MINDA MINGGUAN 23 JULAI 2000
NYAMUK DILUPAKAN,
KELAMBU JADI KORBAN!!
Satu dunia sedang memperkatakan betapa kepincangan sebuah sandiwara arahan seorang
sutradara sehingga para penontonnya berjaya menelah kesudahan cerita wayangnya dengan
begitu mudah sekali. Mengapakah terjadi perkara sedemikian? Apakah pula rahsia
pembikinan filem sembilu arahan Yusof Haslam begitu memukau sehingga berjaya menarik
minat penonton untuk menonton tayangannya berkali-kali. Pada zaman kemuncaknya Yusof
Haslam berjaya meraih gelaran 'The Six Million Dollar Man' apabila kutipan filem sembilu
mencecah kutipan melebihi RM6juta!
Malangnya filem arahan sutradara berupa seorang diktator tua dan nyanyok yang memakan
belanja RM2 biliion tidak mampu menandingi filem Sembilu itu. Jika perbelanjaan itu
lebih baik diberikan kepada Ning Baizura sebagai belanja mengongkosi tubuh badannya yang
sanggup melayan 5 orang pemuda dalam satu aksi, filem itu pasti jauh lebih bermutu
dengan lakonan aksi bersahaja mungkin!
Jika dibandingkan kos Sembilu hanya menelan kos sekitar RM1 juta, episod RAW sebaliknya
bukan sahaja membazirkan wang yang pastinya dikutip dan diselewengkan dari kantung
perbendaharaan negara untuk bayaran para pelakonnya, tetapi yang lebih mendukacitakan
ianya turut melibatkan nyawa manusia yang tidak tahu erti kerakusan seorang perdana
menteri yang gila kuasa berubah kepada gila yang sebenar-benarnya!!
Apakah maksud sebenar pengorbanan wang dan nyawa yang dilakukan oleh sutradaranya kini
terserlah sudah. Perpaduan kaum dan keselamatan negara digadai apabila tuduhan melulu
dilakukan dengan niat untuk memperlekehkan perjuangan sebuah parti yang mendaulatkan
Al-Quran dan Hadis dalam perjuangannya!
Prejudis terhadap kepala yang berkopiah putih dinyatakan secara terang-terangan sehingga
rakyat merasa kaget seketika apakah kesalahan dan dosa memakai kopiah atau ketayap
berwarna putih. Jika sudah demikian label diberi kita pasti akan menyaksikan semakin
laris kopiah dan ketayap putih berbanding dengan songkok yang keras dan hitam. Ini
sebagai reaksi nyata runtuhnya sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang
memerintah kini.
Episod RAW kini mengalihkan fokus kepada parti pembangkang. Mengapakah kesalahan
diletakkan ke atas pembangkang dan rakyat? Rasanya tidak pernah pimpinan PAS
mengeluarkan arahan untuk kita melakukan pemberontakan dan keganasan. Apa lagi dengan
merampas senjata. Mereka sebaliknya berkali-kali merayu supaya rakyat memberikan peluang
kepada BA dengan mengundi dan memangkah parti BA dalam pilihan raya nanti. Apakah
kesalahan pembangkang sehinggakan mahu dituduh mendalangi episod RAW?
Kita berasa sungguh anih kerana para pengawal yang mengawasi Kem 304 Rejimen Askar
Wataniah Pengkalan Hulu dan kem Banding tidak dihukum. Bukankah sebenarnya mereka yang
cuai dalam hal ini. Apakah sistem keselamatan negara di bawah pemerintahan BN cukup
berwaspada dan berhati-hati? Jika nyata kelonggaran wujud ekoran episod RAW, maka
ertinya Menteri Pertahanan wajar dipertanggungjawabkan. Namun apa yang berlaku
sebaliknya menteri berkenaan bermaharaja lela dan sesuka hati menuduh orang lain
merampas senjata yang didalangi kununnya oleh PAS dan anggota-anggotanya. Bukankah
rampasan senjata bererti kecuaian Najib dan para pimpinan angkatan tentera? Mengapakah
kesalahan mereka tidak pernah ditonjolkan?
Kita fikir sudah sampai masanya parti-parti BA berpadu tenaga untuk mengajukan sekali
lagi memorandum kepada YDP Agong untuk menyatakan betapa kita amat menyesali Kementerian
terbabit yang sepatutnya menjaga amanah. Apa lagi amanah itu berupa ketahanan negara dan
keselamatannya. Wajarlah ketua atau menteri bagi kementerian terbabit bertanggungjawab
seperti meletakkan jawatannya dan memberi laluan kepada insan lain yang tidak cuai
berpolitik sehingga membiarkan pertahanan negara dibolosi.
Hukuman apakah yang sedang berlaku dalam negara kita apabila orang yang bersalah tidak
dihukum? Sebaliknya rakyat dikenenkan. Kenyataan mereka yang menggahkan dan membesarkan
perbuatan pencuri semata-mata adalah tidak adil. Sebaliknya mereka yang diamanahkan
menjaga keselamatan negara tetapi melakukannya sambil lewa sehingga mampu diceroboh,
amatlah memalukan. Dunia akan mentertawakan sebuah negara yang serba boleh, tetapi tidak
boleh mengawal kubu sendiri dari dicerobohi. Perkara ini amat memalukan. Di manakah
maruah negara hendak kita letakkan?
Jika dengan tipu daya sahaja sistem keselamatan negara mampu dicerobohi, apalah yang
hendak dibanggakan dengan ribuan juta yang dilaburkan setiap tahun untuk sistem
pertahanan negara? Tidakkah ini merupakan satu pembaziran yang terang-terangan dilakukan
oleh kementerian terbabit? Wang itu adalah wang rakyat. Kerajaan perlu akur akan hakikat
ini. Kita kini merasa terancam dengan kecuaian yang berlaku. Ingatlah bahawa sedetik
kita alpa bererti kita memberi laluan kepada musuh menyelinap masuk ke negara kita. Ini
mendedahkan negara kepada ancaman anasir subversif dan ketahanan yang sedemikian akan
menghancurkan negara dalam beberapa detik sahaja.
Jika saat ini kita imbau dalam peperangan dunia lebih 5 dekad lalu, tidak hairanlah
tentera Jepun mampu menceroboh kawalan negara melalui pantai timur (Kota Bharu).
Nampaknya sejarah berulang, kerana adalah dipercayai 'tentera yang merampas senjata'
melalui pantai timur ke Banding dan kemudiannya ke Pengkalan Hulu. Sejarah tidak akan
membawa erti apa-apa jika kita memandang rendah akan sifat 'berulangnya sejarah' itu.
Kesimpulannya mengapakah sistem ketahanan negara tidak dikaji atau menteri pertahanan
disingkirkan akibat kecuaian para anggota tentera dan pegawai di bawah jagaannya? Telah
terdedah juga kepada umum, termasuk mereka yang sentiasa mahu mencuri maklumat ketahanan
negara ini bahawa dalam sebuah kem yang terletak di Pengkalan Hulu, Perak adanya
simpanan senjata yang banyak, mampu menawan sebuah bandar raya dengan sekelip mata?
Mengapakah kesalahan diletakkan ke atas bahu pembangkang, sedangkan mereka tidak
bertugas memelihara amanah menjaga keselamatan dan kestabilan negara?
Sungguh anih perangai Mahathir. Nyamuk berkeliaran tidak ditangkap, kelambu melindungi
habis dibakar!!
Polong Cyber
Webmaster
Minda Rakyat
23 Julai, 2000