MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

ANTARA  SIPUT DENGAN KELONGSONGNYA

Berapa ramaikah di antara kita yang terfikir kenapakah selalu sangat adanya kelongsong siput yang kosong  di tepi pantai setiap hari? Kelongsong ataupun kulit siput itu adalah merupakan 'rumah' yang dibawa oleh setiap siput ke mana dia pergi hingga satu ketika dia merasakan perlu untuk keluar daripada 'rumah'nya itu. Bagaimanakah fenomena ini boleh terjadi?

Kalau kita pergi ke pantai di waktu malam dan mampu duduk diam tanpa bergerak-gerak kita akan mampu melihatkan gelagat siput laut yang keluar daripada kelongsongnya untuk bebas berkeliaran di permukaan pantai itu. Mereka lari dari satu tempat ke satu tempat, sekali sekali masuk menjenguk kelongsong dan seolah-olah mencari sesuatu di dalamnya. Kalau mereka terjumpa lubang di permukaan pasir itu, mereka akan cuba memasukinya dan kadangkala keluar dengan ada pula penghuni lubang itu yang ikut keluar sama.  Begitu juga kalau mereka masuk ke dalam kelongsong kosong yang serupa dengan kelongsong asalnya, ada kalanya dia tidak lagi mahu keluar daripada kelongsong itu seolah-olah dia sudah serasi pula untuk bertukar rumah-nya.

Fenomena Siput Dengan Kelongsongnya telah menjadi satu iktibar dalam dunia perisikan. Kerana itu kita lihat sejak 1905 ada penubuhan beberapa Kelab Muhibbah persendirian seperti penubuhan Kelab Rotary Antarabangsa yang kini menjadi satu pertubuhan yang cukup terkenal seantero dunia.  Ketika mengambil contoh penubuhan Rotary International ini sebagai satu contoh bagaimana dunia perisikan dan pengolahan skima penjajahan ke atas dunia ketiga telah dilakukan dengan pelbagai cara.  Rotary International adalah sebuah persatuan yang dianggotai oleh manusia yang bergiat cergas dalam dunia bisnes dan pelbagai profesionalisme.  Tujuannya ialah untuk berkhidmat secara sukarela dan mengembangkan persaudaraan dan semangat muhibbah. Sebutan 'Rotary' diambil daripada sikap persatuan itu mengadakan mesyuarat ataupun perjumpaannya secara bergilir di rumah setiap ahlinya. Sistem bergilir ataupun 'rotation' itu telah menjadi ilham nama persatuan.

Di negara ini Kelab Rotary memang terkenal kerana tempat bermesyuarat selalunya di lakukan di Rumah Rehat (pada zaman selepas kemerdekaan), di Kelab ternama dan di pusat peranginan. Perjumpaan yang dilakukan secara bersistem itu berjaya melakukan beberapa projek untuk kebaikan masyarakat. Di bandar besar kita sering terjumpa dengan pondok menunggu bas (perhentian bas) yang dibina dengan wang yang dikumpulkan oleh Kelab Rotary.

Kita tidak mahu membincangkan peranan Kelab ini kerana maklumat selanjutnya harus diperdapatkan daripada Kelab yang berdekatan dengan tempat anda. Memadailah kalau kita katakan, Kelab semacam ini sudah semakin banyak kini dan namanya pun semakin menarik juga.  Di negara ini sudah ada Kiwanis Club, Lions dan Lioness, dan bermacam nama lagi.

Yang anihnya, kelab muhibbah seperti ini di tahap awalannya dulu dianggotai  oleh para professional yang melambangkan lapisan pemimpin yang teratas di sesuatu tempat. Kerana itu keahlian kelab adalah terbuka melalui sokongan ataupun pilihan tertentu yang difikirkan ketat juga. Kerana itu, pergerakan kelab seperti itu dianggap sesuatu yang dikagumi oleh golongan muda.  Setiap tahun, setiap persatuan ataupun kelab akan mengadakan perjumpaan tahunan mengikut 'charter' ataupun perlembagaan persatuan itu. Ada juga perjumpaan yang dilakukan dalam bentuk Konvensyen Tahunan, di mana wakil daripada seluruh dunia berkumpul di satu negara yang dipilih menjadi tuan rumah.

Kajian mendalam terhadap persatuan bertaraf antarabangsa ini menunjukkan bilangan ahli Melayu dan beragama Islam hanya berupa 'token' semata-mata. Kenapa? Jangan tanya saya, cuba buat penyelidikan sendiri. Disebabkan kurangnya minat orang Melayu dalam persatuan seperti ini ada pula beberapa bentuk persatuan lain yang dicipta oleh pihak asing dan mengambil bentuk bertalian ke peringkat antarabangsa juga. Contohnya ialah Kelab Pencinta Kereta Model...., ataupun Kelab Motorsikal Jenis Kuasa......, ataupun Kelab Pencinta Kucing..... dan sebagainya. Motif dan tujuan penubuhan persatuan serupa itu adalah tidak banyak larinya daripada tujuan penubuhan Kelab Muhibbah seperti  Freemason, Rotary, Lions dan Kiwanis itu.

Penubuhan Kelab Pencinta Kucing amat menarik sekali kerana sebilangan besar ahli kelab ialah orang Melayu. Ada keluarga Melayu yang memelihara sampai dua buluh ekor kucing yang memerlukan belanja makan dan penjagaannya sekitar RM Lima Ribu setiap bulan. Mak....oooi....alangkah lucunya hal ini. Kenapa orang Melayu amat gemar dengan kucing. Kerana memelihara kucing "adalah lebih senang daripada memelihara anak sendiri yang berkemungkinan menjadi bohsia dan menyakitkan hari..." Demikian adanya jawapan yang berjenaka yang pernah saya rakamkan daripada orang Melayu ketika pesta Ratu Kucing Tercantik  pada satu ketika dulu. Fahaman ini adalah mirip dengan apa yang berlaku di Eropah terutama sekali di Peranchis. Kalau kita pergi ke Paris ada satu tarikan pelancung yang merupakan 'kubur binatang'. Ya........KUBUR BINATANG yang canggih dan sungguh mempersonakan. Ada manusia di dunia ini yang sanggup berbelanja besar membuat tempat ditanamnya kucing atau pun anjing tersayangnya. Di atas kubur itu dibuat pula replika binatang kesayangannya itu lengkap dengan puisi indah yang tertulis di tugu yang dibina khas di situ. Setiap tahun ada pula syarikat yang dibayar khas untuk membersihkan kubur itu dan meletakkan jambangan bunga mengikut musim dan jadual yang dibayar khidmatnya terlebih dulu. Demikianlah taksubnya manusia dengan binatang kesayangannya sehinggakan ada manusia yang sanggup meletakkan deposit wang ke dalam bank sebagai upah perkhidmatan membersihkan kubur itu walaupun selepas tuan punya itu sudah lama mati.

Ketaksuban manusia kepada persatuan telah dibuat kajian oleh pakar perang saraf manusia dan dunia risikan. Kerana itu banyak persatuan di lancarkan di dunia ini dengan tujuan untuk meniru gelagat siput di tepi pantai. Kelongsong persatuan manusia disediakan di merata dunia oleh pihak penjajah dan kuasa besar untuk digunakan apabila didapati perlu. Inilah yang berlaku di merata dunia di seluruh kumpulan negara yang terkenal dengan panggilan Dunia Ketiga.  Ada persatuan pencinta binatang, ada persatuan pencinta alam, ada persatuan pencinta bintang dan sebagainya. Agenda tersorok di dalam persatuan itu adalah untuk menggunakannya bagi tujuan tertentu apabila diperlukan.

Kelongsong Politik di Malaysia

Hasil daripada nasihat yang diterima oleh  seorang diktator tua Malaysia daripada pakar perang saraf Yahudi kita sudah nampak pelbagai persatuan yang ditubuhkan di negara ini dengan agenda tertentu.

Satu ketika dulu kita ada  Parti PAS Baru. Ketika pilihanraya kecil di Teluk Kemang dulu ada parti politik yang merupakan serpihan Keadilan di mana sekumpulan ahli ADIL daripada kaum India telah menubuhkan sebuah parti untuk memperlekehkan parti itu.

Yang terkini muncul pula Al Ma'unah yang dikatakan ditubuhkan pada tahun 1998. Hairankah kita kalau penubuhan itu dilakukan sebaik sahaja Anwar Ibrahim dibelasah matanya sehingga lebam?

Al Ma'unah telah dipelopori oleh seorang prebet tentera yang pernah dipenjarakan kerana "kesalahan mengedar dadah pada tahun 1998". Demikian yang kita diberitahu sejak penyingkapan persatuan kebatinan ini tersebar. Alangkah peliknya kenyataan ini kerana prebet itu ditangkap pada 1995 dan dihukum pada 1998. Selepas dia dihukum dia dikatakan telah pergi belajar ilmu kebatinan di Jawa. Kalau dia sudah pandai tentulah dia memerlukan masa yang panjang lagi untuk meluaskan pengaruhnya. Tanpa pengaruh bagaimana dia mampu memancing orang Melayu yang berpelajaran tinggi dan lebih tinggi pangkatnya daripada pangkat seorang prebet?

Sehingga hari ini, walaupun pergerakan Al Ma'unah itu telah ditelanjang habis dan ramai muka pengikutnya yang tertangkap itu disiarkan di TV dan media massa yang lain, apakah pernah tersiar gambar Prebet Amin yang terbaru? Sejak tiga hari yang lalu ada sahaja akhbar yang menyiarkan gambar ayahnya, tetapi kenapakah gambar Amin hanya merupakan gambar lama?

Siapakah Prebet Amin?

Mengikut cerita beberapa  pemimpin masyarakat di Sauk, Kati dan Lenggong: Prebet Amin adalah anak kepada seorang peniaga apam balik di pasar sari Lenggong yang satu ketika dulu pernah menjadi anggota tentera.  Mohd. Razali adalah berasal daripada Pattani dan telah mengahwini seorang keturunan Mami (mamak) yang dikatakan keturunan India Nekah (Inilah masyarakat India yang mengembara daripada satu kampung ke satu kampung menjual gelang  tangan buatan India dan juga apa juga benda perhiasan kecantikan kaum perempuan). Mohd. Razali memang amat disayangi oleh orang kampung (Kampung Ngor) kerana kegigihannya dalam kerja-kerja Fardu Kifayah. Kalau ada sebarang kematian, beliaulah yang kerap ke sana sini menghebahkan berita itu. Setiap kali dia berniaga dan kalau ada apam balik yang tidak terjual, dia akan membungkusnya dan bersedekah ke surau dan masjid.

Prebet Amin telah berkahwin dengan seorang wanita Kelang yang kaya raya. "Ayah wanita itu dikatakan mempunyai urusan perniagaan kontena."

Kita tidak mahu mengulas panjang akan Prebet Amin yang juga bergelar Sheikh Amin. Tetapi, kita mahu bincang sedikit akan Persatuan Al-Ma'unah yang dikatakan satu pertubuhan ajaran sesat.

Masih teringatkah kita akan penubuhan  kebatinan Nasrul Haq yang dipimpin oleh Tan Sri Abdul Samad Idris dan mempunyai bendaharinya yang ketika itu merupakan seorang pegawai tinggi kerajaan? Bukankah pegawai tinggi itu kini menjadi Timbalan Perdana Menteri?

Soalnya sekarang, bagaimanakah Al Ma'unah ini menerima kelulusan daripada JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor)? Kenapakah MATIN (Majlis Tindakan Islam Negara) yang dicipta khas untuk menonjolkan Hamid Othman dan juga seorang brigedier Jeneral bersara, tidak dapat mengesan Al Ma'unah ini dengan ajaran sesatnya? Bukankah Jeneral Bersara ini pernah menjadi ketua kor agama pasukan tentera  (KAGAT) satu ketika dulu? Apakah beliau tidak mengesan kegiatan songsang Al Ma'unah?

Mengikut tafsiran ramalan daripada langit (haram sebenarnya kalau kita mempercayainya) Mahathir Mohammad sudah terpalit jangkitan 'Sumpahan Mesir (Cairo Curse)' kerana dia telah memperlekehkan agama Islam.

Al Ma'unah sudah menyerlahkan betapa penubuhannya itu adalah dengan sokongan pihak tertentu. Masakan seorang prebet mampu menubuhkan persatuan kebatinan sedangkan dia masih dipenjarakan? Kemudian, dia mampu merencana satu rompakan senjata daripada dua kem tentera dengan menggunakan tenaga perampok yang sama dalam satu malam. Ini, bukannya calang-calang kerja. Orang Hollywood pun tidak mampu melakarkan skrip filem seperti ini, kerana  mereka tidak percaya perkara itu boleh dilakukan.  Tetapi, persatuan kebatinan prebet Amin mampu melakukannya. Senjata yang dirompak itu dibawa dalam Pajero yang sama membawa perompak itu. Bagaimanakah mereka mampu melakukannya? Bagaimana pula mereka mengangkut segala kelengkapan perang itu ke dalam gua sedangkan jarak gua daripada tepi jalan Sauk adalah satu setengah kilometer? Apakah prebet Amin mempunyai ilmu Nabi Sulaiman laksana melarikan kerusi takhta Puteri Balqis?

Soalnya sekarang, manakah gambar terbaru Prebet Amin? Apakah Al Ma'unah merupakan satu kelongsong siput yang dihuni oleh orang tertentu dan orang pilihan semata-mata? Apakah kemungkinannya Al Ma'unah ditubuhkan untuk dianggotai oleh beberapa Sleeping Spy yang memberi sokongan kepada beberapa Active Spy dan Passive Spy pilihan seorang diktator tua? Apakah kemungkinannya persatuan ini ditaja untuk menarik minat para professional menganggotainya dengan agenda mereka kemudian masuk menyerap keahlian PAS dan KeADILan? Apakah benar fenomena Siput dengan Kelongsongnya ini akan menjadi satu iktibar untuk seorang diktator tua mencari satu kelongsong politik yang terbaru untuk menentukan dia akan terus berkuasa? Apakah bentuk kelongsong itu dan di manakah pula pantai mainannya?

Kemang Suasa

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com