MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

EPISOD AL MUNTAHAHA... 

Oleh: Panglima Sauk 

Setiap rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian negaranya tentu merasa lega dengan berakhirnya episod Sauk.  Rakyat yang beragama Islam tentu bersyukur ke hadrat Ilahi dengan berakhirnya episod itu dan mahu mengambil masa yang panjang sedikit memikirkan apa yang sebenarnya telah berlaku. Mungkin ramai yang mahu mengerjakan sembahyang istikarah untuk mencari alamat dan keredhaan Allah atas apa yang sudah berlaku. Mungkin ramai lagi yang mahu berdebat dan berdiskusi secara ilmiah untuk menilai apa yang sebenarnya telah berlaku. 

Apa pun yang akan berlaku, pemikiran orang Melayu akan terus bercelaru, kerana belum pernah  episod seperti ini berlaku di negara ini. Belum juga pernah berlaku sebarang  usaha menggulingkan kerajaan yang memerintah oleh sebuah pertubuhan agama Islam yang dikatakan mengajar ajaran songsang. 

Satu ketika dulu, pergerakan Al Arqam yang berjaya bertapak hampir tiga dekad dengan pengikut yang sungguh banyak dan menyeluruh di serata negara telah ditumpaskan oleh Kerajaan. Tertumpasnya pergerakan itu adalah berdasarkan ajaran songsang  yang telah diturunkan Ustaz Azahari. Namun, hampir keseluruhan pengikutnya merupakan insan yang jarang sangat mendabik dada dengan menggugat kepimpinan negara. Malahan kumpulan itu dikenal sebagai mereka yang amat rajin mengerjakan ajaran Allah. Tetapi Al Arqam diharamkan, sedangkan usaha untuk memperbetulkan bahagian ajaran yang songsang itu tidak pun diusahakan secara serius. Yang lebih penting ialah mengharamkan secara total pergerakan itu dulu sebelum membuat pembetulan di mana berlakunya benda yang songsang itu. Apakah iktibar yang boleh dikesan dalam tindakan kerajaan ini?  

Ketika itu, iktibar yang jelas tidak dapat dikesan kerana ia tidak dipaparkan dengan jelas. Tidak ramai rakyat marhaen yang mahu mempersoalkannya. Mereka hanya mampu terkejut dan menjadi takut-takut. Pengharaman Al Arqam sudah mampu dipersoalkan sebagai usaha beberapa individu ternama dalam Jabatan Agama Islam yang mahu menonjolkan diri mereka bagi tujuan kepentingan politik jua. 

APAKAH YANG SEBENARNYA DIROMPAK? 

Apabila tercetus berita rompakan itu, ada akhbar yang memberikan gambaran yang silap sehingga mampu melakar gambaran betapa kem RAW di hujung jambatan Pulau Banding yang telah dirompak. Kesilapan ini berlaku kerana kem yang sebenarnya dirompak ialah di Sungai Rui yang terletak hanya sekitar lapan kilometer daripada Gerik.  Di kem ini pihak yang merompak telah mendera para pengawal pintu masuk dengan memaksa mereka melakukan riadah deraan seperti 'ketampi' dan 'pumping-up'. Penderaan dikatakan berlaku selama satu jam sebelum pasukan itu pergi pula ke Kem Besar RAW di Gerik. Di sinilah mereka berjaya melarikan beratus-ratus pucuk senapang canggih bersama kelengkapan perang yang lain. 

Mereka kemudiannya menghala ke Sauk. Dalam perjalanan mereka sempat mengisi minyak di Lawin. Jikalau dikaji pergerakan mereka kita telah mencongak betapa mereka tiba di Gua Bukit Jenalik sebelum tamatnya waktu Subuh. Sebaik sahaja tiba ke gua itu mereka mula mencuba senjata yang dirampas dan menembaknya ke udara?  Alangkah peliknya episod ini dan inilah episod yang Mahathir dan juga kerajaannya mahu seluruh rakyat mempercayainya sebagai "satu taktik ganas daripada satu pasukan yang diketuai oleh manusia yang gila". 

Sifat kegilaan ketua gerombolan perompak itu hanya diketahui oleh Polis dan diberitahu kepada rakyat hanya pada hari Khamis setelah seorang jeneral komando "berjaya menepis senapang yang diacukan kepadanya dengan membunuh." Kita telah diberitahu oleh Dato Seri Abdul Najib bin Tun Razak dalam satu persidangan akhbar bagaimana episod RAW itu telah dapat ditumpaskan oleh pasukan tentera dengan kerjasama pasukan PDRM. Najib telah mencetuskan satu berita saspens bagaimana kumpulan haram itu berjaya ditumpaskan dalam tempoh sepuluh minit setelah  rundingan diatur dengan pihak kerajaan. 

Keberanian Seorang Pegawai Komando 

Semua akhbar perdana telah merakamkan cerita seorang panglima komando; bagaimana dia menepis muncung senapang Prebet Amin yang cuba membunuhnya. Sebelum nama Prebet Amin muncul, kita telah disogokkan dengan nama seorang pegawai bekas tentera yang berpangkat Mejar yang mengetuai perompak itu. Tetapi, di hari akhir perkubuan perompak itu, barulah muncul nama Prebet Amin ataupun lebih terkenal dengan nama Sheikh Amin bin Mohd. Razali.  Yang paling menarik dalam episod penangkisan muncung senapang ini ialah betapa seorang ahli kumpulan perompak itu telah terkena tembakan yang sepatutnya ditujukan kepada Jeneral Zaini Mohd. Said. Jeneral ini yang pernah menjadi adikong kepada Sultan Johor ketika baginda menjadi yang Di Pertuan Agong telah diberikan kehormatan oleh Sultan dengan anugerah bintang yang baru.

Setelah tersebar berbagai-bagai pujian terhadap Jeneral Zaini mengenai keberanian beliau itu muncul pula satu berita hasil kajian pakar pathology yang memeriksa mayat askar yang dikatakan terkena tembakan senapang Prebet Amin tersebut. Mayat itu dikatakan mati dua hari sebelum berlakunya peristiwa Jeneral Zaini menepis muncung senapang Prebet Amin. Jadi, bagaimanakah beliau boleh terkena tembakan senapang Prebet Amin dua hari selepas beliau mati? Alangkah terkejutnya rakyat yang mengikuti episod ini. Kita diberitahu bagaimana seorang panglima komando berjaya memujuk seorang ketua kumpulan ajaran agama songsang dalam masa sepuluh minit setelah bertemu dengannya.  Bukankah akhbar perdana pernah menerbitkan cerita bagaimana pasukan Al Ma'unah itu telah berada di dalam gua itu dengan persiapan mereka selama 52 hari sebelum berlakunya rompakan senjata di kem tentera itu? Kalau persiapan telah dibuat selama 52 hari dengan kemampuan menyediakan bekalan letrik sendiri, apakah kumpulan itu tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup dan lengkap dengan bekalan rokok dan bateri?  

Alasan pihak polis kumpulan itu menyerah diri ialah kerana bekalan makanan mereka telah dicuri oleh komando yang berjaya merangkap ke setor bekalan makanan. Bolehkah dipercayai alasan itu sedangkan pihak perompak mempunyai segala peralatan canggih untuk mempertahankan diri mereka. Dalam hal ini kita mampu bersimpati dengan sesiapa yang merancang operasi drama ini. Kalau dilihat akan segala bahan bukti yang disiarkan oleh akhbar kita nampak ada beberapa barang bukti yang tidak jelas. Kenapakah tidak ada teropong termasuk 'night-vision-scope' yang amat penting dalam kelengkapan ketenteraan? 

Nampak sangat pihak kerajaan melalui PDRM dan ATM cuba mengabui pemikiran rakyat dengan perjalanan cerita yang tidak jauh ciri-ciri saspensnya dengan perjalanan cerita yang menuduh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu beberapa tuduhan terpaksa diubah berkali-kali untuk menyesuaikannya dengan keadaan. Pada kali ini, seperti yang terjadi dalam episod Anwar Ibrahim dulu, pemikiran rakyat cuba dipengaruhi lagi dengan cerita yang sengaja diada-adakan. 

Angkatan Tentera Malaysia Yang Diperlekehkan 

Kini Al Ma'unah muncul secara tidak semena-mena. Malahan kemunculan nama pergerakan itu hanya menjadi bahan berita pada hari Khamis  petang, setelah pihak polis membuat pengumuman akan nama pertubuhan itu sebagai kumpulan yang melakukan onar di dua kem tentera dan kemudiannya melarikan diri di sebuah gua di Bukit Sauk. Secara tidak langsung, kerajaan pimpinan Mahathir mahukan rakyat mempercayai segala maklumat yang disebarkan secara spontan itu. Tetapi bagaimanakah rakyat boleh terima cerita bagaimana 15 pegawai tentera dengan tiga buah kereta jenis Pajero berjaya merampas satu longgok senjata tercanggih dalam masa satu jam daripada beberapa orang pengawal pintu masuk kem tentera.  Apa yang lebih pelik lagi ialah bagaimana senjata yang sungguh berat dan banyak itu mampu diangkut dengan kenderaan yang sama pada satu masa yang sama? 

Episod RAW dan Drama di Sauk belum lagi selesai. Tanah jirat Renjer Mathew a/k Medan dan Koperal Detektif Sagadevan belum pun selesai dengan upacara persemadian mereka, kini sudah timbul satu isu yang dijangka akan lebih hangat lagi. Sekali lagi isu ini akan dijangka menarik minat rakyat Malaysia membeli akhbar media perdana tajaan UMNO. Ketika rakyat dahagakan berita sahih akan kejadian rompakan di kem tentera Sungai Rui dan kem Batalion Askar Wataniah di Gerik, kita telah diberitahu betapa 146 senjata api telah diangkut oleh sejumlah manusia berpakaian ketenteraan yang berjumlah lebih daripada 15 orang. Mereka dikatakan menggunakan tiga buah kenderaan jenis Pajero untuk kerja-kerja bajingan itu.  

Kemudian, ada laporan akhbar yang mengatakan betapa kumpulan itu disertai etnik Iban, India dan Melayu.  Harian Metro keluaran Khamis dan di muka lima ada menyatakan betapa  "Setakat ini 85  anggota kumpulan itu dipercayai terkepung di dusun durian berkenaan tetapi jumlah itu tidak dapat disahkan." Seperti juga akhbar perdana yang lain Harian Metro telah mengesahkan  betapa: "tiga tebusan kumpulan berkenaan datangnya dari tiga bangsa berbeda, iaitu Melayu, India dan China. Lelaki China yang dijadikan tebusan ialah pedusun manakala dua lagi anggota cawangan  khas yang sedang menyiasat dengan menyamar sebagai pedusun di kawasan itu." 

Apabila selesai episod itu ternyata "hanya 27 anggota Al Ma'unah yang terlibat" dalam kerja penipuan dan kebangkitan untuk memerangi pihak kerajaan. Ahli kumpulan yang terbabit adalah:

  1. Abdul Halim Ali @ Ahmad, 31(mati dan disahkan oleh pakar patologi) 
  2. Che Abu Bakar, 28 (tercedera) 
  3. Muhamad Nukhshah Bandi Che Mansor, 26  (tercedera) 
  4. Megat Mohamad Hanafi, 25 (tercedera) 
  5. Md Amin Othman, 41 (seorang mekanik daripada Kedah) 
  6. Aziz Kamaruzailan, 33 (seorang analis dengan PERNEC di K.L.) 
  7. Idris Anas, 42 ( seorang teknisian Telekom di Kuala Lumpur) 
  8. Ibrahim Dris, 44 (peniaga daripada Kedah) 
  9. Jamari Jusoh, 32 (seorang pemandu van daripada Selangor) 
  10. Azlan Abdul Ghani, 24, (NEC Technician daripada Terengganu) 
  11. Jamaluddin Darus, 39 (Kapten pasukan tentera berpengkalan di Penang) 
  12. Jahit Muslim 44, (penjual ubat tradisional di Perak. Bekas komando VAT69 PDRM) 
  13. Suhaimi Hasbuullah, 41 (peniaga kain daripada Kelantan) 
  14. Mohamed Bukhari Ismail, 28 (kerani daripada Kelantan) 
  15. Ahmad Sarkawi Sulung, 29 (pekerja kontrak di Terengganu) 
  16. Kamaruddin Mustafa, 40 (Petronas Inspektor daripada Terengganu) 
  17. Mohamad Roshdi Yaacub, 42 (posman daripada Selangor) 
  18. Mohamed Zaini Mohamed Zainal, 25 (peniaga daripada Kedah) 
  19. Nasaruddin Mohamed Jailani, 36 (buruh daripada Selangor) 
  20. Zainal Mohamed Jailani 34, (tukang kebun daripada Selangor
  21. Mohamad Fauzi Hamdan, 39 (penganggur daripada Selangor) 
  22. Che Sabri Che Jaafar, 30 (agen insuran daripada Kelantan) 
  23. Abdul Ghani Ali, 34 (seorang pensyarah daripada Malaysia-French Institute di Bangi Selangor) 
  24. Mohamed Amin Mohamed Razali, 29 (penganggur daripada Selangor) 
  25. Riduan Berahim, 26(DIGI Telekom technician daripada K.L.) 
  26. Jasmin Jaafar, 29 (Eksekutif Proton daripada Selangor
  27. Mohamed Ramli Mahmood, 46 (Pemandu Felcra daripada Kelantan) 
  28. Yunus Hussin, 51 (Pemandu TNB  daripada Kelantan) 

Nama yang dipetik daripada akhbar tempatan ini menunjukkan bilangan 28 orang. Tetapi, pihak polis mengatakan terdapat 27 manusia yang terbabit. Di mana satukah mereka yang daripada kaum India dan Iban? 

Siapa Lagi yang Sesat? 

Mereka yang namanya ditulis di atas sudah pasti dikatakan insan yang sesat dan terkeluar akidahnya. Kini, JAIS sudah pun mengharamkan pergerakan Al Ma'unah. Sekarang saya mahu tanya Hamid Othman dan Jeneral Bersara yang mengetuai JAKIM. Bagaimana dengan majalah yang menyiarkan cerita pelik-pelik seperti PESONA dan MATIKA. Bukankah cerita pelik-pelik seperti pergerakan Al Ma'unah itu pernah tersiar di Persona pada akhir tahun yang lepas? Kenapakah perkara ini tidak dikesan dan dibendung? Setiap bulan kita dapati MASTIKA terbitan Kumpulan Utusan laris kerana cerita hantu yang bersiri. Apakah ini bukan satu kerja yang khurafat yang patut dibendung juga? Bagaimana pula dengan beberapa tabloid yang menyiarkan cerita sensasi yang sama? Malahan ada beberapa tabloid yang memberi iklan luas kepada beberapa jenis Bomoh terhandal dan Bomoh VIP di negara ini. Apakah hukuman terhadap tabloid dan insan yang riak seperti itu di sisi ajaran agama Islam? 

Sambil kita bercerita hal ini bagaimana pula dengan majalah hiburan di mana artis Melayu mampu tersenyum lebar memperagakan tubuh mereka yang menonjolkan pangkal payu dara mereka? Bagaimana pula dengan gambar artis yang berpelukan dan disiarkan secara berleluasa itu. Bukankah kebanyakan majalah itu kepunyaan Kumpulan Utusan? Segala bentuk ajaran sesat dan tayangan gambar yang menunjukkan amalan sesat di kalangan orang melayu dan beragama Islam sengaja dipandang sepi oleh MATIN. Di waktu yang sama MATIN dan Hamid Othman tergila-gila dengan arahan Mahathir agar semua ahli jawatankuasa masjid dirombak agar orang-orang pilihan UMNO menduduki jawatankuasa itu. 

Tak kiralah samada mereka kerap ke masjid dan surau untuk kerja-kerja ibadat ataupun tidak. Yang lebih dipentingkan orang pilihan UMNO mesti menganggotai JKK rumah ibadat itu sebagai benteng kekuasaan pengaruh UMNO dan bukan sebagai benteng kekuatan orang Melayu mengamalkan ajaran Islam. Apakah yang akan jadi kalau masyarakat tempatan memberontak dan mengungkitkan prejudis pihak UMNO terhadap mereka dibandingkan dengan prejudis terhadap majalah yang menyebarkan ajaran songsang itu? Apakah umat Islam yang akan menentang itu ditangkap dan dituduh di bawah Akta ISA juga? 

Semakin giat usaha songsang ini dilakukan semakin ketara kini, institusi yang paling unggul yang sudah lama sesat dan patut diharamkan itu adalah institusi yang bernama UMNO. Orang perseorangan  yang paling layak dikenakan tindakan ISA ialah seorang diktator tua yang bernama Mahathir bin Mohammad. Penggunaan Akta I.S.A Mereka yang masih hidup dalam carta di atas sedang ditahan dengan tuduhan di bawah Akta ISA. Beberapa nama lagi telah muncul di merata tempat sebagai ahli Al Ma'unah dan diberitakan ditangkap dengan tuduhan yang sama.  

Yang menjadi persoalannya sekarang, berapa ramai lagi yang akan terbabit dan apakah mereka akan ditahan di bawah ISA juga. Kini tercetus pelbagai reaksi rakyat dengan penangkapan itu. Ramai di kalangan keluarga mereka yang ditahan itu tidak percaya akan kesalahan dan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka. Mereka tidak puas hati dengan tuduhan di bawah ISA. Ada seorang isteri kepada salah seorang yang ditahan itu menyatakan ketidakpuasannya dengan menyebut kisah Al Arqam satu ketika dulu. Sebelum pengharaman itu dilancarkan secara menyeluruh tersebut cerita bagaimana Tun Ghaffar Baba dan juga anaknya Tamrin Ghafar yang telah terlibat dengan pergerakan itu. "Kenapakah mereka berdua tidak pernah dihukum seperti terhukumnya Ustaz Azahari dan para pengikutnya?" 

Drama Tak Masuk Akai 

Kini, setiap hari episod ketenteraan ditonjolkan seolah-olah ATM telah berjaya menumpaskan satu gerombolan musuh perang yang amat berbisa. Tetapi, siapakah yang dapat menyangkakan gerombolan yang dikatakan ganas itu tidak pun mampu bertahan lebih daripada empat hari tanpa bekalan makanan yang canggih? Kumpulan kebatinan jenis apakah mereka ini sehingga tidak mampu bertahan lama dengan deraan yang sedikit sahaja.  

Beberapa orang kaum Cina di Gerik telah memberikan satu gambaran yang amat jelas terhadap episod RAW ini: "Mana Masuk Akai?" tanya mereka. Memang tidak mudah kita mempercayai episod ini sesuatu yang bukan berbentuk drama. Buat langkah pertama kita boleh amati segala bentuk gambar yang disiarkan oleh akhbar perdana. Gambar itu adalah dikeluarkan oleh Utusanpix bererti hanya Utusan yang diberikan prioriti membuat rakaman visual tersebut. Daripada gambar tersebut beberapa pemimpin masyarakat Cina di Gerik itu ada menimbulkan beberapa persoalan yang dirakamkan di sini:

  1. Kalau ini kumpulan kebatinan kenapakah hampir semua yang ditangkap itu mempunyai perut yang boroi? 
  2. Kalau mereka anggota tentera, bagaimanakah mereka mampu menyimpan janggut dengan kemasnya. Apakah tentera Malaysia sudah mengizinkan pasukan darat menyimpan janggut ?
  3. Kenapakah tidak ada teropong yang dipamerkan sebagai alat perang?
  4. Kalau pergelutan berlaku ketika pihak ATM melumpuhkan pasukan haram itu kenapakah yang ditangkap itu kelihatan amat bersih pakaian mereka sehingga tidak ada yang memakai pakaian yang koyak rabak ataupun yang diselaputi tanah dan lumpur?
  5. Kenapakah Ketua mereka Prebet a.k.a. Sheikh Mohd. Amin bin Mohd. Razali tidak ditunjukkan kepada pemberita untuk disiarkan gambarnya yang terbaru?
  6. Kenapakah tali gantung tidak diletakkan dalam bilik pameran tetapi sengaja ditunjukkan di dahan pokok yang dikatakan digunakan untuk menggantung pegawai kerajaan? 

Sebenarnya banyak lagi soalan yang dikemukakan oleh masyarakat Cina di Gerik itu. Malahan merekalah yang mula-mula sekali membawa kesedaran kepada masyarakat Melayu di Sauk dan Kampung Ngor dan perkampungan di persekitarannya akan adanya drama dalam episod ini. Namun, mereka telah menasihatkan kawan-kawan Melayu mereka agar terus berpura-pura dengan pihak kerajaan sehinggalah segala bentuk penyedap dan pampasan sudah diserahkan oleh kerajaan kepada mereka. 

Setakat ini mereka sudah menerima sekurang-kurangnya dua puluh kilo beras dengan "ikhsan BERNAS" Kini mereka menunggukan janji 'pampasan durian' Sambil mereka menunggukan baki pampasan yang dijanjikan oleh kerajaan itu, ada pihak kerajaan yang mula menziarahi mereka untuk mendapatkan janji agar mereka tidak berbincang lagi akan episod yang sudah terjadi. "Kenapa?" tanya mereka sesama sendiri. "Mungkin juga kerana cerita ini tidak masuk akai????" tanya kawan mereka pula sebagai jawapannya. 

Bersambung........

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com