MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

KESEDARAN MENGAMBIL MASA ...

Oleh Zubir Ngah, 
Teluk Lipat, 
Dungun Terengganu. 
Julai 11, 2000 

Kesedaran bukanlah suatu yang boleh dipupuk dalam masa yang singkat. Kesedaran dapat ditanam melalui usaha yang berterusan. Memahami hakikat ini, pejuang keadilan perlu tegar dan bersabar dalam menempuhi liku dan cubaan yang datang dalam bentuk tentangan dan halangan daripada mereka yang berkepentingan. 

Pejuang keadilan juga akan mampu menerima realiti perjuangan dan terus gigih berusaha walaupun belum mendapat sambutan dan tindak balas yang sepatutnya daripada mereka yang cuba disedarkan. Membangkitkan kesedaran bukan merupakan usaha satu hala. Ia melibatkan kedua-dua pihak -- mereka yang memberi kesedaran dan mereka yang cuba disedarkan. Adalah tidak wajar bagi sesetengah pihak, yang kecewa dengan reaksi yang kurang memuaskan dan kurang mendapat sambutan daripada rakyat, menuding jari menyalahkan pejuang keadilan. 

Reaksi yang tidak memuaskan bukan selalunya kerana usaha yang kurang dan tidak berkesan, tetapi mungkin juga kerana ketidaksediaan rakyat untuk melakukan pengorbanan dan membuat perubahan. Alhamdulillah, walaupun diakui bahawa secara umumnya reaksi masyarakat Melayu agak lambat, lembab dan tidak mampu bertahan lama, tetapi hendaklah difahami bahawa arus kesedaran telah bertambah dan sedang bercambah. Kedua-dua pilihanraya kecil yang lalu telah menunjukkan peningkatan bilangan jumlah undian dan pertambahan suara sokongan kepada Barisan Alternatif. Ini menunjukkan perkembangan yang positif kepada usaha kita memberikan kesedaran walaupun bukanlah pada tahap yang membanggakan. Namun begitu, ia patut dijadikan kayu pengukur dan pemberi semangat supaya ditingkatkan lagi usaha dengan gigih agar dapat memberikan kesan yang lebih. 

Kesedaran sahaja tidak mencukupi kerana orang Melayu memang sudah ramai yang sedar tentang penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan. Cuma masih ada di antara mereka yang belum lagi menyertakan kesedaran dengan tindakan yang sepatutnya. Dan mereka yang masih belum bertindak adalah kebanyakannya merupakan golongan tua yang rata ratanya dalam lingkungan umur 50 tahun ke atas. Golongan muda terutamanya yang masih belum mencecah 50an, rata rata daripada mereka telah berani bertindak dan menyumbang ke arah kepentingan kaum bangsa. 

Terdapat banyak perbezaan di antara golongan muda dan golongan tua. Golongan tua lebih tunduk kepada arahan dan tindak tanduk pemerintah yang ada. Tetapi tidaklah boleh kita menyalahkan mereka kerana budaya tersebut telah agak sebati kesan daripada amalan sistem beraja yang beratus-ratus tahun lamanya dan melalui sistem pendidikan British sebelum dan sejurus selepas merdeka. 

Golongan muda pula merupakan golongan yang mempunyai pemikiran dan pendirian yang agak bebas. Kita telah menyaksikan penglibatan mereka dalam perhimpunan menyuarakan bantahan terhadap kerajaan. Mereka dengan lantang mempertikaikan penyelewengan yang dilakukan. Mereka tidak mudah menerima sogokan minda yang dipropagandakan oleh media arus perdana. Pilihanraya umum nanti akan memperlihatkan penglibatan golongan muda yang akan menjadi penentu kemenangan sesuatu perjuangan. Lebih 50 peratus daripada pengundi pada waktu itu adalah golongan muda. Selagi sistem pemerintahan ala demokrasi terjaga, pejuang keadilan mempunyai harapan yang cerah menukarkan pemerintah yang ada dengan calon yang lebih berwibawa daripada Barisan Alternatif. 

Oleh itu, kita tidaklah perlu tergesa-gesa dan terburu-buru dalam tindak tanduk kita. Apa yang lebih penting ialah meneruskan usaha meningkatkan kesedaran yang sedia ada. Dalam proses penukaran pemerintah, kekerasan dan sifat terburu-buru hendaklah dielakkan. Revolusi dan penggulingan kuasa bukan merupakan jalan yang baik, malah merugikan. Apakah kita lupa dengan musibah yang telah menimpa kerajaan dan negara di dalam dunia akibat tindakan yang tergesa gesa yang ingin keadilan tertegak dalam masa yang singkat -- seperti dalam masa 3 hari sahaja (?). 

Lihatlah Pakistan yang sehingga sekarang masih tidak ke mana walaupun berkali-kali mengalami perubahan melalui penggulingan kuasa. Lihatlah Iran yang ketinggalan dan mundur 20 tahun selepas revolusi. Penggunaan kekerasan dan penggulingan kuasa tidak wajar dibudayakan kerana apabila sebati, ia akan menjadi tembok penghalang kemajuan. Kesan yang mungkin timbul ialah kita tidak lagi percaya kepada rundingan, tidak lagi hendak berusaha memberikan kesedaran, dan tidak lagi menghormati keputusan ramai melalui pengundian. Apa yang mungkin berlaku, satu golongan yang percaya bahawa merekalah yang benar akan terus menggunakan kekerasan sebagai jalan penyelesaian yang utama. Akibatnya, negara tidak lagi stabil, rakyat kehilangan kuasa menentukan hala tuju negara dan negara akan dikuasai oleh golongan tertentu sahaja seperti yang pernah berlaku kepada Indonesia di zaman Suharto selepas pemergian Sukarno. 

Harus diingat, negara kita bukanlah di dalam situasi yang 'langsung' tidak mempunyai harapan. Malah dibandingkan dengan negara negara lain seperti Indonesia, Pakistan, Saudi Arabia, Algeria, Sudan dan lain lain lagi, keadaan negara kita adalah jauh lebih bagus. Pemikiran orang melayu secara umumnya jauh lebih matang. Kita tidaklah seburuk yang disangka. Janganlah kita rasa terlalu terkongkong, tertekan dan kecewa dengan permasalahan yang ada sehingga kita lupa di mana kita berada. Jangan kita lupa dengan kemajuan yang telah kita nikmati dan terima. Jangan kita lupa dengan kestabilan politik dan kelebihan yang kita ada dan rasa. Dengan mengingati semua itu, kita akan lebih rasional dalam tindak-tanduk kita. Kita tidak dengan mudah bertindak sesuka hati membelakangkan nikmat yang telah dianugerahi berkat hasil nenek moyang kita berdoa dan berusaha. 

Memanglah apa yang berlaku dewasa ini sungguh mengecewakan. Tidak dinafikan terdapat penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan bermacam-macam lagi. Tetapi, penyelesaian kepada semua permasalahan hendaklah dilakukan melalui landasan yang betul dengan tidak merosakkan apa-apa yang bagus yang telah kita bina dengan titik peluh dan usaha kita. Cara yang betul dan rasional ialah seperti menggantikan pemerintah yang menyeleweng melalui pengundian; mengubah sistem pendidikan yang pasif kepada sistem pendidikan yang melatih ke arah pemikiran yang lebih kreatif dan kritis; membendung gejala moral melalui didikan yang bermula daripada rumah dan untuk sementara waktu mengenakan hukuman terhadap pesalah laku moral dengan tujuan menyekatnya daripada berkembang. 

Sebagai anak Melayu berwarganegara Malaysia yang menyokong perjuangan ke arah menegakkan keadilan, saya percaya, memberikan kesedaran dan bertindak melalui jalan yang betul dan sah adalah merupakan jalan penyelesaian yang terbaik. Saya yakin, melalui kesedaran dan tanpa menggunakan kekerasan, apa yang diidamkan dan diperjuangkan akan tercapai dan membuahkan hasil. Insya-Allah.

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com