MGG42/0713
Rompakan Senjata: Perdana Menteri
Berbohong Lagi (Arms
Heist: The Prime Minister Cries Wolf)
Perdana Menteri, Dato'
Seri Mahathir Mohamed, telah memberi amaran kepada rakyat Malaysia terutama sekali mereka
yang bukan beragama Islam. Dia menyatakan betapa akan berlaku satu bencana besar
seandainya rakyat menyokong parti pembangkang dan PAS dan juga kumpulan ajaran agama Islam
yang tidak diluluskan oleh kerajaannya. Kerana itu dia cuba menegaskan betapa Barisan
Nasional perlu terus berkuasa untuk menentukan keselamatan negara.
Tetapi, Mahathir
tidak pula memberikan penjelasan kenapa ahli-ahli Al Ma'unah yang dikatakan
pemberontak yang kemudiannya bertukar menjadi penjenayah dan akhirnya bertukar lagi
menjadi pengganas (memang mengelirukan sekali cara kepantasan perubahan gelaran itu)
menggugat keselamatan negara. Jika demikian kenapakah beliau tidak memerintahkan askar dan
polis menggempur mereka. Sebaliknya kenapakah mereka dibenarkan terus berdrama hingga
mengorbankan dua nyawa insan yang tidak beragama Islam? Kenapakah mereka
dipujuk rayu sehingga membabitkan ahli keluarga mereka supaya meminta mereka menyerah
diri? Sepatutnya pihak polis telah diarahkan menyerbu dengan tembakan senapang
untuk menumpaskan kumpulan itu. Keselamatan negara tidak boleh digadaikan. Tetapi,
kenapakah kerajaan bertindak seperti yang telah terjadi itu? Lebih satu ratus laras senapang
telah dicuri, kebanyakannya masih tidak dapat dijumpai lagi. Terlalu banyak
variasi maklumat yang muncul daripada beberapa pegawai tinggi untuk menyerlahkan versi
yang rasmi.
Kalaulah Al Ma'unah itu amat berbahaya seperti yang dikatakannya,
kenapakah Parlimen tidak dibenarkan membincangkan perkara itu seperti yang dilakukan di
negara lain? Parlimen di negara ini hanya akan membincangkan sesuatu isu yang
disenangi oleh pihak kerajaan yang memerintah. Isu yang penting tidak semestinya
dibincangkan. Inilah sebabnya kuasa Parlimen itu hanya berupa satu kuasa protokol
semata-mata sejak kerajaan Perikatan memerintah dulu dan terus disambung oleh Barisan
Nasional pula. Kenyataan Dr. Mahathir sebenarnya bertujuan untuk menegakkan benang basah
dan terus mencetuskan kekeliruan yang memang merupakan stile pemerintahan Barisan
Nasional. Kalaulah benar perkara itu sesuatu yang serius kenapakah dia berdiam diri
sebelum ini dan membiarkan ahli kabinetnya membuat kenyataan yang mengandungi kepalsuan
kepada rakyat jelata. Membuat kenyataan setelah berlakunya sesuatu episod itu tidak
membawa sebarang makna, terutama sekali setelah pihak kerajaan berlagak ketakutan,
seperti yang berlaku di Bukit Jenalik.
Sehingga kini kita masih lagi tidak
diberikan cerita sebenar selain daripada cerita yang menyenangkan pihak yang berkuasa.
Apakah yang sebenarnya terjadi. Di manakah kelengkapan perang yang dirompak itu. Tidak
mungkin semuanya berjaya dibawa ke Bukit Jenalik seperti yang dibayangkan oleh pihak
kerajaan dalam lima buah Pajero. Nampak sangat sekarang betapa kumpulan yang merompak itu
bukannya kumpulan yang menyorok di Bukit Jenalik. Ada pihak yang memberitahu betapa
sebuah trak muatan tiga tan yang digunakan untuk mengangkut kelengkapan perang itu telah
lenyap. Apakah ini bererti bahawa dua buah trak yang digunakan sama untuk pengangkutan
itu sudah pun dapat dikesan? Walau bagaimana pun, tiga hingga lima pajero yang dikatakan pernah digunakan itu tidak mampu membawa lebih
daripada 100 laras senapang jenis M-16,
GPMG, LMG, pelancar grened, lebih daripada sepuluh ribu butir peluru. Apatah lagi kalau
memikirkan semua itu dirompak dan dilarikan ke Bukit Jenalik dalam masa dua jam seperti mana
kita telah diberitahu. Perkara ini lebih meyakinkan kita bahawa kumpulan di Bukit Jenalik
itu bukannya insan yang melakukan rompakan senjata tersebut. Kalau begitu, di
manakah para perompak itu? Di mana pula segala kelengkapan perang yang dirompak itu?
Sesiapa juga yang telah merencanakan rompakan itu telah melakukannya dengan sungguh bijak
sehinggakan saya semakin yakin bahawa kumpulan di Bukit Jenalik itu hanyalah kumpulan yang
digunakan sebagai alat pemesong semata-mata.
Dengan berkecamuknya soalan
seperti ini dan dengan terbongkarnya pelbagai rahsia yang terbaharu, Speaker
parlimen sepatutnya telah membenarkan perkara ini dibincangkan di Parlimen.
Kenyataan yang dibuat oleh Mahathir sepatutnya telah dibuat untuk sidang parlimen. Begitu
juga halnya dengan kenyataan daripada Paklah dan Dato Seri Najib. Ketiga-tiga insan ini
sepatutnya dibenarkan menjadi rujukan kepada persidangan parlimen. Tetapi, kerajaan tetap
enggan memberikan penjelasannya seolah-olah pihak kerajaan yang amat arif dalam semua hal?
Sebenarnya semua ini tidak mencukupi. Satu penjelasan yang panjang amat diperlukan dan
parlimen adalah sebaik majlis untuk membincangkannya. Kesediaan perdana Menteri membuat
kenyataan di luar parlimen menunjukkan betapa dia tidak mahu disoal oleh parlimen akan hal
ini. Inilah yang mencetuskan pelbagai curiga terhadap motif beliau itu.
Terlalu banyak
teka-teki di sebalik kewujudan kumpulan perompak itu. Kementerian Pertahanan
dikatakan memang sudah lama sedar akan kewujudannya, tetapi kita diberitahu Kementerian
Hal Ehwal Dalam Negeri tidak pun tahu-menahu. Kementerian Pertahanan pula tidak mengambil
sebarang tindakan untuk menghalang pergerakan kumpulan itu. Perdana Menteri telah
memberitahu Ahli Parlimen Barisan Nasional akan rompakan itu dan juga episod yang
selanjutnya. Kenapakah beliau tidak memberitahu hal ini kepada seluruh ahli parlimen?
Pengerusi DAP, Lim Kit Siang memang tepat dengan hujahnya betapa parlimen sudah menjadi
satu institusi yang tidak relevan lagi sehinggakan ia tidak mampu diberi kuasa untuk
membincangkan perkara yang bersangkutan keselamatan negara dan rompakan senjata.
Dalam hal ini kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu telah mencemar kewibawaan
menteri pertahanan. Beliau diperlekeh sebagai seorang yang tolol sehinggakan keselamatan
negara itu sengaja dijadikan isu yang lekeh semata-mata. Peranan pihak tentera telah dipersoalkan sebaik sahaja pihak polis bertindak
mengcop para perompak itu sebagai
penjenayah. Nampaknya Angkatan Tentera Malaysia sudah menjadi alat politik pula.
Nasib baiklah semua ini masih mampu dipertikaikan kerana perangai Perdana Menteri yang
terlalu kerap gemar berbohong sebelum ini.
Diterjemahkan oleh:
-MT- 13, Julai, 2000
|