ISTERI TIDAK PERCAYA SUAMI TERLIBAT
Harakah
Isteri kepada salah seorang lelaki yang ditahan kerana
mencuri senjata di kem tentera, baru-baru ini, Sabariah Ismail, 41 seakan-akan tidak
percaya suaminya terlibat dengan peristiwa tersebut.
Isteri kepada Mohd Ramli Mahmood ketika ditemui di rumah di sini, menyifatkan perkara itu
ke atas keluarganya sebagai suratan takdir.
"Saya merasakan suami saya tidak melakukan perkara seumpama itu kerana sepanjang
tinggal bersama, dia tidak pernah meninggalkan solat lima waktu sehari. Saya bukan hendak
memuji suami sebagai lebai atau alim tetapi penduduk di sini pun mengenalinya sebagai ahli
jemaah masjid," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Manal, Tanah Merah.
Pada pagi 2 Julai lalu, 15 lelaki bersenjata menceroboh masuk ke kem tentera di Pengkalan
Hulu, Gerik dan berjaya melarikan lebih 100 senjata dan lebih 5,000 butir peluru.
Setelah berkubu di Bukit Jenalek, Sauk akhirnya, kumpulan lelaki tersebut menyerahkan diri
kepada pasukan keselamatan.
Antara 28 lelaki yang menyerah diri tersebut, Ramli adalah salah seorang yang
disenaraikan.
Sabariah juga tidak menolak kemungkinan tragedi tersebut berlaku dirancang pihak tertentu
yang tidak dapat diketahui motifnya.
"Saya yakin suami saya tidak akan melakukan perkara tersebut kecuali dengan menggunakan
cara pukau atau suatu strategi yang disusun rapi," katanya yang sudah lebih 10
tahun tinggal bersamanya sebagai suami isteri.
Menurutnya, beliau tahu sangat perangai suaminya dan tidak mungkin dia terlibat dengan
kejadian tersebut dengan rela hatinya sendiri.
Beliau juga berkata, Mohd Ramli pernah menceritakan kepadanya untuk menghadiri satu kursus
di Perak dan pada malam sehari sebelum peristiwa tersebut berlaku.
"Suami saya telah didatangi oleh beberapa rakannya yang ingin menjemput dia untuk
pergi ke Perak. Lalu suami saya tergesa-gera mencapai beberapa helai pakaiannya dan sempat
dia mencium anaknya yang bongsu sebelum melangkah pergi," katanya.
Sabariah juga berkata, sebelum suaminya pergi, dia menerima banyak panggilan telefon dari
orang yang mendakwa sebagai rakannya.
Ditanya tentang penyertaan suaminya dalam kumpulan al-Ma'unah beliau berkata, setahunya
kumpulan itu adalah persatuan silat yang berpandukan ajaran agama Islam.
"Hanya itulah yang diceritakan kepada kami sekeluarga tentang al-Ma'unah
selebihnya kami tak pernah ambil tahu," katanya.
|