MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

HAPUS JAWATAN NAIB PRESIDEN: MOTIF RAFIDAH ATAU MUSLIHAT MAHATHIR?

Komen TARMIZI MOHD JAM

Dalam kecelaruan rakyat untuk menerima realiti dan kebenaran Tragedi Sauk, tiba-tiba Rafidah Aziz membuka isu baru untuk diperdebatkan. Rafidah yang menang tipis ditangan Siti Zaharah Sulaiman, merampas kembali jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan parti itu Mei lalu dalam satu pertarungan sengit dan memalukan.

Rafidah mencadangkan kepada Majlis Tertinggi Umno supaya jawatan Naib Presiden dimansuhkan. Alasan yang diutarakan beliau ialah untuk mengelakkan “huru-hara yang boleh melemahkan parti”. Pandangan dan alasan Rafidah ini, lebih bersifat peribadi dan merupakan satu percubaan untuk menghalang tokoh-tokoh dalam kerusi Naib Presiden sekarang untuk merebut pula, jawatan Timbalan Presiden.

Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan Muhamad Muhd Taib adalah muka lama yang dikaitkan dengan Team Wawasan (baca: bukan Team Al-Ma’unah) yang berjaya memenangi hati para perwakilan Umno Mei lalu. Mereka, bukanlah tokoh yang digemari oleh Mahathir dan perkara ini sudah pun menjadi rahsia umum betapa tidak bekenannya Mahathir terhadap mereka bertiga.

Berbeza dengan Rafidah yang amat disenangi oleh Mahathir. Apa sahaja langkah dan strategi Rafidah untuk menumbangkan Zaharah, sentiasa didokong oleh Mahathir asalkan Rafidah menang dan Siti Zaharah ditumpaskan. Rafidah adalah “anak emas” Mahathir dan merupakan “ibu” yang boleh diharapkan Mahathir untuk memimpin wanita Umno supaya tunduk dan patuh kepada arahannya. Pemilihan lalu, terbukti, Rafidah tidaklah sehebat yang disangkakan tanpa “sentuhan ajaib” Mahathir untuk berkempen memenangkannya.

“Saya berpendapat kalau hanya ada Presiden dan Timbalan Presiden serta 30 (anggota) Majlis Tertinggi, maka tidak ada rebutan,” tegas beliau Selasa lalu.

Bagi Rafidah, cadangan itu dikemukakan atas alasan bahawa perebutan bagi jawatan itu boleh menjurus kepada politik wang, huru-hara dan kempen yang tidak berkesudahan yang merupakan satu daripada punca yang boleh merosak dan melemahkan parti. Rafidah tidak gemar dengan pandangan para perwakilan “kununnya” jawatan itu menjadi rebutan bagi membolehkan salah seorang dari tiga Naib Presiden berkenaan “naik” menjadi orang nombor dua dan akhirnya menjadi orang nombor satu secara tradisinya. 

Kebimbangan Rafidah ini tidak dapat dipastikan atas sebab sebenar. Apakah kerana benar takut dan bimbang dengan “kerosakan parti” akibat pemilihan atau ada udang di sebalik batu yang sedang diperlakukan. Tidak banyak pihak yakin, itu adalah “suara” Rafidah. Jika alasan itu digunakan, adalah lebih tepat semua jawatan dalam Umno dihapuskan untuk mengelakkan huru-hara, politik wang dan kempen yang tidak berkesudahan. Ini termasuklah jawatan Ketua Wanita Umno, Ketua Pemuda Umno dan semua jawatan Umno di peringkat bahagian dan cawangan, paling tidak terkecuali jawatan MT, yang terbukti turut menyumbang kepada “kegawatan” parti.

Mungkin juga Rafidah amat tidak menyenangi tiga Naib Presiden yang ada sekarang kerana mereka adalah bayangan Anwar yang pernah menang ketika berada dalam rakit Team Wawasan sebelum ini. Atau mungkin juga, sudah ada ura-ura bagi Mahathir untuk melantik Rafidah sebagai Timbalan Presiden Umno, menggantikan Pak Lah yang kaku dan jumud itu. Semua kemungkinan boleh menjadi kenyataan apabila Rafidah dikaitkan dengan Mahathir dalam kancah politik dalaman Umno itu.

Di manakah relevannya alasan yang dikemukakan oleh Rafidah itu? Muhyiddin Yassin, salah seorang Naib Presiden Umno, menolak alasan dan cadangan Ketua Wanita Umno yang kontroversi itu. Beliau menegaskan secara sinis, jawatan itu diadakan bagi memenuhi fungsi tertentu menurut peruntukan yang telah digariskan dalam Perlembagaan Parti dan oleh itu mesti ada sebab yang kukuh untuk memansuhkannya.

Muhyiddin menyangkal dakwaan Rafidah. Katanya, walaupun pertandingan merebut jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti Mei lalu agak sengit, tetapi ia langsung tidak melibatkan “politik wang” seperti yang dicanangkan oleh Rafidah. Apa yang disebut oleh menteri mulut “celupar” itu, mengandungi seribu satu misteri berkenaan “suara” siapa yang cuba diketengahkan oleh beliau dalam kes ini.

“Saya tidak nampak mengapa pertandingan jawatan itu dikaitkan dengan politik wang, sedangkan Presiden parti hanya menyebutnya (politik wang) secara umum, jadi sukarlah bagi saya untuk menerima yang itulah sebabnya (untuk mansuhkan jawatan itu),” ujar beliau penuh minat dalam membenamkan hujah dangkal dan penuh agenda Rafidah itu.  

Rafidah seolah-olah cuba mempengaruhi anggota Umno dengan hujah dan alasan itu, bagi membolehkan ketiga-tiga Naib Presiden yang ada sekarang dihapuskan bersama termansuhnya jawatan Naib Presiden yang sedang diperkatakan itu. Asas kebencian Mahathir terhadap ketiga-tiga naib itu, memang sudah dihidu sejak Mei lalu. Mungkin juga Rafidah menyumbangkan suara kebencian Mahathir bagi menyingkirkan mereka dari jawatan itu. Rafidah sememangnya cocok untuk menjalankan amanah Mahathir itu, kerana “hubungan intimnya” dengan Mahathir, menyebabkan tiada orang besar Umno berani “menjentiknya” sekalipun tuduhan nakalnya menyakitkan hati dan menggelodakkan perasaan.

Keinginan Rafidah untuk melihat Umno tidak “rosak” akibat pemilihan jawatan itu memang baik. Tetapi apa yang disuarakannya lebih bersifat untuk menyempitkan lagi demokrasi dalam parti yang sememangnya sudah mulai goyang penghayatannya terhadap demokrasi berparti. Menganugerahkan kemenangan percuma dengan memberi amaran supaya jangan ditandingi bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sudah cukup memualkan bagi perjalanan demokrasi dalam Umno. Tetapi, inilah yang amat diminati oleh Rafidah kerana inilah juga kecenderungan tajam Mahathir dalam mempertahankan kedudukannya dalam parti dan seterusnya dalam negara ini.

Di manakah logiknya cadangan Rafidah? Beliau mahukan Timbalan Presiden dilantik sendiri oleh Presiden dari 30 orang ahli MT yang telah dipilih. Jika langkah ini dilaksanakan, maka lebih parah lagi “kerosakan” akan berlaku dalam Umno yang amat disayangi oleh Rafidah itu. Maka, kesimpulan yang boleh dibuat untuk menyelamatkan Umno cara Rafidah ialah dengan “membeku” atau “memansuhkan” semua jawatan yang dipertandingkan selama ini di semua peringkat, kerana pemilihan untuk menang pastinya tidak terlepas dari kempen yang berpanjangan, politik wang dan huru-hara.  

Apakah Mahathir mahu menjadi diktator dalam Umno secara terang-terangan dengan cadangan terbaru Rafidah ini?  Hanya Mahathir selaku Presiden yang berkuasa untuk melantik Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda malah Ketua Perhubungan merangkumi Ketua Bahagian dan segala kabinet di semua peringkat. Jika ini yang diidam-idamkan Rafidah, harapan pembangkang untuk menang akan menjadi lebih cerah kerana Umno pastinya akan binasa dalam waktu yang singkat akibat amalan diktator dan percubaan untuk membenamkan demokrasi yang selama ini menjadi tunjang dan tradisi dalam pemilihan Umno.

Persoalannya, “suara” siapakah yang sedang dibawa Rafidah? Apakah ini muslihat Mahathir atau motif “bodoh sombong” Rafidah untuk mengalihkan isu sebenar bagi menyelamatkan Mahathir yang sarat dengan pelbagai tuduhan dan kecaman pada waktu ini.

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com