|
NIK AZIZ DITUDUH NAUNGI AL-MA’UNAH?
Komen TARMIZI MOHD JAM
Bernama 12 Julai, melaporkan penafian Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik
Abdul Aziz Nik Mat “kununnya” pernah menjadi penaung kepada Kumpulan Al-Ma’unah atau
mana-mana kumpulan ajaran kebatinan di negeri Kelantan.
Setiausaha Akhbarnya, Mohamad Fauzi Zakaria melahirkan rasa kesal dengan dakwaan beberapa
pengikut kumpulan berkenaan “kununnya” Mursyidul Am PAS itu adalah penaung mereka.
Dakwaan itu adalah dipercayai pada peringkat awalnya bertujuan untuk menarik sokongan
ahli-ahli PAS menyertai kumpulan itu. Budaya pakaian, percakapan dan tegas untuk
menegakkan cita-cita Negara Islam menyerupai perjuangan PAS, sekalipun jauh berbeda dalam
soal mengangkat senjata untuk mencapai matlamatnya.
Kumpulan itu tentunya berpendapat, dengan mengaitkan nama-nama tokoh PAS khususnya Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz di Kelantan, pengaruh dan kepercayaan ahli-ahli PAS untuk
bersama-sama menganggotai kumpulan ini akan melebar luas. Taktik untuk menarik lebih ramai
penyokong dan pengikut seperti ini, bukanlah suatu yang aneh malah amat popular di
mana-mana dalam negara ini bagi memenuhi kerangka memperkenalkan “produk” kepada
orang-ramai, apatah lagi kepada ahli-ahli PAS secara khusus dan beragenda.
“Mungkin kumpulan terbabit cuba mendapatkan naungan atau restu daripada beliau,” kata
Fauzi dalam satu kenyataan akhbarnya, Rabu lalu.
Hakikatnya, mengaitkan nama tokoh besar PAS itu, mungkin boleh dilihat sebagai perancangan
“jahat” pihak tertentu untuk menyeret parti yang menggunakan nama “Islam” itu
dalam kancah “ajaran sesat” seperti mana
yang dipasungkan kepada Kumpulan Al-Ma’unah itu. Pada hemat saya, perkara yang paling
penting dari isu Tragedi Sauk ini, ialah sikap Mahathir Mohamad dalam mengaitkan PAS dan
usahanya meningkatkan kemarahan rakyat terhadap PAS yang “kununnya” mempunyai
persamaan dalam perjuangan untuk menegakkan negara Islam, sama seperti yang diperjuangkan
oleh Kumpulan Al-Ma’unah ini.
Membesarkan cerita penglibatan bekas Exco Dewan Pemuda PAS Dungun, Terengganu, Kamaruddin
Mustapha, juga penuh dan sarat dengan agenda untuk meletakkan PAS di kandang orang salah.
Penahanan seorang lelaki di Paka, Dungun pada 6 Julai
lepas juga berkait rapat dengan Kumpulan Al-Ma’unah, tetapi setakat ini, PAS Terengganu
belum mengesahkan lagi lelaki itu adalah ahli parti PAS.
Malah pembabitan ramai kalangan ahli-ahli Kumpulan Al-Ma’unah ini yang terdiri dari
ahli-ahli PAS juga, menguatkan langkah Mahathir untuk terus mengaitkan perompakan kumpulan
itu dengan agenda pembangkang. Mahu tidak mahu, PAS sudah bertalu-talu diasak untuk
dikaitkan dengan kumpulan itu, semata-mata atas keputusan yang sama diperjuangkan oleh
kumpulan itu dengan apa yang dicita-citakan oleh PAS.
Namun begitu, perbezaan yang ketara dan amat besar antara kumpulan itu dan PAS, tidak
pernah disorot oleh Mahathir dan media kroninya. Apakah sama, cita-cita untuk menegakkan
Negara Islam cara Kumpulan Al-Ma’unah dengan pendekatan yang dialunkan oleh PAS? Sudah
tentulah, cara kekerasan dengan mengangkat senjata seperti yang didemontrasikan oleh
kumpulan berkenaan amat jauh berbeda dengan penyertaan PAS dalam pilihanraya yang bebas
anjuran sistem demokrasi.
Langkah Dewan Pemuda PAS Terengganu yang meminta PAS Pusat memecat mana-mana ahli parti
yang menganggotai Kumpulan Al-Ma’unah boleh dianggap tepat, demi menjaga muslahat parti
dan masa depan perjuangan Islam di negara ini. Ketuanya, Zakaria Dagang berkata, tindakan
tegas itu wajar diambil kerana tindak-tanduk mereka boleh menjejaskan imej PAS. PAS
Pusat, dalam satu kenyataan Presidennya, berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas
termasuk memecat mana-mana anggota yang didapati terbabit dalam kumpulan ajaran sesat.
PAS secara lantang telah menafikan pembabitannya dengan Kumpulan Al-Ma’unah ini. Sudah
diketahui umum, bukan menjadi agenda PAS dari dulu lagi, hinggalah sekarang ini, untuk memperjuangkan
Negara Islam dengan mengangkat senjata. Tetapi, minat Umno dan kerajaan pimpinannya
mengaitkan nama PAS, tidak boleh dielak kerana itu adalah agenda utama mereka untuk
memadamkan api perjuangan Islam yang ditiup oleh para ulama dan pimpinan parti.
Sikap PAS menyepi dan tidak melatah dalam isu ini, terbukti menyusahkan Mahathir, segala
“hulubalang” dan “bala tentera” Umno. Sehingga semalam, Shahidan Kasim, Sanusi
Junid, Aziz Shamsudin, Noh Omar dan beberapa orang “pendinding” Umno dan Mahathir
tidak mengeluarkan kenyataan “kurang ajar” mereka mengenai isu ini. Hanya, Mahathir
sahaja yang bertempik dan bersorak “kununnya” PAS akan menghalalkan tindakan petualang
negara itu, merompak dan membunuh kejam dua pasukan keselamatan di Bukit Jenalik, Sauk.
Pendekatan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor yang bersedia untuk membantu kerajaan bagi
membenteras kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang cuba menubuhkan sebuah negara Islam di
Malaysia secara kekerasan, berjaya membenamkan sangkaan jahat Mahathir yang cuba untuk
mengaitkan PAS dengan Kumpulan Al-Ma’unah ini. Sama ada ianya bersifat reverse psikologi
ataupun tidak, kesediaan pemimpin utama PAS untuk duduk semeja dengan kerajaan dalam isu
ini, menolak semua pandangan jahat terhadap usaha mengaitkan PAS dengan Kumpulan Al-Ma’unah.
“Kalau dia (Mahathir Mohamad) hendak buat satu penyelesaian yang baik, dia harus
memanggil pimpinan PAS. Kita bersedia untuk berbincang dan memberi pandangan,” tegas
beliau di lobi Parlimen, Selasa lalu.
Ustaz Fadzil juga menyifatkan apa yang menimpa Memali yang melibatkan as-syahid Ustaz
Ibrahim Libya dan 14 orang pengikutnya adalah jauh berbeza dengan apa yang dihadapi
Kumpulan Al-Ma’unah ini. Tragedi Memali katanya, pihak polis mengepung dan menyerang
mereka. Sedangkan murid-murid Ustaz Ibrahim hanya
bertahan dan tidak menyerang, sebaliknya mereka hanya mempertahankan diri semata-mata.
PAS yang bertegas dengan pendirian untuk tidak menyokong mana-mana kumpulan yang
menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat mereka, makin kental dengan Tragedi Sauk
ini. Walaupun telah beberapa kali tewas dalam pilihanraya namun PAS tetap akan berpegang
pada pendekatan demokrasi dalam mencapai cita-citanya. Usaha Mahathir untuk mengaitkan
ahli PAS dan ketokohan Tuan Guru Haji Nik Aziz dengan Kumpulan Al-Ma’unah ini, dijangka
menemui jalan mati. |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|