|
MUNGKINKAH PAS DALANG AL-MA’UNAH?
Komen TARMIZI MOHD JAM
Apabila isu serban merah putih, berjanggut dan berjubah mewarnai latar belakang tragedi
perompakan senjata di Gerik minggu lalu, banyak pihak sudah mengagak kumpulan Al-Ma’unah
ini akan dengan mudah dikaitkan dengan PAS, sebagai musuh Umno dalam arus perdana politik
negara Malaysia. Mengaitkan dengan PAS, adalah langkah popular Mahathir Mohamad untuk
memulihkan semula pengaruh Umno yang kian luntur dilekati oleh orang-orang Melayu.
Mahathir amat mengharapkan agar Pas dan pihak lain tidak cuba menghalalkan perbuatan kejam
dan penyelewengan yang dilakukan oleh kumpulan Al-Ma’unah “atas alasan apa pun”.
Harapan Mahathir itu, membuka perdebatan baru dalam polemik yang menyelubungi drama
tembak-menembak di Bukit Jenalik, Sauk. Kenyataan Mahathir yang lebih condong untuk
mengajak rakyat “menyalahkan” PAS berkenaan apa yang tercetus di Sauk itu, tidak
mungkin akan meredakan perbahasan mengenainya sekalipun mahkamah telah menghukum para
pesalah berkenaan.
Mahathir sebenarnya lebih berminat, agar rakyat mengaitkan isu ini dengan PAS. Agenda
media juga, kelihatan ke arah itu. Mungkin ada perancangan untuk memerangkap PAS atas isu
ini. Namun, begitu, sikap berhati-hati pemimpin PAS menangani isu sensitive ini, patut
dipuji.
Harapan Mahathir itu, tersembunyi dan terbungkus seribu ajakan dan perangkap agar PAS
melatah dan melenting dalam isu ini. Hakikatnya, seluruh rakyat mengecam perbuatan
kumpulan itu yang menyiksa dan membunuh dengan kejam dua orang anggota pasukan
keselamatan. Namun begitu, Mahathir terus menempah polemik baru antara dirinya dan PAS,
apabila beliau dalam kenyataannya menyifatkan pihaknya percaya, terdapat usaha di kalangan
pihak tertentu terutamanya PAS yang akan cuba menghalalkan perbuatan kejam kumpulan itu
atas alasan mereka cuba menegakkan sebuah negara Islam.
Dakwa Mahathir lagi, kerajaan menyangka PAS akan cuba menghalalkan kumpulan itu seperti
mana ia menghalalkan pembunuhan empat anggota polis dalam Peristiwa Memali dahulu. Sekali
lagi, dakwaan Mahathir ini boleh dibaca mengandungi motif “jahat” dalam tragedi Sauk
itu. Apakah drama komidi di Sauk itu bertujuan untuk merobek-robek PAS dan apakah juga, tragedi
ini dapat membantu Umno untuk memulakan mesyuarat bagaimana untuk mengharamkan nama Islam
yang terdapat pada PAS. Mahathir masih membungkus cerita sebenar dari Tragedi Memali yang berlaku kira-kira 15 tahun dahulu. Sehingga ke hari ini, perbicaraan mengenai tragedy hitam ini masih belum tamat. Namun begitu, rakyat tahu, peluru siapakah yang telah membaham beberapa orang anggota keselamatan dalam kepungan terhadap As-Syahid Ibrahim Libya dan para pengikutnya. Soalnya, mengapa pihak kerajaan takut untuk menghadapkan kes ini di mahkamah secara berani, sebaliknya sentiasa “menangguh-nagguhkan” sahaja dari terus dibicarakan?
Mengaitkan anggota kumpulan Al-Ma’unah yang menjadi ahli PAS, tidak cukup kuat untuk
menyeret Pas terbabit sebagai dalang yang gagah dalam episod perompakan senjata itu.
Hakikatnya, isu perompakan senjata sudah tamat. Tetapi isu baru, yang tercetus dari
perompakan senjata itu, menimbulkan tanda tanya, apakah kaitannya dengan kenyataan
Mahathir yang tiba-tiba “menghantar kad undangan” untuk bertempur dalam isu baru ini
dengan PAS, sebagai sebuah parti yang amat dicemburui Mahathir sejak akhir-akhir ini.
Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor telah menegaskan pembangkang tidak berhajat untuk
menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dengan mengangkat senjata. Sebaliknya, tambah
beliau, pembangkang masih menaruh harapan kepada sistem pilihanraya. Kenyataan Ketua
Pembangkang itu, adalah jelas dan signal kepada para penyokong mereka agar meneruskan
perjuangan melalui laman demokrasi, selagi kerajaan membuka ruang yang luas terhadap
demokrasi.
Datuk Fadzil sendiri menyifatkan tuduhan Mahathir sebagai melulu apabila mengaitkan
perompakan senjata itu dengan muslihat politik atau motif politik ala pembangkang. Ia
ternyata tidak berasas sama sekali. Pakatan pembangkang, katanya, tidak melaksanakan
pendekatan sebegitu untuk menjatuhkan BN yang sememangnya sudah ibarat “telur di hujung
tanduk”, kerana ia akan merugikan pengaruh pembangkang menjelang pilihanraya umum ke 11
nanti.
Sikap tidak melenting pemimpin PAS, sebenarnya sudah cukup menyusahkan Mahathir. Laporan TV3
dalam Buletin Utama (Jam 8.00 malam) memaparkan secara khusus mengenai ajaran
sesat Kumpulan Al-Ma’unah dan cuba mengaitkan dengan PAS, adalah bukti terbaru,
wujudnya agenda tersirat dari insiden yang meletus dan meletup di Sauk itu. Gambar video
pemimpin PAS dan suasana Muktamar Tahunan PAS di Terengganu, acapkali diulang-ulang secara
bertalu-talu bagi memberikan “iklan” percuma yang “kununnya” ajaran kumpulan itu
atau cita-cita kumpulan itu, adalah sama dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS. Oleh yang
demikian, kesimpulan dari laporan TV3 itu, jauhilah PAS untuk terus berada dalam
politik aman dan damai di negara ini.
“Buat apa kami mencetuskan pergaduhan dengan BN dengan menculik atau mencuri senjata
tentera kerana menerusi pilihanraya sudah cukup menunjukkan kecenderungan BN akan tewas
ekoran tindakan rakyat menolak kepimpinan negara dalam pilihanraya umum ke 10 yang
lalu,” tegas Datuk Fadzil. Apa yang jelas, kenyataan Mahathir untuk mengaitkan PAS dalam
kejadian di Sauk itu, tidak mendapat respon dari para pemimpin PAS. Mahathir tidak mungkin
upaya membangkitkan kemarahan rakyat terhadap PAS. Usahanya untuk memecahkan hubungan atau
pakatan pembangkang, khususnya dengan DAP, akan menemui jalan mati. Pembohongan Mahathir,
bukan lagi menjadi rahsia tetapi amat mangli dibicarakan orang.
Apakah strategi Mahathir untuk menumpaskan pembangkang pada masa depan? Tahun 2004 masih
panjang, Mahathir tidak akan berdiam dan membungkus dirinya. Tragedi Sauk adalah percubaan
awal Mahathir untuk menguji sensitivity umat Islam terhadap golongan seumpama PAS. Kita
berharap, Tragedi Memali kedua tidak dipasungkan lagi kepada Pas dan para penyokongnya. |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|