|
Siri Keenam Episod RAW MENYAUK KERING-KERING........... Oleh: Panglima Sauk Apabila Mahathir Mohamad menyatakan, pertubuhan Al Ma'unah cuba menggulingkan kerajaan, dia lupa ataupun tidak tahu akan beberapa perkara di bawah ini:
Bertambah Lariskah Penjualan Akhbar? Apabila rakyat mengetahui cerita bahawa salah satu rahsia Episod Sauk ialah untuk melariskan penjualan akhbar, tiba-tiba muncul satu semangat memberontak rakyat. Mereka tidak membeli akhbar dan sanggup membayar antara sepuluh sen hingga lima puluh sen kepada mamak penjual akhbar kerana peluang membaca secara rambang isi kandungan akhbar itu. Secara keseluruhannya rakyat sudah semakin meluat dengan ucapan Mahathir dan juga pemimpin UMNO sehinggakan mereka memberontak dan memboikot akhbar perdana. Namun, usaha untuk menerbitkan cerita sensasi masih berterusan dan kita nampak kali ini pelbagai isu dicetuskan secara serentak.. Episod Sauk telah mencetuskan pelbagai masalah dalam ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang menjadi lebih kelakar apabila terbitnya cerita sensasi seorang panglima tentera menepis muncung senapang yang sedang dipetik picunya. Inilah cerita yang membuatkan beruk dan ungka di hutan Temenggur dan Chenderuh ketawa sakan hingga mungkin ada yang sudah gila. Banyak lagi cerita yang muncul daripada Episod Sauk yang dicurigakan oleh orang ramai. Lagi masa beredar lagi banyak berita bohong akan terdedah. Semua itu akan melambangkan betapa terdesaknya seorang diktator tua untuk terus berkuasa. Sampai Bila Rakyat Akan Ditipu? Kalau kita teliti segala maklumat yang pernah disiarkan di akhbar dan tentukan pula kesahihannya terdapat puluhan maklumat itu bercanggah di antara satu dengan yang lainnya. Perkara ini berlaku kerana terdapat empat mulut yang utama mengeluarkan kenyataan itu. Paklah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membuat pelbagai kenyataan yang tidak dapat disokongnya dengan fakta yang sahih. Najib pula membaca kenyataan bertulis yang kadang kala membuatkannya termanggu kerana nyata sekali beliau sendiri tidak percaya dengan apa yang dibacanya. Ketua Polis Negara pula membuat kenyataan yang paling banyak sekali percanggahannya kerana dia sendiri sedar banyak fakta yang patut dikeluarkannya adalah satu ilusi dan fantasi. Sikap Norian Mai ini telah dibawa ke satu alam yang lebih mengkhayalkan oleh seorang panglima tentera darat yang kini dianggap pakar ilmu kebatinan yang paling besar gajinya di negara ini. Tentu ramai pembaca yang mahu tahu siapakah ahli Al-Ma'unah daripada kaum India dan Iban yang tersiar luas di akhbar perdana? Apa pula yang sudah jadi kepada seorang apek Cina yang memungut durian di situ dan "ditangkap sebagai tebusan?" Apakah apek ini sudah dibunuh tetapi lubang kuburnya telah hilang hasil proses silap mata? Semua gelagat mengeluarkan maklumat songsang ini adalah bertujuan untuk mempertahankan nafsu-nafsi seorang diktator tua agar beliau terus berkuasa. Di waktu yang sama kita nampak air muka setiap insan yang dijadikan alat patung jurucakap kerajaan ini sedang melawan satu perasaan yang terpendam di jiwa sendiri betapa pembohongan ini harus dihentikan sebelum berpanjangan. Apakah ketika membuat kenyataan yang berbohong besar itu mereka terbayangkan wajah anak-anak, dan keluarga sendiri yang menjadi semakin keliru dengan gelagat pembohongan itu? Semua orang tahu setiap insan yang mengamalkan ilmu kebatinan mempunyai tubuh yang langsing kerana terlalu kerap beribadat. Tetapi, cuba lihat akan pinggang mereka yang ditangkap dan dikatakan pengikut Al Ma'unah itu. Apakah mereka menggambarkan insan yang mengamalkan ilmu kebatinan? Cuba bandingkan episod Sauk dengan episod DS Anwar Ibrahim di mahkamah. Cuba bayangkan betapa seorang professional Pakistan didera begitu kejam sehingga beliau mengaku dirinya diliwat oleh DSAI. Bayangkan pula segala tuduhan yang dikemukakan termasuk sebuah villa yang belum dibuat lagi, apatah lagi sebuah tilam yang sengaja diberikan tompokan menyerupai air mani yang diusung setiap hari keluar masuk mahkamah. Kalau bangunan 'Tivoli Villa' itu belum lagi dibina, bagaimana pula tilam itu boleh dibeli? Kepelikan yang timbul dalam segala barang bukti Episod Anwar Ibrahim di mahkamah kini ternyata satu perkara sengkek sahaja kalau diambil kira segala bukti yang dapat mempengaruhi otak yang waras akan Episod Sauk itu. Siapakah yang tertipu kini? Rakyatkah yang tertipu ataupun semua pemimpin parti politik di bawah pimpinan Mahathir yang tertipu? Nampak sangat Mahathir mahu percaya yang dia mampu menipu semua insan yang bernyawa di negara ini sehinggakan dia fikir penipuannya itu dapat mengabui pemikiran dunia. Kenapakah dia tidak kata bahawa usahanya itu adalah satu usaha untuk menipu Allah SWT juga? Empangan Temenggur Menjadi Saksi Ketika Episod RAW ini meletup, ramai orang luar dan juga penduduk pekan Gerik yang diberitahu bahawa rompakan kem tentera yang terawal berlaku di kem tentera di Pulau Banding. Kem yang dimaksudkan itu adalah sebuah kem yang menguasai dua buah jambatan penting yang menghubungi Perak dengan Kelantan. Tempat itu dipanggil Pulau Banding kerana kedudukannya yang di kelilingi air Tasik banding. Oleh kerana Empangan Temenggur menjadi satu nama besar, Tasik Banding pun ditelan oleh nama Tasik Temenggur. Kem RAW Pulau Banding terletak kira-kira 34 kilometer daripada Gerik. Sesiapa daripada Gerik yang cuba melihat pemandangan jambatan yang dibina di situ pasti akan terjumpa satu tugu yang melambangkan kenangan kepada "Pengorbanan Dalam Kenangan" yang terletak berhadapan dengan Pos No. 2 Pasukan RAW 304. Pada tugu kenangan itu ada tercatat sedikit maklumat betapa jalan Gerik - Jeli itu telah mengorbankan banyak nyawa manusia disebabkan serangan komunis. Ramai askar dan pekerja yang terkorban. Sebanyak 63 mesin kepunyaan JKR telah dibakar dan dimusnahkan. Di tapak tugu kenangan itulah tumbangnya beberapa ramai juruteknik JKR dan askar yang diserang hendap. Tasik Temenggur itu adalah luas sehingga 15,200 hektar. Ia merupakan tapak takungan air untuk kegunaan Empangan Temenggur yang mempunyai satu cerita peperangan di antara pihak komunis dengan tentera. Tetapi yang mati dalam pertempuran itu ialah jurutera Jepun yang bertugas di situ. Eloklah dirakamkan cerita ini sebagai satu iktibar betapa adanya satu kaitan mistik dalam pembinaan Empangan Temenggur dengan askar yang kini mengawal Empangan dan Tasik itu. Pertembungan Komunis-Tentera Mengorbankan Jurutera Jepun Episod ini amat pelik sekali kerana yang bertempur itu menggunakan senjata tetapi yang mati (lebih kurang enam jurutera Jepun) tidak pun memikul senjata. Ketika Empangan Temenggur dibina syarikat Jepun yang diberikan kontrak membina empangan itu datang daripada Syarikat Hazama Gumi. Di waktu yang sama projek pembinaan jambatan yang merentang Tasik Banding telah diserahkan kepada sebuah syarikat Korea (SAKAI, kalau saya tidak silap). Semua kerja pembinaan memang mempunyai risiko tinggi kerana ancaman komunis yang sentiasa menggugat ketenteraman projek. Kerana itu pihak tentera telah ditugaskan berkubu kuat di semua tapak projek. Keadaan pekerjaan pasukan tentera memang amat sukar ketika itu kerana sistem perkhidmatan yang tidak selesa. Tetapi, para pekerja professional Jepun mempunyai satu keadaan kerja yang amat memuaskan. Setiap pegawai Jepun mempunyai beberapa orang wanita Melayu sebagai pembantu khas dalam urusan rumah kediaman (bilik penginapan) mereka. Setiap pegawai Jepun itu ada tukang masak khas, ada tukang cuci pakaian khas, ada tukang cuci bilik khas. Sudah tentu ada pula seorang pembantu khas untuk kerja yang 'lain' pula. Kebanyakan wanita itu bukannya datang daripada persekitaran tapak kerja. Ada yang dibawa khas daripada Penang, Ipoh, Taiping dan mana saja yang disukai oleh pegawai Jepun itu. Apabila ramai wanita muda (apa lagi cantik) berkumpul di bawah satu bumbung, perasaan cemburu dan irihati tentu merupakan satu agenda harian yang tidak perlu diatur oleh manusia. Kadang-kadang perasaan cemburu ini boleh timbul di kalangan kaum hawa dengan hanya sepatah dua perkataan yang diucapkan di kalangan mereka. Sudah menjadi lumrah alam apabila pegawai Jepun yang kaya raya ketika itu bekerja di sebuah negara dan perkampungan yang miskin, tentu sekali mereka terusik untuk mampu memberikan elaun lebihan pada para pekerjanya. Terutama sekali kepada pekerja yang dikira kuat bekerja dan taat setia. Semua perilaku Jepun dan pembantu khas mereka memang diawasi oleh pihak tentera dengan menggunakan teropong jauh, tanpa disedari oleh para profesional Jepun itu. Inilah yang mencetuskan kecurigaan para askar Melayu yang bertugas. Cara elaun sampingan yang diberikan oleh lelaki Jepun itu adalah persis cara lelaki mabuk menyelitkan wang sogokan kepada penari dan penyanyi kabaret di malam hari. Ada lelaki Jepun yang meletakkan duit dalam saku seluar yang mahu dibasuh. Ada yang menyelitkan wang elaun itu dalam coli yang sedang dipakai oleh pembantu khas itu. Dengan kata mudah, segala elaun lebihan itu adalah merupakan pampasan harian kepada khidmat khas yang menyeronokkan yang dinikmati oleh para pakar Jepun itu. Sebagai askar yang beragama Islam tentulah pemuda Melayu itu merasa diaibkan. Di waktu yang sama mereka pun mempunyai perasaan cemburu yang amat sangat. Maklumlah, mereka bertugas untuk mempertahankan negara. Di waktu yang sama, di depan mata mereka berlaku satu penganiayaan terhadap kaum sebangsa dan seagama dengan mereka. Kedurjanaan orang Jepun itu berakhir apabila berlakunya satu episod tembak menembak di antara anggota tentera dan pihak komunis yang dilakonkan oleh sebahagian daripada anggota tentera itu. Tidak ada anggota tentera yang tercedera dan tidak ada pula anggota 'komunis' yang teraniaya. Hasil daripada episod itu pakar Jepun itu telah diganti dengan orang yang baru. Mereka yang baru datang itu telah mengamalkan sistem pengambilan pekerja yang tidak sama dengan sistem yang dilakukan oleh kumpulan pekerja yang sudah pun mati itu. Apakah iktibar yang boleh diambil dalam Episod Pertempuran Tentera di Empangan Temenggur ini? Kalau pertempuran begitu boleh dirancang oleh satu kumpulan tentera secara sulit, apakah teknik yang sama tidak boleh dilakukan di Sauk? Fikirkanlah episod ini dengan hati yang terbuka. Jangan buat kesimpulan muktamad dulu sehingga terbuka lagi pembohongan yang ada. Kini, sudah muncul cerita bagaimana peruntukan wang yang banyak telah digunakan dalam Episod Sauk. Perkara ini adalah satu perkara yang kecil kerana pemerintahan Mahathir memang menggunakan wang yang banyak untuk menongkat dunia. Kita tidak hairan kalau sedikit masa lagi ada berita bagaimana ahli keluarga yang dibawa untuk merayu agar suami dan bapa mereka pulang dan menyerah diri itu akan membukakan peti rahsia yang masih tertutup rapat. Kita tunggu sahaja akan semua itu. KEGILAAN MAHATHIR SEMAKIN TERSERLAH Mahathir sudah ternyata semakin gila. Kenyataannya memang memeranjatkan. Tetapi tidak ada sesiapa yang berada di kelilingnya yang sanggup menyanggah beliau dan menasihatinya agar bersara ataupun mengundurkan diri. Sementara itu di kalangan warga jabatan Perdana Menteri, sudah ada satu perasaan takut-takut untuk mereka bekerja sekarang ini. Sepanjang bulan Jun yang lalu berlaku beberapa kematian yang membabitkan warga dan ahli keluarga kakitangan JPM. Kematian itu membabitkan kemalangan di jalan raya. Bulan sudah ada empat kematian. Inilah yang mencurigakan sedangkan semua orang tahu setiap yang hidup pasti akan mati. Tetapi, kalau dalam satu bulan ada empat kemalangan yang meragut nyawa tentu ada timbulnya keraguan apakah sebenarnya musibah sudah datang menjelma di pintu gerbang Bandar Airmata Rakyat (BAR)? Kita tahu di Putrajaya ramai kakitangan kerajaan dan juga orang awam yang berurusan dengannya yang sudah menggunakan BAR sebagai gantian nama Putrajaya. Kenapakah mereka berani dengan akronim itu sedangkan mereka tahu tali barut dan siput-siput Mahathir memang ramai berkeliaran di situ? Inilah lambang betapa rakyat marhaen sudah lama 'fed-up' dengan Mahathir. Mereka bukan lagi meluat dengan perangainya. Mereka sudah semakin jijik sejijiknya dengan insan yang bernama Mahathir Mohammad itu. Untuk sekian lama mereka sanggup terus bekerja di BAR itu kerana terpaksa. Walaupun berbagai-bagai bentuk subsidi yang mereka terima untuk beralih tempat ke situ daripada tempat kerja lama di Kuala Lumpur. Mereka seolah-olah akur selama ini kerana menyedari bukan mereka sahaja yang sedang diberikan subsidi itu. Mereka sedar bahawa seorang diktator tua pun sedang berkuasa dengan skim subsidi juga. Kali ini subsidi itu diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Usianya itu sudah lama di ambang senja dan dia masih megah dengan segala keangkuhan tanpa menyedari akan subsidi terbesar yang diberikan oleh Allah kepadanya. Tetapi, kalau kita amati keadaan itu dengan teliti kita akan mendapat satu kesedaran. Kita akan diberitahu oleh satu suara bahawa kita perlu bersiap sedia dengan segala 'persiapan' yang ada. Subsidi yang diberikan Allah kepada seorang insan bernama Mahathir itu tidak akan berlanjutan lagi. Esok ataupun lusa subsidi itu akan ditarik sedikit demi sedikit. Perhatikanlah perjalanan satu episod yang agak panjang juga dalam perihal ini. Yang kerap ditegang akan mula berkedut semula. Yang bertenaga kerana suntikan hormon yang berharga tinggi akan mula menampakkan kelesuannya. Otak yang dikatakan tajam selama ini akan mula menampakkan ketumpulannya. 'Menyauk kering-kering, membeli habis-habis', kata orang tua kita. Dalam kita menyelidiki sesuatu hal biarlah sampai jelas. Menuntut ilmu biarlah sampai ke penghabisannya. Begitulah dengan usaha kita bersabar dengan kerenah Mahathir dan UMNO. Orang Melayu dan rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian negara jangan mudah melatah. Jangan mudah kaget. Perhatikan apa yang berlaku di persekitaran mu dengan minda yang terbuka. Begitu juga hendaknya dengan parti pembangkang yang lain. Terutama sekali PAS yang sedang terancam. Episod Sauk mungkin akan berulang lagi. Kali ini skrip episod itu akan lebih mantap lagi. Mungkin perencanaan Tiga Abdul yang baru akan menjadi lebih mantap dengan pembabitan Zam dan Rafidah yang mahu ikut serta. Mungkin ramai lagi yang mahu tumpang se kaki dalam kenderaan yang membawa mereka ke alam fantasi itu. Biarkan mereka terus berkhayal lagi kerana tidak ada satu pengajaran pun yang dapat menyedarkan mereka bahawa gelagat mereka memuji-muja seorang diktator tua adalah satu fantasi yang penuh dengan illusi yang akan menyauk juga nasib mereka. Ingat, Allah SWT masih ada.......!
12 Julai, 2000 |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|