|
GENGSTERISME MEMALUKAN
MUSA?
Komen TARMIZI MOHD JAM
Kementerian Pendidikan meminta orang ramai agar tidak lagi menggunakan istilah “gengsterisme” bagi merujuk kepada kejadian salah laku di kalangan pelajar, walaupun ia melibatkan pembakaran sekolah. Istilah itu, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Mahadzir Mohd Khir, adalah tidak tepat kerana ia mempunyai konsep dan maksud tertentu dan bukan untuk merujuk kepada salah laku pelajar di sekolah. “Mulai hari ini, adalah lebih elok jika kita hanya menggunakan istilah “salah laku di sekolah” untuk merujuk kepada perkara tersebut,” tegas MP Sungai Petani itu ketika menjawab soalan Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) di Dewan Rakyat semalam. Menurut sumber, penggunaan istilah ini telah menimbulkan keaiban yang amat sangat terhadap kementerian berkenaan. Sebagai agensi kerajaan yang menyelenggarakan sekolah untuk mendidik anak-anak bangsa, terpaksa menanggung malu apabila sekolah-sekolah di Malaysia mula dicemuh, diherdik dan dianggap tempat awal kegiatan “gengsterisme” di negara ini. Sekolah yang sepatutnya untuk mendidik dan mengajar pelajar ke arah berbuat baik, akhirnya disebabkan beberapa kejadian luar biasa dahsyatnya, telah menjerumuskan semua sekolah dan Kementerian Pendidikan khususnya, di tempatkan di kandang orang salah atas isu ini. Istilah ini juga, menggambarkan seolah-olah, kemahiran dan kecekapan guru-guru dan dasar pendidikan negara sudah tidak relevan dan tidak boleh diguna pakai dalam menjayakan cita-cita negara mendidik anak bangsa. Dalam hal ini, kementerian merasakan sungguh terhina dengan istilah tersebut, kalau boleh, mahu sahaja melenyapkan isu-isu panas di sekolah dari dilaporkan oleh media. Ia juga menjadi tamparan hangat menterinya, Tan Sri Musa Ahmad yang dilihat gagal mengendalikan tugasnya di kementerian itu. Musuh-musuh politiknya, meniupkan kegagalan Musa bertindak pantas dalam menyelesaikan “gengsterisme” di sekolah. Mereka menolak, orang akademik seperti Musa mampu memunggah “gengsterisme” di sekolah ke tempat lain apatah lagi untuk mengnyahkan gejala buruk itu dari terus menular di sekolah-sekolah. Najib, orang politik juga, pernah menerima cemuhan dan kecaman apabila ada guru yang “mempersendakan Mahathir” dalam soalan matematik di sebuah sekolah di Kedah. Namun begitu, inilah cabaran buat Musa dan Aziz Shamsudin serta Mahadzir Mohd Khir dalam membetulkan semula tanggapan rakyat terhadap pendidikan di sekolah. Apa yang berlaku, penghapusan istilah “gengsterrisme” ini, tidak sedikit pun boleh membantu mengatasi masalah salah laku pelajar di sekolah. Jika masalah itu hanyalah berlegar sekitar masalah disiplin, datang lewat, keluar kelas, berambut panjang, dan yang seumpamanya, banyak pihak boleh menerima penghapusan istilah ini. Realitinya, keganasan yang ditampilkan pelajar, jauh lebih hebat, lebih dahsyat berbanding apa yang terangkum dalam istilah “salahlaku” pelajar di sekolah. Mutakhir ini, bukan sahaja pelajar membentuk kumpulan “gengster” di luar sekolah, tetapi terbawa-bawa hingga ke dalam sekolah dan ke dalam kelas. Sudah terdapat kes yang dilaporkan membabitkan pembunuhan, penderaan, ugut, bakar sekolah, bakar rumah guru malah lebih dahsyat lagi, apabila ada pelajar sekolah rendah mengirimkan kad ugutan beserta peluru kepada guru. Penghapusan istilah ini bukanlah caranya untuk mengatasi krisis “gengsterisme” di sekolah. Begitu juga, tuduhan Aziz Shamsuddin, Timbalan Menteri Pendidikan, yang mengaitkan “gengsterisme” pelajar ini dengan hasutan pembangkang, tidak upaya untuk meredakan senario yang kian parah. Sekalipun Mahathir Mohamad setuju dengan pendapat Aziz itu, ini tidak bermakna, “gengsterisme” di sekolah dipengaruhi oleh parti-parti pembangkang. Kementerian sepatutnya menapis dari menteri seperti Aziz menuturkan cara “gengsterisme” untuk membela kementeriannya. Tuduhan itu hanya mengeruhkan lagi keadaan dan ia boleh dibaca oleh pelajar sebagai suatu momokkan yang bersifat “gengsterisme” cara orang atasan. Sokongan Mahathir itu, lebih terdorong dari usahanya untuk mempengaruhi orang ramai tentang “jahatnya” parti-parti pembangkang di negara ini bagi memulihkan sokongan rakyat terhadap Umno.
Apa yang jelas, isu “gengsterisme” yang cuba ditangani secara selamba ini, tidak upaya
untuk kembali ke pangkal jalan, selagi pemimpin utama kementerian terus bermain politik.
Dua cara yang diperkenalkan; satu dengan mengaitkan isu ini sebagai hasutan pembangkang
dan keduanya, menghapuskan istilah “gengsterisme”, tidak mungkin akan menemui jalan
pulang untuk selama-lamanya. Inilah yang memalukan Musa, sebagai arkitek bangsa dalam
dunia pendidikan negara yang dipinjamkan oleh Mahathir, mungkin hanya untuk penggal ini
sahaja! |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|