|
Episod RAW 7: SAUK: YANG SUMBANG MENJADI SUMBING Episod RAW yang semakin ditertawakan oleh segenap lapisan rakyat kini diberi satu warna baru pula. Secara tidak semena-mena Majlis Raja-raja Bersidang, kali ini hanya untuk dua hari. Rakyat tidak pun diberitahu lebih awal lagi akan majlis persidangan ini. Tetapi jadual yang ketat untuk hanya meluluskan kenyataan bertulis betapa majlis Raja-raja menghargai 'pengorbanan' pasukan ATM dan PDRM dalam menangani Episod RAW menunjukkan betapa seorang diktator nyanyok cuba membetulkan skrip lama. Ataupun apakah dia sudah mula mengolah satu skrip baru pula? Nampak sangat Mahathir sudah tersasar jauh daripada matlamat asal mengolah drama Sauk itu. Dia memang tidak terfikirkan betapa drama itu dapat dihidu lebih awal oleh rakyat biasa yang semakin tidak percaya dengan jalan ceritanya. Walaupun kali ini ia membabitkan nyawa dua manusia yang bukan beragama Islam. Permainan Nyawa Orang Lain Oleh Doktor Gila Menggadaikan nyawa orang lain sudah merupakan satu mainan seorang doktor gila bernama Mahathir Mohammad. Episod Anwar Ibrahim masih lagi segar di fikiran rakyat betapa Nallakaruppan diberi peluang untuk memperjudikan nyawanya. Samada dia mengaku akan salah laku Anwar yang sengaja diada-adakan ataupun dia dituduh dengan hukuman mati di tali gantung. Nallakaruppan bertegas kepada kebenaran. Dia tahu, ketegasannya itu hampir menjebak lehernya ke tali gantung sehinggakan mampu membuatkan isterinya menjadi seorang janda kaya dan anak-anaknya kehilangan ayah yang tercemar namanya. Allah menyebelahi Nallakaruppan. Dia terlepas, dan kini masih beristirahat untuk mengubati kedukaan dan kepiluan melihatkan dakyah yang ditimpa ke atasnya dan bebanan kesengsaraan yang diterima oleh rakan permainan tenisnya. Sebagai perbandingan, dalam episod DSAI ini, seorang rakyat Pakistan masih lagi menerima rawatan psikologi kerana didera teramat sangat hingga sanggup mengaku dirinya pernah diliwat, sedangkan semua itu hanyalah satu hasil deraan yang dilakukan ke atas seorang ilmuan yang tidak pernah terbayangkan berlakunya deraan itu ke atasnya. Kalau seorang professional asing boleh didera begitu kejam apakah lagi yang dapat dibayangkan telah berlaku ke atas Sukma, Meor, Azmin, Ruslan Kassim dan banyak lagi rakyat Malaysia yang pernah ditangkap untuk dicuba proses 'turnover' itu ? Semua proses memutarkan minda adalah selaras dengan pemutaran fakta terhadap bangunan, tilam, jadual situasi yang dijadikan barang bukti yang sebenarnya tidak relevan langsung tetapi diterima dengan megahnya oleh hakim-hakim yang sudah lama dicucuk hidungnya oleh si doktor gila itu. DS Anwar Ibrahim masih lagi berhadapan dengan segala penipuan dan tipu helah pihak pendakwaraya yang dipermudahkan lagi oleh seorang hakim tua yang terlalu jauh tersasar dalam pedoman hidupnya. Sayang sekali, Ariffin Jaka yang tidak layak lagi diberi gelaran hakim masih mampu bernyawa untuk menurut perintah seorang diktator yang sudah semakin gila. Sistem Kehakiman Yang Menjijikkan Mahathir Mohamed sudah berjaya sebagai seorang diktator pertama di negara ini. Perkara ini tidak perlu diukur dengan segala bentuk kayu ukur untuk menyerlahkan kediktatorannya. Salah satu ciri kediktatoran negara ialah lunturnya sistem kehakiman negara itu dibuatkan oleh pemerintah terunggulnya. Mahathir Mohammad telah menentukan segala itu sehinggakan proses kehakiman negara mampu dijadikan bahan ketawa. Contoh yang terbaik ialah tentang percutian Ketua Hakim Negara Eusoff Chin bersama peguam kesayangannya yang cuba dinafikan oleh Ketua Hakim Negara itu sambil membuat ugutan yang dia akan menyaman sesiapa yang berani membuat tuduhan. Apabila didedahkan segala bukti sahih betapa percutiannya memang dirancangnya bersama Dato Lingam, Eusoff Chin diam membatu, kerana malu. Yang peliknya dia masih mampu menerima lanjutan khidmatnya selama enam bulan lagi. Tetapi, yang lebih pelik dalam hal ini ialah penganugerahan lanjutan khidmatnya itu yang dibuat oleh seorang perdana menteri. Nampak sangat Mahathir tidak sensitif dengan sentimen rakyat yang tidak mahu Eusoff Chin diberikan peluang untuk berkhidmat lagi. Tindakan Mahathir itu menyerlahkan kemungkinan beliau membuat percaturan siapa pula yang akan dipilihnya untuk menggantikan Eusoff Chin itu. Semua ini bergantung kepada cara Anwar Ibrahim diberikan hukuman tambahan dalam kes yang masih berlanjutan secara tidak munasabah di mahkamah. Mahathir Mohammad tidak pernah memikirkan betapa banyak wang yang dibelanjakan untuk kes DSAI itu. Kalau keseluruhan sistem kehakiman itu sudah begitu jijik kelakuannya, apakah yang boleh diharapkan daripada Speaker Dewan Rakyat yang merupakan seorang peguam juga? Beliau pun turut memainkan rentak sumbang sebagai seorang speaker tanpa memikirkan sentimen rakyat jelata. Di sinilah letaknya semangat setiakawan, kerana Speaker Zahir Ismail pernah (dan mungkin masih lagi, secara terselindung) menjadi rakan kongsi Mahathir Mohammad. Sistem Kepolisan yang Menakutkan Kalau sistem kehakiman negara sudah dijijikkan, kini kita lihat betapa sistem kepolisan negara itu menjadi satu sistem yang menakutkan. Kita boleh bersuara lantang dengan mengatakan kredibiliti pasukan PDRM sudah teraniaya disebabkan mainan Mahathir Mohammad juga. Di kalangan anggota PDRM sendiri sudah ramai yang berani bersuara lantang betapa Mahathir harus ditumbangkan. Ramai yang tahu muslihat Mahathir memperalatkan PDRM dalam memburukkan parti pembangkang dalam usaha mereka berdemonstrasi secara aman. Tidak ada demonstrasi aman rakyat yang tidak dicemarkan oleh PDRM. Impaknya ialah memberikan satu wajah buruk kepada usaha berdemonstrasi secara aman itu. Dalam hal ini Mahathir sungguh berjaya kerana pada satu ketika dulu dia menerima sokongan padu daripada seorang ketua polis negara yang ganas dan bengis. Keupayaannya menerima sokongan total Rahim Nor itu adalah disebabkan sokongan yang tidak bermoral yang diterimanya daripada Tun Haniff Omar. Kini, kredibiliti PDRM itu sungguh menyedihkan sehinggakan moral anggota polis berada di tahap yang paling bawahan. Sayang sekali, Mahathir telah menyalahgunakan kuasa yang ada padanya dan kemewahan negara yang ada di tangannya untuk memperlekehkan pasukan polis negara ini sehinggakan semakin ramai anggota polis yang menjadi bingung dengan nasib mereka. Mereka terjebak dalam satu situasi yang rumit kerana bukan mudah meninggalkan khidmat kepolisan itu untuk mengharungi kehidupan sebagai orang preman. Semakin ramai pegawai polis yang berdedikasi yang malas menumpukan khidmat bakti mereka secara total terhadap kerjaya apabila melihatkan bagaimana pegawai polis yang bersekongkol dalam kes Anwar Ibrahim diberikan pangkat dan gelaran yang tidak setimpal dengan perkhidmatan mereka. Tetapi, itulah cara Mahathir memerintah. Pegawai polis yang rasuah dan mengikut arahannya diberikan imbuhan berganda dan bintang hormat yang tinggi lagi. Disebabkan merebaknya budaya pilih kasih yang diamalkan oleh pemimpin politik terhadap pegawai polis, moral perkhidmatan itu kini berada di ambang kehancuran. Yang masuk berkhidmat dengan iltizam untuk berjuang kerana negara menjadi kaget dengan ilusi perkhidmatan itu. Mereka nampak dengan jelas betapa kumpulan rakan-rakan yang giat dengan aktiviti korupsi mampu hidup mewah dan terus berlagak mewah secara terang-terangan. Laksana batu pejal yang sentiasa dititiskan air secara bertubi, ketahanan golongan yang 'lurus' ini pun semakin tergugat juga. ATM YANG MAHU DIPERLEKEHKAN Hampir semua institusi kerajaan di negara ini sudah diindividukan oleh Mahathir bin Mohammad. Dia berjaya dengan hampir semua institusi kerajaan itu. Tetapi, dia masih gagal mengindividukan Angkatan Tentera Malaysia. Kerana itu, usaha gigih sedang dijalankan sejak bermulanya alaf baru ini untuk menentukan seluruh anggota ATM itu boleh dimasukkan dalam kantung putar-belitnya. Yang nyata menjadi batu penghalang terbesar di dalam usahanya itu ialah ketaqwaan warga tentera yang beragama Islam. Kita mahu membincangkan panjang lebar kali ini usaha Mahathir mencuba melakukan proses putar balik 'turning-over' terhadap ATM. Selama ini dia fikir kejayaan memutarbalikkan Majlis Raja-raja sudah pasti memudahkan perjalanan proses 'turning-over' anggota ATM itu. Namun, sebagai tujuan akademik cuba kita perhatikan proses yang dilakukannya ini.
Kualiti Semangat Patriotisme Yang Semakin Sumbang Mahathir sedar betapa dia akan kurang berbisa kalau orang Melayu secara berkumpulan berjaya bersekongkol untuk membungkusnya. Dia amat takut dengan kekuatan Melayu secara berpadu. Kerana itu, strategi pecah dan perintah memang menjadi amalan pentadbirannya. Untuk sekian lama Mahathir memang berjaya dengan taktik ini kerana bantuan PDRM, pemimpin UMNO yang korup, pemimpin korporat yang rakus dan warga istana yang semakin bahlol peri lakunya. Mahathir sudah mampu mengindividukan hampir semua institusi Melayu termasuk institusi raja-raja. Tetapi, dia sedar hanya ATM merupakan benteng keutuhan perpaduan Melayu yang perlu diperlekehkannya agar ATM masuk dalam kantung putar-belitnya. Dalam hal ini Mahathir mengambil satu pendekatan yang baru persis pendekatan yang dilakukan oleh banyak pemimpin negara Dunia Ketiga.
Yang Sumbang dan Sumbing Untuk terus berkuasa, Mahathir tahu ketahanan perpaduan Melayu terletak kepada ATM. Kerana itu dia mahu benteng ketahanan itu dihancurkan. Maka diolah skrip Bukit Jenalik dengan berlatarbelakangkan Episod RAW. Mahathir fikir dia bijak tetapi dia tidak sedar ramai orang Melayu yang lebih bijak daripadanya. Dia fikir, dengan merencana episod Bukit Jenalik dia mampu menggugat kewibawaan ATM. Kerana itu dia menguruskan agar Jeneral Zaini diberikan gelaran Dato lagi oleh Sultan Johor pula. Alangkah sumbangnya perkara ini. Satu penganugerahan bintang dilakukan sedangkan episod yang menyebabkan asas penganugerahan itu belum pun selesai kertas gambarannya. Jeneral Zaini belum pun memulakan laporan khas akan sumbangannya terhadap menumpaskan 'jenayah' di Bukit Jenalik itu. Beliau telah digelarkan wira penyelamat maruah angkatan tentera. Kenapakah Mahathir terburu-buru dengan penganugerahan itu seolah-olah esok sudah tiada lagi? Rakyat memperlekehkan gelagat Zaini itu berasaskan cerita yang disebarkan oleh anggota komando tentera yang berada di Bukit Jenalik. Mahathir merasa bahang perlekehan itu. Anugerah daripada Sultan Johor dikira tidak memadai untuk menenangkan fikiran rakyat jelata secara total. Mahathir pun merancang menggunakan majlis raja-raja untuk memperkuatkan jalan skrip dramanya. Sebagaimana biasa, raja-raja yang hampir semuanya sudah di ambang maghrib usia mereka, angguk sahaja. Seperti biasa juga yang gemar angguk memang mudah anggih juga. Majlis raja-raja yang dipengerusikan oleh Sultan Kelantan tidak mampu mengarahkan satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyelidik Episod RAW ke akar umbinya. Majlis Raja-raja terpukau dengan penjelasan Mahathir. Gelagat majlis itu secara tidak langsung memperlekehkan darjat raja-raja itu sendiri. Sekali lagi mereka membiarkan Mahathir bermain silap mata sambil mereka berselindung di sebalik apa yang mereka fikirkan imuniti dan kedaulatan diraja yang sebenarnya lama sudah tiada lagi. Persetujuan Raja-raja menyokong saranan Mahathir kali ini memang amat dikesalkan. Saya membuat pandangan ini kerana Episod RAW berlaku di Perak sedangkan Sultan Perak adalah seorang raja yang pakar dalam ilmu undang-undang. Kalau baginda sanggup menerima gambaran Episod RAW ini mengikut kaca mata Mahathir, apakah yang boleh diharapkan daripada raja-raja lain yang majoritinya memang semakin haprak itu? Soalnya sekarang apakah seluruh masyarakat Melayu akan terpengaruh dengan tindakan raja-raja yang bersidang khas mengenai Episod RAW itu? Apakah majlis raja-raja itu sendiri akan tergugat sama kerana bersekongkol dengan seorang diktator tua yang sungguh durjana?
Panglima Sauk |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|