MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

DARI SEORANG PEMINAT

From: "Intan Wa'iyah" 
To: marhaintua@hotmail.com
Subject: Dari Seorang Peminat
Date: Mon, 10 Jul 2000 06:18:12 GMT

Assalamualaikum.
Saudara Marhaintua.  Saya merupakan salah seorang peminat baru ruangan saudara di dalam Laman Reformasi.  Perkataan 'marhain' adalah baru kepada saya walaupun saya seorang Melayu.  Perkataan ini menarik hati saya pada kali pertama saya melihatnya dan mendorong saya membaca tulisan saudara.  Dan saya dapati tidak sia-sia bagi saya membacanya kerana daya penarik yang tinggi dengan ide-ide mantap, pendedahan yang mengagetkan dan olahan yang sopan walaupun mengandungi emosi yang dahsyat.  Ciri-ciri ini tidak saya temui pada penulis yang lain.  Saya yakin saudara seorang berilmu tinggi dan banyak pengalaman.  Saya menyeru agar saudara teruskan pendedahan demi pendedahan kebaikan anak bangsa daripada terus lalai dan melopong dengan air liur yang meleleh di sudut bibir.

Tujuan saya di sini ialah ingin mendapatkan semua tajuk-tajuk lengkap tulisan saudara untuk saya baca.  Saya adalah pengguna baru kemudahan internet dan baru juga berkenalan dengan laman reformasi.  Saya  membaca hanya sedikit tajuk-tajuk saudara dan saya percaya ada banyak lagi tajuk yang tidak saudara sertakan dengan pengenalan "Marhaintua;....".  Saya juga ingin menjadikan tulisan saudara sebagai koleksi simpanan saya.  Sekiranya saudara mempunyai laman web sendiri, harap dapat maklumkan kepada saya supaya dapat mencarinya, Insya-Allah.

Harapan saya semoga saudara dapat memenuhi permintaan saya ini.  Juga semoga saudara sentiasa di dalam kesihatan yang baik dan gigih meneruskan perjuangan ini. 

Terima Kasih.  Wassalam.
Daripada : Intan Wa'iyah
Shah Alam, 9 Julai 2000


Jawapan MT

Assalamualaikum wbt....

Bersyukur saya ke hadrat Ilahi dengan kiriman surat anak itu. Saya percaya anak seorang yang berminat dengan dunia kehidupan Melayu terkini dan masih baru dengan penjelajahan ruangan siber. Teruskan dan carilah manfaat yang terbaik darinya. Tulisan yang saya hasilkan adalah lambang pengalaman yang begitu lama yang difikirkan sesuai sebagai warisan bangsa. Samada bangsa itu sendiri akan menghargainya kini, esok ataupun lusa tidak penting bagi saya. Yang pentingnya ialah rakaman pengalaman yang begitu bernilai itu untuk dijadikan satu iktibar. yang terbaik dalam tulisan itu adalah hak Allah SWT. Yang cacat celanya adalah hak saya.

Saya tidak tahu apa yang menggerakkan anak menulis kepada saya kerana agak lama juga saya tidak menulis. Maklumlah, umur semakin tua dan suasana pergolakan kehidupan orang Melayu itu semakin bercelaru sehinggakan kalau kita mahu mengulasnya kita sendiri mungkin yang pertama sekali menjadi celaru juga. Kerana itu saya tidak  menjangka ada orang yang sudi menulis kepada saya. Namun, kerana saya fikir anak masih baru saya jawap sebagai satu penghormatan kepada pertemuan dua insan di alam siber. Seorang yang sudah maghrib usianya dan seorang lagi yang mungkin masih bersinar ceria kerana sinaran suria mentari yang baru menjengukkan mukanya di sebalik kegelapan malam.

Apa juga hasrat yang terpendam anak  mendapatkan penulisan saya itu; yang terbaiknya bukalah Laman Mindarakyat dan di sana buka pula 'Minda dan Budi'. Wallah.....semua simpanan tulisan ada tersimpan. Anakanda boleh juga membuka Fitnah e-UMNO untuk mendapatkan arkib yang sama. Bacalah....dan selamlah pemikiran yang tersurat serta tersirat dalam penulisan itu. Mudah-mudahan anakanda akan menjadi seorang pejuang rakyat marhaen yang berkualiti hidupnya; yang penuh bertaqwa kepada Ilahi. Amin....Salam hormat  ayahanda kepada seisi keluarga...

Marhaintua.

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com