|
USULKAN UNDIAN TIDAK PERCAYA KEPADA PM PEMBERITA NESTEA Mulai dari hari ini Dewan Rakyat bersidang untuk membahaskan beberapa rang undang-undang dan masalah serta isu-isu yang menyentuh atau berhubung-kait dengan rakyat dan negara. Adalah menjadi hasrat rakyat seluruhnya agar wakil-wakil rakyat benar-benar dapat membahaskan dengan bijaksana dan berwibawa segala isu-isu semasa, dan membuat kesimpulan-kesimpulan (resolutions) dalam persidangan tersebut, yang akan melupuskan segala kesangsian serta perasaan tertekan rakyat, yang telah menyebabkan cuaca mendung menyelubungi keyakinan, kepercayaan dan harapan rakyat terhadap kesejahteraannya kini dan di masa muka. Rakyat kini sedang dihadapkan dengan pelbagai kenyataan dan peristiwa yang mengancam keyakinan, kepercayaan dan harapannya untuk bernaung hidup di Malaysia dengan sempurna dan sejahtera. Media-media massa perdana, cetak serta elektronik, pada umumnya, tidak boleh dipercayai langsung dan segala maklumat yang diwar-warkannya mencabar kesabaran serta menghina daya fikir rakyat. Di bidang kehakiman pula terlalu menyerlah penghakiman yang tersangat dangkal dan tidak munasabah (maka jelas zalim) dan proses perbicaraan pula saolah-olah dikendalikan anak-anak yang belum disunat. Segala prinsip keadilan dan perikemanusiaan diketepikan sehingga mahkamah "kangaroo" terlihat lebih bermaruah. Ada pula hakim beraksi saolah-olah seperti pelacur atau gigolo yang memberi khidmatnya kepada sesiapa yang boleh menawarkan hadiah atau habuan yang diingini. Pasukan polis pula dilihat oleh rakyat bukan lagi sebagai pencegah terhadap perbuatan jenayah akan tetapi sebagai pelindung penjenayah. Polis tidak lagi 'sedia berkhidmat' untuk kepentingan rakyat tetapi untuk kepentingan seorang yang gila kuasa dan jongos-jongosnya. Rakyat juga berasa tersangat sedih, malu dan meluat terhadap pucuk pimpinan negara, sama ada di bidang politik atau pentadbiran, yang bergelumang dengan kerakusan kuasa serta perbuatan rasuah sehingga tidak terbayang lagi tata susila madani dan kesopanan pimpinan. Pemimpin berlagak dan melihatkan gah dan angkuh mereka untuk menjayakan projek-projek termega untuk dipamerkan ke dunia walaupun dengan pembiayaan yang meranapkan keutuhan ekonomi negara. Walhal dana yang diboroskan untuk projek mega tersebut lebih bijak dibelanjakan untuk memenuhi keperluan asas rakyat seperti menyediakan rumah kediaman yang termampu oleh rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana, membina prasarana pendidikan, sebagai pelaburan tenaga manusia, dengan membolehkan setiap anak muda negara memperolehi latihan dan pengetahuan sama ada percuma atau kos yang amat nominal. Disamping itu rakyat juga memerlukan perkhidmatan kesihatan yang lengkap dan termampu, infrastruktur-infrastruktur yang tidak perlu membebankan tolnya, serta penyelidikan dan perkhidmatan sokongan terhadap meningkatkan usaha masyarakat desa, khususnya, di dalam aktiviti pertanian yang nescaya membolehkan 'membunuh dua burung dengan satu batu' iaitu meningkatkan pendapatan petani dan memperbanyakkan keluaran makanan setempat. Amanah rakyat kepada pemimpin adalah untuk menggunakan harta dan khazanah negara untuk kebajikan ter-ramai dan tidak sekali untuk menaikkan ego seseorang atau memperkayakan segelintir individu. Apa yang berlaku dan sedang dilakukan lebih tepat kepada pengkhianatan amanah yang telah diberikan rakyat kepada pemimpin. Haruslah disedari bahawa pemimpin yang memimpin rakyat yang bangsat dan dhaif tidak mempunyai sebarang harga atau nilai sebagai pemimpin. Dunia tidak akan sesekali menghormati pemimpin yang sedemikian. Tidak usahlah gah dan angkuh. Takut nanti kita berangan syok sendiri sahaja. Pimpinan di dalam sesebuah pemerintahan bolehlah diibaratkan sebagai pembuat kasut (cobbler) dan rakyat pula sebagai pemakai kasut yang dibuatnya. Inilah pokoknya hubung kait pemimpin dengan rakyat. Si pemakai mungkin tidak pandai membuat kasut akan tetapi apabila kasut yang dipakainya tidak selesa, apatah lagi menyepit kakinya sampai kesakitan dan memudaratkan, si pemakai akan meminta pembuat kasut membaikinya. Jika pembuat kasut tidak cekap membaiki kasut itu, atau yang jijik lagi pembuat kasut tidak mahu membaikinya, pemakai kasut semestinya bertukar langganannya kepada pembuat kasut yang baru/lain. Dalam satu sistem pemerintahan tidak demokratik pemimpin akan digulingkan dengan kuasa rakyat seperti Marcos dan Suharto sebagai contoh yang terdekat. Dalam sistem demokratik pula pemimpin akan dihumban keluar menerusi pilihanraya. Soalannya pada ketika dan saatnya saja, akan tetapi pengnyahan pemimpin tersebut PASTI berlaku. Betapa huduhnya cara pengnyahan pemimpin yang pasti dilakukan itu bergantung pula betapa gentingnya kesabaran rakyat didugakan oleh pemimpin berkenaan. Dalam konteks negara kita kini, pada hemat saya, tahap kesakitan dan seksaan rakyat disepit oleh kasut yang dibuat oleh Mahadead dan jongos-jongosnya telah sampai ke peringkat pembuat kasut kita mesti ditukarkan. Kita tahu untuk mengnyahkan Mahadead melalui masin negara seperti polis, kehakiman dan politik parti khususnya UMNOB/BN didapati berliku-liku. Ini disebabkan kesemua mereka yang menerajui masin-mesin tersebut secara langsung dilantik dan dikawal oleh Mahadead sendiri. Kriteria yang digunakan pula dalam perlantikan para peneraju mesin negara berkenaan pada umumnya adalah mereka yang bersekongkol dengan aktiviti kerakusan dan rasuahnya dan nasib mereka, naik turun status mereka, pasang surut kesenangan duniawi mereka, bergantung rapat dengan Mahadead. Yang jelas dan nyata pada kita pengnyahan Mahadead boleh dipermudahkan melalui Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang sedang bersidang ketika ini. Ahli-ahli Dewan Rakyat, sama ada dari BN atau BA, tidak bergantung kepada perlantikan Mahadead secara langsung. Perlantikan mereka datangnya terus dari rakyat dan rakyatlah yang menentukan nasib, status dan kedudukan mereka. Yang sebenarnya kedudukan Mahadead lah yang ditentukan oleh mereka. Jika mandat untuk mengepalai cabangan Eksekutif Negara (PM) ditarik balik oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dari Mahadead saat ini maka pada saat berikutnya tersembamlah dia ke bumi dan percayalah segala jongos-jongosnya akan menjadi orang-orang yang pertama untuk mengkhianati dan mengutuk Mahadead. Segala kesaktian dan kekebalan Mahadead berada ditangan wakil-wakil rakyat dan kepada mereka rakyat berharap untuk menawarkannya. CUKUPLAH SAMPAI DI SINI RAKYAT DAN NEGARA DISAKITI DAN GADAI. Cukuplah sampai di sini kita dibohongi dan dipimpin oleh PEMBOHONG. Kembalikan lah kedaulatan bangsa dan negara. Tegakkan semula maruah dan martabat AGAMA. Hapuskanlah segala kezaliman dan kebatilan. Tindakan dari ahli-ahli Dewan Rakyat yang menjurus kepada penarikan mandat dari Mahadead dari menjadi PM Malaysia, jika dilakukan, akan melatakan anda sekelian sebenar-benar sebagai wira dan akan dikenang oleh setiap makhluk yang tanah tumpah darahnya Malaysia kini dan selamanya. "Some men are born great, and some men have greatness thrust unto them." Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia ketika ini berpeluang dikenang sebagai "great men" kerana material 'greatness' itu telah di'trust' kepada anda. Rakyat berharap YB-YB semua menggunakan peluang yang ada ini untuk menghasilkan satu landmark sejarah negara dan bangsa yang jauh lebih utuh dan berharga dari menari kembar Kuala Lumpur. Kerana bertindak untuk menarik kuasa Mahadead bererti mengembalikan harga diri tiap-tiap rakyat dan mentamadunkan negara. Inilah CABARAN yang rakyat tujukan pada setiap ahli Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang. Inilah AMANAH YANG TERUNGGUL yang rakyat ajukan kepada setiap YB-YB yang berada di Dewan Rakyat pada sessi ini. Berdirilah sebagai WIRA RAKYAT yang terbilang. Lepaskanlah rakyat dari amalan rasuah, bobrok, zalim dan pembohongan. Insya-Allah ganjarannya akan diperolehi dunia dan akhirat. Wallahua'lam.
LAWAN TETAP LAWAN |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|