MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

KERTAS CADANGAN BUANG NAMA ISLAM SUDAH SIAP?

Komen TARMIZI MOHD JAM

Tragedi Sauk dan kegiatan Al-Ma’unah mempercepatkan lagi Mahathir Mohamad untuk meneruskan rancangannya membuang perkataan “Islam” pada badan Parti Islam SeMalaysia atau ringkasnya PAS. Keghairahannya mengaitkan Kumpulan Al-Ma’unah dan apa yang terjadi di Sauk dengan parti itu, makin menjelaskan lagi agenda beliau ke arah membuang perkataan “Islam” yang amat menyakitkan matanya.

Seperti komen Pena Suasa semalam, langkah media pro kerajaan memainkan isu Tragedi Sauk dan Al-Ma’unah lebih dari sehari sebagai berita utama, juga memberi signal bahawa perancangan untuk mengaitkan isu itu dengan PAS, sedang dilangsungkan. Minat Utusan Malaysia dan Berita Harian mengasak dan memuntahkan sindir-sinisnya terhadap PAS yang memiliki “watak” serupa dengan Al-Ma’unah, menguatkan hujah pembangkang, bahawa apa yang terjadi seolah-olah satu perangkap untuk membenarkan Mahathir mengambil tindakan lanjut terhadap PAS. RTM dan TV3 juga turut melebarkan “serangan” angkara Al-Ma’unah itu dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS.

Kebimbangan Umno terhadap PAS memang memiliki asas yang kuat. Pemencilan PAS dari kelompok masyarakat sudah terburai. Lebih jauh lagi, PAS kini berjaya memimpin tindakan, meninggalkan dunia yang asyik memimpin reaksi; telah mengorak langkah menjalinkan pakatan mantap dalam Barisan Alternatif untuk mendepani Barisan Nasional, pimpinan Umno.

Kecenderungan orang Melayu menolak Umno juga, memeningkan kepala Mahathir setelah undi tradisi mereka mula beralih angin menyokong PAS dan KeADILan. Hakikat ini, perlu dibendung segera sebelum instrumen-instrumen penting dalam institusi orang Melayu berubah secara total, menendang kepimpinan Umno dan Mahathir Mohamad pada masa depan. Undi tentera sebagai contoh, kelihatan mula berbondong-bondong meninggalkan BN dalam pilihanraya lalu, dan seperti yang ditunjukkan dalam Pilihanraya Kecil Teluk Kemang baru-baru ini.

Penggal pilihanraya 1999-2004 adalah tempoh yang amat pendek untuk memulihkan Umno yang kian terhakis sokongan. Satu langkah drastik mesti diambil oleh Mahathir untuk membendung pengaruh PAS dari terus menerima dokongan rakyat. Paling penting, menghancurkan harapan parti itu untuk mengauk sokongan dari orang-orang Cina melalui hubungan intim mereka dengan DAP. Mahathir sendiri khabarnya berasa amat pelik, dengan kerjasama erat PAS dan DAP ini. Bagaimana sebuah parti yang berlainan ideologi dan mimpi, boleh tidur sebantal?

Semalam saya diberitahu oleh seorang yang boleh dipercayai, bahawa Kertas Cadangan untuk membuang perkataan Islam pada badan PAS sudah selesai disiapkan. Dua orang tenaga utama menyiapkan perancangan itu ialah Pengerusi YADIM, Nakhaei Ahmad dan Pengarah JAKIM, Zainal Abidin Abdul Kadir. Jika benar, maka sudah tentulah niat Mahathir untuk mengurangkan pengaruh PAS sebagai saingan Umno, akan tercapai sekalipun tidak boleh untuk menghapuskannya terus. Sudah banyak perbahasan mengenai perkara ini. Asakan para perwakilan Umno Mei lalu, sudah cukup untuk memulakan tindakan baru oleh Mahathir terhadap PAS.

Namun begitu, apakah masanya sesuai dan apakah orang-orang Melayu Islam yang menjadi undi akar umbi Umno itu, boleh menerima tindakan Umno kelak. PAS berlapang dada, jika terpaksa menerima tindakan politik Umno itu. Tetapi, PAS yakin, Umno akan terus diketepikan akibat membuang perkataan “Islam” pada badan PAS, malah kepercayaan orang-orang Melayu terhadap dakwaan Umno anti-Islam pastinya akan meningkat sekalipun dengan isu Tragedi Sauk dan Kumpulan Al-Ma’unah ini, Umno mewarnakan dirinya “kununnya” sebagai pejuang dan penyelamat “aqidah umat Islam” di negara ini.

Jika benar, Umno “penyelamat” mengapa Mahathir menyuruh Umno Bahagian di seluruh negara mengadakan kenduri “kesyukuran” kerana berjaya memerangi Kumpulan Al-Ma’unah ini? Mengapa Umno sahaja? Mengapa tidak disuruh rakyat Malaysia yang beragama Islam mengadakan kenduri kesyukuran itu? Mengapa tidak PAS, KeADILan, pertubuhan-pertubuhan NGO, agensi-agensi agama Islam kerajaan dan lain-lain yang munasabah untuk mengadakan kenduri “kesyukuran”? Kalau itu dianggap masalah bersama?

Banyak pihak bimbang, Umno sedang mencari pengaruh semula tetapi terpaksa “mengkambinghitamkan” pihak lain. Kejayaan di Sauk adalah bukti Umno menangguk di air keruh dengan secara tiba-tiba muncul sebagai juara “penyelamat aqidah umat Islam”. Sebenarnya, Umno sedang memberitahu rakyat, betapa prihatinnya Umno terhadap Islam. Isu-isu seperti Islamisasi, memang sudah lama ditolak oleh umat Islam di negara ini. Oleh yang demikian, tugas Umno ialah untuk membenteras “ajaran sesat” termasuklah menggunakan perkataan “Islam” pada badan PAS itu, bagi Umno adalah “ajaran sesat” yang patut diperangi.

YADIM dan Pusat Islam lupa agaknya, untuk menyiasat diri Umno, perjuangan Umno dan undang-undang Umno menurut kaca mata Islam. Apakah ianya syarie atau sebaliknya? Apakah menghalalkan judi itu tidak sesat? Menghalalkan arak itu tidak sesat? Menghalalkan ratu cantik itu tidak sesat? Menghalalkan maksiat di Kelab Malam itu tidak sesat? Menghalalkan pendedahan aurat itu tidak sesat? Menghalalkan riba itu tidak sesat? Menghalalkan darah umat Islam di Memali itu tidak sesat? Dan macam-macam lagi yang “dihalalkan” atas nama lesen dan undang-undang dibuat oleh Umno yang menjadi tunjang kerajaan selama ini.

Ayuh Zainal Abidin Kadir dan Nakhaei! Betulkan perkara ini dulu….

Ada kemungkinan, kejayaan Mahathir memerangi Kumpulan Al-Ma’unah ini berkait rapat dengan niatnya untuk memerangi perkataan “Islam” pada badan PAS itu. Kini, jawapannya makin hampir. Kertas Cadangan yang sudah siap itu, boleh pada bila-bila masa sahaja digunakan oleh Mahathir untuk bertindak pada PAS. Semuanya ini, bukan untuk meningkatkan syiar Islam tetapi meneruskan perbalahan politik dan dendam kesumat terhadap “kekuatan Islam” pada badan PAS itu!

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com