MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

JANGAN BERSYAK WASANGKA, CUMA BERHATI-HATI

Saya amat tertarik mengenai artikel-artikel mengenai JIM sebelum ini mengenai kesetiaan mereka di dalam BA. Saya bukanlah ahli JIM akan tetapi mempunyai kenalan daripada kalangan JIM, juga saya mempunyai kenalan dari PAS, ABIM, Keadilan, DAP. Tidak ketinggalan juga kenalan dari golongan Kristian, Hindu dan Budhha. (Harus dibezakan kenalan dengan sahabat, saudara, rakan seperjuangan, saudara seIslam dan teman).

Saya berinteraksi dengan kenalan-kenalan saya ini semasa kerja, di kawasan perumahan, pada perjumpaan-perjumpaan umum, semasa kuliah-kuliah di surau dan juga ketika aktiviti PIBG. Pergaulan saya dengan mereka-mereka semua ini adalah mengikut masa dan keadaan. Kita sering memandang kesilapan dan kelemahan kenalan kita (termasuk diri saya sendiri), tetapi janganlah kita
menjadikan kesilapan dan kelemahan mereka ini untuk kita mengeruhkan suasana di sekeliling kita.

Ada kenalan saya yang suka menikam dari belakang, ada yang mengejar pangkat, ada yang suka membodek bos, ada yang suka mengarah dan memarahi orang bawahnya. Untuk tidak mengeruhkan suasana saya sering memberi penekanan kepada objektif pekerjaan di jabatan, tengok akan kelemahan kita sendiri, tanya pada diri kita sendiri bagaimana kita boleh membantu untuk menguatkan semangat berpasukan supaya kita tidak lari dari matlamat, objektif dan visi jabatan kita.

Di dalam perjuangan untuk menegakkan Islam dan keadilan pula, juga kita tidak lari dari unsur-unsur yang boleh mengeruhkan suasana seperti ; berpihak kepada pemimpin tertentu, melobi pemimpin tertentu, mengkritik kelemahan pengurusan parti atau jemaah dan sebagainya (kerana kita memang bagus bab mengkritik). Sebaliknya kita patut bertanya pada diri kita bagaimana kita boleh membantu pengurusan yang lemah (kerana sebagai pejuang kita tidak perlu dilantik menjadi AJK untuk membantu parti atau jemaah), bagaimana kita boleh mendamaikan antara dua pihak, bagaimana kita boleh menghentikan hentam-menghentam. Bukannya kita tidak boleh mengkritik akan tetapi kritikan itu mestilah disusuli dengan sumbangan kita untuk menyelesaikan atau meredakan sedikit kekusutan.

Juga hendaklah sentiasa diingatkan sesama kita untuk mengenal siapa musuh kita yang sebenarnya. Musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan semuanya ada di dalam mana-mana organisasi cuma kita perlu berhati-hati agar mereka tidak mempengaruhi orang lain dan teruskan perjuangan kita dan yakinlah akan ganjaran yang akan kita perolehi. Banyakkanlah bekerja kurangkan bercakap. Kalau kita di surau tanya apa yang kita boleh bantu jemaah, di sekolah anak kita, kita tanya apa yang kita boleh bantu PIBG dan pihak sekolah, jika kita di tempat kerja tanya apa yang kita boleh bantu rakan sekerja. Perjuangan kita adalah perjuangan yang tiada noktahnya walaupun kita akan diberikan kemenangan dalam pilihanraya akan datang, insya-Allah.

EX-IOWAN

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com