|
PERISTIWA
DI SAUK HAMPIR BERLAKU DI BUKIT TEMBUSU !
Apa
yang berlaku di Bukit Tembusu di antara 24 dan 29 June yang baru lalu tidaklah sebegitu
“dramatic” seperti peristiwa di Gerik dan Sauk beberapa hari selepas itu. Namun
setelah berlakunya peristiwa rampasan senjata dan penahanan ahli-ahli Ma’unah itu
terdapat yang berpendapat peristiwa di Bukit Tembusu itu telah dirancang oleh pihak-pihak
tertentu untuk berakhir dengan satu tragedi berdarah.
Terdapat
pelbagai bukti yang menunjukkan ke arah satu konspirasi supaya bukan sahaja penduduk
kampung tersebut tidak mendapat sebarang pampasan tetapi berlaku satu pertembungan di
antara pihak keselamatan dan penduduk kampung.
Pihak
tersebut amatlah mengharapkan agar peristiwa itu jika berlaku akan digunakan untuk memburuk-burukkan
PAS bukan sahaja di Ampang Jaya tetapi di peringkat kebangsaan. Mereka akan berkata betapa
ganasnya PAS dan menakut-nakutkan rakyat terutamanya orang-orang bukan Islam bahawa
ahli-ahli PAS adalah pencetus huru-hara.
Jika
difikir-fikirkan teori ini mungkin boleh diterima akal kerana ketika itu tidak terdapat
sebarang isu besar untuk dikaitkan dengan PAS
dan pilihanraya-pilihanraya kecil Sanggang serta Teluk Kemang menunjukkan undi-undi orang
Melayu masih tetap bersama Barisan Alternatif. Tambah mencemaskan pula di Teluk Kemang
undi-undi orang bukan Islam dan anggota-anggota keselamatan telah mula berpihak kepada
Barisan Alternatif.
Peristiwa
di Bukit Tembusu bermula pada pagi Sabtu 24 Jun apabila pekerja-pekerja pihak pemaju cuba
untuk merobohkan rumah-rumah di kampung tersebut. Apabila mereka dihalang oleh penduduk
kampung maka lebih dari 200 orang anggota Polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan ( FRU )
telah mengepung kampung itu.
Di
dalam keadaan di mana jumlah pampasan yang patut dibayar kepada penduduk belum lagi
diputuskan dan kes mereka akan disebut di Mahkamah pada 7 Julai yang akan datang maka
sudah tentulah orang-orang kampung merasakan diri mereka telah ditipu. Tambahan pula notis
untuk dirobohkan rumah-rumah mereka telah disampaikan oleh Balif Mahkamah pada hari Sabtu
dan dengan itu tidak memberikan mereka secukup-masa untuk mendapat sebarang perintah
mengenepikan perintah meroboh.
Maka
sudah tentulah keadaan menjadi tegang ! Penduduk yang merasakan diri mereka telah
dimainkan itu sudah tentu akan bertindak dengan apa cara sekalipun untuk mempertahankan
hak mereka. Dan ini sudah sememangnya menjadi naluri manusia. Malah seorang pegawai Polis menyatakan
rasa terkejut apabila mengetahui bahawa penduduk tidak ditawarkan sebarang pampasan untuk
berpindah. Beliau menyangka orang-orang kampung berdegil untuk bertahan walaupun telah
ditawarkan pampasan. Rupa-rupanya mereka tidak ditawarkan walaupun satu sen ketika itu.
Kenapakah
pihak Polis tidak diberitahu akan perkara yang sebenarnya ? Adakah pihak Polis akan turun
sekiranya diketahui perbincangan masih belum selesai ? Siapa yang telah menekan pemaju
supaya bertindak sebelum persetujuan dengan penduduk telah dicapai ? Dengan itu
seolah-olah telah dirancang agar ketegangan berlaku dan satu pertembungan yang mungkin
berdarah menyusul.
Tetapi
Alhamdulillah “huru-hara” yang dirancang oleh orang-orang yang tidak ketahui itu telah
tidak menjadi realiti. Rundingan di antara wakil-wakil PAS Kawasan Ampang Jaya dan pihak
Polis telah menenangkan suasana yang meruncing dan akhirnya semua pihak bersetuju agar
perpindahan penduduk ditangguhkan sehingga 29 Jun untuk memberikan masa bagi sebarang
perbincangan.
Tetapi
di sepanjang tempoh perbincangan tersebut terdapat pelbagai provokasi. Walaupun penduduk
berterima-kasih di atas sokongan dari mereka yang datang ke Bukit Tembusu dari seluruh
Lembah Kelang namun terdapat di antara mereka yang tidak dikenali dari luar Ampang Jaya
yang mengapi-apikan suasana. Mereka ini telah datang untuk membakar semangat penduduk
supaya tidak menerima sebarang pampasan tetapi bertahan kononnya untuk “syahid”. Malah
di saat-saat akhir perbincangan terdapat di antara mereka yang nampaknya
bersungguh-sungguh berusaha agar perbincangan dengan pemaju gagal.
Siapakah
mereka ini ? Siapa yang telah menghantar mereka untuk mewujudkan ketegangan ? Sudah
tentunya pihak yang menghantar mereka untuk melakukan provokasi mahukan penduduk bertempur
dengan pihak Polis pada pagi 29 Jun itu.
Sekali
lagi kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana Pak Hassan, Sdra. Sharifuddin,
Sdra. Masridzi, Sdra Yeop dan rakan-rakan lain dari Kg. Cheras Baru telah bertindak dengan
waras dan bijaksana. Tragedi berdarah yang dirancang telah tidak menjadi kenyataan. Kalau
tidak sudah tentulah mereka akan didakwa sebagai pengganas dan pembawa ajaran sesat !
Bakhtiar
Effendi |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|