MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

PERSAMAAN HIDUP SIPUT DENGAN SEORANG SLEEPING SPY

Oleh: Kemang Suasa 

Siput adalah sejenis kerang-kerangan yang berisi lunak dan berkulit keras. Kelongsongnya keras bukan mudah untuk dilembutkan. Itulah yang dikatakan: keras bukan sebarang keras. Tetapi kalau dilihat pada kulitnya tentu kita berfikir panjang kenapa pula isinya lembut dan lunak. Kenapa tidak ada sedikit pun ciri-ciri kekerasan dan kepejalan dalam isinya itu? 

Itulah dia lumrah alam. Allah SWT mencipta sesuatu itu sebagai iktibar kepada manusia jua, kerana bukankah manusia itu khalifah di bumi ini? Kulit siput yang keras tidak boleh dilembutkan secara rebusan semata-mata, kerana ia akan terus keras juga. Sekeras-keras kulit siput ia dapat dilembutkan dengan menggunakan teknologi dan sains. 

Di Filipina dan Hawaii, kulit siput yang keras direndam dalam asid tertentu untuk melembutkannya dan dilenyek agar lebih nipis lagi. Dari situ kulit siput jenis  'kapis' itu dijadikan perhiasan rumah termasuk pelbagai jenis perhiasan dalaman yang berwarna warni. Isi siput pula sungguh berkhasiat dan dikatakan tidak mengandungi lemak yang tinggi. 

Untuk menikmati isi siput, manusia selalunya merebusnya dulu. Ada juga kaum dan bangsa yang memanggang, membakar dan mengukusnya. Apa jua cara yang dilakukan, semua itu adalah hasil pengamatan manusia betapa siput tidak mudah mati ataupun dimatikan semata-mata dengan mengetuk kelongsongnya. Malahan ada yang sudah direbus dan dimatikan itu pun amat susah mahu ditarik keluar akan isinya. Ada beberapa cara menyungkil isi siput yang sudah di masak. Yang paling lazim ialah dengan mencungkil isinya menggunakan lidi tajam seperti yang dilakukan oleh orang Filipina, Hawaii dan Jepun. Orang Eropah menggunakan garpu (dua-mata) untuk mencungkil isi siput yang digelar 'escargot'. Tetapi, ada sejenis siput yang tidak boleh dicungkil seperti itu dan terpaksa menyonyotnya untuk mengeluarkan isi siput itu.  

Isi siput memang amat enak sekali. Itu sebabnya ketika negara di jajah oleh orang Jepun dulu, siput babi menjadi kegemaran mereka dan ramai orang tempatan yang dikerah di tengah malam untuk mencari dan mengumpulkan siput babi. Para askar Jepun akan membakar siput itu di atas bara dan membiarkan air mengalir keluar dari isi perut siput itu. Barulah mereka akan mencungkil isi siput dengan menggunakan hujung benet (pisau) mereka. 

Penduduk  kepulauan Melayu memang amat gemar dengan siput sedut dan sanggup membuang masa berjam-jam untuk memotong bahagian bontot siput sedut itu. Apabila sudah masak (selalunya masak lemak kuning) siput itu pun disedut untuk mengeluarkan isinya. Tetapi, bukan semua sedutan itu akan mendatangkan hasil. Ada kalanya isi siput enggan keluar. Di kalangan sesetengah kaum di Polynesia ini, kadang kala seseorang itu mudah dicemburui oleh orang lain kerana kepintarannya menyedut isi siput sedut. Bukannya semua siput yang sudah dimasak itu boleh disedut dengan mudah. Masih ada teknik terbaik untuk melakukannya.   

Teknik terbaik untuk mengeluarkan isi yang  pemalu itu  ialah dengan  menyedutnya di bahagian buntut siput itu. Kemudian disebut balik di bahagian depannya. Cara manusia menangani siput ketika ia hidup dan setelah ia dimasak adalah satu iktibar yang baik bagaimana  kerajaan tertentu menggunakan 'sleeping spy' dalam usaha menguasai sesuatu keadaan. Nasib 'sleeping spy' adalah laksana nasib siput sedut ataupun lebih terkenal dengan nama siput nyonyot. Ini adalah disebabkan keupayaan siput jenis ini hidup lama tanpa bekalan air. Kalau berada di kawasan berair dan dibiarkan hidup berpasangan, ia mampu membiak dengan cepat sehinggakan sukar untuk manusia mengenal mana satu kumpulan ibu-bapa dan mana satu kumpulan zuriatnya. 

Di dalam setiap institusi di mana kerajaan yang memerintah adalah bersikap kukubesi, proses meletakkan 'sleeping spy' dengan cara pembiakan siput sedut adalah suatu fenomena yang mesti diawasi oleh rakyat yang cintakan negaranya. Sleeping spy yang mengambil sikap hidup 'siput' adalah satu jenis manusia yang mampu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling sehinggakan orang tidak menyedari siapa dia sebenarnya. Risiko menjadi seorang 'sleeping spy' pun menyerupai cara hidup siput sedut. Kalau tertangkap ataupun berada dalam keadaan yang berbahaya, seorang sleeping spy akan merupakan orang yang  mula-mula sekali akan dikorbankan oleh tuannya. Tujuan pengorbanan itu ialah untuk mengelakkan rahsia tuannya itu terbongkar dan diketahui oleh pihak musuh tuannya itu.  

Seperti juga seekor siput nyonyot, kegunaan seorang sleeping spy itu hanya bermakna besar kepada tuannya ketika dia masih hidup ataupun selepas matlamat sebenar tuannya itu sudah tercapai. 

Julai 11, 2000.

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com