|
PEMBANGKANG TERNGANGA DI TEMPAT SENDIRI?
Komen TARMIZI MOHD JAM
Penjelasan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar bukanlah perkara
penting. Ia merupakan ulangan kepada asakan minda terhadap sikap Umno yang “kununnya”
tidak berat sebelah dan “berlaku adil” terhadap parti-parti pembangkang yang memenangi
sesuatu kawasan pilihanraya. Ucapan yang demikian itu, sering kali dilafazkan berkali-kali
dan bertalu-talu bagi menarik kepercayaan rakyat terhadap “cerita dongeng” pihak
kerajaan itu.
“Kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam mengagihkan peruntukan untuk
pembangunan di setiap kawasan termasuk yang dikuasai pembangkang,” tegas Noh yang
terkenal bermulut “celupar” yang kini menjadi “jentolak” Mahathir berdepan dengan
pembangkang di Parlimen.
Noh memberitahu Parlimen “kununnya” amalan diskriminasi sebenarnya tidak wujud kerana
peruntukan kerajaan tidak diberikan terus kepada wakil rakyat tetapi diberikan mengikut
kawasan. Noh juga menafikan “kununnya”
pembangkang ada mendakwa peruntukan itu diagihkan melalui Ketua Umno Bahagian.
Bagaimanapun, Noh mengakui bahawa Ketua Umno Bahagian boleh mengemukakan permohonan
peruntukan kerajaan bagi mendapatkan projek kecil di kawasan masing-masing.
Noh mungkin menyembunyikan hakikat sebenar “diskriminasi” politik yang dipasungkan
kepada YB-YB pembangkang selama ini. Sekalipun mereka dimenangkan oleh rakyat, tetapi hak
mereka terus dinafikan. Menafikan hak mereka sebagai YB samalah juga, menafikan hak
orang-ramai yang mengangkat mereka menjadi wakil rakyat di sesuatu kawasan. Kerja ini,
jelas dilakukan oleh Umno di kawasan yang mereka kalah. Wakil rakyat pembangkang bukan
sahaja dilarang menyertai Majlis Mesyuarat Tindakan Daerah, malah terpaksa “melutut”
untuk mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan dan pembangunan di kawasan mereka.
Lebih mendukacitakan, wakil rakyat pembangkang terpaksa “merangkak” menemui Pegawai
Daerah bagi mengemukakan “rungutan” orang-ramai berkenaan sesuatu isu atau permintaan
untuk mendapatkan sesuatu projek pembangunan. Ini amat menyedihkan dan tidak sepatutnya
berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. YB pembangkang tidak ubah seperti
“melukut di tepi gantang” dalam mendapatkan kerjasama dari Pejabat Daerah. Malah yang lebih lucu lagi, surat pekeliling dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan terbabit yang melarang mengundang mana-mana wakil rakyat pembangkang dari merasmikan apa-apa program termasuklah aktiviti PIBG, persatuan beliau, pertubuhan peladang dan aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan orang-ramai. Pada masa yang sama, sekolah, PIBG dan lain-lain pertubuhan atau orang-ramai digalakkan pula meminta sumbangan derma dari wakil-wakil rakyat pembangkang ini. Ia tidak ubah, seperti satu penderaan mental yang diperkenalkan oleh Umno, bagi menyisihkan YB-YB pembangkang ini dari arus perdana masyarakat.
Seperti di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Pahang, wakil rakyat pembangkang ternyata
dipinggirkan dari mengikuti perkembangan kemajuan di kawasan mereka. YB-YB ini terpaksa
menjalinkan hubungan “belakang tabir” dengan pegawai-pegawai kerajaan di Pejabat
Daerah bagi mendapatkan maklumat berkenaan kemajuan di daerah tersebut. Itu pun jika,
pegawai-pegawai berkenaan, mereka yang bersimpati dengan Barisan Alternatif. Tetapi,
hakikatnya, hampir ke semua pegawai adalah penyokong setia kerajaan dan ahli Umno, yang
sudah tentu menyimpan pelbagai rahsia kemajuan dan pembangunan kawasan terbabit. Malah
mereka juga ada “saham” dengan pemimpin Umno Bahagian dalam pengagihan projek dalam
daerah berkenaan.
Kenyataan Noh yang mengesahkan, Ketua Umno Bahagian boleh juga mengemukakan permohonan
untuk mendapatkan projek kecil adalah bukti penguasaan Umno di Pejabat Daerah. Hal
demikian bukanlah rahsia lagi. Semua kawasan yang dimenangi pembangkang, Umno Bahagian
berkenaanlah yang menguasai perjalanan pembangunan dan kemajuan di sesuatu kawasan
Parlimen. Umno Bahagian itulah yang mencorakkan bangunan dan pembangunannya.
Mereka, walaupun kalah di tangan pembangkang tetapi terus mendapat layanan istimewa dari
Pejabat Daerah atau kerajaan negeri. Pemimpin Umno Bahagian terus dilantik menjadi Ahli
Majlis Daerah, yang banyak menentukan pelbagai projek dan pembangunan di kawasan
berkenaan. Sekalipun peruntukan kerajaan disalurkan melalui Pejabat Daerah, ini tidak
bermakna, pembangkang dapat mencorakkan pembangunan dan kemajuan dalam kawasan parlimen
mereka.
Malah, entah tahu entahkan tidak YB pembangkang ini; berapa jumlah peruntukan yang
dilonggokkan di kawasan berkenaan. Hakikat
ini, lebih sulit lagi untuk mengetahui jumlah yang dipunggah oleh Umno Bahagian dari
sejumlah peruntukan tadi. Komisyen dari pelbagai projek inilah yang telah membukitkan
kekayaan para pemimpin Umno Bahagian, malah Ketua-Ketua Kampung juga turut berubah
kehidupannya secara mendadak. Inilah punca politik wang dalam Umno dan inilah amalan yang
membuka lebar “gejala rasuah” di Pejabat Daerah.
Melalui budaya ini, Umno terus mendominasikan peruntukan itu melalui pengagihan projek
yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah. Sama ada melalui tender terbuka atau tertutup, walaupun banyak melalui “saranan” pemimpin Umno
Bahagian. Beberapa peratus hasil projek berkenaan, lazimnya akan dicampakkan ke dalam
kantung Umno dan amalan ini berterusan hingga ke hari ini. Mereka khuatir, penyertaan
wakil-wakil rakyat pembangkang dalam Majlis Tindakan Daerah, akan menyulitkan kerja-kerja
“melobi” bagi mendapatkan projek dan soal ketelusan akan menjadi isu “panas” yang
akan dimainkan.
Selagi pembangkang tidak menguasai kerajaan negeri atau pusat, maka selagi itulah
“diskriminasi” ini akan terus berlaku. Maka selagi itulah juga, hak rakyat dinafikan
dalam bentuk yang sukar difahami oleh rakyat sendiri. Namun begitu, kalah atau menang,
Umno di sesuatu kawasan parlimen atau Dun, tetap merasa “mewah” kerana tiada sekatan
dan halangan dipasung ke atas mereka. Berbanding wakil rakyat pembangkang, kemenangan
tidak menjanjikan apa-apa keuntungan peribadi melainkan terpaksa “mengikat perut”
dalam menjalankan tugas-tugas sebagai wakil rakyat.
Masyarakat kampung terutamanya, tidak dapat “menilai” dan “membezakan” antara
wakil pembangkang dengan wakil kerajaan, yang menjadi wakil rakyat. Kehendak mereka,
sungutan mereka, permintaan mereka, adalah sama dan serupa. Hal ini, amat menyulitkan
YB-YB ini dalam menghubungkan diri dengan rakyat. Duit elaun yang diterima setiap bulan,
habis digunakan kira-kira 10 hari selepas ianya diterima. Semuanya ini, untuk membantu
masyarakat secara peribadi disamping membantu parti yang terbukti miskin dan dhaif.
Jadi tidak hairanlah, kalau ada YB pembangkang, yang terpaksa berhutang dan belajar
berhutang akibat menang dalam pilihanraya
lalu. Akhirnya, YB pembangkang ini ternganga di kawasan sendiri! |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|