|
MAHATHIR TAKUT ATAU
Komen TARMIZI MOHD JAM
Apa-apa langkah pembangkang untuk menyeret pihak kerajaan apatah lagi Perdana Menteri,
Mahathir Mohamad ke kandang orang salah, sudah diduga, tidak mudah dicapai dalam demokrasi
ala-Mahathir di negara ini. Kekebalan Mahathir sebagai Perdana Menteri, mengukuhkan lagi
hakikat betapa tiada orang besar Umno di negara ini, wewenangnya diseret ke
mahkamah atas kehendak pembangkang.
Tetapi tidak dinafikan, ada pemimpin kanan Umno yang heret ke mahkamah kemudian dihukum.
Tidak kurang juga dilepaskan, setelah disiasat. Malah ada, yang disumbat ke dalam penjara
atas kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah. Semuanya itu, atas kehendak Mahathir
sebagai Perdana Menteri yang memegang punca kuasa. Tanpa restu Mahathir, pemimpin kanan
Umno, tidak mungkin diasak ke mahkamah atau disumbat ke penjara.
PAS menerima padah yang sama. Usulnya di Dewan Rakyat Rabu lalu, yang meminta mesyuarat
dewan ditangguhkan, bagi membincangkan isu dakwaan rasuah Perdana Menteri kerana
menghalang tugas seorang pegawai awam, Ketua Pengarah BPR menjalankan siasatan terhadap
Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi JPM, Tan Sri Abol Ali Hassan Sulaimen pada 1998;
ditolak mentah-mentah oleh Speaker Dewan, Tun Mohamad Zahir.
Usul sebegini, tentunya sudah dijangkakan oleh Mahathir. Speaker Dewan pula, tentunya
sedia maklum akibat dari kebenaran usul ini diterima dan dibahaskan oleh ahli dewan.
Sebagai orang yang mendapat ihsan dari Mahathir ke jawatan Speaker itu, tentu sekali, penolakan
itu menjadi langkah paling bijak untuk “menjaga hati” Perdana Menteri, dari
dipermain-mainkan oleh pembangkang. Malanglah nasib Tun Zahir, jika membiarkan pembangkang
melaksanakan agendanya untuk “menurunkan” Mahathir dan meruntuhkan kehebatan,
kekebalan dan keperkasaan bintang Kubang Pasu itu.
Tun Zahir ketika menolak usul itu menyifatkan perkara itu tidak perlu disegerakan,
sekalipunnya merupakan perkara tertentu dan berkepentingan orang-ramai. Tun Zahir boleh
sahaja memberikan alasan atau mengubah alasan untuk menidakkan usul pembangkang itu. Atas
kebijaksanaan Tun Zahir, maka usul itu ditolak dan ini sudah dijangkakan oleh pembangkang
dalam dewan itu.
Jaminan Tun Zahir “kununnya” siasatan akan dilakukan seperti kaedah biasa terhadap
laporan polis mengenai apa yang terkandung dalam usul itu, menguatkan lagi alasannya untuk
menundukkan usul PAS yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Ustaz Fadzil Mohd Noor 11 Julai
lalu.
Harapan pembangkang untuk “menghukum” Mahathir dalam dewan itu tidak kesampaian. Tun
Zahir pula, berhempas-pulas untuk “menyelamatkan” Mahathir dari terus dikecam, dihina
dan dimaki oleh ahli-ahli dewan dari kapal pembangkang. Sukar untuk dibayangkan, bagaimana
Mahathir akan “ditelanjangkan” oleh pembangkang atas lakonan “kununnya” beliau
adalah wira Umno dan pemimpin negara yang memerangi habis-habisan rasuah dan politik wang.
Pengakuan Datuk Shafie itu, menurut sumber, amat memalukan Mahathir. Sekalipun tiada
pendakwaan dibuat ke atasnya pada masa depan, hakikatnya, rakyat sudah maklum karenah dan
lakonannya mengenai soal rasuah dan politik wang.
Mahathir khabarnya, merasa begitu aib dengan pendedahan yang boleh mengundang pelbagai
kemungkinan rakyat dan pihak antarabangsa terhadap diri dan kepimpinannya di negara ini.
Sekalipun, Mahathir digambarkan sebagai pemimpin Dunia Ketiga yang bersih, tidak korup,
dan menolak amalan KKN, namun dengan pengakuan bersumpah Datuk Shafie itu, semua anggapan
dan pandangan emas antarabangsa terhadapnya, musnah dalam sekelip mata.
Soalnya, apakah benar jaminan Tun Zahir itu? Siapakah yang berani untuk menyiasat Mahathir
selaku Perdana Menteri setelah semua instrumen penting berada di bawah ketiaknya?
Pembangkang juga sudah menduga, pihak polis, BPR dan Peguam Negara tidak akan mendakwa
Mahathir atas isu yang telah didedahkan oleh bekas Ketua BPR, Datuk Shafie Yahya, selagi
Mahathir memegang tampuk kuasa negara.
Dakwaan berdasarkan kenyataan bersumpah Datuk Shafie Yahya pada perbicaraan liwat mantan
Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu sudah pun dimulakan siasatan seperti kenyataan
yang dikeluarkan oleh pihak polis pada 2 Julai lalu. Siasatan dimulakan ekoran satu
laporan polis yang telah dibuat oleh Anwar pada 13 Jun khusus mengenai isu berkenaan.
Apa yang boleh dibaca dari penolakan usul Ketua Pembangkang itu, hakikat ketakutan
Mahathir untuk menerima kritikan tajam dan pedas dari ahli-ahli dewan. Mahathir yang cuba
mewarnakan dirinya, politiknya dan keluarganya, sebagai orang yang telus dan penentang
rasuah; terbukti gagal memakai baju anti rasuah dan anti politik wang. Sebaliknya,
ketakutannya terbukti dalam banyak hal yang mensabitkan undang-undang dan mahkamah.
Inilah, drama belakang tabir dari penolakan usul PAS itu, yang cuba dibungkus oleh
keputusan Speaker, Tun Zahir Ismail. |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|