atau barangan itu 'expire'.

Maka ini juga membawa erti semua agama tidak ada lagi. Agama terakhir ialah Islam. Justeru itu sesiapa mengaku ada agama lain selepas kelahiran Islam atau ada agama yang boleh dianuti selepas ajaran Muhammad, pendapat itu lahir dari kefahaman Islam yang keliru.

Penganut yang lain dari ajaran Islam bolehlah disamakan dengan mengamalkan ajaran sesat yang tidak mentauhidkan Allah kerana agama-agama seperti Kristian dan Yahudi sudah tamat tempoh ajarannya. Dalam hubungan ini Allah berfirman:

"Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berseliseh orang yang diberikan kitab kecuali sesudah datang pengetahuan  kepada mereka kerana kedengkian yang ada di antara mereka. Barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya." - ayat 19 Surah Ali Imran

"Dan katakanlah: 'Yang benar (Islam) telah datang dan yang bathil telah lenyap'. Sesungguhnya yang bathil (sesat dan kafir) itu pasti lenyap" - ayat 81 Surah Al-Israa'

"Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang yang buas, kecuali sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan untukmu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku redha Islam itu sebagai agamamu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" - ayat 3 Surah Al-Maidah

Dalam ayat terakhir di atas Allah menerangkan bahawa satu-satu agama yang diredhai-Nya selepas semua agama diturunkan ke atas pelbagai umat terdahulu iaitulah agama Islam. Dalam kesempatan menerangkan hukum sembelihan itu Allah menyatakan dengan jelas akan sifat agama Islam iaitu sebagai satu agama yang sempurna yang tiada cacat cela atau kekurangan, malahan mengandungi ilmu dan kelebihan bagi mereka yang inginkan nikmat kehidupan dunia dan akhirat. 

Tuntutan Memperjuangkan Islam

Tuntutan memperjuangkan agama Allah banyak sekali disarankan kepada kita umat Islam. Antara lain Allah berfirman maksudnya:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu orang-orang Islam sejak dahulu dan di dalam Al-Quran ini supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia (tentang mana yang benar dan yang salah). Oleh itu dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat dan berpegang teguhlah kamu kepada Allah!  Dialah pelindung kamu. Maka Allah (yang demikian sifat-Nya) Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan - 78: Al-Hajj

"Dan (kerana gemarkan pahala berjuang menegakkan Islam) orang-orang yang beriman berkata: 'Alangkah baiknya jika diturunkan satu surah (dari Al-Quran yang memerintahkan kami berjuang)?'. Maka apabila diturunkan satu surah (dari Al-Quran) yang tegas keterangannya dan tersebut padanya hukum-hukum yang mewajibkan perang Jihad (menentang pencerobohan musuh) sudah tentu engkau melihat orang-orang yang ada penyakit (kufur) di dalam hatinya memandang kepadamu dengan terbeliak matanya kerana gerun takut menghadapi mati, dengan yang demikian kebinasaanlah yang lebih hampir dengan mereka" - 20:Muhammad

Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam menyahut titah perintah Allah s.w.t. untuk melaksanakan tuntutan jihad bagi menegakkan syariat-Nya di muka bumi ini. Dalam ayat 20 (surah Muhammad) di atas terdapat sejenis penyakit (iaitu kufur) yang berada dalam hati sebahagian umat Islam itu sendiri. Mereka adalah golongan yang menentang jihad walaupun dalam masa yang sama mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Ini adalah kerana mereka lebih cintakan kehidupan dunia semata-mata. Padahal Allah telah menggaris kehidupan ini seimbang antara dunia dan akhirat, tetapi manusia ingin menunjukkan kebijaksanaannya!

Dalam mengaitkan hubungan percubaan UMNO untuk menggugurkan nama Islam pada parti atau organisasi tertentu, ianya dilihat sebagai satu percubaan orang yang gerun menghadapi mati sebagaimana dalam ayat di atas. Kepada golongan ini Allah memberikan amarannya bahawa kebinasaan akan menghampiri mereka.

Dari itu tidak hairanlah jika kita melihat semakin hari organisasi yang tidak bersungguh-sungguh menegakkan syariat Allah menghampiri kebinasaan. Kebinasaan itu datangnya dalam berbagai bentuk dan rupa. Ia mungkin percubaan ekonomi yang meleset, datangnya pelbagai jenis penyakit mahu pun semakin dibenci umat.

Apabila Nama Islam Tiada Lagi

Maka apabila tindakan pengguguran nama Islam dibuat bayangkan apakah yang terjadi! Apakah yang terjadi pada Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sekolah Agama, Bank Islam, Takaful Insuran Perlindungan Islam, Universiti Islam, Pajak Gadai Islam, Tadika Islam, Jemaah Islam Malaysia, Persatuan Ulama SeMalaysia, dan berbagai lagi yang menggunakan nama Islam.

Kita sudah lihat akibatnya di kad pengenalan kita di mana bangsa dan agama rakyat sudah digugurkan. Apakah dengan cara ini kerajaan BN mahu supaya rakyat di negara ini mahu mengwujudkan satu bangsa Malaysia dengan satu agama iaitu taghut dan kesesatan!

UMNO Dicabar Menamakan Parti Islam

Dalam menghadapi kemelut politik akibat nama Islam, UMNO dan kerajaan BN cuba menghapuskan Islam itu sendiri. Kita ingin sekali menyatakan pendirian mencabar UMNO untuk menamakan parti mereka sebagai parti Islam. Umpamanya Parti Islam Melayu Bersatu atau United Muslim National Organization (UMNO). 

Kita mengulangi cabaran ini adalah untuk membuktikan sekiranya kerajaan BN benar-benar mahu memperjuangkan nasib rakyat dan menegakkan syariat Allah. Kita tinggalkan soal sokongan, kepada rakyat untuk memilih dengan bijaksana.

Agenda Islam Akan Terbantut

Pembatalan atau pengguguran nama Islam dari sebarang pertubuhan atau organisasi adalah langkah singkat tanpa perhitungan oleh kerajaan BN. Akibat dari tindakan ini adalah dibimbangi umat Islam akan keliru dan mundur apabila segala aktiviti mereka disekat. 

Sekatan terhadap perkembangan Islam juga apabila berlaku akan mencetuskan suasana sebenar sebagaimana sandiwara Al-Ma'unah di Sauk, Kuala Kangsar awal bulan lalu.

Allah memberikan amaran-Nya kepada manusia yang cuba menghalang manusia lain dari jalan Allah sebagaimana difirmankan bermaksud:

"Dan janganlah kamu menjadi orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan) mereka kepada orang ramai, (kerana minta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah  dan ingatlah Allah Maha Meliputi Pengetahuan-Nya akan apa-apa yang mereka kerjakan". - 47 Al-Anfaal

"Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan agama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkar hari akhirat" - 19:Hud

"Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka ) menunggu didatangi azab yang memusnahkan, yang telah menimpa orang-orang yang terdahulu, atau didatangi azab yang dilihat dan dihadapi" - 55- Al-Kahfi

Satu Renungan: Umat Islam Menjadi Penghalang Perkembangan Islam?

Allah berfirman:

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Marilah kita berhakim kepada hukum Al-Quran, yang telah diturunkan Allah kepada hukum Rasulullah', nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang manusia bersungguh-sungguh dari menghampirimu" - 61: An-Nisaa'

Demikian antara gambaran Allah tentang manusia yang mengaku Islam tetapi menjadi batu penghalang kepada menegakkan syariat Allah itu sendiri.

"Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang keburukan dan kesingkatan masa di dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka pada pandangan mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutupkan pandangan mereka, maka dengan itu mereka tidak dapat melihat jalan yang benar" - 9: Yaasin

Sebagai kesimpulannya umat Islam perlulah meningkatkan ilmu pengetahuan dalam mengisi iman di dada agar mereka tidak dipesongkan oleh manusia durjana yang ingin mensekularkan segala aktiviti keIslaman atau yang condong kepada agama. Sejarah telah membuktikan bahawa Mustapa Kamal Attaturk adalah simbol manusia durjana yang melakukan pemisah antara dunia dan agama yang disebut sekularisme.

Kini di Malaysia kita sedang berhadapan dengan segolongan puak Islam yang diketuai oleh Mahathir Mohamad untuk melakukan proses yang sama dengan menggugurkan nama Islam dari pertubuhan dan organisasi di negara ini.

Polong Cyber
Webmaster Minda Rakyat
30 Julai 2000

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com